BEKAS penyerang kebangsaan, Mohd. Nizaruddin Yusof menjadi buruan
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum jendela pendaftaran pemain Liga
Malaysia (Liga M) ditutup pada 22 April ini.
Pengendali ATM, B. Sathianathan memberitahu, kehadiran Nizaruddin
dijangka memberi lebih banyak pilihan buat beliau dalam mengenal pasti
jentera serangan terbaik The Gladiators bagi mengharungi baki saingan
Liga Super selepas ini.
“Ketika ini, proses bagi mendapatkan khidmat Nizaruddin sedang
berjalan lancar dan jika tiada aral, dia akan menyertai kami sebelum
jendela pendaftaran pemain ditutup,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Untuk rekod, Nizaruddin, 33, sebelum ini pernah bersama Selangor,
Negeri Sembilan dan Perlis sebelum dilepaskan Selangor PKNS musim lalu.
Anak jati Sentul, Kuala Lumpur itu juga pernah menyarung jersi
pasukan kebangsaan apabila kali terakhir mencetak gol bersama Harimau
Malaya ketika membelasah Afghanistan 6-0 pada Pestabola Merdeka edisi
2008.
Apa yang pasti, kehadiran Nizaruddin seolah-olah membayangkan resipi
Sathianathan yang kekal menaruh kepercayaan terhadap kemampuan tonggak
‘kuda tua’ apabila memiliki penyerang berusia seperti Hairuddin Omar dan
Marlon Alex James.
“Saya percaya Nizaruddin masih memiliki sentuhan penyudah yang
berkesan dan bakal menjadi antara watak penting buat kami pada musim
ini,” katanya.
Mengulas pertemuan menentang Kelantan di Stadium Muhammad IV, Kota
Bharu malam esok, Sathianathan mengakui tugas berat menanti anak-anak
buahnya apabila mereka kehilangan Shukor Adan, Fitri Omar, G
Jeevananthan dan R. Surendran yang digantung perlawanan gara-gara
didapati bersalah bertelagah dengan pemain Selangor pada pusingan
pertama Piala FA baru-baru ini.
“Saya juga terpaksa merombak pasukan apabila kehilangan Irwan Fadhli
Idrus dan Bruno Martelotto yang masih belum pulih daripada kecederaan.
“Prestasi semasa Kelantan juga tidak kurang hebatnya, jadi kami perlu berwaspada,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan