Memaparkan catatan dengan label Fernando Torres. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Fernando Torres. Papar semua catatan

Isnin, 30 September 2013

Chelsea semakin terdesak


MOURINHO (kanan) memberikan arahan kepada Fernando Torres ketika Chelsea seri 1-1 dengan Tottenham Hotspurs pada aksi Liga PerdanaEngland, Sabtu lalu.


BUCHAREST - Chelsea bertekad untuk memulihkan reputasi pada aksi kedua Kumpulan E kempen Liga Juara-Juara menentang Steaua Bucharest di Stadionul Ghencea, Romania awal pagi esok.

Chelsea perlu bangkit selepas dikejutkan dengan kekalahan 1-2 kepada FC Basel pada aksi di Stamford Bridge, 18 September lalu.

Kini, skuad The Blues terdesak untuk menewaskan Bucharest bagi meletakkan kembali pasukan itu di landasan yang tepat untuk meneruskan kemaraan di pentas Liga Juara-Juara.

Selain itu, anak-anak buah Jose Mourinho juga perlu menewaskan Schalke 04 pada 22 Oktober depan.

Chelsea melakar sejarah tersendiri musim lalu apabila menjadi juara bertahan pertama yang tersingkir di peringkat kumpulan.

Mourinho berkata, aksi menentang Bucharest sangat penting dan mereka tidak boleh tewas demi kebaikan pasukan itu.

"Seri bukan satu keputusan baik buat kami. Jadi, kami perlu bersiap sedia daripada sekarang.
"Kami perlu mengutip 12 mata untuk mengelak daripada mengalami insiden yang tidak diingini berlaku. Jadi, jika kami tewas di sana (Bucharest), kami masih memiliki empat perlawanan.

"Jadi, kami harus mengutip 12 mata untuk baki perlawanan tersebut dan sudah tentu saya tidak mahu meletakkan tekanan kepada pasukan saya (sekiranya tewas)," katanya.

Chelsea masih dibayangi memori hitam selepas skuad The Blues tewas 0-1 pada kali terakhir mereka berkunjung ke Bucharest pada aksi Liga Europa.

Begitupun, mereka kembali menebus kekalahan itu dengan merakamkan kemenangan secara agregat 3-1 pada aksi kalah mati Liga Europa pada Mac lalu.
- AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 4 Ogos 2013

Saya nak ubah reputasi Torres

 
Indianapolis: Jose Mourinho bertekad untuk memperbaiki Fernando Torres dan mengubah penyerang bernilai 50 juta pound (RM248.9 juta) itu kembali bergelar salah seorang peledak digeruni di Eropah.

Penyerang Sepanyol berusia 29 tahun itu yang membuat penampilan pertama pada perlawanan pra musim dengan menjadi pemain gantian ketika Chelsea mencatat kemenangan 2-0 ke atas Inter Milan pernah digelar penyerang paling berbahaya ketika di Liverpool, menggunakan kepantasannya ditambah umpanan tepat Steven Gerrard dan Xabi Alonso.

Pergelutan untuk mengulangi persembahannya di Stamford Bridge kekal misteri namun ramai mengatakan tugasnya selaku penyerang tunggal yang diubah kepada serba boleh menjadi punca kemerosotan bersama kelab London itu.


Kami tahu bagaimana Torres bermain, kata Mourinho. Apabila kami melihat Torres sebelum ini, menjaringkan gol sekalipun dikawal dua atau tiga pemain, kami tahu dia tidak melakukan magis. Namun inilah Torres. Kami mahu pasukan berlatih bagaimana untuk bermain dengannya.

Tak ubah corak

Kami tidak akan mengubah corak permainannya kerana ia mustahil. Namun, kami mahu mengadaptasi pasukan dan mengajar pasukan bagaimana menggunakan kualiti terbaik dimilikinya, kerana permainannya adalah permainannya.

Dia bukannya kanak-kanak, dia berada pada usia yang sukar mengubah permainannya. Dia adalah dirinya dan dia amat bagus dengan kualiti yang ada padanya. Jadi kami akan belajar dan membantu permainannya, kata Mourinho yang turut berkata kapten Chelsea, John Terry bernasib baik terlepas daripada kecederaan serius selepas menerima terjahan keras pemain Inter, Hugo Campagnaro.
Kemenangan dalam Kejuaraan Antarabangsa Guinness memastikan Mourinho mengekalkan kemenangan 100 peratus dalam perlawanan pra musim namun berkata:
Apa maknanya dengan memenangi perlawanan ini? Tidak banyak, katanya.
Agensi

Sabtu, 22 Jun 2013

Sepanyol hanya perlu seri



PARA pemain Sepanyol menjalani latihan ringan menjelang aksi terakhir Kumpulan B kempen Piala Konfederasi 2013 menentang Nigeria di Arena Castelao awal pagi esok.


FORTALEZA - Sepanyol hanya perlu mengutip satu mata pada aksi terakhir Kumpulan B kempen Piala Konfederasi 2013 menentang Nigeria di Arena Castelao awal pagi esok.

Skuad La Roja yang masih segar dengan kejayaan membelasah Tahiti 10-0 kelmarin, hanya perlu seri dengan Nigeria untuk menempah slot ke separuh akhir.

Pada aksi menentang Tahiti, Fernando Torres menjaringkan empat gol, manakala David Villa meledakkan hatrik, sekali gus meletakkan jurulatih Sepanyol, Vicente del Bosque dalam dilema untuk memilih kesebelasan utama pasukan itu pada aksi menentang Nigeria.

Sepanyol memulakan kempen kali ini dengan hambar apabila sekadar menang tipis 2-1 ke atas Uruguay dalam perlawanan pembukaan 16 Jun lalu.

Setakat ini, hanya pemain pertahanan, Sergio Ramos yang beraksi dalam dua perlawanan, manakala Xavi, Andres Iniesta dan Cesc Fabregas dijangka disenaraikan semula pada perlawanan terakhir itu nanti.

Berbanding Sepanyol yang hanya perlu mencuri satu mata, Nigeria pula perlu menang sekurang-kurang empat gol sekiranya berhasrat untuk mara ke separuh akhir.

Nigeria yang menewaskan Tahiti 6-1 pada aksi pembukaan, tewas 1-2 kepada Uruguay, sekali gus berkongsi tiga mata dengan pasukan daripada Amerika Selatan itu.

Uruguay dijangka tidak berdepan masalah untuk menumbangkan Tahiti pada aksi terakhir manakala Nigeria menghadapi misi berat untuk menewaskan juara Eropah dan dunia, Sepanyol.

"Semuanya akan tercapai. Ia bergantung kepada apa yang anda inginkan dan berapa banyak jaringan yang anda mahukan," kata jurulatih Nigeria, Stephen Keshi.

Perancangan Keshi juga sedikit terganggu selepas penyerang AC Milan, Nnamdi Oduamadi yang meledak hatrik ketika membenam Tahiti 6-1 mengalami kecederaan dan tidak beraksi pada aksi menentang Uruguay. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Khamis, 13 Jun 2013

Barcelona cuba selamatkanTorres



TORRES dijangka pulang ke Stamford Bridge sebaik tamat kempen Piala Konfederasi 2013.


LONDON - Barcelona mahu menamatkan 'mimpi ngeri' penyerang Chelsea, Fernando Torres. Juara Liga Sepanyol itu bersiap sedia untuk membuat tawaran berjumlah £17 juta (RM83.4 juta) bagi mendapatkan khidmat Torres.

Begitupun, jumlah itu kurang £33 juta (RM161.9 juta) daripada harga yang dibayar Chelsea kepada Liverpool ketika mencipta rekod perpindahan tertinggi di Britain dua tahun lalu.

Pengurus baharu skuad The Blues, Jose Mourinho mahu bersemuka dengan Torres sebelum membuat sebarang keputusan mengenai masa depan pemain yang mendapat bayaran tertinggi itu.

Bagaimanapun, selepas Chelsea mendedahkan keinginan untuk memburu khidmat penyerang Napoli, Edinson Cavani yang bernilai £54 juta (RM265 juta), Torres sedar dia pasti meninggalkan skuad The Blues.

Kini, terpulang kepada Mourinho untuk menentukan masa depan Torres yang masih mempunyai baki kontrak selama tiga tahun di Stamford Bridge.

Torres, 29, sedang menjalankan tugas antarabangsa dengan Sepanyol dan dijangka pulang ke Stamford Bridge sebaik tamat kempen Piala Konfederasi 2013 di Brazil.

Dia baru sahaja melengkapkan musim yang produktif di Chelsea selepas meledakkan keseluruhan 22 gol, tetapi hanya lapan gol berjaya dicetak dalam saingan Liga Perdana England.

Barcelona yang turut membuat persiapan untuk mengemukakan tawaran kepada pemain pertahanan Chelsea, David Luiz melihat Torres sebagai penyerang simpanan di Nou Camp dan yakin kepulangannya ke Sepanyol bakal mengembangkan semula kariernya.

Barca mahu Torres menggantikan tempat rakan senegara, David Villa yang dijangka meninggalkan Nou Camp, malah bersedia membayar gaji berjumlah £175,000 (RM858,870) seperti mana yang diterimanya di Stamford Bridge. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 3 Mei 2013

Benitez tagih sokongan peminat


PEMAIN-PEMAIN Chelsea meraikan kejayaan Luiz menjaringkan gol ketiga ketika pasukan itu menewaskan Basel 3-1 di Stamford Bridge awal pagi semalam.


LONDON - Rafael Benitez berharap para peminat Chelsea akan menghargai jasanya selepas beliau membantu skuad The Blues mara ke final Liga Europa buat kali pertama dalam sejarah kelab itu.

Chelsea menempah slot ke final selepas menyingkirkan kelab Switzerland, FC Basel secara agregat 5-2 hasil kemenangan 2-1 pada aksi separuh akhir pertama minggu lalu dan 3-1 pada pertemuan kedua di Stamford Bridge awal pagi semalam.

Pengendali sementara Chelsea itu bergelut untuk 'menawan' hati para peminat kelab tersebut sejak menggantikan tempat Roberto Di Matteo, November tahun lalu.
Bagaimanapun, beliau akan dijulang bagai wira sekiranya berjaya menewaskan Ben- fica pada aksi final di Amsterdam, Belanda, 15 Mei ini.

Dalam pada itu, Chelsea masih bergelut untuk mengukuhkan kedudukan dalam kelompok empat pasukan teratas pada kempen Liga Perdana England, sekali gus layak ke saingan Liga Juara-Juara iaitu pertandingan yang dimenangi di bawah bimbingan Di Matteo musim lalu.

Namun, Benitez berharap kecemerlangan dalam pertandingan kedua berprestij di Eropah itu mendapat penghargaan daripada para peminat.

"Dalam semua keadaan dan apa yang berlaku awal musim ini termasuk situasi pembelian pemain baharu dan pasukan dalam proses peralihan. Ia sangat sukar tetapi kami melakukan tugas dengan baik.
"Kami tidak mempunyai banyak masa, terpaksa bermain dua perlawanan setiap minggu tetapi kami menghadapinya dengan baik. Saya harap kami akan melakukannya dengan lebih baik selepas ini.

"Kami sangat profesional dalam menjalankan tugas. Sejak tewas kepada Swansea City (aksi separuh akhir Piala Liga), kami menang 11 daripada 13 perlawanan di tempat sendiri, dua kali seri dan 11 kali menang.

"Kami melakukan tugas kami dan berharap para peminat akan menghargainya," kata pengendali kelahiran Sepanyol itu.

Pada aksi awal pagi semalam, Chelsea ketinggalan pada separuh masa pertama hasil jaringan penyerang Basel, Mohamed Salah.

Begitupun, Fernando Torres menyamakan kedudukan pada minit ke-50 sebelum Victor Moses dan David Luiz mengesahkan kemenangan skuad The Blues hasil jaringan masing-masing minit ke-52 serta ke-59.
Sementara itu, Benfica menempah slot ke final selepas menewaskan Fenerbahce dengan agregat 3-2. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 16 April 2013

Benitez salahkan pengadil



NASRI (kanan) membuka jaringan buat City ketika perlawanan separuh akhir Piala FA menentang Chelsea di Stadium Wembley kelmarin. City menang 2-1.


LONDON - Rafael Benitez menegaskan, kegagalan pengadil membuat dua keputusan yang tepat menjadi punca kekalahan 1-2 Chelsea kepada Manchester City dalam aksi separuh akhir Piala FA di Stadium Wembley kelmarin.

Pada aksi tersebut, City yang mendominasi permainan, mendahului 2-0 menerusi jaringan Samir Nasri dan Sergio Aguero sebelum The Blues merapatkan kedudukan hasil jaringan Demba Ba minit ke-66.

Apa yang mengecewakan Benitez, Aguero terlepas hukuman daripada pengadil selepas memijak pertahanan Chelsea, David Luiz manakala tindakan pemain pertahanan, Vincent Kompany tidak mendapat perhatian pengadil untuk menghadiahkan penalti kepada The Blues walaupun jelas dia mengasari Fernando Torres di dalam kotak penalti.

Pengurus sementara Chelsea itu berkata: "Adakah ia sepatutnya penalti? Ya, jelas sekali. 

"Keputusan pengadil yang enggan memberi penalti kepada kami menjadi punca utama kekalahan kami, malah Vincent Kompany juga sepatutnya dibuang padang.

"Kamu boleh gambarkan sendiri situasi tersebut. Ada dua keputusan yang teruk dibuat oleh pengadil pada babak kedua.

"Kami beraksi menentang sebuah pasukan yang bagus. Jika mereka menjaringkan satu lagi gol, permainan ini mungkin sudah berakhir.

"Namun, kami terus mencuba dan memiliki peluang kembali semula dalam permainan, jadi keputusan pengadil ini banyak memainkan peranan."

Benitez juga mendedahkan bahawa kemasukan Torres telah memberinya harapan untuk melihat Chelsea bangkit dalam pertemuan tersebut.

"Saya hanya kecewa dengan keputusan (pengadil) ini sahaja. Apabila Fernando masuk, pasukan kami beraksi lebih bertenaga.

"Kalau kamu lihat persembahan kami pada babak kedua, kamu boleh lihat bahawa semua pemain ini mampu beraksi dengan baik dalam baki saingan musim ini.

"Kamu boleh lihat sendiri yang kami memiliki tenaga, kualiti dan juga keinginan melakukannya," katanya. - Agensi

-KOSMO-

Jumaat, 11 Januari 2013

Chelsea elak aib


http://kakibola.forumado.net/t1290-chelsea-elak-aib#1834 


TORRES (kiri) dan Ba dijangka mengemudi jentera serangan Chelsea pada aksi Liga Perdana England menentang Stoke City di Stadium Brittania malam ini.


LONDON - Pengurus sementara Chelsea, Rafael Benitez resah menjelang pertemuan menentang Stoke City pada aksi Liga Perdana England di Stadium Brittania malam ini.

Ia gara-gara skuad The Blues menampilkan prestasi tidak menentu termasuk beberapa keputusan hambar ketika beraksi di gelanggang lawan musim ini.

Terbaharu, anak-anak buah Benitez dikejutkan dengan kekalahan 0-2 kepada Swansea City pada aksi separuh akhir pertama Piala Liga kelmarin.

Sebelum itu, Chelsea tewas 0-1 kepada Queens Park Rangers (QPR) di Stamford Bridge, sekali gus impian untuk memburu gelaran Liga Perdana England dilihat semakin samar.

Akibatnya, penyokong-penyokong fanatik Chelsea mengecam percaturan Benitez dan mengkritik persembahan hambar penyerang Sepanyol, Fernando Torres.

Mereka turut mendesak Benitez supaya mengekalkan perancang utama, Frank Lampard yang kini berada dalam fasa terakhir kontraknya.

"Saya tidak tahu apa yang berlaku dengan persembahan kami," ujar pemain pertahanan The Blues, Gary Cahill.

"Kebiasaannya, kami sukar tewas di laman sendiri. Kini kami harus bekerja keras untuk mengekalkan konsistensi.

"Kami menguasai sebahagian besar perlawanan namun ia tidak memberi sebarang makna sekiranya kami gagal memanfaatkan peluang untuk menjaringkan gol.

"Pada aksi menentang Swansea, kami telah mencipta banyak gerakan tetapi gagal berbuat demikian. Begitu juga ketika menentang QPR, perkara sama yang berlaku." - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/

Selasa, 8 Januari 2013

Ba tak jejas posisi Torres

 

LONDON - Demba Ba menegaskan ketibaannya di Chelsea tidak akan menjejaskan posisi Fernando Torres selaku penyerang utama di Stamford Bridge.

Ba memulakan aksi dengan baik bersama Blues menerusi perpindahan bernilai 7.5 juta pound (RM36.7 juta) dari Newcastle United apabila menjaringkan dua gol ketika Chelsea menang 5-1 ke atas Southampton dalam Piala FA.

Pada perlawanan tersebut, Torres hanya berada di bangku simpanan.
Torres dijangka kembali berada dalam kesebelasan utama pada perlawanan separuh akhir Piala Liga menentang Swansea City hari ini.

Impak Ba mengurangkan kebergantungan Chelsea terhadap aksi tidak konsisten Torres.
Kehadiran Ba bakal menjadi pencabar utama kepada Torres bagi merebut tempat sebagai penyerang pilihan Chelsea.

Penyerang Senegal itu menjelaskan dia menggangap Torres sebagai senior yang perlu dihormati selain harus mengukuhkan kedudukannya bersama kelab baru daripada memikirkan tentang perebutan posisi penyerang utama.

"Saya cuma mahu bermain dengan gembira dan bukannya mahu menambah tekanan.
"Saya di sini untuk membantu pasukan bukannya mahu mengambil tempat orang lain.
"Fernando penyerang utama. Saya perlu banyak belajar dan sudah tentu saya akan berlajar daripadanya tambahan pula sejarah kecemerlangannya lebih banyak berbanding saya," kata Ba. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Jumaat, 28 Disember 2012

Benitez bakal pengurus tetap

http://kakibola.forumado.net/t1254-benitez-bakal-pengurus-tetap#1798

Rafael Benitez mungkin dilantik sebagai pengurus tetap ekoran daripada kebangkitan Chelsea sejak kebelakangan ini yang banyak dibantu keupayaan Fernando Torres menjaringkan gol. - AFP 
 
LONDON - Pengendali sementara, Rafael Benitez berada pada kedudukan untuk dilantik sebagai pengurus tetap di Chelsea.

Berita tersebut pastinya mengejutkan penyokong yang mengkritik bekas bos Liverpool itu sejak dia dipilih sebagai pengurus sementara bulan lalu.

Sumber dalaman di Stamford Bridge berkata, Rafa berada pada landasan untuk menjadi pengurus sepenuh masa selepas kelabnya mencatat beberapa keputusan yang memuaskan.

Pemilik kelab, Roman Abramovich tertarik dengan keupayaan Blues mencatat enam kemenangan daripada tujuh perlawanan, di mana Chelsea meledak 26 gol.

Benitez, 52, dibantu oleh Fernando Torres yang kembali menemui sentuhan jaringan apabila menjaringkan tujuh gol daripada tujuh perlawanan.

Malahan Bentinez juga mendapat peruntukkan untuk membeli pemain bagi menguatkan pasukan.
Sasaran utama Chelsea, Pep Guardiola dikaitkan akan kembali ke Barcelona selepas bercuti panjang.

Bos Barca ketika ini, Tito Vilanova disahkan mengidap barah dan wujud kebimbangan mengenai kemampuannya untuk jangka masa panjang.

Jose Mourinho juga mungkin kembali ke Chelsea dan dia turut dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United, Manchester City atau Paris St-Germain apabila dia meninggalkan Real Madrid musim panas ini. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Isnin, 24 Disember 2012

8-0 gagal ubati duka Lampard

-Kosmo


FRANK Lampard (no. 8) dikerumuni rakan-rakan sepasukannya sebaik menjaringkan gol untuk Chelsea ketika pasukan itu membelasah Aston Villa 8-0 kelmarin.


LONDON - Frank Lampard mengakui yang masa depannya bersama Chelsea masih tidak menentu meskipun pemain tengah itu meletakkan dirinya sebagai penjaring ketika menewaskan Aston Villa 8-0 di Stamford Bridge kelmarin.

Lebih menarik, Lampard turut melakarkan sejarah peribadi selepas menjaringkan gol ke-130 pada penampilannya yang ke-500 liga domestik, sekali gus mengatasi rekod yang dilakukan pemain legenda Chelsea, Bobby Tambling.

Kontrak pemain berusia 34 tahun itu akan berakhir pada penghujung musim ini dan sehingga kini, dia masih belum menerima sebarang tawaran perjanjian baharu daripada kelab tersebut.

"Saya tidak mahu memikirkannya lagi kerana saya masih terikat dengan kontrak. Saya suka beraksi di sini, jadi saya akan terus bermain dan berharap kecergasan saya akan kekal dengan baik.

"Saya menikmati perlawanan ini dan harapan saya pun sama juga untuk menikmati karier bola sepak saya. Saya percaya banyak lagi perkara yang boleh dilakukan.

"Posisi kelab sekarang milik mereka, saya tidak mahu terlalu melibatkan diri. Saya di sini untuk bermain bola sepak dan mahu membuktikan kepada semua pihak yang saya boleh melakukannya (beraksi dengan baik)," ujar Lampard.

Ditanya mengenai rekod yang dilakukan, Lampard berkata: "Ia sangat bermakna. Permulaan yang hebat, saya sangat bernasib baik kerana dapat beraksi dengan kelab yang hebat dan memiliki pengurus-pengurus serta rakan-rakan sepasukan seperti sekarang.

"Jumlah jaringan yang dilakukan juga memberi makna yang besar kerana saya dapat mengatasi rekod pemain seperti Bobby Tambling. Dia seorang legenda dan pemain yang hebat."
Antara pemain yang turut menjaringkan gol pada perlawanan tersebut ialah Fernando Torres, David Luiz, Branislav Ivanovic, Oscar, Ramires (dua) dan Eden Hazard.

"Seluruh pasukan melakukan serangan dan kami tidak hanya mengharapkan seorang atau dua orang pemain sahaja," kata pengurus Chelsea, Rafael Benitez.

"Ini merupakan berita yang baik dan saya berharap pasukan akan dapat melakukan perkara yang sama pada Rabu ini di Norwich.

Benitez turut mengakui yang pasukan kendaliannya itu kini sudah bersedia untuk merampas gelaran musim ini selepas berjaya memperbaiki kedudukan untuk berada di tangga ketiga.

"Perkara utama sekarang, memenangi setiap perlawanan. Kami mampu melakukannya. Selepas perkembangan yang dipamerkan, saya pasti kami semakin menghampirinya (gelaran musim ini)," kata Benitez. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my