Memaparkan catatan dengan label Itali. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Itali. Papar semua catatan

Isnin, 30 September 2013

Roma pertahan rekod bersih


PEMAIN-PEMAIN Roma meraikan kejayaan pasukan itu membelasah Bologna 5-0 pada aksi Serie A di Stadium Olimpik, Rom awal pagi semalam.


MILAN - AS Roma mempertahankan rekod tanpa kalah selepas membelasah Bologna 5-0 pada aksi Serie A di Stadium Olimpik, Rom awal pagi semalam.

Kemenangan besar tersebut meletakkan skuad bimbingan Rudi Garcia itu di kedudukan teratas liga selepas mengumpul 18 mata, dua mata di depan pencabar terdekat iaitu Napoli dan Juventus.

"Kami mahu beraksi semula di pentas Eropah seperti mana pasukan hebat lain iaitu Napoli dan Juventus.

"Namun, kemampuan sebenar kami hanya akan diuji sebaik bertemu kedua-dua pasukan itu.
"Buat masa ini, masih terlalu awal untuk berasa selesa kerana mereka hanya ketinggalan dua mata di belakang kami," kata Garcia.

Pada perlawanan itu, Alessandro Florenzi meletakkan Roma di depan seawal minit kelapan sebelum Gervinho menggandakan kelebihan 10 minit kemudian.

Mehdi Benatia menjaringkan gol ketiga pada minit ke-25 sebelum Gervinho memastikan Roma berada di kedudukan selesa pada minit ke-62.

Pemain gantian, Adem Ljajic akhirnya melengkapkan kemenangan bergaya Roma apabila menjaringkan gol kelima pada minit ke-85.

Lebih manis, jaringan itu hadir pada hari jadi Ljajic yang ke-22.

"Ljajic cukup yakin setiap kali beraksi, dia tidak melepaskan peluang menjaringkan gol.
"Sudah tentu dia ada melakukan beberapa kesilapan kerana belum cukup matang tetapi saya gembira apabila dia berjaya memanfaatkan peluang," kata Garcia. - AP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 15 Julai 2013

Benitez idam trofi Serie A

BENITEZ (empat dari kiri) menyampaikan amanat kepada pemain-pemain Napoli pada sesi latihan di Dimaro, Itali kelmarin.


ROM - Rafael Benitez yakin Napoli mampu memecahkan dominasi Juventus bagi menguasai saingan Serie A musim depan.

Skuad The Naples sekadar menamatkan saingan selaku naib juara musim lalu selepas terpaksa akur dengan kehebatan skuad kendalian Antonio Conte itu mempertahankan kejuaraan.

Namun, Benitez yang menggantikan Walter Mazzarri di Stadium San Paolo mensasarkan trofi Serie A musim ini, sekali gus memecahkan dominasi Juventus.

"Juventus merupakan sebuah pasukan yang kuat tetapi masih ada pasukan lain yang mampu mencabar mereka.

"Misi kami adalah mahu menjadi pencabar Juventus dan saya mahu merealisasikan perkara itu, sekali gus menceriakan peminat-peminat Napoli," kata pengendali kelahiran Sepanyol berusia 53 tahun itu.
Pada masa sama, Benitez juga enggan mengulas lanjut mengenai masa depan penyerang, Edinson Cavani yang dikatakan hampir pasti menyertai Paris Saint-Germain.

"Saya telah mengadakan perbincangan dengan Cavani, namun ketika ini tugas menjadi fokus utama saya.

"Sekiranya dia kekal bersama kami, kami akan bertemu kembali pada 21 Julai depan," katanya. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Sabtu, 6 Julai 2013

Harimau Muda lakar kejutan benam Itali 2-0

KAZAN, Rusia - Harimau Muda A membuat kejutan apabila meraih kemenangan pertama menundukkan Itali 2-0 pada perlawanan pertama peringkat kumpulan di temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) ke-27, di sini, kelmarin.


Walaupun Itali dibarisi tujuh pemain yang beraksi pada kejohanan Euro Bawah 21 tahun di Israel baru-baru ini, ia tidak menggentarkan semangat pemain Harimau Muda yang berjaya memecahkan kebuntuan gol melalui A.Thamil Arasu pada minit ke-20 selepas bijak melepasi dua pemain pertahanan lawan sebelum meledak masuk bagi meletakkan Malaysia di hadapan.

Pada babak kedua perlawanan, lima pemain negara dilayangkan kad kuning, yang menambah ketegangan kedua-dua pasukan sehingga kad merah pertama dilayang kepada pemain Itali, Andrea Settembrini kerana mengasari pemain negara D. Saarvindran pada minit ke-67.

Tujuh minit kemudian skuad negara dikejutkan dengan tindakan pengadil melayangkan kad merah kepada penjaga gol utama negara, Mohd. Izham Tarmizi Roslan kerana menarik pemain lawan ketika mahu menyelamatkan bola dalam kotak penalti. 

Pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee terpaksa mengeluarkan Ahmad Hazwan Bakri dengan memasukkan penjaga gol kedua, Mohd. Farhan Abu Bakar bagi menggantikan Moh.d Izham.

Kemasukan Mohd. Farhan nyata tidak mengecewakan apabila menyelamatkan gawang pintu gol negara daripada dibolosi sepakan penalti pemain Itali, Manuel Ricci. 

Lima minit kemudian skuad negara sekali lagi menerima cabaran hebat apabila pemain mereka, Syahrul Azwari Ibrahim dilayangkan kad merah kedua pada minit ke-78, yang menghadiahkan sepakan penalti buat lawan.

Mohd. Farhan sekali lagi bertindak cemerlang menafikan sepakan pemain Itali, Andrea Burato.
Meskipun terpaksa beraksi dengan sembilan pemain, benteng pertahanan skuad negara tetap kukuh apabila menggagalkan beberapa peluang percubaan lawan membuat jaringan.

Pasukan Itali yang berkelebihan seorang pemain menjadi lebih tertekan untuk mencari gol penyamaan dengan bertindak mengasari pemain lincah negara Wan Zaharulnizam Wan Zakaria di hadapan pintu gol mereka sekali gus menghadiahkan sepakan penalti buat skuad negara yang disempurnakan Saarvindran pada minit ke-86 untuk gol bagi Malaysia.

Malaysia disenaraikan dalam kumpulan C bersama Itali, Great Britain dan Algeria.

Perlawanan kedua menentang Great Britain dijadual berlangsung Isnin ini (8 Julai).
Sementara itu, jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee kagum dengan semangat juang dipamerkan oleh anak-anak buahnya walaupun beraksi dengan 10 pemain sambil mengingatkan perjuangan sebenar baru sahaja bermula.

"Pemain menunjukkan semangat juang yang cukup tinggi dan mengekalkan disiplin sehingga wisel penamat tetapi kita tak boleh cepat lupa diri kerana kita perlu memastikan layak terlebih dahulu ke pusingan seterusnya.

"Berdepan Great Britain pada aksi seterusnya, kita terpaksa menggunakan pemain yang ada dan kita tiada pilihan lain, cuma saya harapkan pemain dapat lebih berwaspada dan tidak mengutip sebarang kad lagi.

"Corak bertahan sentiasa akan menjadi tumpuan saya tetapi pada masa yang sama kita perlu bijak mengatur serangan balas untuk memerangkap lawan, " katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Selasa, 2 Julai 2013

Buffon 'hadiahkan' Itali tempat ke-3


Gianluigi Buffon menepis sepakan penalti pemain Uruguay, Martin Caceres pada kejohanan Piala Konfederasi di Salvador, Brazil, semalam. - AFP 
 
SALVADOR, Brazil - Gianluigi Buffon menyelamatkan tiga sepakan penalti untuk Itali menang 3-2 ke atas Uruguay pada penentuan penalti dan memastikan tempat ketiga pada Piala Konfederasi setelah kedudukan terikat 2-2 selepas masa tambahan semalam.

Kemenangan itu sekali gus menebus kehampaan Itali yang kalah kepada Sepanyol juga menerusi penentuan penalti pada perlawanan separuh akhir.

Penentuan penalti tersebut menutup perlawanan menarik di Arena Fonte Nova, di mana Alessandro Diamanti menjaringkan satu gol dan membuka gerakan untuk satu lagi gol Itali.

Edinson Cavani menjaringkan dua gol penyamaan buat Uruguay. 

Ketika penentuan penalti, Buffon, 35, menafikan sepakan pertama Uruguay yang dilakukan oleh Diego Forlan dan kemudiannya menafikan sepakan Martin Caceres sebelum Walter Gargano gagal menyempurnakan sepakan yang memberikan kemenangan kepada Itali.

Alberto Aquilani, Stephan El Shaarawy dan Emanuele Giaccherini masing-masing menyempurnakan penalti buat Itali manakala sepakan Mattia De Sciglio dinafikan penjaga gol Uruguay, Fernando Muslera. 

Itali yang beraksi tanpa pemain utama Mario Balotelli dan Andrea Pirlo serta pemain tonggak lain, menamatkan perlawanan dengan 10 pemain selepas Riccardo Montolivo dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-110 setelah mengkasari Luis Suarez. 

Uruguay pula menurunkan skuad terkuat, hampir sama dengan barisan pemain ketika mereka kalah 1-2 kepada Brazil pada separuh akhir.

Buffon hampa ketika separuh akhir apabila Itali kalah 6-7 pada penentuan penalti menentang Sepanyol, namun semalam tuah memihak penjaga gol veteran itu semalam.

"Selepas gagal memberikan kegembiraan kepada rakan sepasukan ketika menentang Sepanyol, saya berjaya melakukannya hari ini, walaupun ia agak lewat.

"Ia pastinya mengecewakan jika kami kalah hari ini, kerana sukar untuk kami beraksi dua hari selepas perlawanan separuh akhir (menentang Sepanyol)," kata Buffon.
- Agensi

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Sabtu, 29 Jun 2013

Itali terpaksa akur kehebatan La Roja

FORTALEZA, Brazil - Pengendali Itali, Cesare Prandelli menggesa anak-anak buahnya supaya mencontohi Sepanyol sebaik tumpas menerusi penentuan sepakan penalti 6-7 dalam aksi separuh akhir Piala Konfederasi 2013 di Fortaleza awal pagi semalam.

Selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sebaik masa sebenar perlawanan tamat, tonggak pertahanan The Azzurri, Leonardo Bonucci gagal menyempurnakan sepakan penalti dalam aksi di Estadio Castelao itu untuk memisahkan kedua-dua pasukan.
Peluang itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh skuad La Roja apabila Jesus Navas tenang menyempurnakan sepakan penalti terakhir sekali gus mara ke pentas final untuk berdepan Brazil, Isnin ini.

Keputusan itu jelas gagal mengubati kekecewaan Itali yang turut tumpas 0-4 kepada Sepanyol dalam final Euro 2012.

Biarpun menguasai babak pertama, skuad kendalian Prandelli yang menggunakan formasi 3-4-2-1 gagal memecahkan penguasaan Sepanyol di bahagian tengah.

Peluang terbaik Itali hadir menerusi percubaan Emanuele Giaccherini yang sekadar terkena tiang pada masa tambahan.

Enggan menyalahkan pemainnya, Prandelli mahu anak-anak buahnya mencontohi persembahan Sepanyol yang menggunakan taktik tiki-taka sejak lima tahun lalu.

"Sepanyol muncul pasukan yang terbaik sejak kebelakangan ini dan kami perlu mencontohi mereka.
"Kami berjaya memberikan saingan dan mengheret perlawanan sehingga ke penentuan sepakan penalti namun nasib tidak menyebelahi kami," kata Prandelli.

Dengan keputusan itu, Itali bakal berdepan Uruguay dalam penentuan tempat ketiga, Isnin ini.
Pada masa sama, Prandelli percaya kekalahan itu bakal memberikan keyakinan kepada pemainnya supaya tidak mengambil mudah sebarang cabaran selepas ini.

"Perlawanan ini ujian yang cukup bagus buat kami dan saya percaya kami berjaya melepasi ujian itu biarpun keputusan tidak memihak kepada kami.

"Kami berjaya membuktikan bahawa kami memiliki kualiti untuk berjuang habis-habisan.
"Cuma, saya harap format pertandingan selepas ini dikaji semula kerana kami tampak keletihan dan memerlukan lebih masa untuk berehat sebelum kembali beraksi," katanya. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Khamis, 27 Jun 2013

Tevez dapat jersi Del Piero

Carlos Tevez tiba di lapangan terbang Malpensa, di Varese, Itali semalam selepas bersetuju menyertai Juventus dengan bayaran yang dilaporkan mencecah RM58.63 juta - AGENSI
 
TURIN, Itali - Carlos Tevez bakal menggalas tugas mencabar di Juventus apabila diberikan jersi No. 10 milik legenda The Old Lady, Alessandro Del Piero selepas menamatkan empat tahun yang penuh kontroversi di Manchester City. 

Bintang penyerang Argentina berusia 29 tahun itu mengesahkan perpindahannya ke Turin selepas mengikat kontrak tiga tahun. Juventus bagaimanapun tidak menyatakan berapakah yuran yang dibayar oleh gergasi Serie A itu, namun media Itali melaporkan perpindahan bernilai sekitar 12 juta pound (RM58.63 juta), termasuk bonus
.
Juventus mengumumkan ketibaan bekas bintang Manchester United itu dengan gambarnya menerima jersi No. 10 yang terkenal daripada Presiden kelab, Andrea Agnelli disiarkan secara rasmi.

"Bintang Argentina ini sudah biasa menang dan dia telah melakukan perkara itu di mana-mana dia berada," kata Juventus dalam laman web rasmi mereka, www.juventus.com.

Del Piero menghabiskan hampir 20 tahun di Juventus dan membantu mereka memenangi Liga Juara-Juara 1996, malah tetap setia bersama kelab walaupun ketika mereka disingkirkan ke Serie B pada musim 2006/2007 kerana didapati bersalah menjual perlawanan. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Rabu, 26 Jun 2013

Gilardino ganti Balotelli


XAVI Hernandez (tengah) menjalani latihan bersama David Villa (kiri) dan Juan Mata di Fortaleza, semalam. - AFP 
 
FORTALEZA, Brazil - Alberto Gilardino bakal mengetuai serangan Itali menggantikan Mario Balotelli yang cedera apabila pasukan itu menentang Sepanyol dalam separuh akhir Piala Konfederasi awal pagi esok.

Balotelli terpaksa menarik diri daripada kejohanan selepas mengalami kecederaan paha kiri, situasi yang memeningkan jurulatih Cesare Prandelli untuk mencari pemain yang mampu menggantikan penyerang Itali paling berpengaruh sejak 12 bulan lalu itu.

Gilardino merupakan anggota skuad yang merasai kegemilangan pada Piala Dunia 2006 di Jerman dan walaupun hanya beraksi empat minit dalam Piala Konfederasi, pemain Bologna berusia 30 tahun itu dijangka mampu memberikan impak apabila menentang Sepanyol nanti.

"Ketiadaan Balotelli merupakan kehilangan besar buat kami. Kami tahu betapa bagusnya dia dan apa yang dia sumbangkan kepada pasukan pada kejohanan ini.

"Kami bersimpati kerana dia terpaksa pulang. Dia benar-benar mahu beraksi menentang Sepanyol, namun ada pemain yang bersedia menggantikan tempatnya, yang mahu beraksi dan memberikan yang terbaik.

"Kami ada Gilardino, yang tahu bagaimana untuk mencipta jaringan dan saya yakin dia mampu melaksanakan tugasnya dengan baik," kata pemain Itali, Claudio Marchisio.

Marchisio berkata, prestasi mengkagumkan Balotelli pada saingan peringkat kumpulan dengan menjaringkan gol ketika menentang Mexico dan Jepun, adalah tanda pemain berusia 22 tahun itu semakin matang.

"Dia beraksi pada bahagian depan, dia cuba memberikan yang terbaik dan dia masih mampu memberikan kelainan, seperti mana ketika menentang Mexico (apabila Balotelli menjaringkan gol kemenangan untuk Itali menang 2-1)," katanya.

Sepanyol ke separuh akhir dengan mengalahkan Uruguay 2-1, membelasah Tahiti 10-0 sebelum mengalahkan Nigeria 3-0.

Ditanya bagaimana untuk menyekat gandingan pemain yang mewakili Barcelona, Xavi dan Andres Iniesta yang kerap menguasai bahagian tengah, Marchisio berkata: "Mereka adalah yang terbaik pada posisi tengah. Kami tahu kekuatan Sepanyol adalah penguasaan bola mereka dan itulah yang kami usahakan sejak beberapa hari lalu," katanya.

Itali tetap menerima khabar gembira apabila pemain tengah, Andrea Pirlo kembali menjalani latihan penuh setelah tidak beraksi ketika Itali kalah 2-4 kepada Brazil akibat kecederaan betis. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Selasa, 25 Jun 2013

Itali ditimpa malang

BALOTELLI (kanan) tiba di lapangan terbang di Fortaleza, Brazil untuk kembali ke Itali bagi merawat kecederaan paha yang dialaminya kelmarin.


FORTALEZA, Brazil - Itali terpaksa melupakan khidmat penyerang kontroversi, Mario Balotelli pada aksi separuh akhir Piala Konfederasi 2013 di Stadium Castelao awal pagi Jumaat ini.

Jurulatih skuad The Azzurri, Cesare Prandelli mengambil keputusan untuk menghantar Balotelli pulang ke Itali bagi merawat kecederaan paha yang dialaminya selepas berbincang dengan doktor pasukan, Enrico Castellacci.

"Saya rasa seperti seorang yang tidak berguna kerana meninggalkan kempen ini dengan cara seperti ini. 

"Kalau boleh, saya mahu terus berada di sini tetapi AC Milan akan beraksi pada pusingan awal Liga Juara-Juara musim depan. Jadi, saya kena jaga diri saya sendiri.

"Bagaimanapun, rakan sepasukan saya akan beraksi dengan baik walaupun tanpa kehadiran saya," kata Balotelli sebaik meninggalkan hotel pasukan semalam.

Balotelli mengalami kecederaan pada paha kirinya ketika Itali tewas 2-4 kepada Brazil pada aksi terakhir Kumpulan A awal pagi Ahad lalu.

Dia merupakan peledak berbisa skuad The Azzurri setakat ini selepas menjaringkan gol kemenangan 2-1 ke atas Mexico serta menyempurnakan sepakan penalti ketika menang 4-3 ke atas Jepun.

"Dia (Balotelli) sangat sedih dengan kecederaan ini tetapi dia juga tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk pulih daripada kecederaan itu.

"Kami mengambil keputusan untuk menghantarnya pulang ke Itali tanpa sebarang tekanan daripada Milan. Kami hanya menggunakan pertimbangan kami," kata Prandelli.

Alberto Gilardino dilihat sebagai pengganti yang sesuai bagi menggantikan tempat Balotelli jika Prandelli masih mahu menggunakan formasi seorang penyerang.

Prandelli juga masih memiliki beberapa alternatif lain di posisi serangan seperti Emanuele Giaccherini, Stephan El Shaarawy, Sebastian Giovinco, Alessio Cerci atau Alessandro Diamanti.

"Tanpa Balotelli, kami terpaksa bekerja lebih keras secara berpasukan. Jadi, kami akan cuba melakukannya," kata Prandelli. - AP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 23 Jun 2013

Brazil pamer belang



AKSI cemerlang Neymar mendapat pujian jurulatih Brazil yang menganggapnya seorang pemain genius ketika menewaskan Itali.


SALVADOR DE BAHIA, Brazil - Aksi cemerlang Brazil pada babak kedua berjaya membantu tuan rumah Kejohanan Piala Konfederasi itu mencatat kemenangan 4-2 ke atas Itali dalam saingan Kumpulan A di Salvador, awal pagi semalam.

Kejayaan itu juga menyaksikan skuad kendalian Luiz Felipe Scolari itu muncul juara kumpulan, sekali gus mengelak daripada bertemu Sepanyol di separuh akhir.

Mereka setakat ini mengekalkan rekod bersih dengan tiga kemenangan dan berkemungkinan berjumpa Uruguay di Belo Horizonte awal pagi Khamis ini.

Scolari menjelaskan bahawa Brazil kini sudah mula menunjukkan potensi sebenarnya meskipun menegaskan bahawa keutamaan mereka adalah memenangi Piala Dunia tahun depan berbanding trofi keempat berturut-turut dalam kempen ini.

"Kami telah berjaya menewaskan pasukan Itali yang kuat dan saya rasa ia membuktikan bahawa kami kini di landasan yang betul.

"Bagaimanapun, masih ada beberapa perkara yang harus kami perbaiki dan kami tidak boleh terlalu terbawa-bawa dengan kejayaan ini," jelas Scolari yang pernah membawa Brazil menjuarai Piala Dunia 2002.

Dalam aksi semalam, Brazil mendahului pada masa kecederaan babak pertama menerusi Dante sebelum Emanuele Giaccherini menyamakan kedudukan pada minit ke-51.
Penyerang sensasi Barcelona, Neymar bagaimanapun kembali meletakkan skuad Samba itu di depan menerusi gol kedua pada minit ke-55 sebelum Fred menjadikan kedudukan 3-1 hasil jaringan minit ke-67.

Itali yang kehilangan khidmat perancang, Andrea Pirlo ekoran kecederaan kembali merapatkan jurang 3-2 menerusi pertahanan Giorgio Chiellini pada minit ke-71 namun Fred sekali lagi tampil menjadi pemusnah kepada The Azurri dengan jaringan pada minit ke-89.
Scolari turut memuji aksi cemerlang Neymar dengan menyifatkan pemain berusia 21 tahun itu seorang yang genius.

"Dia adalah wira kepada rakyat Brazil dan setiap orang yang meminati bola sepak.
"Pergerakannya sangat bagus hari ini dan seorang pemain yang bijak sepertinya mampu membawa perbezaan di atas padang," jelasnya lagi.

Neymar turut diumumkan pemain terbaik perlawanan selepas berjaya meledakkan gol ketiga dalam tiga perlawanan buat Brazil. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Khamis, 20 Jun 2013

Jepun tak bernasib baik

Pemain Jepun, Shinji Okazaki (atas kiri) melepasi pemain Itali, Riccardo Montolivo untuk menjaringkan gol dalam saingan Kumpulan A Piala Konfederasi di Arena Pernambuco, Recife, semalam. Itali menang 4-3. - REUTERS 
 
RECIFE, Brazil - Seorang gembira manakala seorang lagi mengeluh selepas Itali melangkah ke separuh akhir Piala Konfederasi semalam dengan menyingkirkan pasukan degil, Jepun 4-3. 

Biarpun Cesare Prandelli sedikit kecewa dengan benteng pertahanannya, namun dia tetap memuji semangat juang yang ditunjukkan skuad Azzurri ketika bangkit daripada ketinggalan dua gol dalam tempoh 33 minit pertama. 

Namun, bagi rakan senegaranya, Alberto Zaccheroni perlawanan semalam memberi perasaan bercampur baur. 

Dia menghormati kebangkitan pasukan negara kelahirannya, tetapi sebagai pengendali Jepun dia kecewa kerana Blue Samurai terlepas peluang terbaik untuk melakar kejutan besar. 

Prandelli melancarkan perang psikologi sebelum saingan bermula dengan mengatakan Jepun adalah pasukan pilihan dalam perlawanan tersebut, sekali pun juara Asia itu tidak memiliki rekod memenangi empat Piala Dunia seperti lawan mereka. 

Dalam sebahagian besar perlawanan, Jepun mempamerkan aksi terpuji sehinggalah pemain gantian, Sebastian Giovinco menjaringkan gol dramatik untuk memastikan kemenangan Itali, empat minit sebelum tamat permainan. 

"Kami turun berhabis-habisan untuk mencari kemenangan kerana kami belum memungut sebarang mata," kata Zaccheroni, yang menyaksikan pasukannya bermula baik dengan mendahului 2-0 menerusi sepakan penalti Keisuke Honda dan jaringan Shinji Kagawa.

Selepas Itali menafikan impian naib juara Piala Konfederasi 2001 itu untuk ke separuh akhir, Zaccheroni berkata, walaupun mengalami dua kekalahan, namun kejohanan ini berguna untuk mengutip pengalaman antarabangsa. 

"Perbezaan pengalaman dalam perlawanan antarabangsa memang jelas, tetapi saya tidak fikir kualiti kami lebih rendah. 

"Perlawanan ini sangat menarik, ia mengingatkan saya kepada keputusan 4-3 pada separuh akhir Piala Dunia 1970 antara Itali dan Jerman," katanya. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Isnin, 17 Jun 2013

Balotelli cetus kontroversi



BALOTELLI (tengah) menanggalkan jersinya selepas meledakkan gol kemenangan 2-1 Itali ke atas Mexico pada aksi Kumpulan A kempen Piala Konfederasi 2013 di Stadium Maracana awal pagi semalam.



RIO DE JANEIRO - Pengendali Itali, Cesare Prandelli menyelar tindakan Mario Balotelli ketika menewaskan Mexico 2-1 pada aksi Kumpulan A kempen Piala Konfederasi 2013 awal pagi semalam.
Pada aksi di Stadium Maracana tersebut, penyerang AC Milan berusia 22 tahun itu membuka jersinya bagi meraikan kejayaan menjaringkan gol kemenangan Itali pada minit ke-78.

Insiden itu menyebabkan Balotelli dilayangkan kad kuning oleh pengadil.
"Balotelli tidak sepatutnya bertindak seperti itu (membuka jersi) setiap kali dia menjaringkan gol.
"Dilayangkan kad kuning pada pertandingan seperti ini gara-gara kesalahan tersebut memang satu tindakan yang bodoh," kata Prandelli.

Itali terlebih dahulu mendahului menerusi jaringan Andrea Pirlo pada minit ke-27 sebelum Javier Hernandez mengikat kedudukan pada minit ke-34.

Namun, Prandelli mengakui lega kerana kemenangan itu dianggap sebagai penyuntik moral menjelang aksi kedua kumpulan berdepan Jepun.

"Ia satu perlawanan yang cukup sengit tetapi kami berjaya mendominasi saingan.
"Mexico menghukum kesilapan kami dengan melancarkan serangan balas," katanya.
Prandelli turut menuntut anak-anak buahnya supaya berwaspada dengan ancaman Jepun yang tewas 0-3 kepada tuan rumah, Brazil kelmarin.

"Jurulatih Jepun (Alberto Zaccheroni) cukup memahami corak permainan kami.
"Jadi, kami perlu kekal berwaspada jika mahu membawa pulang tiga mata, sekali gus menjamin slot ke separuh akhir sebelum berdepan Brazil pada aksi terakhir kumpulan," katanya.

Dalam pada itu, jurulatih Mexico, Jose Manuel de la Torre menganggap kemenangan Itali lebih banyak bergantung kepada keupayaan individu pemain.

"Atas kertas, kemampuan kedua-dua pasukan tidak banyak bezanya. Itali memiliki pemain yang mempunyai skil individu yang tinggi.

"Ada kelemahan yang perlu diperbaiki sebelum berdepan Brazil," katanya. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Khamis, 13 Jun 2013

Prandelli 'malu besar'



PRANDELLI (dua dari kiri) memberikan arahan kepada pemain-pemain Itali ketika menggendalikan sesi latihan pasukan itu di Rio de Janeiro, Brazil kelmarin.


RIO DE JANEIRO - Pengendali Itali, Cesare Prandelli mengakui beliau malu besar apabila skuad The Azzurri terikat 2-2 dengan Haiti pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Sao Januario, Selasa lalu.

Jurulatih berusia 55 tahun itu berkata, Itali gagal mempamerkan aksi sebenar, sekali gus menuntut anak-anak buahnya mempamerkan kebangkitan menjelang aksi pembuka tirai kempen Piala Konfederasi 2013 berdepan Mexico minggu depan.

"Ia satu keputusan yang buruk dan memalukan apabila sekadar seri dengan Haiti.
"Semangat juang dalam kalangan pemain juga tidak cukup bagus.

"Saya akan memastikan ia dapat diatasi segera, termasuk mengadakan latihan khas iaitu ujian larian secara individu.

"Jadi, saya harap tempoh lima hari mencukupi sebelum memulakan kempen Piala Konfederasi 2013," kata Prandelli.

Pada aksi menentang Haiti, skuad The Azzurri hanya mengambil masa 19 saat untuk mendahului hasil jaringan Emanuele Giaccherini yang bijak menyambar hantaran lintang Antonio Candreva.

Bagaimanapun, naib juara Euro 2012 itu terpaksa menunggu sehingga ke minit ke-70 untuk memperoleh gol kedua menerusi pemain gantian, Claudio Marchisio.

Itali yang beraksi lebih santai selepas mendahului 2-0, ditimpa malang apabila pemain gantian Haiti, Olrish Saurel merapatkan jurang pada minit ke-85 hasil satu sepakan penalti setelah Davide Astori menjatuhkan Jean-Eudes Maurice

Jean Philippe menambah derita skuad The Azzurri apabila meledakkan gol penyamaan Haiti pada minit ke-90.

Pada kempen Piala Konfederasi, Itali diundi dalam Kumpulan A bersama Mexico, Jepun dan tuan rumah, Brazil. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 11 Jun 2013

Itali masih cari identiti



PRANDELLI (depan) menjejakkan kaki ke Lapangan Terbang Antarabangsa Rio de Janeiro, Brazil bagi menghadapi kempen Konfederasi 2013 semalam.


MILAN - Itali akan menampilkan skuad terbaik bagi menghadapi kempen Piala Konfederasi 2013 di Brazil yang akan membuka tirainya pada 15 Jun ini.

Situasi itu dianggap sebagai medan pemanas badan terbaik dalam misi melayakkan diri secara automatik ke pusingan akhir Piala Dunia 2014 di lokasi yang sama.

Jurulatih Itali, Cesare Prandelli masih belum berpuas hati dengan kemampuan barisan utama skuad kendaliannya itu.

Pengendali berusia 55 tahun yang melakar kejayaan bersama Fiorentina itu diberi kepercayaan untuk membimbing Itali bagi menggantikan tempat Marcello Lippi sebaik sahaja skuad The Azzurri tersingkir di peringkat kumpulan pada Piala Dunia 2010.

Kegagalan Itali di Afrika Selatan turut menyaksikan beberapa pemain utama skuad The Azzurri meninggalkan skuad itu antaranya, Fabio Cannavaro, Gianluca Zambrotta, Mauro Camoranesi dan Gennaro Gattuso.

Prandelli memulakan tugasnya dengan baik apabila menjalin hubungan rapat bersama pemain-pemain remaja dan berpengalaman sebelum dikritik kerana menggunakan taktikal permainan yang tidak berkesan.

Bagaimanapun Prandelli berkata, beliau akan berpegang kepada perancangannya untuk menjadikan Itali sebagai sebuah pasukan yang hebat.

"Ia telah diberitahu sebelum ini, kami akan melakukan banyak perubahan tetapi perkara yang paling penting adalah kualiti permainan bola sepak.

"Kami perlu memahami karakter pemain-pemain sebelum memikirkan model taktikal yang mudah. Kami harus mencari semula identiti sebenar pasukan," kata Prandelli.

Prandelli juga lebih berani mengurus pasukan apabila mengutamakan pemain-pemain muda dalam skuadnya bagi menyesuaikan diri ketika menentang pencabar-pencabar yang terpilih. 

Selepas menggunakan dua penyerang AC Milan, Mario Balotelli dan Stephan El Shaarawy ketika tewas kepada Perancis pada aksi persahabatan antarabangsa, Prandelli mula menggandingkan Balotelli bersama Pablo Asvaldo (Roma).

Pertukaran itu memaksa beliau menggunakan formasi 4-3-1-2 ketika Itali menghadapi aksi persahabatan antarabangsa menentang Brazil di Geneva yang berakhir dengan keputusan 2-2 pada Mac lalu. 

"Kami ketinggalan 0-2 pada separuh masa pertama tetapi apa yang penting kami masih dapat bersabar dan sentiasa mencari peluang untuk menjaringkan gol," kata Prandelli. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 9 Jun 2013

Balotelli mohon maaf



BALOTELLI (tiga dari kanan) diarah keluar padang ketika Itali seri tanpa jaringan dengan Republik Czech pada aksi Kumpulan B kempen kelayakan Piala Dunia 2014 Zon Eropah di Prague kelmarin.


PRAGUE - Penyerang kontroversi Itali, Mario Balotelli memohon maaf selepas dilayangkan kad merah ketika seri tanpa jaringan dengan Republik Czech pada aksi Kumpulan B kempen kelayakan Piala Dunia 2014 Zon Eropah di Prague kelmarin.

"Saya memberikan reaksi yang keterlaluan. Jadi, saya meminta maaf.

"Saya memohon maaf kepada rakan-rakan sepasukan dan masih banyak lagi yang perlu saya pelajari," kata Balotelli menerusi Twitter peribadinya semalam.

Kelmarin, Balotelli dilayangkan kad merah selepas mengutip dua kad kuning dalam tempoh tiga minit pada pertengahan babak kedua selain gagal mengawal emosi ketika keluar dari padang.

Dia juga dilaporkan menulis mesej negatif di laman Twitter sebelum memohon maaf.
Jurulatih Itali, Cesare Prandelli turut menggesa Balotelli supaya lebih bijak mengawal sebarang provokasi pada perlawanan selepas ini.

"Dia harus memahami bahawa pemain hebat sentiasa menjadi sasaran provokasi.
"Jika Balotelli berjaya melepasi ujian itu, ia satu kelebihan buatnya untuk berdepan mana-mana pemain lawan," kata Prandelli.

Dengan keputusan itu, Itali yang kebal dengan rekod tanpa kalah kini memiliki kelebihan empat mata di depan pasukan di tangga kedua, Bulgaria, manakala Republik Czech di tangga ketiga (sembilan mata). - Reuters

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Sabtu, 8 Jun 2013

Balotelli ditimpa malang


BALOTELLI (kiri) diarah keluar padang pada aksi kelayakan Piala Dunia 2014 awal pagi semalam.


PRAGUE – Pemain kontroversi, Mario Balotelli diarah keluar padang ketika Itali seri tanpa jaringan dengan Republik Czech pada aksi Kumpulan B kelayakan Piala Dunia 2014 Zon Eropah di Prague awal pagi semalam.

Pada perlawanan tersebut, Itali mempamerkan kehebatan mereka selaku pendahulu kumpulan sepanjang 72 minit beraksi sebelum Balotelli dilayangkan kad kuning kedua dalam tempoh tiga minit. 

Pemain berusia 22 tahun itu dilihat gagal mengawal emosinya ketika keluar dari padang, sekali gus memaksa jurulatih, Cesare Prandelli menggesa dia bertenang di bangku simpanan.

Biarpun terpaksa berdepan dengan kerenah Balotelli, Itali mempamerkan aksi yang konsisten apabila mendahului peringkat kumpulan.

Itali yang meraih 14 mata selepas enam perlawanan mendahului pasukan di tangga kedua, Bulgaria dengan kelebihan empat mata dan lima mata di depan Republik Czech.
“Ia satu persembahan yang klasik ketika kami cuba menyelamatkan perlawanan. Rentak permainan kami agak hambar dan kami terlalu perlahan.

“Balotelli memang nampak gelisah, itu masalah peribadinya dan dia harus belajar cara untuk mengatasinya. Begitu pun, saya memuji kapten, (Gianluigi)
Buffon kerana berjaya mempertahankan gawang.

“Tanpa dia (Buffon) kami mungkin akan tewas. Dia antara pemain yang terbaik di atas padang,” kata Prandelli.

Pada aksi tersebut, kapten Republik Czech, Tomas Rosicky tampil dengan aksi yang bertenaga apabila melancarkan serangan bertali arus untuk membuka ruang kepada pasukan itu menewaskan Buffon.

Prandelli pula meletakkan enam pemain Juventus dalam kesebelasan utama termasuk dua penyerang Milan, Balotelli dan Stephan El Shaarawy di barisan hadapan.
Skuad itu nampak tenang dengan mata yang telah diraih sepanjang aksi kelayakan itu dengan menggunakan strategi bertahan dan tidak mencipta peluang yang mampu menguji penjaga gol lawan, Petr Cech.

Dalam pada itu, jurulatih Republik Czech, Michal Bilek mengakui, beliau berpuas hati dengan prestasi anak-anak buahnya yang tidak meraih sebarang gol.
Itali akan berlepas ke Brazil bagi menghadapi kempen Piala Konfederasi 2013 pada 15 hingga 30 Jun ini. – AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Khamis, 6 Jun 2013

Itali intai slot automatik


PRAGUE - Itali berpeluang untuk menyambar slot automatik ke pusingan akhir Piala Dunia 2014 sekiranya berjaya menewaskan Republik Czech pada aksi Kumpulan B di Prague awal pagi esok.
Ketika ini, Itali sedang memimpin kedudukan teratas kumpulan selepas mengumpul 13 mata, tiga mata di depan Bulgaria yang beraksi lebih satu perlawanan manakala Czech sekadar mengutip lapan mata sepanjang lima perlawanan.

Namun, skuad kendalian Cesare Prandelli pasti berdepan tekanan sekiranya tewas kepada Czech menjelang pertemuan kedua di Itali, September depan.

"Czech merupakan sebuah pasukan yang perlu ditewaskan kerana mereka tidak pernah memberikan laluan mudah buat mana-mana pasukan.

"Jika kami gagal mempamerkan aksi sebenar, tidak mustahil kami akan tewas.
"Kami masih berpeluang mencuri satu mata tetapi ada baiknya kami membawa pulang tiga mata, sekali gus melebarkan jurang sebagai pendahulu kumpulan," kata penjaga gol veteran Itali, Gianluigi Buffon.

Itali yang kali terakhir mendakap trofi Piala Dunia 2006 di Jerman dilihat tempang tanpa kehadiran tonggak pertahanan, Luca Antonelli.

Tempat Antonelli dijangka diambil alih oleh Andrea Barzagli.
Skrip sama turut dikongsi tuan rumah yang terpaksa melupakan khidmat penyerang, Matej Vydra gara-gara kecederaan.

"Ketika ini, kami berdepan misi hidup mati untuk menewaskan Itali.
"Biarpun dilihat sebagai underdog, tiada yang mustahil dalam bola sepak," kata kapten Republik Czech, Tomas Rosicky. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Rabu, 20 Mac 2013

Brazil ujian terbaik Itali


MILAN - Itali berpeluang untuk menguji kemampuan sebenar pasukan itu menjelang aksi Piala Konfederasi pada Jun depan.

Penjaga gol Itali, Gianluigi Buffon berkata, aksi persahabatan antarabangsa menentang Brazil awal pagi esok menjadi medan terbaik untuk menguji kemampuan pasukan itu.

Perlawanan di gelanggang berkecuali di Geneva itu pastinya mendebarkan kerana skuad The Azzurri akan tampil dengan rekod empat kali juara Piala Dunia manakala Brazil sudah lima kali menjulang trofi berprestij tersebut.

Pertemuan itu juga menjadi persiapan terbaik Itali yang akan berkunjung di Malta bagi aksi kelayakan Piala Dunia 2014, Rabu depan.

Jurulatih Itali, Cesare Prandelli mungkin akan menurunkan pemain muda Torino, Alessio Cerci yang kini semakin mencuri tumpuan selaras dengan dasar baharu yang mahu memberi nafas baharu dalam pasukan itu.

Prandelli yang pernah membawa skuad itu melangkah ke final Kejohanan Bola Sepak Eropah 2012 sebelum tewas kepada Sepanyol, turut memanggil semula pemain pertahanan Genoa, Luca Antonelli yang kali terakhir menyarung jersi antarabangsa ketika menentang Estonia pada 2010.

Selain kealpaannya tidak menyenaraikan pemain tengah Paris Saint Germain, Marco Verrati yang menyamakan kedudukan ketika Itali seri 1-1 dengan Belanda pada aksi persahabatan pada bulan lepas, masih ada lagi beberapa kejutan yang berlaku dalam skuad itu.

Penyerang AC Milan, Mario Balotelli yang menjaringkan tujuh gol sepanjang enam perlawanan sejak menyertai skuad The Rossoneri daripada Manchester City pada Januari lepas turut dilaporkan akan berganding dengan Stephan El Shaarawy di posisi hadapan.
Buffon pula yang dianggap sebagai pemain berpengalaman akan mengetuai tujuh lagi pemain Juventus dalam skuad 27 orang itu pasti akan menjadi lebih sengit.

"Perlawanan persahabatan itu akan menjadi ujian terbaik kami.
"Kami mempunyai tiga bulan untuk membuat persiapan bagi menghadapi Piala Konfederasi dan kami mahu memenanginya," kata Buffon.

Dalam perkembangan lain, Itali kini memimpin kedudukan teratas dalam Kumpulan B selepas mengumpul 10 mata manakala Brazil yang tidak beraksi pada kempen kelayakan setelah menjadi tuan rumah Piala Dunia 2014 akan menyertai Piala Konfederasi pada musim panas depan. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/

Rabu, 13 Februari 2013

Juventus enggan mendabik dada


GLASGOW - Jurulatih Juventus, Antonio Conte pastinya individu yang paling berpuas hati di tepi padang sebaik skuad kendaliannya melakar kemenangan bergaya 3-0 ke atas Celtic dalam aksi pertama pusingan kalah mati kempen Liga Juara-Juara di Stadium Parkhead awal pagi semalam.

Conte yang pernah digantung empat bulan kerana didapati bersalah atas tuduhan mengatur perlawanan sebelum ini sudah boleh tersenyum lebar selepas menyaksikan kemampuan anak-anak buahnya meraih bekalan selesa ke Stadium Juventus dalam aksi kedua kira-kira tiga minggu lagi.

Kejayaan menerajui takhta saingan liga domestik - Serie A ketika ini juga dilihat melengkapkan mimpi indah Conte bagi melupakan kedukaan silam.

Meskipun sedar aksi di Turin selepas ini bagaikan pelengkap jadual perlawanan semata-mata, Conte masih tetap menghormati kemampuan Celtic.

"Ia satu kemenangan yang cukup penting memandangkan Celtic dilihat cukup liat untuk ditewaskan di depan penyokong sendiri.

"Sejujurnya, saya tidak pernah mengharungi perlawanan yang cukup tertekan seperti itu sebelum ini," kata Conte.

Dalam perlawanan itu, Juventus memecah kebuntuan seawal minit ketiga menerusi jaringan Alessandro Matri sebelum Claudio Marchisio menggandakan kelebihan buat pasukan pelawat pada minit ke-77.

Mirko Vucinic akhirnya melengkapkan mimpi ngeri tuan rumah apabila menjaringkan gol ketiga Juventus pada minit ke-83.

Conte memberitahu, anak-anak buahnya perlu kekal berwaspada biarpun memiliki kelebihan peraturan gol di tempat lawan.

"Barcelona pernah tewas di sini (Glasgow). Selain itu, Celtic juga pernah menyingkirkan Benfica (pada peringkat kumpulan musim lalu).

"Jadi tiada sebab mengapa kami perlu beraksi sambil lewa di Turin selepas ini." - Reuters

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/

Isnin, 11 Februari 2013

Juventus gerun sumpahan Celtic



PEMAIN-PEMAIN Celtic mengadakan persiapan terakhir semalam sebelum menerima kunjungan Juventus awal pagi esok. Celtic pernah mengejutkan Barcelona di tempat sendiri sebelum ini.


LONDON - Juventus bakal berdepan tugas sukar apabila turun menentang kelab Scotland, Celtic pada aksi pertama pusingan kalah mati kempen Liga Juara-Juara di Celtic Park awal pagi esok.
Sebagai rekod, aksi pusingan kalah mati itu merupakan perlawanan kelima buat Celtic dan yang pertama sejak 2001.

Celtic yang merupakan satu-satunya kelab Scotland beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini melakar kejutan apabila menewaskan kelab gergasi Sepanyol, Barcelona pada aksi peringkat kumpulan November tahun lalu di Glasgow.

Antara faktor kemenangan itu adalah sokongan padu yang diberikan oleh para penyokong fanatik Celtic.
Justeru, Juventus bukan sahaja perlu menundukkan Celtic tetapi perlu menyerap tekanan yang bakal dihadapi apabila berdepan kira-kira 60,000 penyokong kelab Scotland itu awal pagi esok.

Disebabkan itu, bekas pemain Juventus yang kini bergelar pengarah kelab tersebut, Pavel Nedved sedar apa yang bakal menanti mereka pada perlawanan itu nanti.

"Saya sedar dengan suasana perlawanan yang bagaimana bakal menanti kami (Juventus) nanti di Glasgow kerana saya pernah berada di sana dan merasai sendiri suasana itu.

"Kami akan berdepan tugas sukar menentang Celtic nanti," kata Nedved.

Sementara itu, pengurus Celtic, Neil Lennon telah melakukan 10 pertukaran pemain pada aksi pemanas badan sebelum pertemuan dengan Juventus ini ketika menewaskan Inverness Caledonian Thistle 3-1 Sabtu lalu.

Lennon berkata, kehadiran penyokong ke stadium bakal memainkan peranan yang tersendiri.
"Saya sangat optimis dengan peluang untuk menang perlawanan itu dan para penyokong akan memainkan peranan penting.

"Ia merupakan perlawanan timbal balik. Sudah pasti kami (Celtic) memiliki kelebihan sebelum berkunjung ke Itali bagi menghadapi aksi kedua," kata Lennon. - Reuters

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my