Isnin, 11 November 2013

Aura England mampu gamit perhatian Messi


LONDON - Penyerang Manchester City, Alvaro Negredo percaya Lionel Messi bakal beraksi dalam saingan Liga Perdana England dalam tempoh dua tahun lagi.

Biarpun Messi membayangkan bakal menamatkan karier bersama Barcelona, Negredo yakin Messi akan mengikuti jejak langkah ramai pemain bintang berhijrah ke England.

"Saya percaya Messi akan datang ke England suatu hari nanti.

"Dia pasti mengikut jejak langkah beberapa pemain seperti David Silva, Juan Mata, Santi Cazorla, David de Gea dan termasuk saya.

"Bagi saya, Messi mampu beraksi dengan baik dalam mana-mana liga di dunia.

"Jika dia telah bosan dengan saingan Liga Sepanyol dalam tempoh dua atau lima tahun lagi, saya percaya dia akan datang ke England," kata Negredo.

Negredo yang menyertai City dari Sevilla musim ini, tidak memerlukan masa lama untuk menyesuaikan diri apabila mencetak empat gol dalam saingan liga domestik.

Dia juga cemerlang memastikan City layak ke pusingan kalah mati kempen Liga Juara-Juara musim ini selepas The Citizens terkandas di peringkat kumpulan dalam dua edisi terdahulu.

Pada masa sama, Negredo juga mengakui terkejut dengan kualiti yang dimiliki setiap pasukan dalam aksi Liga Perdana England.

"Liga Perdana England merupakan medan terbaik buat pemain terkemuka dunia.

"Berada di sini dalam tempoh beberapa bulan dilihat lebih baik daripada apa yang saya jangka pada mulanya," katanya. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan