Memaparkan catatan dengan label Hoki. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hoki. Papar semua catatan

Isnin, 30 September 2013

Kegagalan ada hikmah tersendiri



SKUAD remaja Malaysia terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara pada Piala Sultan Johor 2013 selepas tewas kepada India pada aksi final di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru malam kelmarin.


KEGAGALAN Malaysia menjuarai kejohanan hoki Piala Sultan Johor 2013 bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Meskipun tampil cemerlang pada peringkat kumpulan, Malaysia ternyata masih belum mampu menyerap tekanan sehingga gagal untuk merampas kembali trofi kejuaraan yang dimenangi pada edisi 2011.

Kekalahan 0-3 kepada India pada aksi final di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru malam kelmarin membuktikan betapa Malaysia harus segera memperbaiki kelemahan yang ada.

Sebelum itu, Malaysia memulakan kempen Piala Sultan Johor 2013 dengan penuh bergaya apabila menundukkan Argentina 4-2 sebelum menewaskan Korea (5-1), England (3-1), Pakistan (4-2) dan seri 3-3 dengan India.

Bagaimanapun, skrip berbeza ditampilkan skuad kendalian Muhd. Dharma Raj Abdullah itu malam kelmarin apabila mereka kelihatan kurang bertenaga dan sering melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya.

Menurut Dharma Raj, sejak awal, beliau sedar India sukar untuk dijinakkan, namun menganggap kekalahan itu mempunyai hikmah tersendiri menjelang kempen Piala Dunia Remaja 2013 di New Delhi, India, Disember depan.

"Dari mula kita tahu bukan mudah untuk tewaskan India yang mempunyai barisan pemain lebih berpengalaman yang beraksi dalam skuad senior.

"Kita beraksi menentang pasukan yang berpotensi untuk menjadi juara dunia. Mungkin ada hikmah kita kalah pada hari ini (kelmarin) kerana kita tahu apa kelemahan kita dan kita boleh perbaiki sebelum kejohanan yang lebih penting di India," katanya.

Menurut Dharma Raj, selain keadaan fizikal dan kecergasan, barisan pemain negara harus bijak mengawal emosi terutama ketika terpaksa beraksi dengan 10 pemain.

Justeru, bagi memastikan skuad negara lebih bersedia, Dharma Raj berkata, mereka akan mengadakan tiga perlawanan persahabatan dengan India di lokasi sebenar kejohanan pada 16 Oktober ini.

"Tiga perlawanan persahabatan di sana akan kami gunakan sebaik mungkin bagi memperbaiki lagi skuad negara," katanya.

Kejohanan Piala Dunia Remaja 2013 akan diadakan pada 6 hingga 15 Disember dengan disertai 16 pasukan termasuk Malaysia.

Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Pakistan, England dan Afrika Selatan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Khamis, 26 September 2013

Malaysia jejak final


PEMAIN-PEMAIN Malaysia meraikan kejayaan menewaskan Pakistan 4-2 di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru malam tadi.


MALAYSIA mengesahkan slot ke final pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor 2013 selepas menewaskan Pakistan 4-2 di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru malam tadi.

Kemenangan itu meletakkan Malaysia di kedudukan teratas liga selepas mengumpul 12 mata daripada empat perlawanan dan akan melengkapkan aksi terakhir menentang India, Sabtu ini.

Pada aksi malam tadi, Pakistan terlebih dahulu mengejutkan Malaysia apabila Muhammad Dilber menjaringkan gol pertama pada minit ke-25 sebelum Mohd. Zulhairi Hashim mengikat kedudukan selepas bijak menyempurnakan pukulan sudut penalti tiga minit kemudian.

Malaysia bermula garang pada babak kedua dan pemain berbisa, Muhd. Shahril Saabah menambah jaringan hasil satu lagi pukulan sudut penalti untuk Malaysia mendahului 2-1 pada minit ke 40.

Muhammad Tousiq sekali lagi mengikat kedudukan hasil satu pukulan penalti pada minit ke-48.
Bagaimanapun, anak-anak buah Muhammad Dhaarma Raj kembali menguasai permainan, hasilnya kapten pasukan, Mohd. Fitri Saari menambah jaringan ketiga pada minit ke-52.

Mohd. Syamim Mohd. Yusof menambah derita Pakistan apabila mencipta jaringan keempat menerusi pukulan padang pada minit ke-63.

Dhaarma Raj mengakui berpuas hati dengan prestasi keseluruhan pemain-pemain sepanjang empat perlawanan yang diharungi berbanding prestasi tahun lalu. 

“Justeru, saya mahu pemain saya memberi tumpuan pada baki perlawanan kerana kami perlu mencapai kemenangan pada edisi kali ini,” katanya.

Beliau turut berharap agar pemain-pemain dapat mengurangkan risiko kecederaan pada aksi terakhir peringkat kumpulan.

“Kami harap, pemain-pemain bebas daripada kecederaan supaya dapat beraksi dengan baik pada final nanti,” katanya.

Pada perlawanan lain, India membelasah Korea 6-1, manakala Argentina mencatat kemenangan pertama selepas menundukkan England 3-0.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 3 September 2013

Kerap berdepan gergasi dunia



SKUAD negara harus memperkemas setiap kelemahan yang ada sebelum menghadapi kempen Piala Dunia 2014 di Belanda.


SKUAD hoki negara harus kerap mengatur aksi persahabatan dengan gergasi-gergasi dunia jika mahu mengelak daripada menjadi pasukan belasahan pada kempen Piala Dunia 2014 di The Hague, Belanda.

Bekas pertahanan negara era 1990-an, Maninderjit Singh menjelaskan, aksi menentang pasukan seperti Jerman, Belanda, Australia, England mahupun Belgium amat penting bagi memperbaiki sebarang kelemahan yang dikenal pasti selain mampu menguatkan keyakinan barisan pemain negara dalam kempen tersebut.

"Kita hanya ada sembilan bulan lagi untuk melakukan persiapan (sebelum Piala Dunia) dan selepas aksi hambar pada Piala Asia di Ipoh tempoh hari, saya lihat banyak kelemahan yang kita perlu tangani dengan segera.

"Antara kelemahan tersebut ialah aksi pemain tidak konsisten sepanjang permainan, jentera penyudah yang agak tumpul terutama dalam set piece sudut penalti serta kelemahan di barisan pertahanan.
"Jadi untuk memperbaiki masalah ini, hanya perlawanan dengan pasukan terbaik dunia yang boleh memberi ruang kepada kita mengenal pasti kelemahan seterusnya mengatasi masalah itu.

"Ia juga mampu menguatkan lagi keyakinan dan moral pemain sekiranya berdepan pasukan-pasukan gergasi ini di Belanda nanti," jelas Maninderjit yang pernah beraksi dalam dua temasya Olimpik dan dua kempen Piala Dunia.

Malaysia berjaya menamatkan kemarau beraksi di pentas Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 12 tahun setelah menjadi pasukan ketiga dalam senarai menunggu.

Skuad kendalian Paul Revington itu yang menduduki tempat kelima dalam saingan separuh akhir Liga Hoki Dunia di Johor Bahru Julai lepas, gagal melunaskan misi mereka menjuarai Piala Asia di Ipoh yang berakhir Ahad lalu dengan menduduki tempat keempat.

Situasi itu mula menimbulkan kebimbangan terhadap moral dan keyakinan para pemain selepas prestasi permainan mereka dilihat semakin merosot di Ipoh dengan hanya mencatat dua kemenangan (ke atas Taiwan dan Jepun).

"Saya rasa kegagalan kita pada Piala Asia adalah disebabkan keletihan kerana kejohanan itu bermula lebih kurang 20 hari selepas Liga Hoki Dunia di Johor Bahru berakhir," kata bekas penyerang dan kapten negara, Mirnawan Nawawi.

"Namun, apa yang pasti dalam masa sembilan bulan sebelum Piala Dunia, Paul perlu mencari formula terbaik mengatasi tiga kelemahan iaitu dalam aspek konsistensi, fizikal dan mental pemain.
"Kecergasan dan kekuatan fizikal harus dipertingkatkan lagi jika mahu setiap pemain memberi aksi yang konsisten sepanjang berada di atas padang.

"Untuk menguatkan psikologi pemain, Malaysia perlu banyak bermain menentang pasukan terbaik dunia supaya mental dan keyakinan pemain setanding dengan pasukan gergasi dunia yang lain," tambahnya yang membuat 327 penampilan antarabangsa serta beraksi dalam dua pentas Olimpik serta Piala Dunia.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 25 Ogos 2013

Malaysia belasah Taiwan



FAIZAL (empat dari kiri) menjaringkan gol buat skuad negara ketika membelasah Taiwan 10-2 pada aksi pembukaan Kumpulan A kempen Kejohanan Hoki Piala Asia 2013 di Stadium Sultan Azlan Shah di Ipoh malam tadi.


SKUAD negara berpesta gol apabila membelasah Taiwan 10-2 pada aksi pembukaan Kumpulan A kempen Kejohanan Hoki Piala Asia 2013 di Stadium Sultan Azlan Shah di Ipoh malam tadi.

Bagaimanapun, Taiwan terlebih dahulu mengejutkan anak-anak buah Paul Revington apabila Liu Ching Kun meletakkan pasukan pelawat di depan pada minit keempat.

Namun, jaringan itu seolah-olah mengejutkan para pemain Malaysia daripada tidur sebelum mula menyusun permainan bagi mendapatkan gol penyamaan.

Malaysia berjaya menyamakan kedudukan melalui Faizal Shaari hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-11.

Keyakinan pemain Malaysia untuk mencatat kemenangan besar terserlah apabila mereka berjaya menjaringkan empat gol berturut-turut menerusi Faizal pada minit ke-13, Muhammad Firhan Ashaari (m-18 dan 21) dan Muhammad Marhan Mohd Jalil (m-32).

