Memaparkan catatan dengan label Steven Gerrard. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Steven Gerrard. Papar semua catatan

Selasa, 8 Oktober 2013

Gerrard bidas kritikan


GERRARD (kanan) berang selepas ramai pihak mempersoalkan komitmen pemain-pemain England di pentas antarabangsa.


LONDON - Pemain tengah Liverpool, Steven Gerrard menyelar kritikan yang mempersoalkan komitmen pemain-pemain England di pentas antarabangsa.

Gerrard berkata, setiap individu dalam skuad The Three Lions sangat terdesak untuk melakar kejayaan.

Kapten England itu turut mendesak para peminat agar terus memberikan sokongan kepada skuad kendalian Roy Hodgson pada aksi Kumpulan H kelayakan Piala Dunia 2014 di Stadium Wembley menentang Montenegro, awal pagi Sabtu ini dan Poland empat hari kemudian.

Meskipun prestasi England di pentas antarabangsa tidak menentu, Gerrard menegaskan bahawa keghairahan untuk menjulang nama negaranya tidak pernah pudar dalam diri setiap pemain skuad The Three Lions itu.

"Semua cerita ini adalah karut.

"Perasaan sedih dan sakit hati selepas kami tidak layak ke Euro 2008 tidak akan padam sampai bila-bila.

"Saya harap anda dapat menutup mulut pengkritik yang mendakwa kami tidak peduli tentang kekecewaan mereka.

"Percayalah, kami ambil peduli. Tidak ada sesiapa yang ambil peduli selain daripada pemain dalam skuad ini. Kami sedar keghairahan para penyokong dan media tetapi ia juga berlaku dalam bilik persalinan.

"Kalau kami tidak peduli, kami tidak akan berada di sini. Saya tidak akan menjadi sebahagian daripada skuad ini. Tiada siapa memaksa kami bermain dengan England.

"Kami bermain kerana kami mahukannya. Kami terlalu ingin mencatat kejayaan bersama skuad ini," katanya. - Agensi

Jumaat, 6 September 2013

Gerrard impi ganti tempat Rodgers



GERRARD sudah mula memikirkan tentang persaraan dan masa depannya selepas tidak bergelar pemain lagi.


LONDON - Steven Gerrard telah meluahkan hasrat dan minatnya untuk menjadi pengurus Liverpool satu hari nanti selepas era Brendan Rodgers berakhir.

Kapten The Reds itu berkata demikian selepas mengakui dia terpaksa mempertimbangkan masa depannya selepas menyaksikan bekas rakan sepasukan, Jamie Carragher telah bersara pada akhir musim lalu.

Ketika menyaksikan Carragher yang kini bertugas sebagai hos bola sepak kepada rancangan sukan, Sky Sports, Gerrard menganggap dia lebih sesuai untuk meneruskan perjuangan bola sepak dengan menjadi pengendali di Anfield.

Pemain berusia 33 tahun itu memberitahu: "Impian saya akan menjadi kenyataan sekiranya diberikan peluang untuk mengemudi Liverpool pada suatu hari nanti.

"Kami telah memiliki pengurus bertaraf dunia tetapi mungkin jawatan itu akan dikosongkan. Kita tunggu dan lihat pada suatu hari nanti.

"Apabila kamu sudah tiba di kemuncak pada usia kamu, sudah tentu kamu harus berfikir secara serius mengenai kehidupan selepasnya.

"Saya hanya menandatangani kontrak lanjutan selama setahun. Saya perlu mula merancang masa depan.

"Apa rancangan itu adalah saya kini sedang mengambil kursus dan lesen kejurulatihan yang mana ia akan berakhir pada tahun depan.

"Sudah tentu saya sendiri melihat personaliti saya lebih sesuai jika menjadi pengurus berbanding jurulatih. Saya pernah bercakap perkara ini dengan Carragher tetapi beliau lebih berminat untuk terlibat dengan bidang media.

"Agak 'pelik' apabila menyaksikan beliau hoskan rancangan sukan tetapi saya sangat berbesar hati sekiranya Carragher menjadi pembantu saya sekiranya saya dilantik sebagai pengurus Liverpool pada masa akan datang." - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 28 Julai 2013

Gerrard optimistik



GERRARD (tengah) dikerumuni para peminat ketika melakukan lawatan di Hospital Siriraj di Bangkok, Thailand kelmarin.


BANGKOK - Kapten Liverpool, Steven Gerrard optimis skuad The Reds memiliki kemampuan untuk layak ke kempen Liga Juara-Juara musim depan.

Bagaimanapun, Gerrard berkata, Liverpool harus menempatkan diri dalam kelompok empat pasukan terbaik pada saingan Liga Perdana England terlebih dahulu jika berhasrat untuk kembali menggegar liga berprestij Eropah itu.

Bagi Gerrard, dia dan rakan-rakan sepasukannya berazam untuk memulihkan reputasi Liverpool yang sebelum ini dianggap sebagai kuasa besar bola sepak Eropah.

"Sudah tentu kami mahu kembali beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara. Kami sudah tidak merasainya beberapa musim yang lalu, jadi saya berharap masanya akan tiba untuk kembali bersaing.
"Saya cukup yakin dan percaya Liverpool mampu melayakkan diri ke Liga Juara-Juara. Secara peribadi, saya hanya berharap kami dapat kembali beraksi musim depan.

"Bagaimanapun, kami harus merealisasikan sasaran awal dengan memburu kedudukan empat pasukan terbaik dalam liga domestik," jelas Gerrard yang membantu Liverpool muncul juara Liga Juara-Juara pada musim 2004/2005.

Kejayaan Liverpool menjulang trofi Liga Juara-Juara sudah pasti diingati oleh penyokong setia skuad The Reds.

Pada aksi final di Stadium Ataturk, Istantul Turki itu, Liverpool menampilkan kebangkitan yang cukup dramatik ketika membenam cabaran kelab gergasi Itali, AC Milan. 

Selepas ketinggalan 0-3, Liverpool bangkit menyamakan kedudukan 3-3 sehingga tamat perlawanan masa tambahan, seterusnya bergelar juara apabila menang 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti.

"Saya anggap kejayaan kami menjuarai Liga Juara-Juara pada musim 2004/2005 merupakan satu detik yang cukup istimewa dan penuh bersejarah. Siapa dapat menjangkakan kami mampu muncul juara selepas ketinggalan 0-3 pada suatu ketika.

"Dengan semangat juang yang tinggi serta sikap enggan mengalah, kami akhirnya muncul juara," kata Gerrard yang turut dinobatkan sebagai Pemain Terbaik pada aksi final tersebut.

Ketika diminta mengulas mengenai isu penyerang berbisa, Luis Suarez yang ketika ini belum pasti mahu meneruskan kariernya di Anfield, Gerrard berkata, dia amat berharap tonggak skuad kebangsaan Uruguay itu terus kekal menyarung jersi Liverpool musim depan.

"Saya faham dia (Suarez) mahu beraksi dalam Liga Juara-Juara, begitu juga dengan para pemain Liverpool yang lain termasuk saya sendiri.

"Kami semua mahu beraksi dalam Liga Juara-Juara. Jadi buat permulaan, kami harus kembali mendapat tempat terbaik (empat teratas) dalam Liga Perdana England," jelasnya yang kini mengetuai Liverpool dalam jelajah pra-musim di Bangkok, Thailand.

Selepas membantu Liverpool meraih menewaskan skuad Pilihan Indonesia dan kelab Australia, Melbourne Victory, Gerrard berharap skuad The Reds dapat meneruskan momentum itu ketika menentang Thailand pada aksi persahabatan di Stadium Rajamangala, Bangkok hari ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 6 Mei 2013

Serangan tumpul punca merudum - Rodgers



STURRIDGE (tengah) gagal mengisi kekosongan yang ditinggalkan Suarez dalam menghasilkan gol ketika bertemu jiran Merseyside, Everton kelmarin.


LIVERPOOL - Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers merasakan mereka memerlukan seorang atau dua lagi pemain di bahagian serangan pada musim depan selepas menyaksikan jentera serangannya gagal merobek benteng pertahanan Everton dalam aksi liga, kelmarin.

Dalam pertembungan antara dua seteru Merseyside itu di Anfield, pemain Liverpool, Daniel Sturridge, Steven Gerrard serta Daniel Agger masing-masing terlepas peluang terbaik menjaringkan gol.
Kini, Liverpool ketinggalan lima mata kepada Everton yang berada di tangga keenam Liga Perdana ketika berbaki dua perlawanan lagi untuk ditamatkan.

"Kami sangat memerlukan seorang atau dua lagi untuk membantu dalam perlawanan genting seperti ini. Kami terlalu banyak seri pada musim ini (13 perlawanan) dan kami perlu mencari penyelesaian segera.

"Itu bukan prestasi terbaik kami (menentang Everton) tetapi kami perlu bangkit untuk lebih kompetitif. Namun, kami juga banyak mencatat rekod bersih, tidak bolos sebanyak 15 kali pada musim ini," jelas Rodgers.

Menurut Rodgers, mereka tidak bermasalah di benteng pertahanan berbanding serangan. Jentera serangan mereka juga ada peningkatan pada musim ini .

Dalam pada itu, Everton hampir pasti menamatkan saingan di atas Liverpool untuk musim kedua berturut-turut dan itu juga bermakna tempat dalam saingan Liga Europa juga berada dalam genggaman mereka manakala Tottenham Hotspur semakin selesa di tangga kelima.

"Satu perkara paling utama kini bagi kami adalah tempat ke saingan Eropah dan pasukan kami juga sudah semakin matang.

"Saya juga tidak mahu terlalu yakin untuk tamat di atas Liverpool selagi liga belum berakhir. Bagi saya, layak ke Liga Europa adalah paling utama dan objektif saya tidak berubah," kata pengurus Everton, David Moyes. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 8 Februari 2013

England mula 'cakap besar'



LAMPARD (tengah) diraikan rakan-rakan sepasukannya selepas menjaringkan gol kedua England ketika menentang Brazil pada aksi persahabatan di Stadium Wembley awal pagi semalam.


LONDON - Perancang England, Frank Lampard percaya kemenangan 2-1 ke atas Brazil di Stadium Wembley awal pagi semalam membuktikan skuad kendalian Roy Hodgson itu akhirnya sudah cukup ampuh untuk memberi tentangan kepada pasukan-pasukan gergasi di dunia ini.

Selepas mempamerkan prestasi hambar ketika era Fabio Capello dan permainan berhati-hati pada awal bimbingan Hodgson, England akhirnya mencatat kemenangan pertama ke atas Brazil sejak 23 tahun hasil permainan corak serangan yang diterapkan skuad gabungan pemain muda dan veteran itu.

Dengan Steven Gerrard mengetuai jentera tengah, dua pemain muda - Jack Wilshere dan Tom Cleverley diberi peluang untuk naik membantu jentera serangan di belakang Wayne Rooney, manakala Theo Walcott dan Danny Welbeck menambahkan lagi ancaman England di bahagian sayap.

Ia satu gabungan yang menakjubkan dan sukar untuk dihadapi oleh Brazil terutamanya ketika Rooney membuka jaringan hasil serangan bertali arus yang melibatkan Wilshere dan Walcott.

Walaupun Brazil berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada babak kedua menerusi Fred, perancang Chelsea, Lampard pula muncul menghadiahkan kemenangan buat The Three Lions pada minit ke-60.
"Konsentrasi dan kerjasama di bahagian tengah di antara saya, Steven (Gerrard) dan Jack sangat hebat," jelas Lampard.

"Kami sangat berbahaya ketika naik menyerang dan kami juga memiliki kepantasan. Kalau kamu lihat kepada pasukan ini sekarang, kamu akan dapati ia lebih sedikit mengujakan.

"Kalau kamu lihat apa yang Theo lakukan ketika bertahan, apa yang Wayne dan Danny lakukan, kamu akan sedar bahawa kami mampu mengalahkan mana-mana pasukan.

"Daripada segi kerja berpasukan dan peluang yang kami cipta, jelas sekali kami lebih bagus daripada Brazil yang mempunyai pemain berkualiti." - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 4 Februari 2013

City belum menyerah



PENYERANG Liverpool, Luis Suarez (kanan) bersaing dengan tonggak City, Javi Garcia pada aksi Liga Perdana England di The Etihad awal pagi semalam. Kedua-dua pasukan seri 2-2.


MANCHESTER - Pengurus Manchester City, Roberto Mancini tetap yakin skuad The Citizens, mampu mempertahankan gelaran juara Liga Perdana England musim ini.

Keyakinan itu disuarakan Mancini biarpun sedar anak-anak buahnya yang kini menghuni tangga kedua dengan 53 mata, ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu, Manchester United.

City terlepas peluang terbaik bagi merapatkan jurang mata dengan United apabila sekadar seri 2-2 menentang Liverpool di Stadium Etihad awal pagi semalam.

Pada aksi tersebut, City di depan selepas Edin Dzeko membuka tirai jaringan pada minit ke-23 sebelum Daniel Sturridge menyamakan kedudukan buat Liverpool enam minit kemudian.
Kapten Liverpool, Steven Gerrard meletakkan The Reds di depan pada minit ke-73 sebelum Sergio Aguero muncul penyelamat City dengan gol penyamaan lima minit kemudian.

Mancini percaya memori kejuaraan yang dilakar anak-anak buahnya musim lalu mampu membangkitkan semula semangat mereka untuk mempertahankan gelaran juara musim ini.

Musim lalu, City yang ketinggalan lapan mata dalam baki enam perlawanan terakhir kembali bangkit untuk bergelar juara buat kali pertama selepas 44 tahun.

"Persaingan bagi bergelar juara liga musim ini masih belum berakhir kerana situasi ketika ini sama seperti yang berlaku musim lalu dan dua tahun lalu.

"Dua tahun lalu, Chelsea ketinggalan sembilan mata dan hanya dipisahkan dua mata ketika menentang United pada minggu terakhir saingan liga.

"Saya tidak fikir ia sudah berakhir. Masih ada ruang untuk mana-mana pasukan melakukan kesilapan.
"Saya fikir kami perlu menang dalam semua baki perlawanan tetapi ia jarang berlaku," kata Mancini sejurus tamat perlawanan awal pagi semalam.

Bagaimanapun, Mancini meluahkan kekecewaannya ekoran prestasi hambar yang dipamerkan barisan pemain City ketika berdepan Liverpool.

"Saya kecewa kerana kami tidak beraksi dengan baik. Liverpool beraksi lebih baik pada babak pertama.
"Bulan lalu kami beraksi dengan baik dalam setiap perlawanan. Namun, hari ini (awal pagi semalam) kami beraksi dalam keadaan gementar dan saya tidak tahu apa puncanya," kata Mancini. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/