Memaparkan catatan dengan label Sarawak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sarawak. Papar semua catatan

Jumaat, 25 Oktober 2013

Legenda Sarawak cetus semangat Ngap Sayot


TIADA siapa menaruh harapan tinggi kepada Sarawak untuk melangkah jauh pada saingan Piala Malaysia meskipun tampil dengan reputasi selaku juara Liga Premier musim ini.

Tidak cukup dengan itu, pasukan yang pernah dilabel sebagai 'cap ayam' ini bukanlah calon utama mara ke separuh akhir, namun dengan status tersebut membuatkan Bujang Senang bingkas bangkit mengejutkan juara Liga Super, Lions XII, Perak, Kedah dan Sime Darby.

Bagi legenda Ngap Sayot, Awang Mahyan Awang Mohamad, 62, skuad Bujang Senang bimbingan Robert Alberts kali ini merupakan sandaran terbaik untuk Sarawak memburu kejuaraan berganda musim ini.

"Sarawak sudah lama tidak beraksi di pentas final, malah kita tidak pernah jadi juara Piala Malaysia.
"Kali terakhir Sarawak mara ke pentas final Piala Malaysia ialah pada edisi 1999 tetapi tewas kepada Brunei.

"Bagaimanapun, saya optimis berdasarkan prestasi semasa, Sarawak mampu beraksi di medan final.
"Dengan sokongan padu penyokong sendiri, saya yakin pemain akan berjuang habis-habisan untuk menewaskan Pahang di Stadium Negeri esok (malam ini)," katanya ketika ditemui Kosmo! di Kuching semalam.

Awang Mahyan yang turut digelar 'bapa revolusi bola sepak Sarawak' selepas membawa Ngap Sayot melalui zaman kegemilangan sekitar tahun 1989 menambah, anak-anak buah Alberts masih mempunyai peluang cerah untuk melayakkan diri ke final.

Katanya, para pemain Sarawak tidak harus mengambil mudah saingan skuad kendalian Dollah Salleh itu jika ingin merealisasikan impian mara ke pentas final.

"Pemain tidak boleh dibuai dengan kelebihan satu gol di tempat lawan, sebaliknya apa yang penting sekarang ialah memberi fokus sepenuhnya untuk mencari defisit dua gol pada perlawnan nanti.
"Saya sendiri cukup teruja dan amat berbangga dengan pasukan Sarawak. Jadi, inilah detik paling penting dalam karier setiap pemain untuk menyala impian mara ke final seterusnya menjulang trofi Piala Malaysia," katanya.

Pencipta slogan Ngap Sayot itu turut mengakui, Muamer Salibasic merupakan aset bernilai untuk Sarawak menggerakkan serangan bagi merobek gawang Tok Gajah.

"Selain itu, corak permainan Sarawak pada aksi kedua malam ini dijangka berubah wajah dengan kehadiran semula 'ayam tambatan', Joseph Kalang Tie selaku perancang utama.

"Kehadiran Ronny Harun turut menjadi kunci kekebalan pertahanan Sarawak bagi memperkukuhkan benteng daripada dirobek pemain Pahang," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 21 Oktober 2013

'Kereta kebal' taruhan utama Pahang



STEWART (kanan) dan Matias Conti antara tonggak utama Pahang pada kempen Piala Malaysia musim ini.


KEKEBALAN benteng pertahanan menjadi antara faktor utama Pahang melakar kemenangan 3-1 ke atas Sarawak pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Sabtu lalu, lapor M. RIZAL NOR.

Kapten Pahang, Jalaluddin Jaafar berkata, gandingan mantap Mohd. Razman Roslan dan awang import, Damion Stewart menyebabkan Sarawak seakan-akan buntu bagi merobek gawang Tok Gajah.
"Pada perlawanan separuh akhir pertama Sabtu lalu, semua posisi berfungsi dengan baik termasuk pertahanan yang berjaya menyekat kemaraan penyerang berbisa Sarawak, Bobby Gonzales dan Muamer Salibasic.

"Saya amat teruja melihat keampuhan Razman dan Stewart yang beraksi cemerlang bagaikan kereta kebal untuk menjadi penghadang di bahagian pertahanan kami," kata Jalaluddin semalam.

Dia mengakui, aksi mantap Stewart berjaya memukau para penyokong setia Tok Gajah dan berharap kecemerlangan pemain import itu dapat diteruskan pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Negeri, Kuching, Sabtu ini.

"Semua boleh melihat sendiri bagaimana Stewart menggunakan badannya yang sasa untuk mengekang asakan lawan dan kelibatnya banyak kali mematahkan asakan lawan.

"Saya percaya jika semua pemain fokus dan menghidupkan peranan masing-masing, tidak mustahil bagi Pahang merasai pentas final Piala Malaysia musim ini," ujarnya.

Mengulas lanjut, Jalaluddin berkata, skuad Tok Gajah kini sedang giat menjalani persiapan dan latihan selain berusaha mengatasi kelemahan menjelang aksi di Kuching.

"Pada perlawanan separuh akhir pertama, semua pemain mempamerkan aksi luar biasa pada babak pertama, namun corak permainan kami sedikit berubah pada separuh masa kedua sehingga kami gagal menambah jaringan.

"Justeru, saya berharap semua pemain dapat mempamerkan aksi yang lebih baik pada perlawanan timbal balik di Kuching nanti bagi memastikan kami layak ke final," jelasnya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 20 Oktober 2013

Sarawak kena ngap !

Oleh Asrol Awang Berita Harian
Sarawak kena ngap !  
Penyerang Pahang, Azamuddin Md Akil (dua dari kanan) menjaringkan gol pertama pada saingan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, malam tadi.
Tok Gajah bawa bekalan selesa ke Kuching, tapi Bujang Senang ada satu gol tempat lawan

Kuantan: Pahang menang selesa selepas membenam Sarawak 3-1 pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, malam tadi.
Kejayaan skuad kendalian Dollah Salleh itu pasti memberi tekanan kepada jurulatih Sarawak, Robert Alberts apabila kedua-dua pasukan bertemu sekali lagi di Stadium Negeri, Kuching pada 26 Oktober ini.

Ikuti berita penuh dalam BH Ahad hari ini atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

Isnin, 7 Oktober 2013

Pahang janji guna kelebihan

Oleh Asrol Awang Berita Harian
 
Kuantan: Skuad Pahang tidak akan mempersia-siakan peluang beraksi di halaman sendiri apabila melayan kunjungan Sarawak pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darulmakmur, 19 Oktober ini.

Justeru, penyerang skuad Tok Gajah, Azamuddin Mohd Akil mahu rakan sepasukan dapat mengekalkan prestasi terbaik mereka apabila melayan skuad Kenyalang itu.
Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini

Ahad, 6 Oktober 2013

Kuasa empat gergasi!


Oleh Syed Riduan Ahmad 
Kuasa empat gergasi! Ong Kim Swee
 
Kuala Lumpur: Ramalan pengendali Harimau Muda A, Ong Kim Swee pada saingan suku akhir Piala Malaysia terbukti tepat apabila Kelantan dan Tentera berjaya mengatasi defisit untuk mara ke separuh akhir bersama-sama Pahang dan Sarawak.

Namun untuk aksi separuh akhir, Kim Swee berpendapat ia saingan yang berbeza dan keempat-empat pasukan memiliki peluang sama rata serta kekuatan hampir seimbang.
Bekalan tipis tak cukup


“Aksi pertama separuh akhir bakal menentukan hala tuju pasukan ke final,” kata Kim Swee. “Ia membawa impak besar kepada peluang setiap pasukan dan bekalan kemenangan tipis tidak mencukupi untuk memastikan tiket ke final.

Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini

Rabu, 2 Oktober 2013

'Pemain Sarawak bersih'

Oleh Dygku Nurul Nazihah Awang Mustapha 
'Pemain Sarawak  bersih' Pemain tengah Sarawak Putera Nadher hadir pada sesi latihan ringan di Stadium Negeri Sarawak, Petra Jaya bagi persiapan perlawanan suku akhir kedua menentang Sime Darby, Sabtu ini. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
Tuduhan rasuah jelas tidak benar dan dongeng semata-mata

Petra Jaya:
Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) lega dengan penjelasan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bahawa isu rasuah yang didakwa berlaku dalam pasukan itu ketika membelasah Perak 6-1 pada aksi Piala Malaysia, 21 September lalu, adalah tidak benar.
Presiden FAS, Datuk Sudarsono Osman, berkata dakwaan itu kini jelas tidak benar dan dongeng semata-mata.

Saya berani jamin bahawa pemain kami langsung tidak terbabit rasuah. Saya percaya sepenuhnya kepada pemain dan pegawai kerana mereka ada nilai integriti yang tinggi," Datuk Sudarsono Osman, Presiden FAS

“FAM sudah keluar kenyataan dan saya berharap tiada pihak yang cuba menangguk di air keruh dengan memperbesarkan isu itu lagi.

“Saya juga percaya sepenuhnya kepada pemain dan pegawai Sarawak kerana mereka ada nilai integriti yang tinggi,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran kempen Katakan Tidak Pada Rasuah, di Stadium Negeri, di sini, semalam.

Hadir sama jurulatih dan pengurus skuad Ngap Sayot, Robert Alberts serta barisan pemain.

Disiasat jika terbabit atur perlawanan
Kempen itu diadakan bagi menunjukkan komitmen tinggi FAS untuk membanteras rasuah dalam bola sepak.

Kelmarin akhbar melaporkan Sarawak yang membelasah Perak 6-1 pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Malaysia di Stadium negeri, Kuching 21 September lalu juga tidak terlepas dan akan disiasat jika terbabit mengatur perlawanan.

Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM, Tan Sri Aseh Che Mat berkata demikian ketika ditanya mengenai desas-desus Sarawak turut didakwa terpalit sama mengatur perlawanan ketika aksi di Kuching itu.

Apa pun, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menafikan laporan itu dan menganggap kenyataan Aseh disalah tafsir media.

Sudarsono berkata, pemain Sarawak mengerah kudrat bermain bermati-matian mahu mencatat kemenangan, tiba-tiba mereka dikait dengan rasuah.

'Hanya siasat jika ada laporan'



AKSI antara Sarawak dan Perak dalam saingan terakhir Kumpulan D Piala Malaysia di Stadium Negeri, Kuching pada 21 September lalu.


SEBARANG kemungkinan yang mengaitkan juara Liga Premier, Sarawak dengan dakwaan terlibat dalam skandal mengatur perlawanan tidak pernah dibincangkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Sebaliknya, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin menegaskan bahawa kenyataan itu telah disalah tafsir oleh pihak media.
Menurut beliau, perkara itu tidak pernah dibincangkan semasa Mesyuarat Jawatankuasa Integriti ke-11 yang dipengerusikan Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM, Tan Sri Aseh Che Mat di Putrajaya kelmarin.

“FAM ingin menjelaskan bahawa isu kemungkinan wujudnya unsur rasuah dalam pasukan Sarawak tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.

“Jika ada laporan atau desas-desus mengenai kemungkinan itu, barulah Jawatankuasa Integriti akan menyiasat dan memaklumkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut,” kata Hamidin menerusi satu kenyataan semalam.

Mengulas lanjut, Hamidin memberitahu, setakat ini FAM hanya menerima laporan daripada Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA mengenai kemungkinan wujudnya elemen rasuah ekoran prestasi kurang memberangsangkan skuad Seladang itu dalam saingan Piala Malaysia kali ini.

Ia rentetan kekalahan besar 1-6 Perak kepada Sarawak dalam aksi terakhir Kumpulan D kempen Piala Malaysia di Stadium Negeri, Petra Jaya, Kuching, 21 September lalu.

Polemik Sarawak turut didakwa terlibat dalam skandal rasuah mula tercetus selepas PAFA menggantung tugas ketua jurulatih, Mohd. Azraai Khor Abdullah, penolong jurulatih dan pegawai pasukan itu selama dua minggu pada 23 September lalu.

Namun pengurus skuad Bujang Senang, Datuk Mohamad Abu Bakar Marzuki menyifatkan dakwaan itu tidak berasas sama sekali.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 30 September 2013

Sarawak kini dalam perhatian FAM


IMBAS KEMBALI... Aksi antara Sarawak dan Perak dalam saingan Kumpulan D Piala Malaysia di Stadium Negeri, Kuching pada 21 September lalu.


SELEPAS Perak, Sarawak pula berada perhatian persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas didakwa terlibat dalam skandal mengatur perlawanan.

Juara Liga Premier itu didakwa terlibat dalam skandal tersebut ketika pertemuan menentang Perak pada aksi terakhir Kumpulan D Piala Malaysia di Stadium Negeri, Petra Jaya, Kuching, 21 September lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM, Tan Sri Aseh Che Mat mendedahkan, beliau telah menerima maklumat mengenai perkara tersebut baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya masih belum menemui sebarang bukti kukuh bahawa Sarawak terlibat dengan gejala mengatur perlawanan.

“Kami telah mendapat maklumat itu (dakwaan rasuah membabitkan Sarawak) tetapi belum ada sebarang bahan bukti yang dikemukakan oleh pihak yang berkenaan.

“Dalam hal ini, kita tidak berkompromi dengan mana-mana pihak dan jika betul (dakwaan tersebut), kami akan terus ke sana (Sarawak) untuk melakukan siasatan,” jelas Aseh selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Integriti FAM di Kelab Tasik Putrajaya di Putrajaya semalam.

Aseh memberitahu, pihaknya akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan segera terhadap mana-mana pasukan jika mendapati berlaku unsur-unsur mengatur perlawanan dalam sesuatu perlawanan.

“Sebab itu siasatan perlu dibuat dan saya menaruh keyakinan terhadap SPRM dan pihak polis sekiranya terdapat sebarang bahan bukti yang sahih,” katanya.

Pada 23 September lalu, Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) menggantung tugas ketua jurulatih, Mohd. Azraai Khor Abdullah, penolong jurulatih dan pegawai pasukan itu selama dua minggu kerana mengesyaki wujudnya unsur sabotaj dan rasuah dalam skuad Kejor Yob Kejor.
Ia rentetan kekalahan besar 1-6 kepada Sarawak dalam aksi terakhir Kumpulan D kempen Piala Malaysia di Stadium Negeri.

Kekalahan itu menyaksikan Perak tersingkir awal dalam kempen Piala Malaysia musim ini biarpun bermula cemerlang dalam aksi peringkat kumpulan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 6 September 2013

Tarikh perlawanan Sarawak, Lions XII diumum hari ini

BERITA HARIAN
 
Kuala Lumpur: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan membuat keputusan mengenai tarikh sebenar perlawanan membabitkan Sarawak dengan Lions XII pada aksi Kumpulan D saingan Piala Ma laysia di Stadium Jalan Besar, hari ini.

Ketua Jabatan Pertandingan Tempatan FAM, Mohd Shazli Sheikh Mohd, berkata pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan wakil Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), semalam dan akan cuba menyelesaikan masalah itu hari ini.
Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini

Rabu, 4 September 2013

FAS mahu jawapan positif FAM berhubung isu pinda tarikh


PERSATUAN Bola Sepak Sarawak (FAS) mahu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberikan maklum balas positif berhubung pindaan tarikh aksi Kumpulan D Piala Malaysia antara Sarawak dan Lions XII, lapor MULLER ASEN.

Setiausaha Agung FAS, Abdullah Julaihi berkata, respons itu perlu dilakukan segera bagi memudahkan persiapan skuad Bujang Senang selain memulihkan kemarahan serta ketidakpuasan hati peminat Ngap Sayot.

"Meskipun tarikh perlawanan diubah pada 18 September, namun kami tetap mahu aksi pada 17 September diteruskan seperti mana kesemua perlawanan lain.

"Para peminat sudah tidak mahu mendengar pelbagai alasan, sebaliknya ingin melihat kedua-dua pasukan beraksi pada tarikh yang ditetapkan sebelum ini," kata Abdullah ketika dihubungi Kosmo! di Kuching semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan Kosmo! semalam mengenai 'layanan istimewa' yang diterima Lions XII daripada FAM sehingga memberikan 'lampu hijau' kepada skuad bimbingan V.Sundramoorthy beraksi lewat sehari berbanding pasukan lain.

Difahamkan, pertukaran tarikh perlawanan itu disebabkan Lions XII beraksi pada Pestabola Merdeka di Kuantan, Pahang pada 7 hingga 14 September ini.

Mengulas lanjut, Abdullah memberitahu, FAS telah mengemukakan rayuan rasmi kepada FAM minggu lalu untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, Abdullah berkata, setakat ini, FAS belum lagi menerima sebarang maklum balas atau maklumat berhubung pindaan tarikh perlawanan tersebut.

"Tapi kita percaya, FAM akan memberikan respons positif dalam tempoh kurang seminggu lagi. Jadi buat masa ini, kita hanya menunggu jawapan daripada FAM.

"FAM perlu membuat keputusan bijak demi kepuasan hati kedua-dua pasukan. Mereka kena ingat, peminat sekarang tidak boleh menerima lagi alasan berat sebelah," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 27 Ogos 2013

Taring Singa makin tumpul

Oleh Bashah Zainol Abidin dan Azizan Hashim
 
Ipoh: Perak terus menyempitkan laluan Lions XII dalam kempen Piala Malaysia Kumpulan D hasil kejayaan menundukkan skuad dari Singapura itu 1-0 di Stadium Perak, Ipoh, malam tadi.

Bagaikan kebal di gelanggang sendiri, Perak yang belum tumpas setakat ini, memperoleh jaringan tunggal menerusi Azlan Ismail seawal minit ke-9.
Jaringan itu kekal sehingga babak pertama berakhir.


Walaupun Lions XII menambah tekanan pada babak kedua, Perak berjaya menghalang rentetan percubaan berbahaya pelawat untuk memastikan kemenangan kedua skuad itu pada kempen kali ini.

Kemenangan itu menyaksikan Perak bagaikan sudah berada satu kaki untuk ke suku akhir apabila mengumpul tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu keputusan seri.

Selepas tiga perlawanan, Lions XII kini berada di laluan yang sukar selepas sekadar mengutip satu mata dan perlu menang dalam baki tiga perlawanan selepas ini bermula dengan Perak di Stadium Jalan Besar, Sabtu depan.

l Di Alor Setar, dalam satu lagi saingan Kumpulan D, Kedah dan Sarawak sekadar seri 0-0 sekali gus menyaksikan skuad Hijau Kuning terus gagal memburu kemenangan dalam tiga perlawanan berturut-turut dalam kempen kali ini.
Sekalipun hampir di depan, jaringan hasil rembatan padu Baddrol Bakhtiar pada minit ke-39 dibatalkan pengadil akibat Khyril Muhymeen Zambri yang dikatakan ofsaid

Perdaya pertahanan

Pada babak kedua, permainan tambah rancak dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan cubaan terbaik Sarawak muncul menerusi penyerang Bobby Gonzalez yang berjaya memperdaya dua pertahanan Kedah pada minit ke-56, namun rembatan kencangnya sekadar menggegar palang, diikuti tandukannya turut melencong ke kanan gawang.

Kedah turut mempunyai peluang terhidang menerusi pemain tengah, Mohd Syazwan Zainon dua minit kemudian yang berjaya memperdaya perangkap ofsaid pertahanan Sarawak, Mafry Balang, tetapi kelewatannya melepaskan rembatan membuatkannya berputih mata.

Sarawak kini di kedudukan kedua Kumpulan D apabila mengumpul empat mata diikuti Kedah, tiga mata manakala Lion XII, satu mata.

Isnin, 26 Ogos 2013

Seladang tekad ratah Singa

Oleh Azizan Hashim 
 
Ipoh: Selepas Kedah dan Sarawak tunjuk bisa menjinakkan Lions XII, Perak bertekad mengikuti jejak kedua-dua pasukan itu apabila turun melayan kunjungan juara Liga Super itu dalam saingan Kumpulan D Piala Malaysia di Stadium Perak, malam ini.

Jurulatihnya, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, kejayaan Kedah mengikat Lions XII 2-2 di Stadium Jalan Besar dan keupayaan juara Liga Perdana Sarawak mengejutkan anak buah V Sundramoorthy 2-1 harus menjadi rangsangan terbaik kepada anak buahnya untuk membenam juara Liga Super itu.

Tidak mahu diperangkap


Jika kedua-dua pasukan itu (Kedah dan Sarawak) mampu menjinakkan Lions XII, mengapa kita tidak. Jadi, saya mahu pemain menjadikan kejayaan kedua-dua pasukan itu contoh terbaik betapa juara Liga Super itu bukan terlalu kebal untuk ditumpaskan.

Saya percaya jika mereka mengikut segala percaturan yang sudah direncanakan dan tidak melakukan kesilapan mudah, kemenangan sudah pasti berada dalam genggaman sekali gus mencerahkan peluang kita ke suku akhir, katanya semalam.

Mohd Azraai yang terkenal dengan magisnya dalam kempen Piala Malaysia apabila membantu Kedah dan Negeri Sembilan menjulang piala berprestij itu bagaimanapun mengingatkan anak didiknya tidak terlalu yakin membenam lawan.

Kami perlu berhati-hati supaya tidak terperangkap dalam kebangkitan lawan yang sudah tentu tidak mahu tewas kerana akan menjejaskan peluang mereka ke suku akhir. Malah, mereka sudah tentu tidak mahu status mereka sebagai Liga Super dicemari dengan gagal ke saingan kalah mati, katanya.

Bagi menghadapi perlawanan malam ini, Azraai dijangka menurunkan kesebelasan sama ketika seri 1-1 menentang Kedah, Sabtu lalu yang menyaksikan dua pemain muda, Mohd Norhakim Isa dan Mohammad Syahmil Khairi beraksi cemerlang mengekang pemain lawan.

Rabu, 21 Ogos 2013

Semangat juang tinggi Perak



RANGEL (kanan) bersaing dengan pemain pertahanan Sarawak, Roni Harun pada aksi di Stadium Perak, Ipoh malam kelmarin.


TIADA apa yang mampu diungkap pengendali Perak, Mohd. Azraai Khor Abdullah selain memuji anak-anak buahnya selepas melakar kemenangan 2-1 ke atas Sarawak di Stadium Perak, Ipoh malam kelmarin.

Selepas ketinggalan hasil jaringan perancang Sarawak, Joseph Kalang Tie, Perak bangkit dengan dua gol hasil sumbangan tonggak import, Paulo Rangel pada minit ke-65 dan 81.

Bagi Azraai, barisan pemainnya telah menampilkan semangat juang tinggi sehingga membolehkan mereka meraih tiga mata berharga pada aksi pembukaan Kumpulan C kempen Piala Malaysia itu.

Menurut Azraai, beliau amat berpuas hati dengan keputusan serta persembahan keseluruhan anak-anak buahnya yang diturunkan dalam perlawanan menentang juara Liga Premier itu.

“Walaupun Sarawak bermula garang dan berjaya memperoleh satu gol pada separuh masa pertama tetapi semasa rehat, saya meminta para pemain mengekalkan fokus serta melancarkan lebih banyak serangan ke kubu lawan.

“Kemenangan dalam aksi pertama di tempat sendiri sudah semestinya menggembirakan saya dan juga para penyokong setia Perak yang memenuhi stadium. 

“Saya anggap kemenangan itu satu permulaan yang baik dan kami mesti mengekalkan momentum ini pada perlawanan akan datang,” kata Azraai ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Bagaimanapun, Perak perlu ‘membayar harga yang mahal’ di sebalik kemenangan bergaya mereka di hadapan penyokong sendiri itu.

Ini kerana tonggak pertahanan, Mohd. Hishamuddin Shaari terpaksa dikejarkan ke hospital selepas bertembung dengan seorang pemain Sarawak sehingga menyebabkan dia mengalami kecederaan di hidung dan mulut.

“Saya telah melawatnya (Hishamuddin) di hospital dan mendapati mukanya ada sedikit bengkak dan saya jangka dia tidak akan diturunkan dalam aksi kedua menentang Kedah Sabtu ini.

“Pujian juga harus saya berikan kepada Muhd. Shahrom (Abdul Kalam) yang masuk menggantikan Hishamuddin kerana dia berjaya mengawal permainan dengan baik,” tambah Azraai.

Dalam pada itu, Azraai berkata, beliau mahu para pemainnya melupakan kemenangan ke atas Sarawak, sebaliknya memberi tumpuan menjelang aksi menentang Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar Sabtu ini.

Azraai mengakui Kedah bukan calang-calang pasukan, apatah lagi mereka mampu mengikat juara Liga Super, Lions XII 2-2 di Stadium Jalan Besar, Singapura malam kelmarin.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 9 Julai 2013

'Sang juara' terima habuan hari ini



IMBAS KEMBALI... Barisan pemain serta pegawai skuad Pulau Pinang meraikan kejayaaan muncul juara Liga FAM 2013 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 16 Jun lalu.


KESEMUA pemenang Liga Malaysia (Liga M) meliputi juara Liga Super, Liga Premier dan Liga FAM akan menerima hadiah kemenangan serta insentif tahunan yang akan dikreditkan ke dalam akaun pasukan masing-masing hari ini. 

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, selain hadiah kemenangan serta insentif berkenaan yang berjumlah RM5.132 juta, pasukan tuan rumah yang mendapat liputan perlawanan secara langsung daripada Astro sepanjang musim ini turut akan menerima bayaran pampasan berjumlah RM950,000.

"Bayaran kepada pegawai perlawanan kejohanan bawah umur seperti bawah 17 tahun dan bawah 14 tahun hampir RM200,000 turut akan dikreditkan esok (hari ini) termasuk subsidi untuk Liga Futsal Kebangsaan 2012 yang turut berjumlah RM700,000 dan kesemua bayaran ini melibatkan wang tunai berjumlah RM8 juta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis meraikan perpisahan bekas Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Sebelum ini, beberapa pihak termasuk penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mempersoalkan wang penajaan RM30 juta setahun yang diterima FAM daripada Astro untuk hak penyiaran Liga M yang sepatutnya diagihkan kepada pasukan tempatan yang menghadapi masalah kewangan.

Dalam perkembangan berasingan, Hamidin berkata, FAM tidak akan berganjak dengan keputusan asal mereka untuk tidak membenarkan mana-mana pasukan yang layak beraksi dalam kempen Piala Malaysia meminjam pemain pasukan lain.

Katanya, perkara berkenaan telah dimaklumkan kepada pengurusan pasukan bola sepak tempatan melalui beberapa seminar dan taklimat yang diadakan oleh FAM pada awal tahun ini.

"Keputusan yang sama turut dicapai oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM sejak awal tahun ini selain mengurangkan kerenah birokrasi di FAM yang mempunyai beberapa sekretariat.
"Pasukan hanya boleh menguatkan pemain menerusi dua pintu perpindahan pemain yang dibuka pada Januari dan April lepas," kata Hamidin.

Ahad lalu, penolong pengurus T-Team, Mohamed Sekanther Abdul Hamed dilapor sebagai berkata, wakil kelab Terengganu itu berhasrat meminjam tiga pemain yang beraksi di posisi penyerang, pemain tengah dan penjaga gol untuk memperkuatkan skuad The Titans bagi menghadapi kempen Piala Malaysia bulan depan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Sabtu, 29 Jun 2013

5,000 peminat meraikan kejayaan skuad Sarawak

Oleh MULLER ASEN


PARA peminat tidak melepaskan peluang untuk sama-sama meraikan kejayaan Sarawak menjuarai Liga Premier musim ini.


LEBIH 5,000 peminat setia pasukan Bujang Senang membanjiri perkarangan Padang Merdeka di Kuching untuk meraikan kejayaan Sarawak menjulang kejuaraan Liga Premier 2013.

Menariknya, trofi itu dijulang selepas 16 tahun skuad Sarawak kemarau kejuaraan selepas kali terakhir dinobatkan sebagai juara liga tersebut pada tahun 1997.

Sarawak juga pernah menjuarai Piala FA pada tahun 1992 serta Piala Sumbangsih (1998).

Biarpun sekadar kejuaraan ‘kelas kedua’, kejayaan itu sudah cukup menggembirakan para penyokong setia Sarawak bagi melihat skuad kendalian Robert Alberts itu menjulang trofi selepas kejayaan membenam Kuala Lumpur 4-0 Isnin lalu.

Sebelum itu, para pemain serta trofi kejuaraan tersebut diarak dengan menaiki sebuah bas dan melalui beberapa jalan utama di sekitar bandar raya Kuching. 

Pada majlis tersebut, Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Sudarsono Osman mengucapkan jutaan terima kasih atas sokongan yang telah diberikan oleh para peminat Bujang Senang. 

“Syabas saya ucapkan kepada semua pihak khususnya barisan pemain dan jurulatih yang bekerja keras bagi meletakkan Sarawak sebagai juara Liga Premier tahun ini," katanya. 

Sementara itu, seorang penyokong yang ingin dikenali sebagi Awang Kushairy berkata, kejayaan kali ini harus diingati oleh seluruh peminat skuad Sarawak. 

“Setelah sekian lama kita menunggu untuk bergelar juara, tahun ini impian tersebut sudah tercapai.
“Lebih manis lagi, saya dapat menyaksikan sendiri trofi tersebut di bawa pulang ke bumi Kenyalang,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 25 Jun 2013

Alberts bangga julang Sarawak

Oleh FIRDAUS HASSAN


BARISAN pemain Sarawak meraikan kejayaan muncul juara Liga Premier di Stadium Negeri, Petra Jaya, Kuching malam kelmarin.


PENGENDALI Sarawak, Robert Alberts merupakan individu paling gembira selepas skuad kendaliannya ditabal selaku juara Liga Premier musim ini.

Malam kelmarin, skuad Bujang Senang itu sah bergelar juara Liga Premier selepas membelasah Kuala Lumpur 4-0 di Stadium Negeri, Petra Jaya, Kuching.

Biarpun saingan liga masih berbaki satu perlawanan, kemenangan itu sudah memadai buat Sarawak mengesahkan kejuaraan milik mereka.

Selepas mengharungi 21 perlawanan, Sarawak berjaya mengumpul 55 mata, empat mata meninggalkan pencabar terdekatnya, Sime Darby.

Alberts berkata, beliau bukan sahaja gembira dengan kejayaan itu, malah turut berbangga apabila Sarawak muncul sebagai satu-satunya pasukan yang tidak pernah tewas sepanjang saingan liga musim ini.

"Memegang rekod sebagai satu-satunya pasukan yang tidak kalah bukan satu tugas yang mudah.
"Sudah tentu kejayaan ini cukup menggembirakan saya," kata Alberts.

Ketika diminta mengulas mengenai perancangannya musim depan apabila Sarawak akan bersaing dalam kempen Liga Super, Alberts berkata: "Saya hanya ingin menambah kualiti dalam pertandingan itu nanti."

Selaku juara, Sarawak meraih piala Liga Premier, cek berjumlah RM300,000 dan pingat kemenangan yang disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng.

Pada perlawanan kelmarin, Sarawak membuka tirai jaringan pada minit ke-20 selepas penyerang import Muamer Salibasic menyudahkan hantaran pendek Zamri Morshidi.

Gol kedua Sarawak hadir pada minit ke-68 apabila pemain pertahanan, Ronny Harun mudah merembat masuk bola dari luar kotak penalti.

Kapten Sarawak, Joseph Kalang Tie menambah derita pasukan pelawat selepas menjaringkan gol ketiga pada minit ke-85.

Sarawak melengkapkan malam gemilang di hadapan hampir 20,000 penyokong sendiri apabila memperoleh gol keempat menerusi pemain import, Guy Bwele pada minit ke-89.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Sabtu, 11 Mei 2013

Sime Darby tumbang


BOBBY (kanan) menjaringkan gol kemenangan Sarawak pada aksi menentang Sime Darby di Stadium Negeri, Petra Jaya malam tadi. Pada perlawanan tersebut, Sarawak menang 1-0.


SARAWAK kini merampas kedudukan pendahulu Liga Premier daripada Sime Darby apabila berjaya mengalahkan lawan mereka itu 1-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Negeri, Petra Jaya malam tadi.

Penyerang sensasi, Bobby Gonzales muncul wira Sarawak apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-19 menerusi aksi ‘tandukan terbang’ selepas menerima hantaran daripada Zamri Morshidi.

Kemenangan tersebut membolehkan skuad Bujang Senang yang sebelum ini menduduki tangga kedua liga menerajui carta dengan kelebihan satu mata berbanding Sime Darby.

Selepas 16 perlawanan, Sarawak kini mengumpul 40 mata manakala Sime Darby kekal dengan 39 mata.
Ini merupakan kemenangan ke-12 buat skuad kendalian Robert Alberts, sekali gus mengekalkan rekod bersih tanpa kalah di gelanggang sendiri musim ini.

Bagaimanapun dalam tempoh 10 minit pertama, pasukan pelawat dilihat mendominasi perlawanan dengan melancarkan serangan bertali-arus.

Namun, benteng pertahanan yang diterajui Ronny Harun, Rames Lai dan Mohd. Hairol Mokhtar gagal ditembusi penyerang lawan.

Tersentak dengan gerakan pasukan lawan, Sarawak mula melancarkan serangan balas, dan mereka berjaya mencemaskan pintu gol Sime Darby menerusi gerakan pantas penyerang import, Muamer Salibasic dan Bobby, namun percubaan mereka tidak menemui sasaran.

Kerja keras pasukan tuan rumah akhirnya berbalas pada minit ke-19 apabila Bobby bijak menyambar hantaran Zamri dengan tandukan kemas, yang terus menerjah ke gawang lawan bagi membolehkan mereka mendahului 1-0.

Aksi pada separuh masa kedua, sekadar menyaksikan peluang yang dicipta oleh kedua-dua pasukan gagal menemui sasaran ekoran penyudah yang lemah.

Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga tamat perlawanan bagi membolehkan Sarawak mengambil alih sebagai pendahulu Liga Premier.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 7 Mei 2013

Misi wajib menang Sarawak



PEMAIN Sarawak, Zamri Morshidi (kiri) cuba melepasi kawalan pemain pertahanan KL Spa Putrajaya FC pada aksi Liga Premier di Stadium Negeri, Petra Jaya, 3 Mei lalu.


UJIAN getir menunggu Sarawak apabila menanti kunjungan pendahulu Liga Premier 2013, Sime Darby di Stadium Negeri, Petra Jaya, Jumaat ini.

Ketua jurulatih Sarawak, Robert Alberts memberi bayangan awal akan merencana- kan ‘resipi istimewa’ bagi menyekat kemaraan skuad kendalian Ismail Zakaria itu di hadapan penyokong setia mereka.

“Tidak boleh tidak. Kami mesti mengutip tiga mata penuh seandainya berhajat untuk bergelar juara, selain mengekalkan rekod tanpa kalah kerana hanya dua mata memisahkan kami dengan mereka (Sime Darby).

“Saya akui Sime Darby bukan calang-calang pasukan, mereka boleh mencipta kejutan pada bila-bila masa sahaja jika pemain kami alpa,” katanya di Kuching semalam.

Sehubungan itu, Alberts mahu skuad bimbingan yang terkenal dengan jolokan Bujang Senang itu memperbaiki mutu permainan yang dilihatnya masih ada kelemahan dan kepincangan kerana liga hanya berbaki tujuh perlawanan lagi.

Katanya, selepas mempamerkan aksi ‘ala yo yo’ pada perlawanan menentang KL SPA, Jumaat lalu, anak-anak buahnya perlu meningkatkan prestasi permainan selain berfikiran positif.

“Pemain saya harus memantapkan prestasi dan mutu permainan agar lebih tersusun dan membaiki hantaran bola kerana Sime Darby mempunyai kualiti dan mutu permainan yang baik. 

“Setiap kelemahan harus dibaiki dan menutup ruang kelemahan pasukan kami. Pemain perlu membentuk persefahaman yang baik antara satu sama lain. Inilah peluang terbaik untuk membuktikan Sarawak dilabel sebagai pasukan pilihan untuk menjuarai Liga Premier kali ini,” jelas- nya lagi.

Jurulatih dari Belanda itu menambah, mood semua pemainnya untuk melakar ke- menangan kian memuncak selepas keja- yaan menewaskan KL SPA di laman sendiri pada Jumaat lalu.

“Ini adalah masa yang cukup penting bagi semua pemain membuktikan kemampuan sebelum menghadapi perlawanan seterusnya.

“Kami tidak mahu berputih mata pada akhir saingan akibat kecuaian dan kealpaan para pemain kita sendiri,” katanya dengan nada bersemangat.

Selepas mengharungi 15 perlawanan, Sarawak kekal di tangga kedua liga dengan mengumpul 37 mata, dua mata di belakang pasukan pendahulu, Sime Darby.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 5 Mei 2013

Sarawak menang, Alberts berang



ZAMBRI Morshidi (kiri) tampil cemerlang untuk merencanakan rentak permainan Sarawak ketika menewaskan KL SPA 2-1 di Kuching malam kelmarin.


KETUA jurulatih Sarawak, Robert Alberts berang dengan aksi longlai skuad kendaliannya meskipun bangkit selepas ketinggalan satu gol untuk meraih kemenangan 2-1 ke atas KL SPA di Stadium Negeri, Petra Jaya kelmarin.

Menurut Alberts, kegagalan dan kealpaan bahagian pertahanan dan tengah pada awal permainan telah membuka banyak ruang kepada pasukan lawan. 

Hasilnya skuad bimbingan Mohd. Shah Alias itu berjaya memperoleh gol pendahuluan.
“Aksi pemain Sarawak agak longlai pada separuh masa pertama di semua bahagian sehingga menyebabkan pihak lawan mudah menguasai permainan. 

“Saya akui, gaya permainan pasukan Sarawak pada separuh masa pertama memang agak mengecewakan.
“Hanya pada separuh masa kedua baru nampak pemain-pemain saya mula bermain agresif dan memperkemaskan corak serangan.

“Hasilnya, mereka berjaya mencipta jaringan penyamaan dan seterusnya gol kemenangan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat perlawanan malam kelmarin.

Bagaimanapun, Alberts memuji barisan pemain tengah yang bijak mengawal bola dengan baik walaupun terus diasak pemain lawan.

“Begitu juga pemain-pemain lain yang dapat mengimbangi corak permainan walaupun agak goyah pada separuh masa pertama. Satu persembahan yang baik, kita dapat kuasai semula permainan dan berjaya mengurangkan kesilapan.

“Walaupun saya menjangkakan kita mampu menjaringkan lebih banyak gol tetapi saya berpuas hati dengan kejayaan meraih tiga mata penuh pada perlawanan ini (kelmarin),” katanya. 

Pada perlawanan tersebut, jaringan Guy Bwele serta Booby Gonzalez pada minit ke-57 dan ke-70 membolehkan Sarawak kekal di tangga kedua Liga Premier dengan mengumpul 37 mata, dua mata di belakang pendahulu, Sime Darby.

Gol KL SPA dijaringkan pemain import mereka, Joel Armel Tchami Ngalaha pada minit ke-43.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Khamis, 4 April 2013

Kelantan waspada ancaman Sarawak



BADHRI (tengah) mengingatkan rakan sepasukannya agar tidak memandang mudah aksi menentang Sarawak di Kota Bharu malam esok.


KELANTAN perlu mempamerkan corak permainan seperti ketika mereka membenam cabaran SHB Da Nang pada aksi Piala AFC, Selasa lalu apabila dijadualkan melayan kunjungan Sarawak pada saingan suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu malam esok.

Ketua pasukan, Badhri Radzi memberitahu, atas kertas, The Red Warriors selaku penyandang juara sudah pastinya menjadi pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan berkenaan namun beliau tidak mahu rakan-rakan lain terlalu dibuai dengan pencapaian musim lalu.

Menurutnya, berada dalam kelompok dua pasukan teratas Liga Premier dan mengekalkan rekod tanpa kalah setakat ini, membuktikan bahawa Sarawak merupakan sebuah pasukan yang tidak boleh dipandang mudah terutama ketika saingan memasuki peringkat suku akhir.

“Walaupun beraksi dalam Liga Premier, tahap permainan Sarawak setanding dengan pasukan Liga Super, tidak mudah untuk menundukkan mereka. Sebelum ini kita telah beberapa kali menentang mereka, dan setiap kali pertemuan, ia perlawanan yang sukar untuk kita.

“Mengambil mudah cabaran Sarawak ketika aksi di tempat sendiri bermakna kita menempah laluan sukar kerana mereka cukup kebal apabila bermain di gelanggang sendiri untuk aksi timbal balas. Saya fikir semua pemain perlu bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan itu,” katanya ketika ditemui semalam.

Tambahnya, gol awal mungkin akan memberikan kelebihan kepada pasukannya untuk memberikan tekanan kepada pasukan Sarawak selain perlu menjaringkan lebih daripada dua gol serta mempertahankan gawang daripada dibolosi untuk menjamin bekalan selesa ketika bertandang ke Kuching nanti.

Katanya, beliau dan rakan sepasukan kini sedang fokus untuk menyingkirkan Sarawak terlebih dahulu sebelum memikirkan lawan yang akan ditentang pada saingan separuh akhir nanti.

“Sama ada Negeri Sembilan atau Terengganu yang akan kita jumpa di separuh akhir itu tak penting. Ini bukan masa yang sesuai untuk kita fikirkan perkara itu, apa yang penting kita perlu selesaikan perlawanan satu persatu. 

“Saya fikir Sarawak akan turun dengan aksi terbaik mereka. Mereka adalah sebuah pasukan yang kuat musim ini terutama dengan kombinasi pemain yang ada seperti Joseph Kalang Tie, Mafri Balang, dan ketua pasukan mereka, Guy Bwele,” ujarnya.

Jelasnya, Joseph Kalang mempunyai kekuatan yang tersendiri terutama menghidupkan jentera tengah selain mampu melakukan percubaan yang berbahaya selain penyerang import Sarawak, Ivan Babic yang belum diketahui sejauh mana keupayaan yang mampu memusnahkan impian Kelantan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my