Memaparkan catatan dengan label Chelsea FC. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Chelsea FC. Papar semua catatan

Jumaat, 6 Disember 2013

Hazard buat Mourinho puas


SUNDERLAND - Pengurus Chelsea, Jose Mourinho menegaskan Eden Hazard telah meletakkan dirinya berada dalam kelas tersendiri selepas memuji persembahan cemerlang pemain tengah itu.

Tonggak berusia 22 tahun itu muncul sebagai inspirasi The Blues ketika merakamkan kemenangan dramatik menewaskan Sunderland 4-3 pada aksi Liga Perdana England, awal pagi semalam.

Hazard berjaya menjaringkan dua gol termasuk mencipta satu peluang jaringan kepada perancang Chelsea, Frank Lampard.

Kemenangan itu sekali gus meletakkan skuad kendaliannya Mourinho merapatkan jurang perbezaan mata dengan pendahulu liga, Arsenal yang kini memiliki kelebihan empat mata.

Sebelum ini, ramai pengkritik meragui keupayaan Chelsea untuk merebut kejuaraan Liga Perdana England selepas bermula hambar pada awal musim ini.

Mourinho berkata, Hazard berhak menerima pujian selepas muncul sebagai pemain terbaik dalam aksi menentang Sunderland.

"Kami bermain dalam satu aksi yang begitu fenomena. Saya fikir inilah permainan Chelsea paling terbaik di gelanggang lawan dan kami berjaya menjaringkan gol-gol yang menarik.

"Malah, ia mungkin persembahan terbaik dari Hazard sejak saya tiba di Chelsea. Kami mengetahui bakatnya tetapi semangat juang Hazard adalah punca kemenangan Chelsea pada hari ini (semalam).

"Inilah kali pertama saya menyaksikan prestasi cemerlang Hazard. Seperti yang saya katakan tadi, dia seorang pemain muda yang cukup berbakat," katanya. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 4 November 2013

11 kesilapan punca kalah: Mourinho

Berita Harian
 
11 kesilapan punca kalah: Mourinho  
 Jose Mourinho
 
London: Jose Mourinho menyalahkan dirinya sendiri ketika skuad kendaliannya tumbang 2-0 kepada Newcastle di St James Park dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL), kelmarin.

Pengendali The Blues itu cukup berang namun enggan meletakkan semua kesalahan kepada pemainnya selepas rentetan enam kemenangan berturut-turut kelab itu ditamatkan menerusi jaringan pemain Perancis, Yoan Gouffran dan Loic Remy.
“Saya melakukan 11 kesalahan dengan pemilihan pasukan, 11 kesilapan,” kata Mourinho. “Itu perasaan saya apabila pasukan saya bermain begitu teruk. Kami memang patut kalah kerana dalam 45 minit kami bermain pada tahap perlawanan persahabatan.


“Keputusan itu membuktikan fakta yang satu pasukan tiada di sana. Kami tidak agresif dan kurang kekuatan. Ia adalah persembahan buruk dan membuatkan saya banyak berfikir di rumah kerana saya perlu cuba untuk memahami di mana mereka mendapat persembahan seperti ini.

“Saya amat bimbang jika mereka bermain seperti ini sekali lagi,” kata Mourinho yang sebelum ini pernah mengendali The Blues menggunakan pendekatan rapat dengan pemainnya dan cuba memahami apa yang mereka mahukan.

Chelsea yang ketika ini menduduki tangga kedua liga mempunyai rekod 100 peratus di laman sendiri namun di laman lawan, situasi cukup berbeza dengan hanya satu kemenangan daripada lima perlawanan.

“Kami hanya menang sekali di tempat lawan dalam liga musim ini dan ia membimbangkan saya,” kata Mourinho. - Agensi

Ahad, 20 Oktober 2013

Chelsea bergaya lonjak ke tangga kedua liga

 
Chelsea bergaya lonjak  ke tangga kedua liga
London: Eden Hazard (gambar) meledak dua gol ketika membantu Chelsea bangkit daripada ketinggalan untuk merakam kemenangan 4-1 ke atas Cardiff City di Stamford Bridge, malam tadi.

Pelawat membuka jaringan seawal minit ke-10 menerusi Jordon Mutch tetapi Hazard kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-33 selepas menerima hantaran cantik dari Samuel Eto’o.
Liverpool di tangga ketiga


Selepas rehat, Eto’o meletakkan Chelsea di depan pada minit ke-66 - gol pertamanya untuk kelab Inggeris itu yang disertai awal musim ini. Pemain gantian, Oscar yang masuk menggantikan Juan Mata pada minit ke-58, menambah jaringan buat tuan rumah pada minit ke-78.

Hazard melengkapkan kemenangan lapan minit sebelum tamat untuk memastikan tiga mata buat Chelsea yang kini melonjak ke tangga kedua - dua mata di belakang Arsenal dan mengatasi Liverpool di tangga ketiga dengan kelebihan jaringan. - Agensi

Rabu, 2 Oktober 2013

Chelsea bangkit garang belasah Steaua Bucharest 4-0


Ramires memperdaya penjaga gol Steaua Bucharest, Ciprian Tatarusanu untuk menjaringkan gol dalam saingan Liga Juara-Juara di National Arena, Bucharest, semalam. Chelsea menang 4-0. - AFP 
 
BUCHAREST, Romania - Chelsea kembali semula ke landasan saingan selepas membelasah Steaua Bucharest 4-0 dalam perlawanan kedua Kumpulan E Liga Juara-Juara, semalam.

Dalam aksi pembukaan musim sebelum ini, Chelsea tewas mengejut 1-2 kepada Basel.

Skuad Blues yang menguasai permainan sejak awal perlawanan membuka jaringan menerusi Ramires seawal minit ke-20.

Chelsea terus mengukuhkan kedudukan apabila Steaua dihukum dengan jaringan sendiri Daniel Georgievski sebelum Ramires dan Frank Lampard menokok dua lagi gol dalam babak kedua.

Namun, malang buat Fernando Torres apabila terpaksa dikeluarkan selepas mendapat kecederaan lutut ketika perlawanan berusia 11 minit dan dia digantikan dengan Samuel Eto'o.

Ketiadaan Torres memberi sedikit ruang buat Steaua dengan mempamerkan gerakan-gerakan menarik, namun penguasaan tuan rumah tidak lama apabila Chelsea kembali melakukan serangan balas menerusi Eto'o yang membuka ruang buat Ramires merobek gawang tuan rumah.

''Kami bermain secara matang dan bijaksana. Saya rasa kami akan layak (pusingan kalah mati). Kemenangan hari ini penting buat kami,'' kata pengurus Chelsea, Jose Mourinho kepada Sky Sports.

Selepas perlawanan semalam, Chelsea dan Basel masing-masing memiliki tiga mata daripada dua perlawanan sementara Schalke 04 yang menang 1-0 di Basel menghuni tangga teratas berbekalkan enam mata.

Kemenangan itu juga melangsaikan dendam Blues yang tewas 0-1 kepada lawan yang sama pada aksi 16 akhir Liga Europa awal tahun ini.

''Kami memberi tekanan hebat kepada tuan rumah. Kami mengawal permainan dengan baik dan kami sepatutnya mendapat jaringan yang lebih banyak pada perlawanan semalam,'' tambah Mourinho.

Steaua yang juga juara Eropah pada tahun 1986 memiliki rekod cemerlang menentang kelab Inggeris di gelanggang sendiri dengan hanya kalah sekali daripada lapan pertemuan.

Dalam pada itu, Mourinho memberitahu, Torres tidak bersedia untuk beraksi bersama Sepanyol minggu depan gara-gara kecederaan lututnya.

Katanya, Torres perlu menjalani ujian imbasan walaupun pada anggapannya kecederaan itu tidak serius.

''Doktor-doktor kami (Chelsea) yakin kecederaan yang menimpa Torres tidak serius. Apa pun kami kena tunggu selepas ujian imbasan,'' ujar Mourinho. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Isnin, 30 September 2013

Chelsea semakin terdesak


MOURINHO (kanan) memberikan arahan kepada Fernando Torres ketika Chelsea seri 1-1 dengan Tottenham Hotspurs pada aksi Liga PerdanaEngland, Sabtu lalu.


BUCHAREST - Chelsea bertekad untuk memulihkan reputasi pada aksi kedua Kumpulan E kempen Liga Juara-Juara menentang Steaua Bucharest di Stadionul Ghencea, Romania awal pagi esok.

Chelsea perlu bangkit selepas dikejutkan dengan kekalahan 1-2 kepada FC Basel pada aksi di Stamford Bridge, 18 September lalu.

Kini, skuad The Blues terdesak untuk menewaskan Bucharest bagi meletakkan kembali pasukan itu di landasan yang tepat untuk meneruskan kemaraan di pentas Liga Juara-Juara.

Selain itu, anak-anak buah Jose Mourinho juga perlu menewaskan Schalke 04 pada 22 Oktober depan.

Chelsea melakar sejarah tersendiri musim lalu apabila menjadi juara bertahan pertama yang tersingkir di peringkat kumpulan.

Mourinho berkata, aksi menentang Bucharest sangat penting dan mereka tidak boleh tewas demi kebaikan pasukan itu.

"Seri bukan satu keputusan baik buat kami. Jadi, kami perlu bersiap sedia daripada sekarang.
"Kami perlu mengutip 12 mata untuk mengelak daripada mengalami insiden yang tidak diingini berlaku. Jadi, jika kami tewas di sana (Bucharest), kami masih memiliki empat perlawanan.

"Jadi, kami harus mengutip 12 mata untuk baki perlawanan tersebut dan sudah tentu saya tidak mahu meletakkan tekanan kepada pasukan saya (sekiranya tewas)," katanya.

Chelsea masih dibayangi memori hitam selepas skuad The Blues tewas 0-1 pada kali terakhir mereka berkunjung ke Bucharest pada aksi Liga Europa.

Begitupun, mereka kembali menebus kekalahan itu dengan merakamkan kemenangan secara agregat 3-1 pada aksi kalah mati Liga Europa pada Mac lalu.
- AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Rabu, 18 September 2013

Chelsea dikejutkan Basel 1-2

 
Chelsea dikejutkan Basel 1-2 PEMAIN tengah Chelsea, Oscar (kiri) merembat untuk jaringan pembukaan ketika menentang Basel di sini, awal pagi tadi. - Foto AFP
 
LONDON: Perlawanan sulung Chelsea di bawah bimbingan Jose Mourinho bagi kempen Liga Juara-Juara Eropah bermula dengan kekecewaan apabila tewas 1-2 kepada Switzerland, Basel di Stamford Bridge, sebentar tadi.

Chelsea yang berbelanja besar musim ini mendahului menerusi jaringan Oscar pada minit terakhir separuh masa pertama.
Namun Basel memperoleh gol penyamaan menerusi Mohamed Salah pada minit ke-71 disusuli gol kemenangan pada minit ke-84 oleh tandukan Marco Streller.


Hujung minggu lalu, Chelsea tewas kepada Everton 0-1 pada saingan Liga Perdana Inggeris.

Kekalahan itu mungkin menjadi mimpi buruk Mourinho semula apabila kali pertama disingkir dari Chelsea enam tahun lalu apabila skuadnya seri 1-1 dengan Rosenborg, juga dalam saingan Liga Juara-Juara.

Isnin, 16 September 2013

Amaran keras Mourinho



MOURINHO tidak mahu pemilik kelab dan para peminat Chelsea meletakkan harapan tinggi kepadanya untuk mengulangi era kegemilangan di Stamford Brigde.


LONDON - Pengurus Chelsea, Jose Mourinho memberikan amaran kepada pemilik kelab, Roman Abramovich dan para peminat agar tidak terlalu meletakkan harapan tinggi dalam usaha mengulangi era kegemilangan di Stamford Bridge.

Mourinho melaungkan amaran itu selepas skuad The Blues dikejutkan kekalahan tipis 0-1 kepada Everton pada aksi Liga Perdana England kelmarin.

Kekalahan itu merupakan rekod paling buruk Chelsea dalam kempen awal liga domestik sepanjang era Abramovich meskipun mereka hanya ketinggalan dua mata di belakang pendahulu, Arsenal.
"Tidak, ia tidak seperti era kegemilangan Chelsea pada 2004,

"Kami tewas kepada Manchester City pada Oktober (2004) dan itu sahaja kekalahan kami. Namun, apa maksud saya adalah kami bukan pasukan yang hebat. Ini adalah pasukan yang sangat berbeza.

"Saya pernah bekerja di sini (Chelsea) dan saya tidak berasa tenang kerana saya adalah individu pertama yang tidak suka bekerja dalam suasana tenang.

"Namun, kami berusaha menggilap bakat pemain-pemain dan bermain pada tahap terbaik selagi yang termampu.

"Kami perlu lebih efektif, menjadi matang dan tidak naif. Itulah yang kami perlu lakukan. Kami akan menukarkan corak permainan cantik bola sepak kepada gol-gol yang menarik," kata Mourinho.

Abramovich dan para peminat skuad The Blues dilaporkan cukup berpuas hati meskipun tewas kepada Everton kerana mereka sangat berbesar hati untuk melihat Mourinho kembali selain memberikan masa kepada bekas jurulatih Real Madrid itu memperbaiki keupayaan Chelsea.

Pada era kegemilangan Chelsea tahun 2004, Mourinho berjaya menjulang trofi liga buat pertama kalinya selepas sekadar tewas satu perlawanan kepada City.

Bagaimanapun, Chelsea kehilangan lima mata berharga sepanjang empat perlawanan pertama termasuk kekalahan tipis kepada Everton menerusi jaringan Steven Naismith di Goodison Park.
"Kami bukan sebuah kelab yang boleh menerima semua situasi buruk. Kami akan berusaha untuk mengejarnya (pendahulu liga, Arsenal).

"Permulaan musim ini sangat sukar. Kami beraksi di gelanggang lawan ketika menentang Manchester United dan Bayern Munich pada aksi Piala Super Eropah serta Everton," katanya. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 15 September 2013

Mourinho merah padam



NAISMITH (kanan) muncul wira Everton apabila menjaringkan gol tunggal dan kemenangan perlawanan di penghujung babak pertama untuk mengejutkan Chelsea, kelmarin.


LIVERPOOL - Jose Mourinho memberi amaran kepada bintang-bintang Chelsea agar mempamerkan peningkatan selepas skuad The Blues itu tewas dalam aksi Liga Perdana England buat kali pertama sekembali menjadi pengurus.

Mourinho ternyata kecewa dengan kegagalan skuad kendaliannya selepas tewas kepada Everton 0-1 hasil jaringan Steven Naismith pada minit ke-45 ketika berkunjung ke Goodison Park.

Kekalahan itu sekali gus menyaksikan Chelsea terlepas untuk menghuni puncak liga selepas aksi keempat musim ini.

Mengulas mengenai prestasi hambar itu, Mourinho berkata, beberapa kekurangan dalam skuad masih perlu diperbaiki jika Chelsea mahu mendakap trofi liga lagi.

Samuel Eto'o yang membuat penampilan pertama antara penyerang yang dipersalahkan apabila cubaannya untuk mencari gol pertama dihalang pemain baharu Everton, Gareth Barry yang melakukan terjahan.

"Pasukan tidak menjaringkan gol. Kami mempunyai peluang tetapi tidak melakukannya.

"Kita semua tahu perkara seperti ini akan berlaku pada setiap minggu jika pemain-pemain tidak menjaringkan gol. Jadi apa yang mereka lakukan tidak akan memberi apa-apa.

"Jika mereka (pemain-pemain) tidak mempunyai penyudah mereka harus mencarinya. Eto'o memiliki penyudah yang hebat dalam kariernya tetapi dengan situasi yang dihadapinya itu saya tetap gembira," kata Mourinho.

Mourinho enggan menyalahkan ketepatan sepakan Eto'o walaupun kegagalan bekas penyerang Barcelona itu untuk menjaringkan gol dikritik dan dikatakan sebagai punca kepada kekalahan Chelsea.

"Saya tidak rasa ia soal ketepatan dia menjaringkan gol. Hantaran yang dilakukan Andre Schurrle memberi masa kepada Barry untuk menghalang. Jika hantaran itu pantas, Eto'o mudah menjaringkannya.

"Mungkin pada satu hari nanti kami akan memiliki tiga peluang dan kami menjaringkan tiga gol. Kami telah melakukan 21 sepakan dan sembilan percubaan tepat ke arah pintu gol.

"Sebelum mereka menjaringkan gol, kami memiliki peluang yang mudah. Bukan itu sahaja tetapi Schurrle juga mendapat peluang untuk menjaringkan gol," jelas Mourinho. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 27 Ogos 2013

Mourinho bagi Rooney masa



ROONEY (kiri) beraksi cemerlang ketika United seri tanpa jaringan dengan Chelsea pada aksi Liga Perdana England di Old Trafford awal pagi semalam.


MANCHESTER - Pengurus Chelsea, Jose Mourinho menegaskan bahawa skuad The Blues sudah boleh melupakan impian untuk mendapatkan penyerang Manchester United, Wayne Rooney.

Mourinho mengeluarkan kenyataan itu selepas Chelsea seri tanpa jaringan dengan United pada aksi Liga Perdana England di Old Trafford awal pagi semalam.

Chelsea telah mengemukakan dua tawaran kepada United untuk mendapatkan penyerang England itu tetapi ditolak skuad The Red Devils.

Selepas Rooney mempamer aksi yang cemerlang awal pagi semalam, pengurus skuad The Blues itu mengakui, beliau mungkin gagal untuk membawa Rooney ke Stamford Bridge.

"United adalah sebuah kelab yang hebat dan mempunyai penyokong yang istimewa. Saya rasa, mungkin sekarang dia (Rooney) akan membuat keputusan untuk terus kekal di sana.

"Kalau itu keputusan Rooney, kami akan hormatinya dan akui ia sudah berakhir. Kalau sekarang dia beritahu tidak mahu pergi, maka tiada apa lagi yang boleh kami lakukan.

"Namun, kami masih menunggu keputusannya," kata Mourinho. 

Mourinho berkata, beliau akan memberikan masa selama dua hari kepada Rooney untuk memikirkan tentang masa depannya dan mahu penyerang itu tampil memberi penjelasan.

"Orang yang memulakan cerita ini harus tampil untuk menamatkannya.
"Bagi sebuah kelab seperti kami, seorang pengurus seperti saya, kami bukannya bodoh untuk mendapatkan seorang pemain sepertinya daripada sebuah kelab ternama yang tidak akan menjual pemain bintang mereka.

"Saya rasa, sudah tiba masanya demi kebaikan semua orang, dia tampil untuk menamatkan cerita ini sama ada ia memihak kami atau mereka," tambah Mourinho.

Ketika ditanya mengapa beliau fikir Rooney mahu meninggalkan United, Mourinho berkata: "Dia telah beritahu seseorang bahawa ia (menyertai Chelsea) amat penting bagi kariernya.

"Saya akan menunggu sehingga 24 jam atau 48 jam untuk dia membuat keputusan." - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 26 Ogos 2013

Man Utd-Chelsea terikat 0-0

 

MANCHESTER: Pertembungan dua gergasi, Manchester United dan Chelsea berkesudahan terikat 0-0 pada saingan Liga Perdana Inggeris, di Old Trafford, sebentar tadi.

Pengurus United, David Moyes menurunkan Wyane Rooney yang disebut-sebut dipikat Chelsea, mengemudi barisan serangan bersama Robin van Persie dan Danny Welback.

Chelsea menerusi pengendali baru, Jose Mourinho pula kerap mengasak menerusi pemain Brazil, Oscar dan Edin Hazard.

RM180j bidaan terakhir


LONDON - Chelsea akan melancarkan bidaan terakhir bernilai £35 juta (RM180 juta) ke atas penyerang Manchester United, Wayne Rooney selepas pertembungan antara kedua-dua pasukan itu pada aksi Liga Perdana England awal pagi esok.

The Blues telah 'menandatangani' pembelian terbesar pada musim panas ini selepas berjaya mengikat bekas pemain tengah Anzhi Makhachkala, Willian, 25, bernilai £30 juta (RM154.2 juta) minggu lalu.
Bagaimanapun, pengurus Chelsea, Jose Mourinho pasti menjadi individu paling kecewa jika hasratnya membawa masuk Rooney ke Stamford Bridge musim ini tidak menjadi kenyataan.

Menurut Mourinho, beliau akan menyelesaikan isu Rooney sebaik sahaja selesai pertemuan antara kedua-dua pasukan di Old Trafford nanti.

Sebelum ini, pihak pengurusan United telah dua kali menolak permintaan Chelsea untuk membeli Rooney.

Dalam masa sama, United menegaskan bahawa mereka tidak akan menjual penyerang antarabangsa England itu pada sebarang harga.

"Kami akan berusaha untuk melancarkan bidaan maksimum sebelum jendela perpindahan pemain ditutup pada 2 September depan. 

"Untuk peluang terakhir ini, kami akan berusaha habis-habisan," kata Mourinho.
Pengurus berasal dari Portugal itu juga menegaskan bahawa skuad The Blues tidak akan menjual Juan Mata.

Namun, Mourinho tidak menolak kemungkinan akan melepaskan Mata andai United membuat permintaan untuk mendapatkan perancang Sepanyol itu sebagai pertukaran dengan Rooney.

"Sehingga kini, tiada apa lagi perkembangan positif dan kami sangat menghormati keputusan mereka serta undang-undang dalam bola sepak," kata Mourinho lagi. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 23 Ogos 2013

Mourinho tak putus asa tetap bida Rooney


WAYNE ROONEY 
 
LONDON - Jose Mourinho memberi amaran kepada Manchester United bahawa dia belum berputus asa untuk memburu Wayne Rooney dan bakal melakukan percubaan ketiga untuk membawa masuk bintang penyerang England itu ke Chelsea. 

Dalam langkah yang ditafsirkan di Old Trafford sebagai sengaja diada-adakan untuk menghangatkan suasana menjelang pertemuan Liga Perdana di antara kedua-dua pasukan, Isnin ini, Mourinho berkata, dia tidak akan mengemukakan tawaran rasmi sebelum perlawanan itu. Namun akan kembali sebelum pasaran perpindahan ditutup 2 September. 

"Saya tidak mahu Chelsea melakukannya sebelum kami pergi ke sana (Old Trafford) dan semua orang dalam kelab ini, termasuk ahli lembaga bersetuju dengan saya. Kami berkongsi pandangan yang sama.

"Kami masih mempunyai masa untuk melakukan beberapa perkara, kami pernah melakukannya sebelum ini dan akan melakukannya tidak lama lagi. Begitupun saya rasa dalam tempoh menjelang perlawanan, adalah sebaiknya kami pergi secara diam dan hanya memikirkan tentang pertarungan," kata Mourinho. 

Walaupun tidak menafikan kemungkinan akan ada tawaran yang datang dalam masa terdekat, namun United tetap berpegang kepada pendirian bahawa mereka akan menolak sebarang usaha untuk mendapatkan penyerang berusia 27 tahun itu. 

Pengurus United, David Moyes dan Ketua Eksekutif kelab, Ed Woodward sebelum ini menegaskan bahawa Rooney tidak akan dibenarkan meninggalkan Old Trafford. 

Woodward telah menjelaskan kepada pegawai senior di Chelsea mengenai kedudukan United tetapi dengan kedua-dua pasukan akan bertemu, Isnin ini. Namun Mourinho diberi kebenaran untuk mengemukakan satu lagi tawaran dalam usaha menjejaskan persiapan United selain mengalihkan fokus Rooney menjelang perlawanan tersebut. 

Dua tawaran Chelsea untuk mendapatkan Rooney sebelum ini, iaitu 20 juta pound (RM103.11 juta) dan 30 juta pound (RM154.67) telah ditolak. Tawaran kedua dikemukakan, dua minggu lalu. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Selasa, 20 Ogos 2013

Mourinho sedia teruskan rentak kemenangan


LONDON - Selepas berjaya memastikan kemenangan sempena kepulangannya ke Chelsea Ahad lalu, Jose Mourinho perlu melakukan perkara yang sama apabila beraksi di tempat lawan menentang Aston Villa dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris, hari ini.

Pengendali dari Portugal itu kembali ke Stamford Bridge Ahad lalu selepas enam tahun dan cepat menyesuaikan diri dengan rutin lamanya apabila menewaskan Hull City 2-0, sekali gus meneruskan rekod tanpa kalah skuad bimbingannya di tempat sendiri kepada 61 perlawanan.

Perlawanan tersebut menyaksikan Frank Lampard menjaringkan gol melalui sepakan bebas pada minit ke-25 namun skuad Mourinho perlu lebih mantap apabila bertemu Villa.

Villa mengejutkan Arsenal 3-1 di Stadium Emirates Sabtu lalu ketika Christian Benteke sudah mendapat sentuhan jaringan dan dilihat bersedia untuk membuang memori bergelut dalam zon penyingkiran musim lalu.

Lampard, salah seorang daripada lapan pemain yang pernah di bawah bimbingan Mourinho sebelum ini berkata, sasaran Chelsea musim ini adalah memberi cabaran dalam perebutan kejuaraan liga selepas menamatkan saingan musim lalu pada tangga ketiga dan keenam pada 2012.

"Saingan EPL sangat sukar sejak kebelakangan ini. Perlawanan menjadi semakin sengit dan pantas, jadi kami perlu sentiasa menang minggu demi minggu, itu yang perlu kami lakukan sekali lagi.

"Apa yang perlu kami tekankan di sini ialah Aston Villa baru sahaja menewaskan Arsenal kerana mereka begitu pantas dan memiliki barisan pemain yang muda, jadi kami tidak boleh biarkan begitu sahaja tanpa usaha," kata pemain tengah England berusia 35 tahun itu, yang meraih dua kejuaraan liga di bawah Mourinho pada 2005 dan 2006.

Mourinho mungkin melakukan penggiliran pemain kerana mereka bukan sahaja akan bertemu Manchester United Isnin depan tetapi selepas itu terlibat dengan perlawanan Piala Super UEFA di Prague pada 30 Ogos.

Juan Mata akan diberi peluang beraksi selepas hanya menghuni bangku simpanan ketika menentang Hull berikutan kecederaan buku lali manakala Romelu Lukaku atau Demba Ba dijangka membantu Fernando Torres pada bahagian serangan. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Ahad, 18 Ogos 2013

Chelsea tawar RM204 juta


LONDON - Pengurus Chelsea, Jose Mourinho bersedia membuat bidaan terakhir bernilai £40 juta (RM204.7 juta) bagi membawa masuk penyerang Manchester United, Wayne Rooney ke Stamford Bridge dalam tempoh 48 jam.

Mourinho bertekad mahukan Rooney menyarung jersi No. 9 skuad The Blues manakala pemilik Chelsea, Roman Abramovich turut bersedia memberikan kontrak selama empat tahun serta gaji melebihi £300,000 (RM1.53 juta) seminggu buat pemain berusia 27 tahun itu.

Namun, jika pengurus Manchester United, David Moyes tetap dengan keputusannya untuk mengekalkan Rooney di Old Trafford, Mourinho akan menggunakan wang itu bagi memancing bintang Borussia Dortmund, Robert Lewandowski.

Pada masa sama, Mourinho tetap berharap Moyes serta pemilik The Red Devils akan tertarik dengan tawaran yang dikemukakan Chelsea itu serta menarik balik kenyataan mereka sebelum ini yang menegaskan bahawa Rooney bukan untuk dijual.

"Saya telah bekerja keras semasa latihan serta berusaha menjadikan diri saya cergas semula.
"Saya juga harus berterima kasih kepada jurulatih England kerana menyenaraikan saya dalam aksi persa- habatan menentang Scotland baru-baru ini.

"Kami perlu layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2014 di Brazil," kata Rooney.

Dalam pada itu, The Blues melihat 'mesin pencetak gol' Dortmund dari Poland, Lewandowski menjadi prospek terbaik seandainya mereka gagal mendapatkan khidmat Rooney.

Kontrak Lewandowski bersama Dortmund hanya tinggal semusim dan dia dikatakan bakal menyertai Bayern Munich musim depan.

Bagaimanapun, seandainya Chelsea menawarkan RM204.7 juta kepada Dortmund, kelab Jerman itu pasti akan menjual Lewandowski kepada Chelsea.

Ini kerana Dortmund tidak mahu Lewandowski menyertai seteru utama mereka dalam Liga Jerman. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Sabtu, 17 Ogos 2013

Lupa suasana Stamford Bridge


Jose Mourinho 
 
LONDON - Pengurus Chelsea, Jose Mourinho percaya saingan kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini lebih terbuka menjelang aksi pertamanya bersama Blues menentang Hull, hari ini.

Mourinho akan kembali ke Stamford Bridge melayan kunjungan skuad Steve Bruce, yang baru sahaja dinaikkan ke Liga Perdana, enam tahun selepas dia membawa skuad Blues ke era kegemilangan selama tiga tahun di kelab itu.

Pengurus dari Portugal itu membawa Blues memenangi Liga Perdana dua musim berturut-turut dan kepulangannya menjadikan Chelsea calon juara untuk merampas kejuaraan daripada Manchester United.

Mourinho, yang meninggalkan Real Madrid mendakwa saingan lebih terbuka berbanding musim-musim lalu.

"Saya yakin Liga Perdana sebuah liga yang hebat kerana banyak pasukan yang mampu mencabar kejuaraan.

"Ia hebat kerana saingannya lebih seimbang, sejak beberapa tahun lalu pasukan yang baik kini bertambah baik.

"Mungkin pada Disember atau Januari ini anda kita dapat tahu pasukan mana yang tidak cukup kuat untuk mencabar kejuaraan. Namun pada peringkat awal saingan, saya rasa enam pasukan akan bersaing," katanya.

Mourinho juga mengakui dia menjangkakan kepulangan penuh emosi di Stamford Bridge di hadapan penyokong Chelsea dan bercadang untuk mengelilingi stadium bersama para pemain sebelum sepak mula perlawanan malam ini.

Chelsea mengharungi siri jelajah pramusim di seluruh dunia namun pemain baharu termasuk Andre Schurrle dan Marco van Ginkel, belum lagi merasai pengalaman beraksi di padang sendiri.

"Bukan saya sahaja yang sudah sekian lama tidak merasai suasana di Stamford Bridge tetapi pemain baharu juga masih tidak tahu di mana letaknya bilik persalinan.

"Kami berlatih di Stamford Bridge semalam untuk pemain biasa dengan suasana stadium, di mana bilik persalinan, di mana terowong ke bilik persalinan juga bagaimana keadaan padang. Mereka tidak pernah berada di sana.

"Kembali semula ke Stamford Bridge sudah pasti satu suasana dan perasaan yang berbeza. Saya melaluinya ketika saya bersama Inter Milan," kata Mourinho.

Pertahanan dari Brazil, David Luiz tidak dapat beraksi hari ini manakala pemain tengah Sepanyol, Juan Mata mengalami kecederaan pada penghujung siri jelajah pramusim.

Van Ginkel dan Schurrle mungkin akan diturunkan serta Kevin De Bruyne yang menghabiskan masa musim lalu dipinjamkan ke Werder Bremen. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Khamis, 15 Ogos 2013

Luiz bukan untuk dijual



LUIZ (kanan) dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona.


LONDON - Pengurus Chelsea, Jose Mourinho menegaskan, kelab itu tidak akan menjual pemain pertahanan, David Luiz meskipun mendapat tawaran lumayan daripada kelab gergasi Sepanyol, Barcelona.

Bintang Brazil berusia 26 tahun itu telah dikaitkan dengan perpindahan mengejut ke Sepanyol.
Bagaimanapun, pengurus yang mendapat jolokan The Special One itu menegaskan, Luiz mempunyai perancangan jangka panjang di Stamford Bridge.

"Tiada sebab untuk Luiz meninggalkan kami. Dia merupakan aset jangka panjang kami. Dia masih mempunyai baki kontrak selama empat tahun dan baharu menandatangani kontrak tahun lalu.
"Kami memerlukan khidmatnya. Dia juga merupakan pemain yang sangat penting dalam pasukan ini. Saya ingin tegaskan bahawa kami belum bersedia melepaskannya walaupun mendapat tawaran lumayan," kata Mourinho.

Luiz tiba di England pada 2011 daripada Benfica dan menandatangani kontrak baharu 11 bulan yang lalu.

Ketika ini, timbul spekulasi yang mengaitkan Luiz dengan skuad The Catalan.
Mourinho berkata, beliau tidak mengetahui tentang perkara itu tetapi enggan menolak kemungkinan bahawa Luiz pernah menyuarakan keinginannya itu.

"Kali terakhir saya terbaca kenyataan Luiz adalah ketika dia mendakwa tidak akan bercakap mengenai kelab apabila bersama skuad kebangsaan.

"Saya menganggap ia satu kenyataan sangat matang dan dia merupakan pemain yang sangat bijak," jelas Mourinho. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 11 Ogos 2013

Gol Lukaku hampakan Roma


WASHINGTON - Jaringan pada babak kedua oleh Frank Lampard dan Romelu Lukaku menjulang Chelsea dengan kemenangan 2-1 ke atas Roma dalam aksi persahabatan di Stadium RFK Stadium, semalam.

Lukaku menjaringkan gol pada minit ke-88 untuk memberikan Chelsea kemenangan dalam aksi persahabatan terakhir sebelum Liga Perdana Inggeris memulakan saingan hujung minggu ini.
Pemain veteran, Lampard menyamakan kedudukan buat skuad Blues pada minit ke-60 selepas Roma mendahului pada minit ke-20 menerusi Eric Lamela.

Chelsea mempamer permainan pantas pada awal perlawanan dan penjaga gol Roma, Morgan de Sanctis berjaya menafikan jaringan awal pada minit kedua menerusi voli Michael Essien.

Roma mendahului pada minit ke-20 akibat kesilapan penjaga gol Chelsea, Mark Schwarzer yang gagal mengawal keadaan ketika bola dihantar kepadanya yang membuka ruang Eric Lamela mencuri gol.

Pengurus Chelsea, Jose Mourinho melakukan enam pertukaran pada babak pertama dan ini membolehkan Blues terus memberi tekanan kepada Roma.

Kemenangan itu mengakhiri empat perlawanan Chelsea sepanjang siri jelajah pramusim di Amerika Syarikat.

Chelsea mengalahkan AC Milan dan Inter Milan 2-0 namun kalah 1-3 kepada Real Madrid.
Ia merupakan kali kedua Mourinho membimbing Chelsea selepas kejayaan Blues dalam Liga Perdana Inggeris pada musim 2005 dan 2006. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Sabtu, 10 Ogos 2013

Wan Zack teruja beraksi lawan Barca

Bukit Jalil: Pemain sayap muda negara, Wan Zack Haikal Wan Norpasti antara pemain skuad Harimau Malaya yang begitu teruja untuk turun beraksi menentang kelab gergasi Sepanyol, Barcelona di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

Ini kerana Wan Zack Haikal, 22, tiada dalam skuad ketika Harimau Malaya tewas 4-1 kepada Chelsea, 21 Julai lalu memandangkan dia ketika itu sedang menjalani proses pemulihan bersama kelabnya, FC Ryukyu di Okinawa, Jepun.
Kecederaan buku lali sudah pulih

Namun ketika skuad kendalian Datuk K Rajagobal itu berkunjung ke Tokyo, Jepun untuk siri tiga aksi persahabatan di sana, dua minggu lalu, Wan Zack Haikal dipanggil menyertai pasukan dan beraksi pada dua perlawanan terakhir bertemu Shonan Bellmare dan Tokyo Verdy.

“Saya cukup gembira dan teruja untuk turun menentang Barcelona ini kerana ia bakal menjadi perlawanan ketiga saya selepas berehat tiga bulan kerana kecederaan buku lali. Persiapan saya ketika ini okey, tiada masalah.

“Semangat saya untuk skuad kebangsaan masih sama dan agak lebih juga kerana saya sendiri pun lama tak beraksi,” kata Wan Zack Haikal ketika ditemui selepas latihan, petang semalam.

Ronaldo nafi persenda Mourinho


GAYA Ronaldo ketika meraikan jaringannya pada pertemuan menentang Chelsea dalam aksi final Trofi Juara-Juara Antarabangsa di Miami kelmarin.


LONDON - Bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo menafikan bahawa caranya meraikan jaringan ketika membantu Real Madrid membenam Chelsea 3-1 awal pagi kelmarin ditujukan khas kepada bekas jurulatihnya, Jose Mourinho.

Ronaldo menjelaskan, tiada persengketaan antara dia dengan Mourinho meskipun pengurus The Blues itu memberi komen negatif mengenai dirinya ketika dibandingkan dengan bekas penyerang sensasi Brazil, Ronaldo.

"Saya lebih suka membuktikan kata-kata saya di tengah padang. Apa yang berlaku di luar padang sama sekali tidak menjejaskan saya atau memberi kesan negatif kepada saya," jelas Ronaldo.

"Misi saya ialah membantu Real mencapai objektif yang telah ditetapkan dan apa yang berlaku selain daripada itu, langsung tidak menyakiti hati saya."

Pada aksi final Trofi Juara-Juara Antarabangsa di Miami kelmarin, Ronaldo meledak dua gol dan gayanya ketika meraikan jaringan tersebut dilihat seperti mempersendakan Mourinho yang terkenal dengan gelaran The Special One.

Mourinho pula cuba mengelak daripada menghangatkan lagi isu itu ketika sidang akhbar selepas perlawanan dengan berkata: "Saya tidak tahu apa yang Ronaldo katakan, ia bukan masalah saya. Saya telah cuba memberi yang terbaik untuk Chelsea.

"Apa yang saya beritahu sebelum ini mengenai Ronaldo (bekas penyerang Brazil) itu adalah kerana dia adalah Ronaldo yang pertama.

"Kalau kamu (pihak media) tanya saya siapa Mueller yang lebih hebat, Thomas atau Gerd, saya akan kata Gerd.

"Bagi saya siapa yang datang dahulu dia adalah pemain pertama. 

"Ini adalah wayang yang dicetuskan oleh Real kerana kelab itu memang suka bersandiwara," tambah Mourinho lagi. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 6 Ogos 2013

Peluang Mourinho malukan Real


MIAMI, Florida - Jose Mourinho berpeluang membuktikan penghijrahannya ke Chelsea adalah tepat dan berbaloi apabila bertemu bekas kelabnya, Real Madrid pada final Piala Juara Antarabangsa, awal pagi esok.

Walaupun perlawanan itu sekadar aksi pemanas badan menjelang musim baharu, ia dilihat tetap penting buat pengendali dari Portugal itu dalam menjawab persoalan, mengapa Real tidak begitu menyinar sepanjang eranya sebagai jurulatih sebelum ini?

Malah perasaan kecewa tidak dihormati presiden, penyokong dan pemain Real sendiri seperti Iker Casillas dan Cristiano Ronaldo, membuatkan semangatnya membuak-buak untuk 'mengajar' bekas kelabnya itu.

"Madrid adalah politik. Madrid bukan tentang bola sepak atau tentang sukan," kritik Mourinho Ahad lalu tentang mainan politik dalaman Real sepanjang eranya.

Beliau turut menyerang imej Ronaldo dengan menyifatkan pemain itu tidak sehebat mana. Ronaldo pula pantas membalas kenyataan Mourinho itu.

"Kami akan menentang Chelsea dan bukan pengurusnya. Walaupun ia sekadar persahabatan, kami tetap mahu menang.

"Saya tidak mahu meludah ke langit dan kemudian terkena ke muka sendiri. Saya lebih suka melihat sisi positif Mourinho dan perlawanan itu nanti," kata Ronaldo.

Berbekalkan pemain terbaik yang dimilikinya di Chelsea ketika ini, Mourinho juga mahu menunjukkan kepada presiden Real, Florentino Perez bahawa wang bukanlah segala-galanya untuk berjaya.

Buktinya Mourinho enggan berbelanja besar. Selepas gagal membawa masuk Radamel Falcao dan Edinson Cavani, dia hanya dilihat berminat dengan pemain lebih murah, Wayne Rooney. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my