Khamis, 11 April 2013

Terengganu idam benam JDT


TERENGGANU bakal mengubah corak permainan menjelang perlawanan menentang Johor Darul Takzim (Johor DT) pada aksi pusingan kedua Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu petang ini.

Ia berikutan pemain sayap kiri, Ashaari Shamsudin yang menjadi salah seorang 'nadi' serangan pasukan Terengganu, tidak dapat diturunkan akibat digantung satu perlawanan.

Pengendalinya, E. Elavarasan berkata, biarpun berlaku perubahan dalam bahagian serangan tetapi beliau tetap yakin pemain yang bakal diturunkan kelak mampu menggalas tugas dengan baik dalam misi mereka memburu tiga mata penuh di laman sendiri.

"Sudah pasti kehadiran Ashaari dalam pasukan akan memperkuatkan lagi jentera serangan kita tetapi saya percaya, dengan prestasi pemain lain dalam pasukan yang semakin menunjukkan keserasian, mereka mampu meraih kejayaan.

"Bahkan, kemenangan pada aksi Piala FA, Sabtu lalu sedikit sebanyak menaikkan moral pemain untuk berhadapan dengan Johor Darul Takzim," katanya.

Dalam pada itu, beliau mengakui kemenangan pada perlawanan pusingan kedua itu amat penting bagi Terengganu dalam usaha mereka memperbaiki kedudukan dalam carta liga.

Menyentuh mengenai kebangkitan semula pasukan Terengganu yang bermula agak perlahan pada awal saingan Liga Super, Elavarasan berkata, kejayaan itu diraih berdasarkan semangat tinggi yang ditunjukkan setiap pemain.

"Pada awal saingan Liga Super, pasukan masih belum menemui keserasian tetapi apabila kembali berehat tiga minggu pada Februari lalu, pemain mula menunjukkan kemampuan sebenar mereka dengan memenangi tiga perlawanan ketika menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PKNS FC T-Team.

"Saya juga sudah mengenali pemain dengan lebih mendalam, terutamanya dalam aspek corak permainan mereka dan ini merupakan satu kelebihan yang kita ada buat masa ini untuk terus memberi tumpuan pada perlawanan seterusnya," ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan