|
SELANGOR gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri
apabila sekadar seri 0-0 dengan Lions XII pada aksi ke-14 saingan Liga
Super di Stadium Shah Alam malam tadi.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan skuad Gergasi Merah kekal
menghuni tangga keempat liga dengan mengutip 24 mata sementara wakil
Singapura itu terus mendahului carta Liga Super dengan 28 mata.
Seperti yang diramalkan, Selangor yang turun selaku tuan rumah,
mempamerkan persembahan bertenaga sebaik perlawanan bermula namun usaha
mereka itu tidak membuahkan hasil.
Juara 32 kali Piala Malaysia itu hampir berjaya memecah kebuntuan
pada minit ke-17 namun percubaan Francis Forkey Doe melepasi palang gol.
Skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu sekali lagi hampir
mencemaskan kem Lions XII menerusi rembatan jarak jauh S. Kunanlan namun
penjaga gol pasukan pelawat, Mohd. Izwan Mahbud berjaya menepis
percubaan merbahaya pemain sayap lincah itu pada minit ke-22.
Tersentak dengan asakan Selangor, Lions XII kembali mengatur serangan
dan Hariss Harun hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-32 namun
penjaga gol Selangor, Norazlan Razali bijak menyelamatkan keadaan.
Kedua-dua pasukan semakin terdesak untuk memburu jaringan pembukaan
dan masing-masing ghairah melancarkan serangan namun tetap menemui
kebuntuan.
Kedudukan 0-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Di Stadium TLDM Lumut, Paulo Rangel muncul sebagai wira Perak selepas
membantu skuad kendalian Mohd. Azraai Khor Abdullah menewaskan Johor
Darul Takzim (Johor DT) 3-0.
Rangel tampil dengan meledak hatrik menerusi jaringan pada minit ke-12, 67 dan 88.
Di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, Kelantan meraih kemenangan berharga selepas menewaskan T-Team 3-1.
Gol-gol Kelantan dijaringkan menerusi Nwakaeme pada minit ke-32, Nor Farhan Mohammad (59) dan Indera Putera (90).
Gol T-Team pula dijaringkan pemain import Damir Ibric Yuksel pada minit ke-81
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan