OKINAWA, Jepun – Wan Zack Haikal Wan Nor membuat penampilan pertama
bersama kelab Divisyen Ketiga Liga Jepun (Liga J), FC Ryukyu dengan
penuh bergaya selepas membantu pasukan itu menewaskan Sagawa Printing
2-1 di Stadium Okinawa City Athletics petang semalam.
Pemain kelahiran Pahang berusia 22 tahun itu berjaya menambat
perhatian penyokong-penyokong kelab tersebut apabila mempamerkan
persembahan bertenaga, selain sering menimbulkan masalah kepada benteng
pertahanan lawan.
Begitupun, Wan Zack yang diberikan peranan sebagai pemain sayap kiri
pada aksi tersebut, mengakui yang dia masih belum berpuas hati dengan
tahap keupayaannya, meskipun berjaya membantu FC Ryukyu meraih tiga mata
berharga pada aksi di laman sendiri itu.
Jelasnya, perasaan gemuruh sedikit sebanyak menjejaskan fokusnya,
biarpun sebelum ini memiliki pengalaman beraksi bersama skuad kebangsaan
di pentas antarabangsa.
“Pada aksi separuh masa pertama, saya akui tidak beraksi dengan
begitu baik, namun saya berjaya memperbaiki rentak persembahan pada
babak kedua perlawanan.
“Sudah tentu saya takut melakukan banyak kesilapan, memandangkan ia merupakan penampilan pertama saya untuk pasukan ini.
“Sebab itulah saya merasakan sedikit gementar dan takut ketika beraksi.
“Sejujurnya, saya masih tidak berpuas hati dengan persembahan saya
pada perlawanan sulung itu kerana saya percaya, saya masih berupaya
untuk menampilkan aksi yang lebih baik.
“Begitupun, saya tetap berpuas hati dengan keputusan perlawanan ini
dan gembira kerana berjaya melakarkan kemenangan pada penampilan sulung
dengan FC Ryukyu,” katanya.
Pada aksi tersebut, pasukan yang diwakili Wan Zack dikejutkan dengan
jaringan awal pasukan pelawat menerusi Kei Nanako pada minit ke-17.
Ia gara-gara masalah komunikasi di antara penjaga gol FC Ryukyu, Kenji Tanaka yang gagal menyambut kemas hantaran Nanako.
Tersentak dengan jaringan tersebut, skuad kendalian Norihiro
Satsukawa kembali mengasak benteng pertahanan Sagawa dan hasilnya,
penjaring terbanyak Divisyen Ketiga Liga J yang telah meledak tujuh gol,
Shunta Takashi berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma
pada minit ke-53.
Wan Zack dikeluarkan pada 10 minit terakhir perlawanan dan
digantikan dengan penyerang, Takumi Uesato selepas pemain kebangsaan itu
ditimpa masalah kecederaan kaki.
Penyerang FC Ryukyu, Kazuki Ganaha memastikan skuad tuan rumah
memperoleh tiga mata berharga dengan meledak gol kemenangan selepas
melepaskan rembatan kencang menewaskan penjaga gol Sagawa, Tetsuya
Yamaoko pada masa kecederaan.
Untuk rekod, pemain pertahanan muda negara yang turut beraksi bersama
kelab itu, Nazirul Naim Che Hashim, 19, tidak dapat diturunkan
gara-gara ditimpa masalah kecederaan buku lali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan