Memaparkan catatan dengan label Wan Zack Haikal. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Wan Zack Haikal. Papar semua catatan

Rabu, 2 Oktober 2013

Amri tidak mahu Harimau Malaya patah semangat


PENYERANG veteran, Mohd. Amri Yahyah mengakui kehilangan dua tonggak muda - Wan Zack Haikal Wan Nor dan Mohd. Fadhli Shas - memberikan impak kepada Harimau Malaya menjelang aksi kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam, 15 Oktober ini.

Begitupun, Amri berharap masalah itu tidak akan mengganggu persiapan Harimau Malaya yang kini mempunyai tugas penting bagi memburu slot automatik pada pusingan akhir Piala Asia 2015.

"Memang terasa kekurangan (ketiadaan Wan Zack dan Fadhli) dalam pasukan," jelas Amri ketika dihubungi Kosmo! semalam.

"Agak sedikit kelam-kabut apabila hanya 11 pemain yang menjalani sesi latihan ketika ini selepas 17 lagi pemain masih terlibat dengan tugasan bersama pasukan masing- masing dalam saingan Piala Malaysia."

Amri berkata, buat masa ini, dia dan 10 lagi pemain menjalani latihan seperti biasa di bawah pengawasan pengendali, Datuk K. Rajagobal.

Menurutnya, kehadiran 17 lagi pemain selepas tamat aksi suku akhir kedua Piala Malaysia, Ahad nanti mampu memberikan lebih banyak pilihan kepada Rajagobal bagi mengatur strategi.

Sebelum aksi menentang Bahrain, Harimau Malaya dijadual bertemu Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada perlawanan persahabatan di Shenzhen, China, Rabu depan.

"Paling penting, jurulatih (Rajagobal) dapat mengumpul semua pemain ketika aksi menentang UAE nanti.

"Pertemuan menentang UAE sangat penting kerana ia adalah ujian terakhir kami untuk menguji kekuatan pasukan sebelum bertemu Bahrain," katanya.

Mengulas aksi menentang Bahrain, Amri yakin Harimau Malaya memiliki kelebihan bagi meraih tiga mata berharga.

"Sebenarnya kami memiliki kelebihan kerana akan beraksi di tempat sendiri.
"Sudah tentu kali ini kami tidak boleh mengulangi lagi kesilapan lalu," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Wan Zack kena berehat 6 bulan

Berita Harian
Wan Zack   kena berehat 6 bulan Wan Zack mengalami kecederaan lutut ketika sesi latihan bersama kelabnya, FC Ryukyu di Okinawa, Jepun, petang semalam.
 
 
Kuala Lumpur: Malang menimpa Pemain Paling Bernilai Pestabola Merdeka 2013, Wan Zack Haikal Wan Nor kerana terpaksa berehat enam bulan selepas mengalami kecederaan lutut ketika sesi latihan bersama kelabnya, FC Ryukyu di Okinawa, Jepun, petang semalam.

Berita terbaru itu mungkin pahit buat skuad Harimau Malaya yang bakal berdepan Bahrain pada aksi ketiga Kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam, 15 Oktober ini dan Harimau Muda yang bakal ke Myanmar, Disember ini untuk mempertahankan pingat emas Sukan SEA.
Kecederaan itu membuatkan Wan Zack, 22, berasa begitu sedih kerana bimbang akan kempunan sekali lagi menyertai Sukan SEA selepas kali pertama tidak dapat bersama skuad negara di Sukan SEA Jakarta, Indonesia pada 2011.


Wan Zack menangis

“Saya menangis selepas doktor beritahu saya mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL). Apa boleh saya buat... saya hanya mampu berdoa untuk masa depan saya,” kata Wan Zack Haikal menerusi akaun Twitter miliknya, malam tadi.

Wan Zack beraksi cemerlang ketika skuad B-23 negara, Harimau Muda kendalian Ong Kim Swee menjuarai Pestabola Merdeka di Kuantan, 14 September lalu.

Kecederaan itu menghalangnya untuk perlawanan menentang Bahrain dan kini apa yang paling merisaukannya ialah dia terpaksa berehat panjang sekurang-kurangnya enam bulan.
“Terima kasih kepada semua yang banyak memberi motivasi dan sokongan kepada saya. Maafkan diri saya kerana semua ini,” kata Wan Zack sebagai menghargai peminat bola sepak negara yang mendoakannya segera sembuh.

Selasa, 3 September 2013

Wan Zack ada misi tersendiri

Oleh Mohd Fitrie Muhamad | mfitrie@bh.com.my 
Wan Zack ada misi tersendiri 
Wan Zack (tengah) diasak oleh pemain UiTM FC pada perlawanan persahabatan di Stadium Darul Makmur, kelmarin.
Sasar jadikan Pestabola Merdeka pentas buru dua sasaran peribadi

Kuala Lumpur: Pemain FC Ryukyu, Wan Zack Haikal Wan Nor akan menjadikan pemilihannya dalam skuad bawah 23 tahun negara di Pestabola Merdeka, minggu ini sebagai pentas terbaik merealisasikan dua sasaran peribadinya.

Tidak seperti pemain lain, pemilihan gelanggang saingan di Kuantan memberi suntikan moral untuknya membantu pasukan mencapai kejayaan di negeri kelahirannya dan jika berjaya menjulang trofi, ia akan menjadi kejuaraan pertama diraih bersama skuad Harimau Muda A kendalian Ong Kim Swee.
Jadi azimat



“Saya begitu berharap dapat beraksi cemerlang kerana pertandingan ini dilangsungkan di negeri saya. Saya harap penyokong dapat hadir ke stadium memberi sokongan padu. Apa yang penting saya mahu mencapai matlamat memenangi piala kerana sebelum ini saya tidak pernah meraih kejuaraan bersama Harimau Muda A,” katanya yang turut menjadi tonggak penting dalam skuad senior negara.

Walaupun baru kembali beraksi selepas berehat tiga bulan kerana mengalami kecederaan buku lali ketika bersama FC Ryukyu sebelum ini, Wan Zack pantas menyesuaikan diri dengan barisan pemain lain yang turut berada dalam pasukan.

Ia dibuktikan dengan satu jaringan ketika mengalahkan UiTM FC 5-0 dalam aksi persahabatan pemanas badan di Stadium Darul Makmur, semalam. Malah, pengalamannya beraksi di Jepun menjadi azimat buat diri mempamerkan aksi terbaik merealisasikan impian besar peminat menjulang piala di negeri sendiri.
“Semua orang tahu saya baru pulih daripada kecederaan. Mungkin ada sedikit tekanan untuk turun beraksi kerana ini kejohanan pertama saya selepas lama tidak beraksi. Dengan pengalaman di Jepun saya akan cuba terapkan ke dalam corak permainan saya membantu pasukan meraih kejayaan,” katanya.

Ahad, 11 Ogos 2013

Saya hanya 'cuit' kaki Fabregas - Wan Zack



NEYMAR (tengah) cuba menghalang Fabregas (kiri) daripada menyerang Wan Zack (kanan) pada aksi di Stadium Shah Alam kelmarin.


ADA satu lagi cerita menarik di sebalik persembahan positif skuad Harimau Malaya meskipun tewas 1-3 kepada Barcelona pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam kelmarin.

Sudah tentu peminat-peminat tidak dapat melupakan insiden tegang antara pemain tengah skuad The Catalan, Cesc Fabregas dan pemain sayap FC Ryukyu, Wan Zack Haikal Wan Nor pada aksi tersebut.
Keberanian anak kelahiran Maran, Pahang itu bertikam lidah dengan pemain bertaraf dunia itu kini menjadi topik utama perbualan hangat peminat-peminat bola sepak tempatan termasuk menarik perhatian Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang memuji semangat juang Wan Zack.

Begitupun, situasi itu terkawal apabila Fabregas ditenangkan oleh rakan sepasukan, Neymar dan perlawanan diteruskan seperti biasa.

Mengulas lanjut, pemain berusia 22 tahun itu memberitahu, dia tidak menduga bekas pemain Arsenal itu cuba menyerangnya selepas melakukan terjahan.

"Situasi ketika itu, saya sedang merebut bola dengan dia (Fabregas). Benar, dia berjaya memegang bola tetapi saya hanya 'tercuit' sedikit sahaja kakinya.

"Tiba-tiba dia meluru ke arah saya dan sudah tentu saya perlu mempertahankan diri tetapi saya bersyukur kerana tiada apa-apa insiden tidak diingini berlaku kerana perlawanan diteruskan seperti biasa.

"Ia bukan satu tindakan yang boleh dibanggakan (bergaduh dengan Fabregas) kerana bola sepak memupuk semangat setiakawan dan saya berharap insiden ini tidak akan berulang pada masa akan datang," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Selepas menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya di Jepun pada 23 Julai lalu, Wan Zack akan pulang ke Okinawa hari ini sebelum menyertai skuad Harimau Muda untuk aksi Pesta Bola Merdeka di Kuantan, Pahang bulan depan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Sabtu, 10 Ogos 2013

Wan Zack teruja beraksi lawan Barca

Bukit Jalil: Pemain sayap muda negara, Wan Zack Haikal Wan Norpasti antara pemain skuad Harimau Malaya yang begitu teruja untuk turun beraksi menentang kelab gergasi Sepanyol, Barcelona di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

Ini kerana Wan Zack Haikal, 22, tiada dalam skuad ketika Harimau Malaya tewas 4-1 kepada Chelsea, 21 Julai lalu memandangkan dia ketika itu sedang menjalani proses pemulihan bersama kelabnya, FC Ryukyu di Okinawa, Jepun.
Kecederaan buku lali sudah pulih

Namun ketika skuad kendalian Datuk K Rajagobal itu berkunjung ke Tokyo, Jepun untuk siri tiga aksi persahabatan di sana, dua minggu lalu, Wan Zack Haikal dipanggil menyertai pasukan dan beraksi pada dua perlawanan terakhir bertemu Shonan Bellmare dan Tokyo Verdy.

“Saya cukup gembira dan teruja untuk turun menentang Barcelona ini kerana ia bakal menjadi perlawanan ketiga saya selepas berehat tiga bulan kerana kecederaan buku lali. Persiapan saya ketika ini okey, tiada masalah.

“Semangat saya untuk skuad kebangsaan masih sama dan agak lebih juga kerana saya sendiri pun lama tak beraksi,” kata Wan Zack Haikal ketika ditemui selepas latihan, petang semalam.

Ahad, 16 Jun 2013

Kim Swee puji semangat Wan Zack



Kim Swee menegaskan, mentaliti pemain berusia 22 tahun itu wajar menjadi ikutan generasi pemain muda dalam usaha melebarkan nama negara di persada antarabangsa.

Pengendali kelahiran Melaka itu turut mendedahkan, skuad negara bakal memiliki potensi besar sekiranya lebih ramai pemain muda memiliki mentaliti dan semangat seperti Wan Zack.
Kim Swee berkata, keberanian Wan Zack boleh menjadi pencetus kepada pemain-pemain muda negara dalam usaha mengembangkan kebolehan mereka di serata dunia.

“Satu langkah sangat bijak dan saya percaya, dia kini sudah cukup matang untuk memikirkan mana yang baik demi masa depannya.

“Biarpun melalui kesukaran di Jepun, ia tidak sesekali mematahkan semangat Wan Zack dan sikap ini harus dicontohi.

“Wan Zack tidak cepat terpengaruh dengan mana-mana tawaran dan saya percaya, dia akan menjadi model terbaik untuk generasi pemain muda akan datang.

“Sudah tiba masanya pemain-pemain kita merantau ke luar negara untuk mencari ilmu dan pengalaman demi manfaat skuad negara.

“Apa yang pasti, Wan Zack akan memberikan kami satu dimensi baharu dengan berkongsi ilmu serta pengalaman sebaik kembali bersama dengan skuad negara,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di Slovakia semalam.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, Kim Swee memberikan amaran bahawa beliau tidak akan sesekali mengetengahkan bakat-bakat pemain muda sekiranya Wan Zack mengambil keputusan untuk beraksi di Liga M pada musim depan.

Ini kerana Kim Swee menggangap ia merupakan peluang terbaik buat Wan Zack untuk mencipta nama dan mengembangkan bakatnya di pentas antarabangsa.

Selain itu, beliau mengakui tidak sanggup menyaksikan insiden ‘kedua’ selepas Muhammad Nazmi Faiz Mansor yang sebelum ini menjadi harapan Kim Swee bertindak meninggalkan S.C Beira-Mar dengan memilih Selangor PKNS biarpun masih memiliki baki kontrak tiga tahun dengan kelab Portugal itu.

Dalam perkembangan lain, Kim Swee turut mengulas kebarangkalian Wan Zack akan kekal lebih lama dengan kelab Jepun tersebut.
Sebelum ini, kebanyakan pemain-pemain negara ‘disindir’ selepas beraksi di luar negara.

Ini kerana ada sesetengah pemain yang berjaya tamat kontrak masih tidak ditawarkan sebarang perjanjian lanjutan manakala bagi pemain yang tidak berjaya bertahan lama berdasarkan perjanjian asalnya, memberikan alasan gagal menyesuaikan diri dengan cuaca, pemakanan dan sebagainya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Sabtu, 15 Jun 2013

Wan Zack masih setia di Jepun


WAN ZACK (tengah) tidak akan terpengaruh dengan tawaran daripada pasukan-pasukan dalam Liga M kerana masih mahu menimba ilmu bersama FC Ryukyu.


PEMAIN sayap lincah negara, Wan Zack Haikal Wan Nor tidak akan terpengaruh dengan sebarang tawaran daripada mana-mana pasukan.

Sebaliknya, Wan Zack menegaskan bahawa dia mahu memberikan fokus sepenuhnya bersama kelab Divisyen Tiga Jepun, FC Ryukyu.

"Saya harus menghormati kontrak dua tahun bersama FC Ryukyu. Saya juga menghormati majikan saya. Masih terlalu awal untuk mengatakan saya akan pulang ke Malaysia.

"Lagipun, saya hanya sempat beraksi dalam satu perlawanan bersama FC Ryukyu. Saya perlu berusaha dengan lebih keras untuk memberikan aksi yang terbaik kepada pasukan.

"Saya akui, kecederaan buku lali yang saya alami sedikit sebanyak memberikan kesan terhadap prestasi saya. Ditambah dengan masalah kesukaran komunikasi dengan pihak perubatan FC Ryukyu, ia agak melambatkan proses pemulihan saya.

"Namun, selepas mendapat bantuan daripada jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee, saya yakin perkara itu akan diselesaikan dengan cara lebih profesional," kata Wan Zack ketika dihubungi Kosmo! di Okinawa, Jepun semalam.

Kosmo! sebelum ini mendedahkan bahawa Wan Zack telah dilamar oleh beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga M) sehingga mencetuskan rasa kurang senang Kim Swee.

Kim Swee turut mengesahkan terdapat beberapa percubaan pasukan tempatan cuba menebus kontrak pemain berusia 22 tahun itu dengan FC Ryukyu.

Mengulas lanjut, Wan Zack berkata, dia tidak akan membelakangi Kim Swee sekiranya berhasrat untuk meninggalkan FC Ryukyu.

"Mengenai tawaran itu (daripada pasukan-pasukan Liga M), saya tidak cepat pengaruh dan saya telah merujuk perkara tersebut dengan Kim Swee.

"Apa yang pasti, saya hanya berminat untuk kembali bersama Harimau Muda A, bukan dengan pasukan dalam Liga M.

"Ini kerana, berdasarkan perjanjian, sekiranya mereka (FC Ryukyu) tidak berhasrat melanjutkan kontrak saya, saya hanya dibenarkan kembali menyertai Harimau Muda A.

"Apa yang pasti, Harimau Muda A adalah keutamaan saya, bukan pasukan-pasukan lain sekiranya jodoh saya dengan FC Ryukyu tidak berpanjangan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong memberi amaran agar tidak ada mana-mana pasukan tempatan 'mengganggu' Wan Zack.
"Kalau betul ada kelab tempatan yang cuba memancing Wan Zack daripada kelab Jepun itu sekarang, saya rasa ia sepatutnya tidak berlaku.

"Wan Zack hanya bermain dalam satu perlawanan sahaja dan kita juga masih belum tahu tahap kemampuan dia untuk bersaing dengan pemain-pemain terbaik di Liga Jepun.

"Jadi, kalau ada pihak yang mengganggu program dia, ini sudah pasti akan merugikan semua pihak, bukan sahaja Wan Zack atau jurulatih yang rugi tetapi seluruh negara akan rasa perkara yang sama," tegas Zolkples.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 22 April 2013

Wan Zack, Nazirul Naim timba ilmu di Jepun



WAN ZACK (depan, kanan) dan Nazirul (belakang) gigih menjalani latihan bersama FC Ryukyu sebaik tiba di Okinawa, Jepun bulan lalu.


"BETAPA berat mata memandang, berat lagi bahu memikul".
Itu mungkin perumpamaan tepat untuk menggambarkan kesungguhan serta keazaman dua pemain negara, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Nazirul Naim Che Hashim dalam mengharungi karier bersama kelab Divisyen Ketiga Liga Bola Sepak Jepun (Liga J), FC Ryukyu.

Mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa kedua-dua pemain ini masih lagi memerlukan sokongan terutama daripada masyarakat tempatan sebagai usaha menyemarakkan lagi semangat mereka untuk terus mempamerkan aksi cemerlang di bumi Samurai Biru itu.

Masakan tidak, daripada riak wajah kedua-dua pemain itu, jelas terpancar kegembiraan ketika menyambut sekumpulan media Malaysia yang datang melawat mereka di kediaman mereka berhampiran dengan kota Okinawa.

Bagi Wan Zack, pemain kelahiran Pahang itu tidak berselindung apabila mendedahkan bahawa dia memang merindui suasana di tanah air terutama masakan Malaysia selepas hampir sebulan berada di Okinawa.

Begitupun, dia tidak mahu menjadikan alasan tersebut sebagai halangan untuk mengharumkan nama negara di bumi Jepun.

"Tipulah kalau saya kata tidak merindui suasana di Malaysia. Sejujurnya, perkara paling saya rindui adalah masakan Malaysia selain suasana bersantai bersama keluarga.

"Jika di Malaysia, saya masih ada masa untuk meluang- kan masa bersama keluarga tetapi di sini, kami akan terus balik ke rumah sebaik habis sesi latihan.

"Bagaimanapun, saya bersama Nazi- rul harus berdikari kerana kami menyedari bahawa ia merupakan tanggungjawab untuk menjayakan cita-cita pemain negara mempamerkan aksi cemerlang di pentas Asia.

"Saya menyedari ia bukan satu tugas mudah beraksi di luar negara.
"Sudah pasti kami berdua memerlukan sokongan penuh daripada rakyat Malaysia kerana merekalah inspirasi kami untuk terus memberikan aksi terbaik di Jepun," katanya ketika ditemui di kediamannya baru-baru ini.

Nazirul Naim, 19, yang turut bersetuju dengan pendapat Wan Zack, memberi- tahu, dia sedang berusaha untuk menye- suaikan diri dengan persekitaran di bumi Jepun.

Jelasnya, dia bersama Wan Zack yakin bahawa masalah terutama dari segi faktor pemakanan akan diatasi dengan baik.

"Buat masa ini, kami akan ke pasar dengan membeli ikan, sayur-sayuran serta barangan lain seperti telur untuk hidangan harian.

"Pada awalnya, kami agak kekok memandangkan pengalaman mentah dalam bidang masakan, namun lama-kelamaan kami berdua berjaya menyesuaikan diri sepanjang tiga minggu berada di sini (Okinawa).

"Begitupun, kami akhirnya berjaya menyesuaikan diri dengan makanan harian dan Naib Presiden FC Ryukyu, Sotaro Shinoda juga banyak membantu kami," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Rabu, 17 April 2013

Ryukyu terpaksa ketepikan Wan Zack


OKINAWA, Jepun - Kapten FC Ryukyu, Yugo Ichiyanagi tanpa berselindung mengakui, kehilangan pemain sayap, Wan Zack Haikal Wan Nor yang mengalami kecederaan kaki kanan, jelas memberikan kesan kepada jentera serangan pasukannya menjelang pertemuan menentang Yokohama Sports and Cultures Club (YSCC).

Ichiyanagi memberitahu, ketiadaan Wan Zack yang dianggap pemain cukup penting dalam skuad kendalian Norihiro Satsukawa itu, mungkin menjejaskan misi mereka memburu tiga mata berharga ketika bertandang ke Stadium NHK Springs Mitsuzawa Football, Sabtu ini.

Dia menyifatkan kehilangan khidmat Wan Zack untuk tempoh sekurang-kurang tiga minggu dilihat mengganggu perancangan Satsukawa yang mencongak strategi untuk terus berada dalam kelompok lima pasukan teratas saingan Divisyen Ketiga Liga Jepun (Liga J).

Jelasnya, kualiti yang ada pada Wan Zack memang tidak boleh disangkal lagi dan dia memang seorang pemain yang memiliki kualiti seperti yang dipamerkannya pada aksi sulung menentang Sagawa Printing di Stadium Okinawa City Athletics, Sabtu lalu.

"Gaya persembahannya memang menakjubkan dan dia merupakan ancaman kepada benteng pertahanan lawan.

"Biarpun dia hanya beraksi selama 80 minit dan tidak menjaringkan sebarang gol tetapi Wan Zack telah memberi sumbangan yang besar kepada pasukan.

"Selepas mempamerkan aksi cemerlang dalam penampilan sulung itu, Wan Zack kini terpaksa direhatkan selama sebulan gara-gara masalah kecederaan kaki kanan ketika sesi latihan baru-baru ini," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 14 April 2013

Semangat Wan Zack membara


OKINAWA, Jepun – Wan Zack Haikal Wan Nor membuat penampilan pertama bersama kelab Divisyen Ketiga Liga Jepun (Liga J), FC Ryukyu dengan penuh bergaya selepas membantu pasukan itu menewaskan Sagawa Printing 2-1 di Stadium Okinawa City Athletics petang semalam.

Pemain kelahiran Pahang berusia 22 tahun itu berjaya menambat perhatian penyokong-penyokong kelab tersebut apabila mempamerkan persembahan bertenaga, selain sering menimbulkan masalah kepada benteng pertahanan lawan.

Begitupun, Wan Zack yang diberikan peranan sebagai pemain sayap kiri pada aksi tersebut, mengakui yang dia masih belum berpuas hati dengan tahap keupayaannya, meskipun berjaya membantu FC Ryukyu meraih tiga mata berharga pada aksi di laman sendiri itu.

Jelasnya, perasaan gemuruh sedikit sebanyak menjejaskan fokusnya, biarpun sebelum ini memiliki pengalaman beraksi bersama skuad kebangsaan di pentas antarabangsa.

“Pada aksi separuh masa pertama, saya akui tidak beraksi dengan begitu baik, namun saya berjaya memperbaiki rentak persembahan pada babak kedua perlawanan.

“Sudah tentu saya takut melakukan banyak kesilapan, memandangkan ia merupakan penampilan pertama saya untuk pasukan ini.

“Sebab itulah saya merasakan sedikit gementar dan takut ketika beraksi.

“Sejujurnya, saya masih tidak berpuas hati dengan persembahan saya pada perlawanan sulung itu kerana saya percaya, saya masih berupaya untuk menampilkan aksi yang lebih baik.

“Begitupun, saya tetap berpuas hati dengan keputusan perlawanan ini dan gembira kerana berjaya melakarkan kemenangan pada penampilan sulung dengan FC Ryukyu,” katanya.

Pada aksi tersebut, pasukan yang diwakili Wan Zack dikejutkan dengan jaringan awal pasukan pelawat menerusi Kei Nanako pada minit ke-17.

Ia gara-gara masalah komunikasi di antara penjaga gol FC Ryukyu, Kenji Tanaka yang gagal menyambut kemas hantaran Nanako.

Tersentak dengan jaringan tersebut, skuad kendalian Norihiro Satsukawa kembali mengasak benteng pertahanan Sagawa dan hasilnya, penjaring terbanyak Divisyen Ketiga Liga J yang telah meledak tujuh gol, Shunta Takashi berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma pada minit ke-53.

Wan Zack dikeluarkan pada 10 minit terakhir perlawanan dan digantikan dengan penyerang, Takumi Uesato selepas pemain kebangsaan itu ditimpa masalah kecederaan kaki.

Penyerang FC Ryukyu, Kazuki Ganaha memastikan skuad tuan rumah memperoleh tiga mata berharga dengan meledak gol kemenangan selepas melepaskan rembatan kencang menewaskan penjaga gol Sagawa, Tetsuya Yamaoko pada masa kecederaan.

Untuk rekod, pemain pertahanan muda negara yang turut beraksi bersama kelab itu, Nazirul Naim Che Hashim, 19, tidak dapat diturunkan gara-gara ditimpa masalah kecederaan buku lali.

Isnin, 18 Mac 2013

Aksi Piya, Norazlan dipuji


AKSI Badhri tidak mengecewakan walaupun hanya beraksi pada separuh masa pertama ketika menentang Arab Saudi.


MESKIPUN hanya beraksi pada babak pertama, aksi sulung arkitek Kelantan, Mohd. Badhri Radzi atau Piya mendapat pujian pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal.

Menurut beliau, Piya cepat menyesuaikan diri dan beraksi dengan baik ketika mengekang ancaman Arab Saudi dalam aksi persahabatan kelmarin.

Biarpun tidak gemar berbicara mengenai kebolehan individu pemain sebelum ini, Rajagobal percaya Piya dapat memberikan yang terbaik jika diturunkan ketika berdepan Yemen nanti.

"Kebolehan mana-mana pemain tidak boleh diukur dalam satu perlawanan tetapi Piya berjaya beraksi dengan baik biarpun hanya diturunkan selama 45 minit.

"Selain Piya, Norazlan Razali (penjaga gol Selangor) juga beraksi dengan bagus dan saya harap prestasi sedemikian dikekalkan ketika berdepan Yemen," kata Rajagobal.

Mengulas lanjut, beliau juga berharap kecederaan yang dialami Wan Zack Haikal Wan Noor dapat diatasi sebelum berdepan Yemen nanti.

"Kehilangan pemain sayap seperti Wan Zack dan S. Kunanlan sememangnya dirasai.
"Saya harap Wan Zack segera pulih, sekali gus memperkuatkan pasukan ketika berdepan Yemen nanti," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 17 Mac 2013

Main psikologi atau tak hormat Malaysia?


K. Rajagobal hanya bersemuka dengan pegawai media Arab Saudi, Khaled Alnuwiser (kiri) pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam. 
 
PETALING JAYA - Arab Saudi seperti tidak menghormati atau sengaja mencipta tekanan psikologi buat Malaysia apabila sekadar menghantar pegawai media ke sidang akhbar pra-perlawanan persahabatan, semalam. 

Jurulatih mereka, Juan Ramon Lopez Caro memberi alasan tidak dapat hadir kerana sibuk dengan sesi latihan pasukannya yang bertembung dengan sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya itu.
Hanya Khaled Alnuwiser, pegawai media Arab Saudi bersama penyelaras am yang juga penterjemah, Mohammad Alhenaid muncul sebagai galang ganti. 

Untuk rekod, Arab Saudi juga pernah 'memperdaya' anak-anak buah Datuk K. Rajagobal apabila pada saat akhir membatalkan satu perlawanan yang mereka sendiri cadangkan. 

Insiden itu berlaku dua tahun lalu apabila mereka menjemput pasukan negara bermain dalam perlawanan persahabatan di Australia dan sanggup membiayai pertemuan, tetapi kemudian membatalkannya tanpa alasan kukuh. 

Ketika ditanya mengapa memilih untuk bertemu Malaysia, Khaled hanya berkata: "Kami ke sini supaya serasi dengan cuaca dan permainan yang mirip Indonesia (lawan Kumpulan C Kelayakan Piala Asia 2015 di Jakarta, Sabtu depan). 

"Malaysia sebuah pasukan yang bagus dan semakin meningkat."

Sementara itu, Rajagobal pada sidang media sama, mengesahkan terpaksa melupakan khidmat Nik Mohd. Shahrul Azim Ab. Halim, Amiridzwan Taj Tajudin dan Wan Zack Haikal Wan Nor di Stadium Shah Alam, malam ini akibat kecederaan serius.

Namun begitu, beliau tidak gusar dengan situasi itu, biarpun turut dibayangi kemerosotan prestasi bek tengah, Mohd. Aidil Zafuan Abd. Radzak dalam Liga M. 

"Kami ada lebih 20 pemain di kem negara sekarang dan ia mencukupi.
"Kami menganggap semua perlawanan penting, termasuk aksi persahabatan dengan pasukan besar seperti Arab Saudi ini. Ia satu penghormatan buat kita," katanya.

Beliau mengakui kesilapan dan kelekaan skuad negara ketika kalah 2-0 kepada Qatar 2-0 bulan lalu, mampu berulang biarpun anak-anak buahnya kerap diingatkan supaya berwaspada dengan serangan balas pantas lawan.

"Saya mengkaji video Arab Saudi-China (Kumpulan C di Dammam, 6 Februari lalu) dan kesilapan pemain mereka telah menyebabkan lawan menyamakan jaringan. 

"Bagi saya, mana-mana pasukan pun boleh terdedah untuk melakukan kesilapan sebegitu," katanya.
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu ialah pada 30 Ogos 2009 dengan Arab Saudi memenangi perlawanan persahabatan di Stadium Putera Fahd, Dammam 2-1, manakala gol sagu hati Malaysia dijaringkan oleh Ahmad Shakir Md. Ali.

Norazlan Razali dijangka mengemudi gawang Harimau Malaya malam ini, manakala Aidil Zafuan masih diberi kepercayaan menjaga benteng. 

Tiket perlawanan Malaysia-Arab Saudi yang berharga RM20 (dewasa) dan RM5 (bawah 12 tahun) mula dijual di Stadium Shah Alam pada jam 4.30 petang ini. Penyokong Harimau Malaya diseru hadir memberikan sokongan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Jumaat, 1 Februari 2013

Ujian buat Rajagobal


RAJAGOBAL (kanan) akan meletak jawatan selaku jurulatih Harimau Malaya sekiranya skuad kendaliannya gagal menempah tempat ke pusingan akhir Piala Asia 2015.


TAHUN lalu, misi Harimau Malaya mempertahankan trofi Piala Suzuki AFF yang dimenangi mereka pada 2010, akhirnya terkubur apabila terkandas di peringkat separuh akhir.

Disebabkan itu, nama Datuk K. Rajagobal tiba-tiba ‘panas’ apabila bertubi-tubi didesak supaya meletak jawatan oleh sebahagian besar peminat sukan bola sepak yang tidak lagi mempercayai kredibiliti beliau selaku pengendali skuad kebangsaan.

Enggan tunduk kepada tekanan, Rajagobal sebaliknya mahu membantu merealisasikan sasaran skuad negara supaya layak ke pentas Piala Asia 2015 terlebih dahulu.
“Jika gagal membantu pasukan negara layak ke Piala Asia 2015, saya sendiri akan meletak jawatan,” kata Rajagobal ketika itu.

Begitupun, nasib seolah-olah tidak menyebelahi Rajagobal rentetan musibah kecederaan pemain negara menjelang aksi pembuka tirai kempen kelayakan Piala Asia 2015 berdepan Qatar di Doha, 6 Februari ini.
Tempang tanpa nama-nama besar seperti Mohd. Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Bunyamin Omar, situasi itu jelas meletakkan masa depan Rajagobal dalam keadaan bahaya.

Sedar atau tidak, kemampuan anak-anak buah Rajagobal mengekang ancaman Iraq dalam satu aksi persahabatan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) malam ini pastinya menjadi peluang terakhir bagi menilai kemampuan sebenar beliau sama ada mampu atau tidak membantu skuad negara menyambar slot ke pusingan akhir Piala Asia 2015.

Jika diikutkan, Rajagobal dilihat hanya menunggu masa mengucapkan ‘selamat tinggal’ kepada skuad kebangsaan ekoran strategi mahupun taktikal yang direncanakannya dilihat serba tidak menjadi pada kempen Piala Suzuki AFF yang lalu.

Keputusan Rajagobal yang enggan menyenaraikan arkitek Kelantan, Mohd. Bahri Radzi atau Piya biarpun dilanda krisis kecederaan pemain kali ini juga mengundang pertikaian ramai pihak.
Bukan apa, peluang yang diberikan kepada Rajagobal sebenarnya bukan sedikit tetapi hasilnya tetap mengecewakan.

Justeru, persoalan sama ada Rajagobal bakal mengotakan janjinya atau tidak, sama-sama kita tunggu dan lihat.

Selepas bertemu Qatar nanti, Harimau Malaya bakal berdepan dua lagi pasukan Asia Timur iaitu Yemen dan Bahrain pada 22 Mac dan 15 Oktober depan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Sabtu, 5 Januari 2013

Zzati nafi manipulasi Wan Zack Haikal

HUBUNGAN Zzati dan Wan Zack baru berusia kira-kira setahun.


KALI pertama mendengar namanya, pasti ramai yang bertanya siapakah gerangan Zzati Rashid ini.

Mungkin ada yang menyangka gadis berusia 19 tahun ini merupakan seorang pendatang baharu yang mula bertapak dalam industri seni.

Bagaimanapun, sebaik sahaja melihat gambar mesranya bersama pemain bola sepak skuad Harimau Malaya, Wan Zack Haikal Wan Noor, pasti ramai yang tersenyum apabila mengetahui gadis ini sebenarnya merupakan teman wanita pemuda tampan itu.

Jangan terkejut kerana Zzati sebenarnya seorang penyanyi yang bernaung di bawah label MVM Production Sdn. Bhd. sejak tahun 2010 dan telah pun merakamkan tiga buah single.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama dengan gadis yang berasal dari Bandar Jengka, Pahang ini.
Kosmo!: Ceritakan sedikit mengenai sejarah perjalanan karier Zzati dalam bidang nyanyian.

ZZATI: Saya bermula sebagai penyanyi di funfair sekitar tahun 2009 sehingga 2011. Pada ketika itu, saya sering membuat persembahan di funfair seluruh Malaysia. Selain itu, saya sering membuat persembahan di majlis-majlis korporat memandangkan ayah saya merupakan seorang perunding majlis. Pada tahun 2009, saya merakamkan single pertama saya secara independent yang berjudul, Bukan Sombong. 

Bagaimanakah Zzati mulai serius dalam bidang ini?
Selepas lagu Bukan Sombong mula dimainkan di corong-corong radio, syarikat rakaman MVM mula 'melamar' saya untuk dijadikan artis rakaman produksi itu, dan seterusnya menerbitkan dua buah lagi single iaitu Akan Ku Nanti dan Cintaku Hanya Padamu pada tahun 2010. Pada bulan November lepas, saya baru sahaja mengeluarkan single terbaharu yang berjudul, Malu Malu Mahu.

Boleh ceritakan tentang sambutan terhadap single terbaharu Zzati itu?
Sambutan yang diberikan memang menggalakkan dan saya berasa gembira kerana mempunyai peminat sendiri yang sering mengikuti perkembangan semasa diri ini.

Namun, kenapakah lagu anda jarang kedengaran di radio dan ramai yang masih belum mengenali anda?

Saya rasa mungkin disebabkan faktor status diri ini sebagai seorang pelajar. Saya perlu bijak membahagikan masa antara belajar dan nyanyian dan hanya menerima undangan nyanyian pada waktu senggang sahaja. Selain itu, saya lebih banyak menerima undangan nyanyian untuk majlis-majlis korporat berbanding konsert terbuka. 

Baru-baru ini, ramai yang memperkatakan tentang gosip mengenai hubungan cinta anda dengan pemain bola sepak skuad Harimau Malaya, Wan Zack Haikal. Setuju tak kalau dikatakan bahawa orang lebih mengenali anda sebagai teman wanita Wan Zack berbanding sebegai seorang penyanyi?
Saya tidak menafikan bahawa gosip itu turut menjadi faktor untuk orang lebih mengenali saya. Kini orang lebih mengenali siapa itu Zzati Rashid.

Adakah ini bermakna bahawa Zzati memanipulasikan populariti Wan Zack sebagai platfom untuk lebih dikenali dalam bidang nyanyian?

Itu tidak benar sama sekali! Saya berkawan serius dengan Wan Zack sebelum namanya menjadi bualan ramai lagi, iaitu sejak setahun yang lepas. Saya pula sudah mula merakamkan single dengan MVMProduction pada tahun 2010. Kami berada dalam bidang yang berbeza dan mempunyai pengikut masing-masing.

Tetapi kenapakah baru kini, selepas nama Wan Zack berada di puncak, Zzati tiba-tiba muncul untuk mempromosikan lagu-lagu anda? Kenapa tidak daripada dahulu?

Seperti yang saya katakan tadi, sebelum ini saya mempunyai kekangan dari segi masa memandangkan ketika single pertama dan kedua diterbitkan oleh MVM Production, saya sedang belajar di tingkatan lima. Sehingga kini, barulah saya berkesempatan untuk memberikan tumpuan kepada promosi meskipun masih lagi bergelar seorang pelajar dalam bidang muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Tidakkah risau a hubungan cinta Zzati dan Wan Zack akan mengalami masalah memandangkan anda berdua kini telah pun dikenali ramai?

Saya percaya dengan ketentuan takdir dan jodoh yang telah ditetapkan oleh Tuhan. Hubungan cinta kami pun masih baru lagi dan saya hanya boleh katakan bahawa kita hanya mampu merancang, namun takdir yang menentukan segalanya. Apa yang pasti, kami saling menyokong karier masing-masing dan menjaga kelakuan kami agar tidak timbul gosip-gosip yang kurang enak didengar.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Sabtu, 29 Disember 2012

Kim Swee masih berteka-teki


WAN ZACK (kiri) cuba melepaskan diri daripada kawalan pertahanan Sarawak pada aksi persahabatan di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak kelmarin.



PENGENDALI Harimau Muda, Ong Kim Swee masih merahsiakan senarai pemain yang akan dibawa ‘berguru’ ke Australia, Januari depan.

Kim Swee berkata, hanya pemain-pemain yang cergas 100 peratus akan dipilih untuk menyertai skuad tersebut.

“Kami masih ada masa yang panjang iaitu lebih kurang 20 hari lagi untuk bertolak ke Australia. Jadi, kami akan pilih siapa yang akan pergi dan sebaliknya,” katanya selepas Harimau Muda menewaskan Sarawak 4-2 pada aksi persahabatan di Stadium Negeri Sarawak, Petra Jaya malam kelmarin.

“Paling mustahak, para pemain hendaklah cergas sepenuhnya sebelum fikir untuk terpilih menimba pengalaman di sana (Australia) nanti.”

Buat masa ini, sekurang-kurangnya tiga pemain Harimau Muda dijangka terlepas peluang keemasan berlatih di bumi kanggaru, Januari depan.

Ketiga-tiga pemain tersebut iaitu Fandi Othman, A. Thamil Arasu dan Syahrul Azwari Ibrahim masih dibelenggu kecederaan.

Sementara itu, Kim Swee mengakui berpuas hati dengan persembahan mantap anak-anak buahnya ketika menewaskan skuad Bujang Senang itu.
“Walaupun ketinggalan pada awal permainan, para pemain mampu bangkit dan bekerja sebagai satu psukan untuk mencipta gol demi gol.

“Ini petanda positif bahawa perancangan yang diatur telah membuahkan hasil, namun kita akan perkemaskan lagi kerana masih terlalu awal untuk gembira,” katanya.

Pada perlawanan tersebut, Harimau Muda yang bermula hambar menerima padah apabila Sarawak terlebih dahulu membolosi gawang pasukan pelawat seawal minit keempat menerusi sepakan padu penyerang tuan rumah, Bobby Gonzales.

Terkejut dengan jaringan itu, pemain-pemain Harimau Muda yang diketuai Wan Zack Haikal mula menampilkan rentak sebenar dengan melancarkan serangan bertali arus.

Kerja keras pemain-pemain Harimau Muda berbaloi apabila mereka berjaya mendapat gol penyamaan menerusi jaringan pemain sayap, Wan Zaharulnizam pada minit ke-30.

Bagaimanapun, lebih daripada 15,000 penonton yang menyaksikan perlawanan tersebut kecewa selepas kedua-dua pasukan menampilkan aksi yang membosankan dan tiada percubaan bahaya kira-kira 15 minit sebelum rehat.

Sebaik babak kedua bermula, Harimau Muda menguasai permainan dan sekali lagi membolosi gawang Sarawak pada minit ke-57.

Wan Zack bijak menewaskan penjaga gol Sarawak, Sani Anuar Kamsani selepas pengadil perlawanan Mohd. Radzi Othman menghadiahkan sepakan penalti kepada Harimau Muda setelah pemain import Sarawak, Guy Bwele mengasari Wan Zaharulnizam.

Meskipun menguasai hampir keseluruhan permainan pada babak kedua, Harimau Muda hanya mampu meledak dua jaringan lagi ketika permainan berbaki lima minit.

Wan Zaharulnizam menyumbat gol kedua peribadi dan ketiga Harimau Muda pada minit ke-85 manakala gol keempat disumbangkan oleh pemain gantian, Mohd Nurridzuan pada minit ke-90.

Gol kedua tuan rumah pula dijaringkan pemain import Sarawak, Ivan Babic pada masa kecederaan.
Bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada barisan pertahanan pasukan muda negara yang diterajui kapten, Mohd. Fadhli Mohd. Shas apabila bijak mengekang pergerakan rangkaian penyerang Sarawak.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my