Memaparkan catatan dengan label Germany. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Germany. Papar semua catatan

Ahad, 13 Oktober 2013

Jerman tepati ramalan



SCHUERRLE (kiri) meraikan kejayaan menjaringkan gol kedua Jerman ketika menewaskan Republik Ireland 3-0 pada aksi Kumpulan C awal pagi semalam.


COLOGNE - Juara dunia tiga kali, Jerman mengesahkan slot ke pusingan akhir Piala Dunia 2014 di Brazil selepas menewaskan Republik Ireland 3-0 pada aksi kedua terakhir kelayakan Kumpulan C awal pagi semalam.

Ketiga-tiga gol kemenangan skuad The Team diperoleh satu masing-masing menerusi Sami Khedira pada minit ke-12, Andre Schuerrle (ke-58) dan Mesut Ozil (masa kecederaan). 

Namun, jurulatih Jerman, Joachim Loew masih belum berpuas hati dan bertekad untuk melengkapkan aksi kelayakan dengan menewaskan Sweden, Rabu ini.

Loew berkata, anak-anak buahnya masih belum dapat melupakan insiden memalukan apabila Sweden bangkit untuk menyamakan kedudukan 4-4 meskipun skuad The Team sudah mendahului empat gol pada pertemuan terakhir kedua-dua pasukan di Berlin, Oktober tahun lalu.

"Pasukan telah melakukan satu tugasan dengan baik dan kami gembira kerana berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia 2014.

"Namun, kami ada misi penting pada aksi terakhir menentang Sweden nanti.
"Saya akan melihat semula cara pemain menghadapi perlawanan ini. Saya menjangkakan berlaku sedikit pertukaran tetapi kami terdesak untuk menang di sana (Stockholm)," kata Loew.

Sementara itu, timbalan kapten Jerman, Bastian Schweinsteiger mengakui gembira dengan kejayaan melayakkan diri ke pusingan akhir itu.

"Bagaimanapun, segala-galanya hanya akan berakhir tahun depan," kata Schweinsteiger.
Pada perkembangan sama, penjaring gol Jerman, Schuerrle mengakui, pasukan itu terpaksa berkerja keras sebelum berjaya mengutip tiga mata penuh pada aksi menentang Ireland yang dibimbing Noel King.

"Kami mengetahui Ireland akan menampilkan corak permainan secara bertahan dan kami terpaksa bersabar sehingga berjaya menembusi benteng pertahanan mereka," kata pemain sayap Chelsea itu.
Kejayaan itu mengekalkan kedudukan Jerman selaku pendahulu Kumpulan C selepas mengutip 25 mata iaitu lima mata di depan pencabar terdekat, Sweden yang berjaya menewaskan Austria 2-1. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Khamis, 3 Oktober 2013

Bayern laung amaran awal



PEMAIN-PEMAIN Bayern meraikan kejayaan membelasah City 3-1 pada aksi Kumpulan D kempen Liga Juara-Juara di Stadium Etihad awal pagi semalam.


MANCHESTER - Pengendali Bayern Munich, Pep Guardiola boleh mendabik dada selepas pasukan itu mudah membelasah Manchester City 3-1 pada aksi Kumpulan D kempen Liga Juara-Juara awal pagi semalam.

Kemenangan juara bertahan itu itu dianggap sebagai satu amaran awal kepada pencabar-pencabar lain bahawa merekasudah bersedia untuk mempertahankan kejuaraan tersebut musim ini.

Pada aksi di Stadium Etihad itu, Bayern lebih banyak menguasai bola dan barisan serangan kelab juara Jerman itu dilihat sangat merbahaya, sekali gus menenggelamkan kehebatan skuad The Citizens.

Selepas mendahului 3-0 melalui jaringan Franck Ribery pada minit ketujuh, Thomas Muller (56) dan Arjen Robben (59), Bayern mula memperlahankan rentak permainan dan kesempatan itu diraih sepenuhnya oleh anak-anak buah Manuel Pellegrini menyumbat gol saguhati menerusi Alvaro Negredo pada minit ke-79.

Bagaimanapun, kemenangan Bayern itu sedikit tercemar selepas Jerome Boateng dilayangkan kad merah pada minit ke-86.

Guardiola yang diberi amanah untuk mempertahankan gelaran trebel yang dimenangi di bawah kendalian bekas jurulatih, Jupp Heynckes musim lalu tidak mudah panik.

Selain itu, beliau juga sudah berjaya menerapkan corak permainan tersendiri ke dalam skuad Bayern.
"Saya sangat bertuah berada di sini, melatih pemain-pemain hebat di sini.

"Mereka menunjukkan prestasi terbaik sejak empat tahun kebelakangan ini dan berjaya menjejakkan kaki ke final Liga Juara-Juara sebanyak tiga kali," kata bekas pengendali Barcelona itu.

Guardiola berkata, mereka akan cuba bermain seperti biasa dan mahu terus mendominasi saingan Liga Jerman musim ini.

Beliau turut memuji persembahan anak-anak buahnya pada pertemuan menentang City itu terutamanya apabila melakar kemenangan di gelanggang keramat pasukan lawan.

"Bagaimanapun, saya masih belum berpuas hati dalam beberapa perkara dan kami akan perbaiki perkara tersebut.

"Secara keseluruhan, saya sangat berpuas hati dan ini bukan yang terakhir buat kami kerana perjalanan masih lagi jauh," kata Guardiola. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Rabu, 11 September 2013

Tonggak Arsenal wira Jerman

Torshavn (Faroe Islands): Jurulatih Jerman, Joachim Loew jelas tidak sabar untuk melihat pasukannya layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2014 pada aksi di laman sendiri bulan depan selepas menang 3-0 ke atas Faroe Islands yang beraksi dengan 10 pemain, semalam.

Jerman hanya dipisahkan dua mata untuk mengesahkan slot ke Brazil tahun depan dan mesti menang ke atas Ireland di Cologne, 11 Oktober depan sebelum melengkapkan jadual aksi terakhir menentang Sweden, empat hari kemudian.
Kesemua gol Jerman dijaringkan pemain Arsenal, Per Mertesacker, Mesut Ozil dan bintang Bayern Munich, Thomas Mueller untuk melengkapkan tiga mata penuh untuk mengetuai Kumpulan C dengan kelebihan lima mata ke atas Sweden.


“Kini kami boleh mengesahkan kemaraan ke Piala Dunia di tempat sendiri dan ini begitu menarik buat kami,” kata Leow yang turut mengetuai Jerman ketika menang 3-0 ke atas Austria, Jumaat lalu.

,b>Pertahanan kental

“Adakah wajib untuk kami mendapatkan tiga mata di sini dan kami berjaya lakukannya tetapi kamu boleh lihat Faroe Islands bertahan dengan baik. Ia bukan tugas mudah untuk menghadapi pertahanan mereka dan kami perlu tingkatkan hantaran.

Leow mula mengambil alih tugas pengendali Jerman selepas saingan Piala Dunia 2006 dan masih terikat dengan kontrak sehingga Piala Dunia seterusnya tetapi menegaskan masih belum ada sebarang perbincangan mengenai lanjutan kontrak.
Persekutuan Bola Sepak Jerman (DFB) dilaporkan mahu menawarkan pengendali berusia 53 tahun itu tawaran baru sehingga 2016..- AFP

Sabtu, 7 September 2013

Klose samai rekod jaringan Gerd Mueller

Berita Harian
 
Berlin: Miroslav Klose akan berumur 36 tahun apabila Piala Dunia memulakan saingan di Brazil tahun depan, dan tanpa mengira kecederaan atau kehilangan prestasi mendadak, dia akan menjadi penyerang tunggal Jerman dalam kejohanan berprestij itu.

Satu-satunya petunjuk mengenai umurnya pada kelayakan Piala Dunia menentang Austria, kelmarin apabila dia meraikan kejayaan menyamai rekod gol sepanjang zaman Jerman dengan aksi akrobatik yang menjadi identitinya.
Tetapi dia lebih pantas daripada Emanuel Pogatetz untuk menyudahkan hantaran lintang Thomas Mueller hanya selepas setengah jam bagi memastikan Jerman menang 3-0, sekali gus golnya itu menyamai rekod jaringan Gerd Mueller yang mengumpul keseluruhan 68 gol antarabangsa.


Percaya kepada Klose

“Anda tahu berapa umur saya. Sudah lama sejak kali terakhir saya melakukan aksi akrobatik, dan saya sukakannya,” kata Klose selepas tampil beraksi dalam perlawanan ke-129 bersama Jerman. “Gol itu membawa banyak maksud tetapi saya tidak mahu meletakkan saya pada tahap sama dengan Gerd.”

Keyakinan jurulatih, Joachim Loew terhadap Klose sangat kuat apabila sanggup meletakkan pemain hebat Mario Gomez di bangku simpanan dan tidak menyenaraikan penyerang Bayer Leverkusen, Stefan Kiessling yang muncul penjaring terbanyak Bundesliga musim lalu dengan 25 gol.

Kiessling, yang dikatakan lebih serba boleh berbanding Klose, berang dengan situasi itu apabila mengumumkan untuk tidak bermain mewakili Jerman selagi Loew membimbing pasukan, bulan lalu.
REUTERS

Rabu, 14 Ogos 2013

Dortmund tampil lebih hebat


LEWANDOWSKI yakin Dortmund akan tampil lebih hebat meskipun kehilangan Goetze yang berhijrah ke Bayern musim ini.


BERLIN - Penyerang Borussia Dortmund, Robert Lewandowski yakin pasukan mereka akan tampil lebih baik musim ini meskipun kehilangan Mario Goetze yang berhijrah ke Bayern Munich.

Pemain antarabangsa Poland itu berkata, kehadiran pemain Armenia, Henrikh Mikhitaryan dan Pierre-Emerick Aubameyang, telah menambah kualiti dalam pasukan tersebut.

Lebih menarik, pemain antarabangsa Gabon, Aubameyang beraksi cemerlang pada penampilan sulungnya dalam kempen Liga Jerman apabila melakukan hatrik ketika menewaskan Augburg 4-0 minggu lalu.

"Setakat ini, apa yang kami dapat lihat adalah mereka telah mempamerkan peningkatan yang hebat.
"Saya rasa, kami lebih baik berbanding tahun lepas," kata Lewandowski.

Sebelum ini, Lewandowski juga dilaporkan berminat untuk menyertai Bayern, sekali gus bermain di samping Goetze, namun impiannya itu dihalang Dortmund.

Lewandowski berkata, kehadiran pemain-pemain itu juga memberi pasukan pilihan yang lebih baik terutamanya pada akhir-akhir musim.

"Saya berterima kasih dengan kehadiran pemain-pemain baharu, saya percaya kami kini mampu melakukan apa sahaja. Semua kini bermotivasi," kata Lewandowski.

Juara Liga Jerman 2011 dan 2012 itu dilihat pasukan yang paling layak untuk merampas gelaran juara daripada Bayern. - Reuters

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 6 Ogos 2013

Hatrik Mueller bantu Bayern ratah Rehden

Berlin: Thomas Mueller melakukan hatrik pada aksi pertama Bayern Munich dalam misi mempertahankan Piala Jerman apabila membelasah pasukan divisyen empat, BSV Rehden 5-0, awal pagi semalam.

“Sama seperti perlawanan lain ia sentiasa menghadirkan bahaya. Jadi saya gembira dengan kemenangan ini,” kata jurulatih Bayern, Pep Guardiola.
Xherdan Shaqiri membuka tirai jaringan Bayern pada minit ke-18 sebelum Mueller menanduk masuk hantaran Rafinha pada penghujung babak pertama. Mueller menjadikan kedudukan 3-0 hasil sepakan penalti pada minit ke-58 dan melengkapkan hatriknya menerusi tandukan minit ke-64.


Belum sempurna

Arjen Robben melengkapkan pesta Bayern dengan gol kelima ketika permainan berbaki dua minit. “Kami masih belum lagi sempurna. Kami belum pada tahap seratus peratus tetapi itu perkara biasa. Kami sudah bersedia untuk memulakan kempen Liga Jerman bertemu Borussia Monchengladbach, Jumaat ini,” kata Robben.

Pada satu lagi perlawanan, Klaas-Jan Huntelaar menjaringkan satu gol dan mencetuskan jaringan kedua pasukannya oleh Leon Goretzka untuk Schalke mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pasukan divisyen lima, FC Noettingen 2-0. - AP

Ahad, 4 Ogos 2013

Voeller ganti tempat Rajagobal?



RUDI VOELLER


SPEKULASI berhubung calon pengganti Datuk K. Rajagobal bertambah hangat apabila nama legenda Jerman, Rudi Voeller disebut-sebut sebagai prospek terkini pengendali Harimau Malaya.

Difahamkan, bekas jurulatih Jerman berusia 53 tahun itu bakal memainkan peranan yang lebih besar buat Harimau Malaya bagi mengharungi kempen kelayakan Piala Dunia 2018 di Rusia jika benar beliau mengambil alih tempat Rajagobal yang kontraknya bakal tamat pada 31 Disember depan.

Sumber memberitahu Kosmo!, Mueller juga dilihat calon sesuai membantu Harimau Malaya pada kempen Piala Asia di Australia pada 2015 jika skuad kendalian Rajagobal berjaya melepasi kempen kelayakan kali ini.

Ketika diminta mengulas mengenai spekulasi tersebut, pengkritik bola sepak, Zakaria Ab. Rahim mengalu-alukan kehadiran Mueller bagi menerajui skuad kebangsaan selepas ini.

Bagaimanapun, Zakaria berkata, sasaran dan hala tuju Harimau Malaya perlu diperhalusi jika Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhasrat melantik Mueller sebagai jurulatih.

“Tidak salah berbelanja lebih bagi mendapatkan Mueller sebagai jurulatih bagi memburu kejayaan yang lebih besar buat skuad Harimau Malaya.

“Bagi saya, tiada gunanya melantik jurulatih berprofil tinggi seperti beliau sekiranya sekadar mahu merampas kembali trofi Piala Suzuki AFF... lebih baik lantik jurulatih tempatan,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Sebelum ini, Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah tidak menolak kemungkinan memburu khidmat jurulatih baharu selepas kontrak Rajagobal tamat pada 31 Disember depan.

Pada masa sama, khidmat Rajagobal yang dilantik pada 20 April 2009 juga berkemungkinan disambung jika berjaya melepasi Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang ditetapkan FAM iaitu Harimau Malaya melepasi peringkat kelayakan kempen Piala Asia 2015.

Antara calon-calon yang disebut-sebut menduduki ‘kerusi panas’ itu selepas ini termasuklah bekas jurulatih Singapura, Radojko Avramovic; jurulatih Sarawak, Robert Alberts; pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee dan juga bekas pengendali Harimau Malaya, B. Sathianathan.

Mengulas lanjut, Zakaria juga menyarankan skuad Harimau Muda A atau Harimau Muda B menggalas cabaran negara pada kempen kelayakan Piala Dunia 2018 jika dikendalikan Mueller.

“Persediaan mengharungi kempen kelayakan Piala Dunia perlu bermula awal, jadi ada baiknya ia membabitkan skuad muda negara.

“Selain itu, skuad negara juga wajar membuat persiapan di sana (Jerman) jika Mueller menjadi jurulatih sebagai pendedahan awal,” katanya.

Mueller yang pernah membimbing beberapa kelab terkemuka dunia seperti AS Roma dan Marseille ketika ini bertindak sebagai Pengarah Sukan kelab Jerman, Bayer Leverkusen sejak 2005.

Beliau pernah membantu The Team mara ke final Piala Dunia 2002 sebelum meletak jawatan sebagai jurulatih ekoran kegagalan Jerman yang tersingkir awal pada kempen Euro 2004.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 30 Julai 2013

Lewandowski setia dengan Dortmund

LEWANDOWSKI (depan) menyuarakan komitmen dengan Dortmund selepas gagal dalam usahanya untuk menyertai Bayern musim depan.


BERLIN - Penyerang Borussia Dortmund, Robert Lewandowski menyuarakan komitmennya kepada finalis Liga Juara-Juara itu selepas gagal dalam usahanya menyertai juara trebel, Bayern Munich musim depan.

Lewandowski yang masih mempunyai kontrak dengan Dortmund sehingga 2014 enggan menyambung kontrak baharu musim lepas dengan harapan dapat menyertai kelab yang diimpikannya.

Situasi itu menyebabkan Lewandowski diramal menjadi pemain kedua yang berpindah ke Bayern selepas Mario Goetze namun, Dortmund menghalang perpindahan itu.
"Saya akan memberi apa yang terdaya demi Dortmund.

"Tidak kira apa yang telah berlaku. Saya tidak berminat tentang situasi di luar padang," jelas Lewandowski.

Penyerang kebangsaan Poland itu mengharungi musim cemerlang apabila meledakkan 24 gol dalam Liga Jerman dan menambah 10 lagi gol dalam kempen Liga Juara-Juara termasuk empat gol ketika menentang Real Madrid pada aksi separuh akhir.

Dortmund yang tumpas kepada Bayern sepanjang tiga kejohanan musim lepas tidak akan menerima sebarang yuran perpindahan sekiranya Lewandowski meninggalkan mereka secara percuma selepas kontraknya berakhir tahun depan.

"Apabila saya berada di atas padang, saya hanya fikirkan tentang Dortmund. Saya mahu memberikan segala yang termampu dan mengecapi kejayaan di sini," tambahnya lagi.

Lewandowski merangkul trofi pertamanya musim ini apabila Dortmund menewaskan Bayern Munich 4-2 dalam saingan Piala Super Jerman minggu lepas.

Pemain berusia 24 tahun itu turut mencipta peluang gol pertama buat pasukannya.
"Saya harap, ini bukan trofi terakhir yang kami menangi," katanya. - Reuters

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 15 Julai 2013

Pemain 'pening' formasi Guardiola


BERLIN - Gara-gara sukar menyesuaikan diri dengan sistem baharu Pep Guardiola, Bayern Munich dikerah sebelum menang 4-0 ke atas kelab Divisyen Tiga Jerman, Hansa Rostock dalam aksi persahabatan semalam.

Bayern yang menewaskan Borussia Dortmund 2-1 di Wembley pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara Mei lalu lebih selesa menggunakan formasi 4-2-3-1 ketika di bawah bekas jurulatih Jupp Heynckes.

Bagaimanapun, apabila bekas jurulatih Barcelona, Guardiola mengambil alih tugas Heynckes bulan lalu, formasi lama tidak digunakan lagi sebaliknya memperkenalkan formasi 4-1-4-1.

Formasi baharu tersebut menyebabkan kelab gergasi Jerman itu memerlukan masa untuk mengadaptasi sistem tersebut dalam kalangan pemain.

Dalam pada itu, pemain sayap Perancis, Franck Ribery menggambarkan sistem tersebut sebagai satu formasi yang amat kuat.

"Formasi tersebut jauh berbeza dengan apa yang biasa kami gunakan, tambahan pula sistem yang sebelum ini kami gunakan membolehkan kami meraih beberapa kejuaraan," kata Ribery.

Sementara itu, Guardiola memberitahu Bayern adalah pasukan yang hebat dan mampu menerima sistem baharu tersebut dengan baik.

"Pemain dalam kelab ini amat bijak, mereka telah memenangi tiga gelaran pada musim lepas. Kini mereka masih dalam proses untuk menerima sistem baharu.

"Pada separuh masa kedua tidak begitu baik namun kami masih mempunyai beberapa ujian lagi terutama ketika bertemu BVB (Borussia Dortmund) sebelum memulakan aksi musim Bundesliga," kata Guardiola.

Bayern dijadual menentang Dortmund dalam saingan Piala Super Jerman pada 27 Julai ini manakala saingan Bundesliga bakal bermula 9 Ogos ini. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Rabu, 26 Jun 2013

Schurrle pembelian pertama Mourinho

Andre Schurrle
LONDON - Pemain antarabangsa Jerman, Andre Schurrle menjadi pemain pertama yang dibeli oleh pengurus baharu Chelsea, Jose Mourinho dengan yuran perpindahan 18 juta pound (RM88.6 juta) dari Bayer Leverkusen.

Schurrle bersetuju mengikat kontrak lima tahun dengan Chelsea dan dijangka menjadi aset jangka panjang buat The Blues memandangkan baru berusia 22 tahun.

"Saya harap mampu memenangi banyak kejuaraan dalam masa lima tahun, kerana kami mempunyai pasukan yang bagus dengan ramai bakat muda yang mampu menyinar.

"Kami boleh terus meningkat terutamanya di bawah Jose Mourinho dan saya yakin kami boleh menempuh musim yang hebat kali ini.

"Bersama kelab ini, memenangi kejuaraan adalah objektif utama dan bintang muda pasukan ini cukup berkualiti malahan saya optimis kami mampu memberikan saingan dalam Liga Perdana, Liga Juara-Juara dan piala-piala lain, saya harap dapat memainkan peranan di sini.

"Saya tidak sabar untuk bekerjasama dengan Mourinho, saya mengenalinya selepas terlibat dengan perlawanan perpisahan untuk Michael Ballack beberapa minggu lalu. Dia sempat memberikan nasihat mengenai tempat tinggal di sini serta harapannya terhadap saya, " katanya.

Schurrle, yang boleh beraksi sebagai pemain tengah dan penyerang, menjaringkan tujuh gol dalam 24 penampilan bersama Jerman sejak penampilan pertama pada November 2010. dan menyarung jersi nombor 14. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Jumaat, 31 Mei 2013

Mampukah Bayern cipta sejarah?



INILAH trofi yang bakal menobatkan Bayern Munich sebagai juara trebel sekiranya berjaya menewaskan Stuttgart pada final Piala Jerman, awal pagi esok.


BERLIN - Bayern Munich akan turun beraksi pada final Piala Jerman awal pagi esok dengan misi untuk mencipta sejarah menjadi kelab Jerman pertama berjaya meraih gelaran juara trebel.

Selepas menjuarai Bundesliga dan Liga Juara-Juara Eropah, Piala Jerman dilihat bakal melengkapkan kejayaan gemilang mereka musim ini sekiranya berjaya mengatasi Stuttgart.

Atas kertas, Bayern dijangka tidak menghadapi masalah untuk menang sebagai hadiah paling bermakna buat jurulatih mereka, Jupp Heynckes yang akan meninggalkan kelab itu untuk memberi laluan kepada Pep Guardiola selepas ini.

"Kami masih dahagakan kemenangan kerana kami mahu diingati sampai bila-bila. Piala Jerman ini menjadi penting bukan sahaja untuk dibawa pulang tetapi untuk kami mencatat sejarah baharu," kata pemain tengah, Thomas Mueller.

Dengan tinggal Stuttgart menjadi penghalang, kejayaan menjulang Piala Jerman akan menjadikan Bayern kelab ketujuh di Eropah yang berjaya meraih juara trebel.

Bayern akan menyertai kelab yang pernah mencipta sejarah yang sama seperti Celtic pada 1967, Ajax (1972), PSV Eindhoven (1988), Manchester United (1999), Barcelona (2009) dan Inter Milan (2010).

"Dalam kalangan kami (pemain Bayern), sudah 100 kali rasanya kami bercakap tentang juara trebel ini. Ini kami tidak pernah berada dalam keadaan seperti sekarang.

"Peluang yang tidak selalu datang seperti ini perlu digunakan sebaiknya untuk mencipta sejarah dan ia menjadi motivasi kepada setiap pemain," tambah Mueller. - AP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Rabu, 13 Mac 2013

Podolski tinggalkan Gunners?


Lukas Podolski (kiri) menjadi rebutan dua kelab, Juventus dan Atletico Madrid selepas kerap diletakkan di bangku simpanan sejak akhir-akhir ini. - REUTERS 
 
LONDON - Arsenal bakal berdepan cabaran untuk mengekalkan Lukas Podolski pada pasaran perpindahan pemain Jun ini selepas gergasi bola sepak Itali, Juventus dan kelab Sepanyol, Atletico Madrid berminat memancing bintang penyerang Jerman itu. 

Minat untuk Podolski hadir tidak sampai setahun selepas pemain antarabangsa Jerman itu tiba di Emirates dengan bayaran 10.9 juta pound (RM50.47 juta). 

Podolski, 27, bakal terlepas perlawanan Liga Juara-Juara Eropah menentang bekas pasukannya, Bayern Munich esok kerana kecederaan. 

Dia diturunkan dalam kesebelasan utama dan menjaringkan gol ketika Arsenal tewas 1-3 kepada Bayern di tempat sendiri, namun Podolski tidak menjadi pemain kegemaran pengurus, Arsene Wenger dalam tiga perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris apabila sekadar memanaskan bangku simpanan. 

Podolski sudah menjaringkan 13 gol musim ini, dan Juventus percaya mereka akan mencapai perjanjian untuk membawa pemain itu ke kancah Serie A dengan kos dianggarkan 15 juta pound (RM70 juta). 

Mereka perlu membida dengan harga yang lebih tinggi berbanding ketika Arsenal mendapatkan pemain itu daripada Cologne, malah Juventus juga sedia menawarkan gaji lebih tinggi daripada yang dinikmatinya sekarang 100,000 pound (RM463,000) seminggu. 

Masalah buku lali yang dialami Podolski menyebabkan dia tidak dapat menyertai rakan sepasukan yang berlepas ke Jerman kelmarin untuk membuat perhitungan dengan Bayern. 

Arsenal turut menerima tamparan dalam usaha bangkit daripada kekalahan apabila bintang tengah England, Jack Wilshere juga belum pasti dapat diturunkan dalam perlawanan penting itu. 

Wilshere masih belum pulih daripada kecederaan buku lali dan mungkin hanya sempat untuk diturunkan apabila Gunners menentang Swansea, Sabtu ini. 

Turut mencemaskan kem Arsenal adalah kemungkinan terlepas khidmat bek kanan, Bacary Sagna yang masih bergelut untuk mengembalikan kecergasan. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my