Memaparkan catatan dengan label Marlon Alex James. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Marlon Alex James. Papar semua catatan

Ahad, 28 Julai 2013

Undian Piala Malaysia seimbang


KETUA Pegawai Eksekutif Menara KL, Datuk Zuraidah Mohd. Said (dua dari kanan) melakukan cabutan sambil diperhatikan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin (kanan) pada majlis undian Piala Malaysia 2013 di Menara TM, Kuala Lumpur semalam.


JUARA bertahan, Kelantan perlu berkerja lebih keras selepas diundi dalam Kumpulan C bersama tiga bekas juara iaitu Pahang, Terengganu dan Negeri Sembilan pada majlis undian Piala Malaysia 2013 semalam.

Skuad The Red Warriors mengakui undian bagi kejohanan edisi ke-87 itu tidak memberikan laluan mudah dalam misi mereka mempertahankan trofi berprestij itu.

Pengurus Kelantan, Azman Ibrahim berkata, skuad kendalian Bojan Hodak yang juga juara Piala FA itu akan bermain mati-matian untuk mengekalkan Piala Malaysia di Kota Bharu tahun ini.

“Kami tahu Kelantan berada dalam kumpulan yang sukar, tetapi kami akan cuba sedaya upaya untuk beraksi dengan baik.

“Lagi pun, jika semua masih ingat, kami pernah diundi dalam kumpulan maut pada kempen tahun lalu bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Terengganu dan Kedah.

“Jadi, saya fikir tiada masalah dengan undian kali ini kerana saya kira kesemua pasukan telah bersedia untuk memulakan misi baharu bagi merebut kejuaraan Piala Malaysia tahun ini.

“Bukan sahaja Pahang dan Terengganu, kami juga tidak akan memandang mudah cabaran Negeri Sembilan meskipun mereka tersingkir ke Liga Premier musim depan.

“Ini kerana mereka masih memiliki beberapa pemain terbaik antaranya Nazrin Nawi yang kini bersama skuad kebangsaan,” katanya kepada pemberita selepas berakhirnya majlis undian Piala Malaysia 2013 di Menara TM, Kuala Lumpur semalam.

Selain saingan kumpulan sukar tersebut, undian Kumpulan A turut mencuri perhatian apabila menyaksikan juara 32 kali, Selangor diundi bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), naib juara Liga Premier, Sime Darby dan Johor.

Marlon (kanan) dan Primorac dinobatkan sebagai pemenang Kasut Emas Liga Super serta Premier.


Jurulatih skuad Gergasi Merah, Irfan Bakti Abu Salim berkata, beliau berpuas hati dengan keputusan undian tersebut dan berikrar membawa skuad kendaliannya merangkul Piala Malaysia musim ini.

“Saya fikir undian kali ini sangat menarik dan seimbang. Apa yang penting adalah kami mahu melepasi saingan peringkat kumpulan dengan mensasarkan final Piala Malaysia 2013.

“Selangor bertekad untuk memburu sekurang-kurang satu trofi musim ini dan saya percaya kami mempunyai keupayaan untuk merealisasikan impian besar itu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, pasukan gergasi Selatan, Johor Darul Takzim (Johor DT) diundi bersama tiga pasukan berstatus kelab iaitu Selangor PKNS, T-Team dan Felda United dalam Kumpulan B.
Lions XII yang dinobat selaku juara Liga Super musim ini pula akan berentap dengan Perak, Sarawak dan Kedah dalam Kumpulan D.

Sementara itu, penyerang ATM, Marlon Alex James dan bintang Sime Darby, Karlo Primorac dinobatkan sebagai pemenang Kasut Emas Liga Super dan Premier.

Untuk rekod, Marlon menjaringkan 16 gol sepanjang 22 perlawanan Liga Super, manakala Primorac meledak 26 gol untuk membantu Sime Darby muncul naib juara Liga Premier musim ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Sabtu, 22 Jun 2013

Selangor sasar naib juara liga



AMRI (depan) meledak gol pertama Selangor ketika menewaskan ATM 2-1 di Stadium Shah Alam kelmarin.


JURULATIH Selangor, Irfan Bakti Abu Salim yakin skuad kendaliannya mampu menamatkan saingan di tempat kedua pada kempen Liga Super musim ini.

Irfan menyuarakan keyakinan itu selepas Selangor menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-1 di Stadium Shah Alam kelmarin.

Pada perlawanan itu, pemain tengah, K. Gurusamy muncul wira apabila meledak gol kemenangan menerusi satu sepakan percuma pada masa kecederaan.

Irfan yang sebelum ini meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok tiga teratas liga menegaskan, perjuangan Selangor masih belum berakhir dan mendesak anak-anak buahnya supaya berkerja keras bagi menghadapi tiga baki perlawanan liga musim ini.

“Bagi saya, keputusan malam ini (kelmarin) adil dan ia telah membuka ruang kepada kami untuk memburu kelompok ketiga dan kedua Liga Super.

“Mental pemain saya malam ini (kelmarin) tidak seperti yang diharapkan, tetapi saya telah memberitahu mereka supaya mencipta sekurang-kurangnya tiga kemenangan dan satu seri dalam baki tiga perlawanan musim ini.

“Prestasi kami tidak begitu menarik. Pemain kami terlalu ghairah untuk memburu gol kemenangan (selepas menyaksikan penyerang import ATM, Marlon Alex James dibuang padang pada minit ke-34). 

“Apa pun, saya tetap berpuas hati dengan kejayaan Selangor,” katanya selepas tamat perlawanan kelmarin.

Selangor kini kekal di tangga keempat liga selepas berkongsi 33 mata dengan ATM (ketiga) tetapi dipisahkan menerusi perbezaan jaringan.

Pengendali kelahiran Perak itu turut menarik nafas lega apabila menyaksikan penyerang import, Francis Forkey Doe selesai menjalani penggantungan satu perlawanan menjelang aksi bertemu Selangor PKNS Selasa ini.

“Pemain seperti S. Kunanlan perlu berusaha memperbaiki rentak permainan. Dia memiliki kelajuan tetapi masih gagal mempamerkan prestasi yang diharapkan.

“Saya berharap kepulangan Forkey Doe akan menyelesaikan masalah jentera serangan Selangor ketika menentang PKNS nanti,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 29 Mac 2013

Kelantan calar ego ATM


MARLON (tengah) meledakkan dua gol ketika ATM tewas 2-3 kepada Kelantan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan malam tadi.


JUARA bertahan Liga Super, Kelantan mengutip tiga mata penuh selepas menundukkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-2 dalam satu aksi penuh dramatik di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan malam tadi.

Skuad kendalian Bojan Hodak membuka tirai jaringan menerusi Indra Putra Mahayuddin dan Keita Mandjou masing-masing pada minit ke-28 dan 31.

Begitupun, peledak berbisa skuad The Gladiators, Marlon Alex James menyamakan kedudukan selepas menjaringkan dua gol pada minit ke-53 dan 67.

Penyerang gantian The Red Warriors, Norfarhan Muhammad muncul sebagai wira apabila bijak memperdayakan penjaga gol ATM, Farizal Harun untuk menjaringkan gol kemenangan pasukan pelawat pada masa kecederaan.

Kekalahan ATM itu memberi ruang kepada Selangor yang seri 1-1 dengan Felda United di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya petang semalam untuk mengambil alih status selaku pendahulu Liga Super.

Jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim tetap berpuas hati dengan persembahan barisan pemain Gergasi Merah yang sekadar berkongsi satu mata dengan Felda.

Selangor terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Adib Aizuddin Ab Latif dilayangkan kad merah pada minit ke-63 selepas mengasari pemain tengah Felda, Amar Rohidan.

Ketiadaan penyerang import, Francis Forkey Doe yang beraksi bersama skuad kebangsaan Liberia memberikan kesan kepada jentera serangan Gergasi Merah.

Pada aksi tersebut, penyerang import Felda, Carlos Junior menjaringkan gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-24 sebelum Amri Yahyah menyamakan kedudukan berselang tiga minit kemudian.

"Forkey mengalami masalah teknikal dan dia akan pulang bersama Selangor pada esok pagi (hari ini). Apa yang pasti, saya kecewa ketiadaan Forkey kerana ia jelas memberikan kesan kepada pasukan kami.

"Bagaimanapun, saya tetap berpuas hati dengan persembahan pemain dan saya berharap kami dapat memperbaiki persembahan kami pada perlawanan akan datang," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan petang semalam.

Dalam perkembangan lain, jurulatih Felda, K. Devan mengakui kecewa selepas menyaksikan skuad kendaliannya gagal meraih tiga mata meskipun menguasai sebahagian besar perlawanan.

Jelasnya, Felda yang bakal mengambil tiga pemain tempatan antaranya Azmi Muslim dan K. Rajan pada perpindahan pemain April ini, mengalami masalah pada jentera serangan.

"Kami sepatutnya memenangi perlawanan ini. Pada pendapat saya, persembahan kami dilihat lebih baik berbanding Selangor dan peluang (untuk menjaringkan gol) lebih banyak tetapi penyerang kami gagal memanfaatkan kelebihan tersebut.

"Saya memasukkan (penyerang import) Mohamed Ghaddar pada separuh masa kedua kerana dia masih bergelut dengan masalah kecederaan namun saya terpaksa akur dengan keputusan ini.

"Saya berharap kami akan dapat menamatkan kemarau kemenangan di laman sendiri pada aksi akan datang," ujar Devan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/

Sabtu, 9 Mac 2013

ATM rampas takhta

KUALA LUMPUR - Bangkit daripada ketinggalan dua gol, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meraih kemenangan 4-2 ke atas Perak di Stadium Perak, Ipoh sekali gus merampas kedudukan teratas Liga Super dalam tempoh kurang 24 jam.

Meraih 18 mata, ATM berpeluang mengekalkan status selaku pendahulu sebelum liga berehat selama tiga minggu jika Johor Darul Takzim gagal meraih tiga mata penuh ke atas Selangor di Stadium Shah Alam, malam ini.

Skuad Seladang bermula garang apabila Karim Rouani membuka tirai jaringan pada minit ke-11, sebelum Muhd. Shahrom Abdul Kalam menggandakan kedudukan pada minit ke-20. 

Namun, kegembiraan anak-anak buah Mohd. Azraai Khor hanya seketika apabila Gladiators tiba-tiba mempamer kebangkitan menakjubkan.

Bekas penyerang negara, Hairuddin Omar merapatkan jurang pada minit ke-21 dan pemain sayap kiri, Christie Jayaseelan menyamakan kedudukan di minit ke-42.

Marlon Alex James membuktikan bisanya selaku penggempur terbaik dalam saingan Liga Malaysia apabila meletakkan ATM berada di hadapan buat pertama kali pada minit ke-45.

Harapan Perak untuk bangkit berkecai apabila Marlon Alex memastikan tiga mata penuh menjadi milik ATM dengan gol kedua peribadi dalam perlawanan itu pada minit ke-85 sekali gus menjadikan keputusan mutlak 4-2.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Jumaat, 25 Januari 2013

Kebangkitan Selangor



PENYERANG ATM, Hairuddin Omar (dua dari kanan) melepaskan tandukan ke gawang Selangor pada aksi Piala FA malam tadi. Pada perlawanan tersebut, Selangor menang 3-2 menerusi sepakan penalti.


JUARA lima kali, Selangor kembali bangkit menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi penentuan sepakan penalti 3-2 dalam saingan pusingan pertama Piala FA 2013 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Terdahulu, kedua-dua pasukan terikat 2-2 sebaik perlawanan diheret ke masa tambahan.
ATM terlebih dahulu selesa mendahului 2-0 menerusi Marlon Alex James dan Mohd. Affize Faisal Mamat pada minit ketujuh dan 25 sebelum Selangor yang enggan mengaku kalah akhirnya kembali bangkit menyamakan kedudukan menerusi dua jaringan Mohd. Afiq Azmi pada minit ke-53 dan 57.

Ketika penentuan sepakan penalti, penjaga gol Gergasi Merah, Norazlan Razali akhirnya muncul wira tuan rumah selepas berjaya mengagalkan sepakan K. Reuben, Mohd. Affieze Faisal Mamat dan Bruno Martelotto.

Ketiga-tiga jaringan penalti Selangor berjaya disempurnakan oleh kapten, Asraruddin Putra Omar, Mahalli Jasuli dan S. Veenod sementara dua sepakan penalti ATM dijaringkan oleh Marlon dan A. Varanthan.
Perlawanan itu juga dicemari insiden tidak diingini di tengah padang ekoran pemain kedua-dua pasukan dilihat bertelagah sesama sendiri sebaik perlawanan tamat.
Dengan keputusan itu, Selangor bakal berdepan Sabah pada pusingan kedua yang dijadualkan berlangsung 26 Februari depan.

Begitupun, nasib empat lagi pasukan iaitu Selangor PKNS, Lions XII, UiTM FC dan juara edisi 2010, Negeri Sembilan hanya diketahui hari ini selepas perlawanan mereka terpaksa ditangguhkan akibat hujan lebat petang semalam.

Di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), PKNS berjaya mendahului Lions XII dengan keputusan 1-0 sementara Sang Rusa juga selesa mendahului UiTM FC dengan kelebihan 2-0 di Stadium UiTM Shah Alam.

Aksi keempat-empat pasukan itu terpaksa bermula semula dengan kedudukan 0-0 di venue yang sama petang ini.

Di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bahru, tuan rumah, Johor Darul Takzim (Johor DT) hanya mampu mengatasi Perak dengan kemenangan tipis 1-0.
Gol tunggal perlawanan hasil tandukan Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak pada minit ke-59 sudah cukup untuk menjadi pemisah kedua-dua pasukan dalam aksi yang cukup mendebarkan itu.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Abd. Latiff Suhaimi muncul wira pasukan T-Team apabila menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan sekali gus menumpaskan Perlis 3-2.

The Titans terlebih dahulu mendahului 2-0 hasil jaringan Fazuan Abdullah minit ke-31 dan jaringan sendiri pemain pertahanan Perlis, Mohd. Hanif Mohd. Noor (32) sebelum Singa Utara kembali bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan Hadi Syami Hamzah dan Mohd. Nurfirdaus Roswanan pada minit ke-37 dan 50.

Di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Pahang turut meneruskan kemaraan sebaik menumpaskan Johor dengan kemenangan tipis 3-2.

Gol-gol Tok Gajah dicetak oleh Mohamed Borji dan Mohd. Fauzi Roslan (dua gol) sementara Juan Muriel Orlando menjaringkan kedua-dua gol Johor.

Di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah memulakan kempen Piala FA 2013 dengan cukup bergaya apabila membenam pasukan berstatus kelab, Felda United dengan kemenangan 2-1.
Dalam perlawanan itu, gol-gol Sabah dihasilkan menerusi Koh Traore dan Juprey Amopor pada minit ke-14 dan 71 sementara gol sagu hati Felda United pula dicetak Mohammed Ghaddar menerusi sepakan penalti (63).

Sarawak pula menewaskan Melaka 3-0 di Stadium Negeri, Kuching sementara Kedah juga melakar keputusan sama mengatasi NS Betaria 3-0 di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Pos Malaysia turut melakar kejutan apabila membelasah Kuala Lumpur 5-0 sementara PBAPP FC turut menang besar 5-1 ke atas kelab Kemboja, Preach Khan Reach FC di Stadium Bandaraya Pulau Pinang.

Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, KL SPA tewas 1-3 kepada Terengganu sementara Shahzan Muda tewas 0-2 kepada Tentera Darat di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga terpaksa akur terkandas seawal pusingan pertama kali ini apabila tumpas 1-2 kepada Pulau Pinang di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 14 Januari 2013

Marlon enggan dabik dada



MARLON mula pamer taring sebenar.


PENYERANG berbisa Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Marlon Alex James berjaya menutup mulut pengkritik sebaik meledak hatrik semasa membantu pasukannya membenam cabaran Selangor PKNS dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, malam kelmarin.

Selepas dikritik hebat gara-gara beberapa kali mensia-siakan peluang keemasan semasa pasukannya tewas 0-1 kepada Lions XII dalam aksi pembuka tirai liga minggu lalu, Marlon kembali membuktikan sentuhannya masih berbisa sekali gus membantu ATM membawa pulang tiga mata berharga.

Begitupun, Marlon enggan mendabik dada dengan ledakan hatrik tersebut, sebaliknya menegaskan misi memburu kemenangan menjadi keutamaannya musim ini.

“Sudah tentu saya gembira dapat menjaringkan gol, tetapi yang lebih utama ialah berjaya membantu ATM memenangi perlawanan.

“Sejujurnya, saya tidak ambil peduli berapa jumlah gol yang berjaya saya hasilkan asalkan ATM membawa pulang tiga mata penuh,” kata Marlon.

Dalam perlawanan itu, ATM terlebih dahulu di depan seawal minit kelapan apabila Marlon tenang menyempurnakan sepakan penalti selepas bola dikatakan terkena tangan salah seorang pemain PKNS.
Begitupun, PKNS kembali menyamakan kedudukan menerusi Fazli Baharuddin pada minit ke-27 dan kedudukan kekal 1-1 pada separuh masa pertama.

Namun, ketiadaan penyerang import, Patrick Ronaldinho yang diperintahkan keluar padang pada minit ke-60 gara-gara mengutip kad kuning kedua selepas didakwa sengaja merebahkan badan jelas mengundang padah buat PKNS.
Hasilnya, ATM kembali menguasai perlawanan sebelum Marlon meledak dua lagi gol pada minit ke-64 dan 71.

“Saya harap jaringan hatrik ini dapat menyuntik moral saya supaya memberikan yang terbaik serta berterusan menjaringkan gol dalam perlawanan akan datang,” kata Marlon.

Selepas ini, ATM bakal melayan kunjungan pasukan berstatus kelab, T-Team di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam esok sementara PKNS menanti kunjungan Lions XII di Stadium Shah Alam.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 11 Januari 2013

Mandjou, Haris pilihan Hodak



MANDJOU bakal digandingkan dengan Haris Safwan pada aksi menentang T-Team di Kuala Terengganu hari ini.


JUARA trebel, Kelantan akan mempertaruhkan gandingan bekas penjaring terbanyak Liga Super musim 2005-2007, Keita Mandjou dan Mohd. Haris Safwan Mohd. Kamal bagi merobek benteng pertahanan T-Team pada saingan aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu petang ini.

Pengendalinya, Bojan Hodak berkata, keputusan tersebut dibuat selepas kedua-dua pemain tersebut memperagakan aksi cemerlang ketika menumbangkan PKNS pada perlawanan pembukaan liga Rabu lalu.
“Mohd. Haris beraksi cemerlang tempoh hari, begitu juga dengan Mandjou. Walaupun ramai yang mempertikaikan kredibiliti dia (Mandjou) tetapi saya harus bersikap jujur dan adil terhadapnya

“Anda lihat Marlon Alex James (pemain Angkatan Tentera Malaysia). Dia pemain yang hebat tetapi gagal menjaringkan gol meskipun mempunyai banyak peluang ketika pasukannya tewas kepada Lions XII tempoh hari.

“Situasi ini mungkin dialami Mandjou, kita janganlah cepat menghukumnya,” katanya ketika dihubungi di Kota Bharu semalam.

Tambahnya, dia yakin Mandjou akan menemui semula sentuhannya sekiranya diberikan sokongan padu oleh peminat.

Dalam pada itu, Hodak membayangkan berkemungkinan besar dia akan menyenaraikan bekas pemain T-Team musim lalu, Zairo Annuar Zalani dalam kesebelasan utamanya.
Bagaimanapun, keputusan tersebut akan dibuat selepas sesi latihan terakhir sebelum berlepas ke Kuala Terengganu.

“Zairo Anuar mengetahui sedikit sebanyak kekuatan dan kelemahan pasukan lamanya. Saya perlukan khidmat dia dan saya fikir ini merupakan satu peluang baik untuknya membuktikan kehebatan jika diberi ruang beraksi nanti,” ujarnya.

Mengulas mengenai kekuatan T-Team yang pasti mahu mencatatkan kemenangan pertama setelah tewas tipis 0-1 kepada Perak, Hodak bagaimana pun tidak risau dengan kebangkitan kelab yang berpangkalan di Kuala Terengganu itu.

“Saya tidak mahu terlalu yakin, tetapi saya tetap optimis kami boleh memperolehi satu keputusan positif di Kuala Terengganu.

"Memang T-Team tidak dibarisi pemain yang hebat tetapi mereka merupakan sebuah pasukan yang sentiasa bekerja keras. Itu sesuatu yang baik dan kami sudah bersedia berdepan dengan mereka,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Sabtu, 5 Januari 2013

Ujian sebenar Kelantan bermula



IMBAS KEMBALI... Barisan pemain dan pegawai pasukan Kelantan meraikan kejayaan muncul juara Piala Malaysia di Stadium Shah Alam musim lalu.


“TUNGGU sahaja perlawanan malam esok (malam ini).” Demikian reaksi ringkas yang cukup bermakna oleh pengendali Kelantan, Bojan Hodak menjelang aksi Sumbangsih menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Shah Alam malam ini.
Biarpun sedar harapan menggunung peminat fanatik The Red Warriors dalam memburu trofi sulung itu musim ini, Bojan tetap optimis anak-anak buahnya mampu pulang dengan kemenangan yang cukup bergaya.

Cuma pada masa sama, Bojan tetap menuntut anak-anak buahnya supaya mengelak daripada dibuai sikap terlalu yakin sehingga mengundang padah.

Keupayaan sebenar pasukannya yang kehilangan beberapa pemain utama musim ini seperti Norshahrul Idlan Talaha, S. Chanturu dan Mohammad Ghaddar, jelas beliau, juga bakal teruji sepenuhnya malam ini.

“Kami kehilangan sekurang-kurangnya enam pemain utama musim ini, jadi sudah tentu perlawanan malam esok (malam ini) cukup mencabar.
“Kehebatan ATM juga tidak boleh dipertikaikan memandangkan mereka berjaya ke final Piala Malaysia.
“Jadi, saya harap dapat membantu Kelantan melakar sejarah kerana belum ada mana-mana pasukan trebel berjaya menjulang trofi keempat sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Bojan memberitahu, beliau percaya rakan sejawatannya, B. Sathianathan juga ‘pening kepala’ memikirkan formula terbaik bagi menghadapi aksi malam ini kerana turut kehilangan beberapa pemain utama seperti Azmi Muslim dan pasangan kembar, Aidil Zafuan dan Zaquan Adha Abdul Razak.

“Saya harap, pemain saya dapat memberikan yang terbaik sebagai penyuntik semangat sebelum aksi sulung menentang PKNS (9 Januari),” tambah Bojan.

Pada masa sama, Bojan turut mempertahankan kredibiliti penyerang import baharu, Keita Mandjou biarpun penyerang kelahiran Guinea itu belum cergas sepenuhnya selepas tidak beraksi selama enam bulan sebelum ini.

“Lihat sahaja Marlon (Alex James), semasa dia menyertai ATM musim lalu, ramai yang meragui kemampuannya atas faktor usia.

“Sebaliknya, Marlon berjaya membuktikan sentuhannya masih berbisa, jadi saya percaya Keita juga mampu melakukannya,” katanya optimis.

Pertemuan kedua-dua pasukan ibarat aksi final Piala Malaysia musim lalu yang menyaksikan Kelantan muncul juara selepas meraih kemenangan 3-2 pada aksi di Stadium Shah Alam.
Perlawanan Sumbangsih merupakan aksi pembuka tirai musim baharu Liga Malaysia (Liga M).