Memaparkan catatan dengan label Branislav Ivanovic. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Branislav Ivanovic. Papar semua catatan

Selasa, 16 Julai 2013

Chelsea sedia hadapi gelora Asia



DARI kiri, Ramires, Victor Moses, Mourinho dan Ivanovic memberi penghormatan kepada peminat Chelsea sebaik tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok minggu lalu.


TONGGAK pertahanan Chelsea, Branislav Ivanovic mengakui Jelajah Asia 2013 menjadi medan terbaik buat skuad The Blues bagi menghadapi kempen Liga Perdana England musim depan.

Justeru, Ivanovic, 29, berkata, pertemuan menentang beberapa pasukan dalam jelajah tersebut sudah pasti memberi gambaran awal buat pengurus, Jose Mourinho membentuk skuad yang mantap.

"Kami harus melakukan persiapan yang lebih baik sebelum saingan Liga Perdana England bermula bulan depan.

"Apa yang kami ikuti dalam setiap sesi latihan amat penting kerana ia akan membantu kami lebih bersedia untuk menghadapi setiap perlawanan nanti," kata Ivanovic pada sidang akhbar di Hotel Shangri-La, Bangkok semalam.

Chelsea akan memulakan aksi pertama Jelajah Asia 2013 dengan menentang Singha All Stars dari Thailand di Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok hari ini sebelum bertemu Harimau Malaya di Stadium Shah Alam, Ahad ini.

Kemudian anak-anak buah Mourinho dijadual menentang skuad Pilihan Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada 25 Julai.

"Kami harus bekerja dengan lebih keras untuk menghadapi perlawanan-perlawanan dalam Jelajah Asia kali ini bagi memantapkan lagi mutu permainan kami," jelas Ivanovic.

Mengulas mengenai latihan sejak tiba di Bangkok Jumaat lalu, Ivanovic mengakui, dia dan rakan-rakan sepasukannya segera menyesuaikan diri terutama dengan keadaan cuaca.

"Ini bukan kali pertama kami berada di Thailand dan semuanya berjalan dengan lancar, cuma kami masih sukar dengan keadaan cuaca," tambahnya.

Sementara itu, Mourinho memuji kesungguhan serta komitmen yang ditunjukkan oleh barisan pemainnya ketika sesi latihan sejak beliau tiba di Stamford Bridge minggu lalu.

"Sudah seminggu kami menjalani latihan bersama dan ini bermakna sudah 14 sesi latihan. Jadi sudah 21 jam kami bekerja keras dengan latihan yang berintensiti tinggi.

"Memang pemain-pemain nampak letih tetapi kami tidak risau kerana ia perkara biasa yang dialami mereka selepas seminggu berlatih. Waktu ini memang nampak sukar tetapi tidak ada seorang daripada mereka mahu berhenti dan berehat.

"Para pemain menunjukkan semangat mereka. Bagi saya jika ia berterusan, mereka mampu mengejar apa yang mereka mahukan," jelas Mourinho.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my
Hakcipta terpelihara

Selasa, 23 April 2013

Liverpool malu tindakan Suarez



IVANOVIC (kiri) menjerit kesakitan sebaik Suarez melepaskan gigitannya ketika pertemuan Liverpool-Chelsea kelmarin. Sifat kebudak-budakan Suarez itu mengundang kritikan meluas.


LONDON - Luis Suarez mungkin berdepan hukuman disingkirkan daripada skuad Liverpool selepas insiden dia menggigit pertahanan Chelsea, Branislav Ivanovic dalam pertemuan yang menyaksikan kedua-dua pasukan seri 2-2 di Anfield kelmarin.

Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers menjelaskan, beliau akan mengadakan perbincangan tergempar dengan 'orang kuat' di Anfield mengenai satu lagi kontroversi yang melibatkan Suarez.

Suarez telah memohon maaf mengenai insiden tersebut dalam Twitter, namun Rodgers tetap mahu memberi amaran kepada penyerang Uruguay itu bahawa imej The Reds adalah lebih penting daripada segala-galanya dan harus dijaga dengan baik.

Suarez pernah terlibat dalam satu kontroversi yang mana dia telah mengeluarkan kata-kata berunsur perkauman terhadap Patrice Evra sebelum ini.

Ketika ditanya adakah imej Liverpool penting berbanding dengan pemain-pemain kelab tersebut, Rodgers berkata: "Ya, sudah tentu ia melebihi segala-galanya.

"Pemain boleh ditukar ganti tidak kira betapa bagusnya mereka. Itulah asam garam dalam bola sepak.
"Sudah tentu kelab ini mempunyai pemain-pemain hebat yang memiliki kualiti tersendiri sejak beberapa tahun lalu.

"Namun, kamu harus ingat bahawa kalau kamu rasa, kami tidak akan dapat mencari pengganti kepada pemain ini, maka kamu silap.

"Standard dalam kelab ini telah ditetapkan sejak bertahun-tahun lamanya dan sebab itu kelab ini dikenali di seluruh dunia.

"Setelah melihat semula rakaman video dan juga selepas berbincang dengan Luis, tindakannya itu jelas sekali sukar diterima dan saya telah memberi amaran kepadanya mengenai perkara ini."

Pengadil perlawanan, Kevin Friend terlepas pandang akan insiden tersebut, sekali gus menghalang Persatuan Bola Sepak (FA) England mengambil tindakan terhadap Suarez yang sebelum ini pernah digantung tujuh perlawanan dalam Liga Belanda selepas menggigit pemain PSV Eind- hoven, Otman Bakkal.

Rodgers menambah: "Sejarah dalam kelab ini ialah tentang sikap hormat dan juga cara melayan orang lain. Tradisi itu akan diteruskan dalam kelab ini walaupun saya tidak lagi menjadi pengurus di sini.

"Saya akan mempertahankan seseorang itu sekiranya saya rasa dia benar dan kalau saya rasa dia bersalah, saya akan memberitahunya seperti yang berlaku kepada Luis musim ini.

"Selepas itu, lupakannya dan teruskan kehidupan ini seperti biasa," jelasnya. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Khamis, 10 Januari 2013

Swansea tidak rela jual Michu



MICHU (kanan) menghukum kesilapan Ivanovic (kiri) apabila menjaringkan gol pertama Swansea pada aksi separuh akhir Piala Liga di Stamford Bridge semalam. Swansea menewaskan Chelsea 2-0.


LONDON - Pengendali Swansea City, Michael Laudrup menegaskan bahawa Michu tidak akan meninggalkan pasukan itu sepanjang musim perpindahan pemain, Januari ini.

Laudrup menyuarakan keyakinan tersebut selepas pemain tengah Sepanyol itu meledakkan satu gol untuk membantu Swansea menewaskan Chelsea 2-0 pada aksi separuh akhir Piala Liga awal pagi semalam.
Kejayaan menewaskan juara Eropah itu adalah yang pertama buat kelab Wales tersebut di Stamford Bridge sejak 1925.

Michu yang dibeli dengan nilai £2 juta (RM9.7 juta) daripada kelab Liga Sepanyol, Rayo Vallecano sudah meledakkan 16 gol sepanjang 25 penampilan musim ini.

Pada perlawanan awal pagi semalam, Michu meletakkan Swansea di depan pada minit ke-39 sebelum Danny Graham menjaringkan gol kedua pada masa kecederaan.

Jumlah jaringan yang diperoleh menepati sasaran Michu tetapi Laudrup mengakui, prestasi semasa menyebabkan pemain berusia 26 tahun itu menjadi rebutan beberapa kelab elit Eropah.

"Kami menyedari situasi tersebut, situasi ekonomi di dunia. Jadi, tidak banyak kelab yang mampu untuk membelinya," kata pengendali kelahiran Denmark itu.

"Ada beberapa kelab di England, dua di Sepanyol tetapi di Itali saya tidak tahu.
"Mereka cuba untuk membeli begitu juga dengan Bayern Munich di Jerman. Jadi, tidak banyak kelab yang mampu.

"Michu seronok bermain di sini. Dia gembira. Jadi, saya tidak bimbang kerana saya yakin dia akan kekal bersama kami untuk tempoh lima atau enam bulan akan datang tetapi saya tidak pasti pada musim panas ini.
"Saya tidak tahu berapa nilainya. Tanya pengerusi kelab. Dia melakukan tawar menawar musim ini, kami menyedarinya tetapi gembira kerana kami menemui pemain yang tepat.

Ketika diminta mengulas mengenai jumlah gol yang dijaringkan Michu, Laudrup berkata: "Berdasarkan jumlah jaringan, pasti menakjubkan apabila kamu tidak pernah terfikir dia adalah seorang penyerang.
"Dia sering kali beraksi di posisi tengah tetapi bila memperoleh peluang, dia akan menjaringkan gol. Itu sesuatu yang menakjubkan." - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Rabu, 26 Disember 2012

Blues mula tunjuk belang sebenar - Benitez


-Utusan Malaysia

NORWICH - Rafael Benitez menyifatkan Chelsea sudah mula menunjukkan potensi sebenar mereka untuk mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris ketika pasukannya bersiap sedia untuk berdepan Norwich di Carrow Road, hari ini.

Skuad Benitez memberikan persembahan terbaiknya musim ini apabila membelasah Aston Villa 8-0 di Stamford Bridge selepas membenam Leeds 5-1 pada suku akhir Piala Liga.

Chelsea hanya kurang satu gol bagi menyamai rekod jaringan kemenangan terbesar mereka, dengan tujuh pemain berbeza menjaringkan gol ketika berdepan Aston Vill tempoh hari.
Sebelum itu, Villa belum tewas dalam enam perlawanan terakhir.

Kemenangan itu membawa Chelsea kembali merampas tempat ketiga, 11 mata di belakang pendahulu, Manchester United di samping kurang satu perlawanan.

Kini, Benitez yang merupakan pengurus sementara Chelsea yakin dapat mengekalkan prestasi yang sama apabila menjaringkan 13 gol dalam dua perlawanan sejak kalah kepada Corinthians pada final Piala Dunia Kelab di Jepun.

"Perkara paling utama ialah kami memenangi setiap perlawanan, pasukan ini boleh melakukannya jika mempamerkan peningkatan.

"Jika prestasi sebegitu dikekalkan dalam setiap perlawanan, tiada masalah kami akan menang selalu.
"Lihatlah mentaliti para pemain, walaupun selesa mendahului 6-0, mereka masih menyerang dan mahu menjaringkan gol.

"Pasukan ini tidak bergantung kepada satu atau dua pemain semasa menyerang, itu memang satu perkara yang positif mengenai pasukan ini.

"Diharapkan kami dapat mengekalkan momentum ini dan jika rentak kemenangan berterusan, ia adalah satu mesej kepada semua pencabar bahawa kami mampu mencabar kejuaraan, " katanya
.
Pertahanan Brazil, David Luiz dijangka meneruskan tugasannya pada bahagian tengah apabila bertemu Norwich nanti, bagi memburu kemenangan kali ketiga berturut-turut.
John Terry masih tidak dapat diturunkan dan Branislav Ivanovic bakal bergandingan dengan Gary Cahill pada bahagian pertahanan sekali lagi. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Isnin, 24 Disember 2012

8-0 gagal ubati duka Lampard

-Kosmo


FRANK Lampard (no. 8) dikerumuni rakan-rakan sepasukannya sebaik menjaringkan gol untuk Chelsea ketika pasukan itu membelasah Aston Villa 8-0 kelmarin.


LONDON - Frank Lampard mengakui yang masa depannya bersama Chelsea masih tidak menentu meskipun pemain tengah itu meletakkan dirinya sebagai penjaring ketika menewaskan Aston Villa 8-0 di Stamford Bridge kelmarin.

Lebih menarik, Lampard turut melakarkan sejarah peribadi selepas menjaringkan gol ke-130 pada penampilannya yang ke-500 liga domestik, sekali gus mengatasi rekod yang dilakukan pemain legenda Chelsea, Bobby Tambling.

Kontrak pemain berusia 34 tahun itu akan berakhir pada penghujung musim ini dan sehingga kini, dia masih belum menerima sebarang tawaran perjanjian baharu daripada kelab tersebut.

"Saya tidak mahu memikirkannya lagi kerana saya masih terikat dengan kontrak. Saya suka beraksi di sini, jadi saya akan terus bermain dan berharap kecergasan saya akan kekal dengan baik.

"Saya menikmati perlawanan ini dan harapan saya pun sama juga untuk menikmati karier bola sepak saya. Saya percaya banyak lagi perkara yang boleh dilakukan.

"Posisi kelab sekarang milik mereka, saya tidak mahu terlalu melibatkan diri. Saya di sini untuk bermain bola sepak dan mahu membuktikan kepada semua pihak yang saya boleh melakukannya (beraksi dengan baik)," ujar Lampard.

Ditanya mengenai rekod yang dilakukan, Lampard berkata: "Ia sangat bermakna. Permulaan yang hebat, saya sangat bernasib baik kerana dapat beraksi dengan kelab yang hebat dan memiliki pengurus-pengurus serta rakan-rakan sepasukan seperti sekarang.

"Jumlah jaringan yang dilakukan juga memberi makna yang besar kerana saya dapat mengatasi rekod pemain seperti Bobby Tambling. Dia seorang legenda dan pemain yang hebat."
Antara pemain yang turut menjaringkan gol pada perlawanan tersebut ialah Fernando Torres, David Luiz, Branislav Ivanovic, Oscar, Ramires (dua) dan Eden Hazard.

"Seluruh pasukan melakukan serangan dan kami tidak hanya mengharapkan seorang atau dua orang pemain sahaja," kata pengurus Chelsea, Rafael Benitez.

"Ini merupakan berita yang baik dan saya berharap pasukan akan dapat melakukan perkara yang sama pada Rabu ini di Norwich.

Benitez turut mengakui yang pasukan kendaliannya itu kini sudah bersedia untuk merampas gelaran musim ini selepas berjaya memperbaiki kedudukan untuk berada di tangga ketiga.

"Perkara utama sekarang, memenangi setiap perlawanan. Kami mampu melakukannya. Selepas perkembangan yang dipamerkan, saya pasti kami semakin menghampirinya (gelaran musim ini)," kata Benitez. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my