Sabtu, 27 April 2013

ATM tebus kecewa


Ketua pasukan ATM, Hairuddin Omar, (baju merah), berjaya menjaringkan gol petama dengan tandukannya menewaskan penjaga gol SELANGOR PKNS FC, Mohd Remezy, pada masa pertama ketika perlawanan.


ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) kembali mempamerkan aksi positif selepas menewaskan Selangor PKNS 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan malam tadi.

Kemenangan tersebut dianggap sebagai pengubat duka selepas skuad kendalian B. Sathianathan itu tewas 1-3 kepada pendahulu Liga Super, Lions XII di Stadium Jalan Besar Singapura Sabtu lalu.

Gol kemenangan skuad The Gladiators diperoleh menerusi kapten, Hairuddin Omar dan peledak berbisa ATM, Marlon Alex James masing-masing pada minit ke-36 serta 73.

Kini, ATM menduduki tempat ketiga liga selepas mengutip 24 mata iaitu tiga mata ketinggalan di belakang Lions XII yang akan menentang Selangor di Stadium Shah Alam malam ini.

Marlon turut mendapat suntikan semangat selepas muncul penjaring terbanyak liga setelah meledakkan 13 gol sepanjang 14 perlawanan.

Sementara itu, Pahang turut menepati ramalan apabila mudah menewaskan Felda United 2-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Seperti yang dijangka, pasukan tuan rumah yang menampilkan persembahan agresif membuka jaringan menerusi penyerang import kelahiran Argentina, Matías Conti pada minit ke-26.

Tersentak dengan jaringan tersebut, pasukan pelawat yang dibimbing K. Devan menggandakan asakan untuk memburu gol penyamaan namun sekali lagi dihukum jentera serangan Tok Gajah apabila penyerang, Fauzi Roslan menggandakan kedudukan pada minit ke-65.

Kemenangan itu sudah cukup untuk meletakkan skuad kendalian Dollah Salleh di tangga kelima Liga Super setelah memungut 23 mata sepanjang 14 perlawanan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan