Memaparkan catatan dengan label Tan Boon Heong. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tan Boon Heong. Papar semua catatan

Isnin, 26 Ogos 2013

BAM harus buat keputusan bijak



BERDIRI MEGAH... Kien Keat (kanan) dan Boon Heong dinobat selaku juara Seluruh England pada 2007.


BUKAN mudah untuk membuat keputusan dan mengambil tindakan yang tepat terhadap beregu utama lelaki negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong selepas kegagalan mereka melangkah ke final Kejohanan Badminton Dunia 2013 di Guangzhou, China.

Sebelum ini, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memberi amaran kepada Kien Keat-Boon Heong supaya menampilkan aksi terpuji atau beregu No. 4 dunia itu akan dipisahkan jika gagal melangkah ke pentas final.

BAM bertindak sedemikian berikutan prestasi mereka yang merudum sejak beberapa tahun lalu.
Kesudahannya, impian untuk beraksi di pentas final untuk kali kedua selepas edisi 2010 tidak kesampaian dan kini mereka hanya menanti hukuman daripada BAM selepas sekadar mampu menjejakkan kaki ke suku akhir.

Pencapaian mara ke suku akhir itu sekali gus mengulangi skrip yang pernah dilakukan Kien Keat-Boon Heong pada edisi 2011.

Bezanya ketika itu, mereka tewas kepada gandingan Korea Selatan, Ko Sung Hyun-Yoo Yeon Seong, namun pada 9 Ogos lalu, Kien Keat-Boon Heong ditumbangkan oleh satu lagi pasangan Korea Selatan, Kim Ki Jung-Kim Sa Rang.

Terdahulu, ketika menyambut kepulangan Datuk Lee Chong Wei yang pulang dengan pingat perak Kejohanan Dunia 2013 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Timbalan Presiden BAM, Datuk Mohamad Norza Zakaria menegaskan, tindakan harus diambil terhadap kedua-dua pemain itu.

Bagaimanapun, Mohamad Norza menjelaskan, bagaimana tindakan itu dikenakan ia terpulang kepada keputusan mesyuarat Ahli Jawatankuasa BAM pada 7 September depan.

Ketika iminta mengulas mengenai keputusan terbaik terhadap Kien Keat-Boon Heong, legenda badminton negara, Datuk James Selvaraj berpendapat analisis perlu dilakukan secara terperinci sebelum mengambil tindakan terhadap kedua-dua pemain berkenaan.

"Mereka berdua baru 27 tahun (Kien Keat) dan 26 tahun (Boon Heong) dan sekurang-kurangnya masih ada tiga tahun lagi untuk beraksi di peringkat kompetitif.

"Kalau mereka berdua hendak dipisahkan, jadi BAM harus memberikan penjelasan kepada mereka supaya tidak ada yang kecil hati dan meninggalkan badan induk itu," kata James yang pernah menjadi jurulatih negara pada 1982 hingga 1985.

Masa depan bekas beregu No. 1 dunia itu mula mencetuskan tanda tanya ekoran kegagalan mereka meraih sebarang pingat pada Sukan Olimpik 2012 di London termasuk bergelut dengan prestasi tidak menentu sepanjang dua tahun kebelakangan ini.

Situasi tersebut sekali gus menyaksikan segelintir pihak dalam BAM mendesak agar kedua-dua pemain itu dipisahkan dan digandingkan dengan pemain muda.

Begitupun, apa yang menjadi persoalan sekarang ialah prestasi mereka pada masa akan datang dan kemahuan kedua-dua pemain itu sama ada Kien Keat-Boon Heong rela untuk dipisahkan.

Mengulas lanjut, James percaya kedua-dua pemain itu boleh menerima sebarang keputusan daripada BAM sekiranya diberikan penjelasan yang terperinci mengenai hala tuju mereka nanti.

"Selepas Sukan Olimpik (2012) tidak boleh, mereka tunggu Kejohanan Dunia (2013), kemudian apabila mereka tidak menang juga, jadi hendak pisahkan.

"Apabila kedua-dua pemain terbabit tidak boleh bermain lagi, jadi apa lagi yang BAM boleh buat? Namun, sama ada dipisahkan atau tidak, ia terpulang kepada BAM," tambah James.

Sementara itu, pemenang pingat perak Sukan Olimpik 1996, Cheah Soon Kit percaya keputusan sama ada Kien Keat-Boon Heong bakal dipisahkan atau tidak akan bergantung kepada ketua jurulatih beregu kebangsaan, Tan Kim Her.

Jelasnya, laporan daripada jurulatih mengenai prestasi para pemain ketika sesi latihan atau pada setiap kejohanan akan menjadi rujukan utama.

"Hanya ketua jurulatih yang lebih mengetahui hal ini kerana beliau orang yang paling hampir dengan para pemain," tambahnya.

Kien Keat-Boon Heong mula digandingkan pada Terbuka Jepun 2006 sebagai 'percubaan pertama' oleh bekas jurulatih negara, Rexy Mainaky.

Kien Keat sebelum itu digandingkan dengan Ong Soon Hock, Gan Teik Chai dan Chan Chong Ming tetapi selepas mempamerkan aksi cemerlang meraih emas pada Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar, mereka terus dikekalkan sehingga ke hari ini.

Boon Heong pula pernah digandingakan dengan Hoon Thien How dan Vountus Indra Mawan pada 2005 sebelum digandingkan dengan Kien Keat.

Bekas jurulatih Kien Keat-Boon Heong, Pang Cheh Chang yang kini bersama skuad pembangunan beregu di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) berharap tindakan yang tepat akan diambil oleh BAM.
Jelas Cheh Chang yang pernah diberikan tanggungjawab membimbing gandingan itu pada Sukan Olimpik 2012, keputusan yang diambil BAM haruslah yang terbaik demi masa depan badminton negara.

"Kalau anda tanya saya sudah tentu saya mengharapkan keputusan yang tepat. Pisahkan pemain ini (Kien Keat-Boon Heong) dan cari pasangan baharu untuk mereka berdua.
"Kajian secara terperinci juga harus dilakukan kerana jika mereka digandingkan dengan pasangan baharu, prestasi kedua beregu baharu ini perlu lebih tinggi daripada tahap permainan mereka berdua sekarang.

"Saya sudah lama dalam skuad jurulatih, saya pernah ikut Rexy dan begitu juga, Yap Kim Hock jadi sudah banyak yang saya tengok dan belajar.

"Bagi saya kajian secara terperinci perlu dilihat bukan sahaja masalah pemain-pemain ketika latihan sahaja tetapi masa mereka di luar kerana ia akan menjadi punca kepada kejatuhan prestasi mereka," ujar Cheh Chang.

Ditanya sama ada Kien Keat-Boon Heong mungkin akan meninggalkan BAM sekiranya mereka tidak berpuas hati apabila dipisahkan nanti, Cheh Chang berkata, dia percaya para pemain akan menerima keputusan itu selepas mengetahui hala tuju selepas ini.

Jelasnya, pihak atasan dan jurulatih harus duduk semeja untuk membincangkan hal berkenaan dan mencari jalan penyelesaian untuk memastikan kedua-dua pemain itu faham mengapa sesuatu tindakan diambil.

"Saya juga pernah menjadi pemain tetapi pemain dahulu dengan sekarang tidak sama. Kalau dahulu kami akan mengikuti apa sahaja arahan jurulatih namun sekarang mereka harus diberikan penjelasan sebelum melakukan apa yang disuruh.

"Jadi dalam perkara ini, jurulatih harus memberikan penjelasan dengan lebih baik kepada Kien Keat-Boon Heong supaya mereka tahu hala tuju dan perancangan jika dipisahkan untuk digandingkan dengan pasangan lain.

"Saya percaya jika mereka nampak hala tuju itu, mereka akan lebih bersemangat untuk melakukan perubahan," ujarnya.

Cheh Chang pernah diberikan tanggungjawab untuk melatih Kien Keat-Boon Heong selama 16 bulan sebelum diarahkan memantau skuad pembangunan di SSBJ pada awal tahun ini.

Ditanya sama ada Kien Keat-Boon Heong mampu mara lebih jauh pada Kejohanan Dunia 2013 jika mereka masih di bawah bimbingannya, Cheah Chang mengakui, beliau yakin dengan kemampuan kedua-dua pasangan itu.

Difahamkan, mesyuarat pertama Ahli Jawatankuasa BAM di bawah Presiden baharu, Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff minggu depan turut akan membincangkan mengenai pelan jangka pendek dan sederhana badan induk tersebut.

Selain menentukan tindakan terhadap Kien Keat-Boon Heong, keputusan pelantikan Setiausaha Kehormat dan Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (CTC) BAM juga akan diketahui pada mesyuarat berkenaan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 23 Julai 2013

Gelaran juara sasaran utama

Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI

KIEN KEAT (kanan) dan Boon Heong mahu mengakhiri penantian merangkul trofi Kejohanan Dunia di Guangzhou, China bulan depan.


PEMAIN beregu lelaki utama negara, Tan Boon Heong mempunyai misi tersendiri ketika menghadapi Kejohanan Badminton Dunia 2013 di China bulan depan.

Mengakui dirinya akan lebih tenang jika dia dan pasangannya, Koo Kien Keat ditabal selaku juara di bumi Guangzhou, Boon Heong turut meletakkan sasaran peribadi menjelang kejohanan berprestij itu.
Boon Heong berkata, biarpun Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menetapkan sasaran sekurang-kurangnya mara ke pentas final, dia telah menanam azam untuk meraih kejuaraan pada edisi kali ini.
“Sebenarnya kami perlu ikut satu perlawanan demi satu (bermula aksi pusingan kedua). BAM telah meletak sasaran ke final tetapi saya sebenarnya mahukan kejuaraan.

“Saya pernah melangkah ke final pada edisi 2010, separuh akhir (2009) dan suku akhir (2007 dan 2011), jadi kalau saya tidak dapat mengatasi pencapaian itu, saya akan rasa gagal,” kata Boon Heong.
Kien Keat-Boon Heong mendapat bye dalam pusingan pertama sebelum mereka dijadual menentang pasangan Jerman, Peter Kaesbauer-Josche Zurwonne atau Pranaav Jerry Chopra-Akshay Dewalkar (India) pada pusingan kedua. 

Beregu No. 2 dunia itu dijangka berdepan dengan pasangan kelima dunia dari Korea Selatan, Kim Ki Jung-Kim Sa Rang sekiranya mereka mara ke suku akhir.

Ketika diminta mengulas mengenai undian kejohanan kali ini, Boon Heong menganggap laluan mereka tidak terlalu sukar.

“Undian itu agak baik bagi kami tetapi apa yang penting sekarang, kami perlu buat persiapan lagi dan lebih fokus.

“Selepas ini saya akan menyaksikan rakaman perlawanan yang membabitkan lawan yang akan menentang kami pada Kejohanan Dunia nanti.

“Saya juga tidak rasa tertekan dengan undian dan kami harus menerimanya,” tambah Boon Heong.
Kien Keat-Boon Heong melakar sejarah peribadi apabila melangkah ke final Kejohanan Dunia 2010 di Perancis, namun sekadar berpuas hati dengan gelaran naib juara selepas tewas kepada beregu handalan China, Cai Yun-Fu Haifeng.

Bekas beregu No. 1 dunia itu harus sekurang-kurangnya melangkah ke pentas final pada kejohanan kali ini atau mereka bakal berdepan dengan tindakan dipisahkan oleh BAM.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 19 Mei 2013

Malaysia tumbang


KIEN Keat (belakang) dan Boon Heong gagal menyumbang mata kemenangan skuad negara selepas tewas kepada beregu Taiwan pada aksi pembukaan peringkat Kumpulan C Kejohanan Badminton Piala Sudirman di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam.


APA sudah jadi dengan skuad badminton negara? Taiwan pun tak mampu untuk diatasi pada aksi pembukaan peringkat Kumpulan C Kejohanan Badminton Piala Sudirman di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam.

Pada perlawanan tersebut, skuad negara tewas 2-3 kepada Taiwan, negara yang kurang terkenal dengan sukan badminton.

Untuk memburukkan lagi keadaan, beregu No. 3 dunia, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong gagal menyumbang mata kemenangan selepas tewas kepada lawan mereka, Lee Sheng Mu-Tsai Chia Hsin 18-21, 18-21.

Kem Malaysia menaruh keyakinan kepada beregu utama negara itu untuk meraih mata keramat itu, tetapi gandingan Koo-Tan tidak mampu mengatasi lawan mereka itu yang turun buat kali pertama mewakili skuad negara mereka pada kejohanan berprestij itu.

Sebelum itu, Malaysia meraih dua mata menerusi kemenangan pemain perseorangan lelaki, Datuk Lee Chong Wei dan beregu campuran yang digalas Chan Peng Soon- Goh Liu Ying.

Chong Wei tidak menghadapi masalah untuk menjinakkan lawannya, Yang Chih Hsun 21-8, 21-13 untuk menghadiahkan mata pertama buat skuad negara.

Mata kedua pula diraih menerusi Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang terpaksa bekerja keras sebelum menundukkan Lu Ching Yao-Lai Chia Wen 25-23, 21-11 dalam tempoh 31 minit.

Kekalahan yang dialami Koo-Tan telah memberi tekanan kepada pemain perseorangan wanita negara, Sonia Cheah Su Ya untuk mencari mata kemenangan dan seperti dijangka, Sonia tewas kepada Tai Tzu Ying dengan keputusan 7-21, 13-21.

Mata kemenangan Taiwan diraih menerusi beregu wanita mereka, Chen Wen Hsing-Hsieh Pei Chen yang menewaskan pasangan negara, Vivian Hoo Kah Mun-Woon Khe Wei 21-17, 21-19.

Chong Wei selaku kapten skuad negara meminta agar semua pemain tidak cepat mengalah walaupun tewas pada perlawanan pertama peringkat kumpulan.

Ujar Chong Wei, skuad negara harus bangkit pada aksi kedua Kumpulan C menentang Jerman esok bagi memastikan peluang Malaysia untuk melangkah ke peringkat separuh akhir tercapai.

“Saya memang tidak sangka Koo-Tan tewas pada perlawanan hari ini (semalam). Sonia pula mungkin berada dalam keadaan tertekan kerana diturunkan untuk kali pertama pada Piala Sudirman.

“Walaupun tewas, kita tidak boleh menyalahkan pemain, kami harus bersedia untuk menentang Jerman Selasa ini.

“Saya harap kami akan dapat meraih kemenangan ke atas Jerman sambil mengharapkan Taiwan tewas pada perlawanan kedua mereka nanti kepada Jerman.

“Esok (hari ini) tiada perlawanan, jadi kami boleh berehat dan menilai segala kelemahan yang berlaku pada perlawanan pertama hari ini (semalam),” jelas Chong Wei.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 11 Januari 2013

Chong Wei ke separuh akhir



CHONG Wei menepati ramalan melangkah ke pusingan separuh akhir Terbuka Korea semalam.


PEMAIN No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei meneruskan kecemerlangan pada Kejohanan Badminton Siri Super Premier Terbuka Korea 2013 apabila mudah menempah slot ke separuh akhir semalam.
Chong Wei mara selepas dia mencatatkan kemenangan ke atas pemain Hong Kong, Hu Yun 21-15, 21-17 dalam 32 minit.

Lebih menarik, pilihan pertama kejohanan itu terus melebarkan lagi rekod kemenangannya ke atas Hu Yun untuk kali kelima berturut-turut sejak pertemuan mereka pada Piala Sudirman 2009 di Guangzhou, China.
Pemain berusia 30 tahun itu dijadualkan menentang seorang lagi jaguh dari Hong Kong, Wong Wi King yang turut mara ke separuh akhir hari ini.

Wi King melangkah ke kelompok empat pemain terbaik selepas dia menundukkan pemain muda negara, Chong Wei Feng 21-5, 17-21, 21-15 dalam satu lagi aksi separuh akhir semalam.

Wei Feng sempat mempamerkan kebangkitan untuk memenangi set kedua dengan kelebihan empat mata, namun pemain berusia 26 tahun itu disekat Wi King pada set ketiga. 

Sementara itu, beregu utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong turut menepati ramalan apabila menewaskan pemain China, Liu Xiaolong-Qiu Zihan 21-12, 21-19.

Meskipun Kien Keat-Boon Heong dilihat mudah mencatatkan kemenangan straight set, namun beregu No.2 dunia itu juga dipaksa 'bermandi peluh' sebelum mengesahkan aksi suku akhir itu milik mereka.

Begitupun, Kien Keat-Boon Heong bakal berdepan laluan yang sukar hari ini apabila mereka dijadualkan bertemu dengan beregu tuan rumah, Ko Sung Hyun-Lee Yong Dae pada aksi separuh akhir.

Untuk rekod, kedua-dua gandingan tersebut pernah bertemu dua kali sebelum ini dan perlawanan terakhir antara mereka menyaksikan Sung Hyun-Yong Dae yang meraih kemenangan.

Kien Keat-Boon Heong menang 8-21, 21-16, 21-19 pada pusingan pertama Siri Super Premier Terbuka Denmark 2012, Oktober lalu.

Pada aksi suku akhir semalam, Sung Hyun-Yong Dae mara selepas mereka menewaskan beregu muda negara, Goh V Shem-Lim Khim Wah 21-16, 21-10.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Rabu, 2 Januari 2013

Beregu negara dijangka bertemu sesama sendiri



PASANGAN Kien Keat-Boon Heong akan menentang beregu Indonesia pada pusingan pertama Siri Super Terbuka Malaysia 2013.


TIGA beregu lelaki negara terpaksa akur apabila dijangka bertemu antara satu sama lain dalam laluan ke pentas final pada Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Malaysia 2013.

Berdasarkan undian yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) semalam, beregu lelaki utama, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong akan berdepan rakan senegara, Goh V Shem-Lim Khim Wah pada pusingan kedua jika kedua-dua pasangan tersebut melepasi pusingan awal.

Kien Keat-Boon Heong akan menentang beregu Indonesia, Yonathan Suryatama Dasuki-Hendra Gunawan pada pusingan pertama manakala V Shem-Khim Wah membuka tirai berdepan Rasmus Bonde-Mads Conrad-Petersen dari Denmark.

Salah satu daripada mereka akan berdepan Hoon Thien How-Tan Wee Kiong di peringkat suku akhir yang turut dijangka mampu meloloskan diri dalam kelompok lapan terbaik.

"Ini bukan undian yang baik untuk beregu lelaki negara. Mereka terpaksa bertemu antara satu sama lain di peringkat awal.

"Saya harap, mereka akan mempamerkan aksi terbaik masing-masing. Beregu mana lebih bagus, merekalah yang akan ke peringkat seterusnya," kata ketua jurulatih beregu negara, Tan Kim Her.

Bagaimanapun, Kim Her berkata, undian kali ini dilihat memberi kelebihan kepada Kien Keat-Boon Heong untuk menamatkan kemarau kejuaraan yang dialami mereka sejak 2010.

"Bukan sahaja Terbuka Malaysia tetapi pada Terbuka Korea Selatan juga Kien Keat-Boon Heong mendapat undian yang baik. Kini, segala-galanya terpulang kepada mereka untuk bergelar juara.
"Saya tidak mahu terlalu meletakkan harapan yang tinggi kerana fokus utama mereka tahun ini adalah Seluruh England, Kejohanan Dunia dan Piala Sudirman," kata Kim Her.

Dua lagi beregu negara turut menggalas cabaran pada Terbuka Malaysia kali ini iaitu Nelson Wei Keat-Teo Ee Yi, Chooi Kah Ming-Ow Yao Han selain beregu profesional yang bernaung di bawah Kelab Raket Kuala Lumpur, Mohd. Zakry Abdul Latif-Mohd. Fairuzizuan Mohd. Tazari.

Sementara itu, jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei yang diletakkan sebagai pilihan pertama dijangka tidak berdepan masalah untuk melepasi pusingan pertama menentang pemain Denmark, Viktor Axelsen.

Juara Terbuka Perancis tahun lalu, Liew Daren akan menentang pemain India, Ajay Jayaram manakala Chong Wei Feng berdepan tugas sukar apabila menentang pilihan kedua, Kenichi Tago dari Jepun.
Perseorangan muda negara, Mohd. Arif Abdul Latif akan bertemu pemain berpengalaman Indonesia, Sony Dwi Kumncoro.

Beregu campuran utama negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang tampil sebagai pilihan pertama akan membuka tirai saingan menentang Sudket Prapakamol-Duanganong Aroonkesorn dari Thailand.
Terbuka Malaysia akan berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil pada 15 hingga 20 Januari ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my