Meskipun, Malaysia sudah mendahului lawannya dengan lima gol, persembahan anak-anak buah Paul Revington pada separuh masa kedua tetap bertenaga dan mantap.

Kegembiraan hampir 3,000 penyokong Malaysia di Stadium Azlan Shah semakin memuncak apabila pemain negara menjaringkan lima gol lagi pada separuh masa kedua menerusi Firdaus Izwan Ahmad Tajuddin pada minit ke-39, Fiqri Nabil Mohd Noor (m-46) Mohd. Fitri Shaari (m-62), Firhan (m-67) dan Faizal (m-69).

Taiwan berjaya menambah satu kedua hasil jaringan Tseng Hsien-Yi pada minit ke-47.

Sementara itu, juara 1982, 1985 dan 1989, Pakistan mencatat kemenangan besar ke atas Jepun 7-0.

Pakistan memperoleh enam gol pada separuh masa pertama hasil jaringan Muhammad Waqas (ke-12 dan 20), Abdul Haseem Khan (m-22), Muhammad Tousiq (m-25 dan 35) dan Muhammad Imran (m-33).

Separuh masa kedua, Jepun bangkit untuk merapatkan jurang gol tetapi gagal dan Pakistan menambah satu gol lagi melalui Muhammad Imran (m-70).

Sebelum itu, juara 2003 dan 2007, India membelasah pasukan kurang ternama, Oman 8-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan B.

India memperoleh empat gol pada separuh masa pertama menerusi jaringan Mandeep Singh (m-4), Ramandeep Singh (m-17), Vokkaliga Ramachandra Raghunath (m-28) dan Rupinder Pal Singh (m-34).

Pada babak kedua, bekas juara 2003 dan 2007 itu terus mengganas dengan menyumbat empat gol lagi melalui Mandeep Singh (m-40 dan 44), Malak Singh (m-47) dan Sannuvanda Kushalappa Uthappa (m-69).

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 5 Ogos 2013

Moral Malaysia kembali melonjak



SKUAD hoki negara yang diketuai Revington (dua dari kiri) bertafakur seketika sebelum memulakan sesi latihan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil kelmarin.


MORAL skuad hoki negara kembali berada pada tahap terbaik meskipun masih terkejut dengan kehilangan penyerang, Chua Boon Huat minggu lalu.

Jurulatih skuad negara, Paul Revington meluahkan kelegaannya dengan situasi terkini anak-anak buahnya ketika ini, sekali gus memudahkan tugasnya untuk menyenaraikan 16 pemain dalam skuad yang akan beraksi pada kempen Piala Asia di Ipoh, Perak penghujung bulan ini.

Menurut Revington, meskipun menempuh saat yang menyedihkan, barisan pemain negara telah berjanji untuk menjadikan kematian Boon Huat, 33, ekoran kemalangan jalan raya awal Khamis lalu, sebagai suntikan semangat untuk menjulang trofi berkenaan buat kali pertama.

“Tidak dinafikan lagi setiap pemain dalam skuad ini masih meratapi kehilangan Chua dalam diri masing-masing. Saya boleh melihatnya dari riak muka mereka sendiri,” jelas Revington.

“Chua seorang lelaki yang hebat dan apa yang kamu boleh lakukan sekarang ialah menyimpan kenangan bersamanya itu dalam memori kamu.

“Secara realitinya, pemain skuad ini telah berjanji untuk menunaikan impiannya sebelum ini iaitu membantu Malaysia menjuarai Piala Asia, sekali gus mara ke Piala Dunia tahun depan.”

Pada kempen di Ipoh yang bermula 24 Ogos hingga 1 September depan itu, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Taiwan, Pakistan dan Jepun manakala Kumpulan B menyaksikan kelibat pasukan Korea Selatan, India, Bangladesh dan Oman.

Revington yang hadir pada upacara persemadian Boon Huat bersama anak-anak buahnya di Melaka semalam, dijangka mengumumkan senarai 16 pemain bagi menghadapi kempen Piala Asia hari ini.
Sementara itu, kapten, Mohd. Shahrun Nabil Abdullah memberi jaminan bahawa siapa yang terpilih menggalas cabaran negara pada Piala Asia 2013 nanti, bertekad untuk menjulang trofi berkenaan demi mengenang jasa Boon Huat.

“Sebelum ini dia (Boon Huat) pernah memberitahu bahawa dia benar-benar mahu melihat Malaysia mara ke Piala Dunia tahun depan.

“Jadi tidak kira siapa juga yang akan disenaraikan dalam skuad, kami telah bertekad untuk memenangi Piala Asia demi menunaikan hasratnya itu,” jelas Shahrun Nabil.

Skuad negara akan menjalani dua aksi persahabatan menentang India pada 20 Ogos dan Oman (22 Ogos) sebagai persiapan terakhir sebelum memberi fokus sepenuhnya dalam misi menjuarai Piala Asia buat kali pertama.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 2 Ogos 2013

Perginya permata hoki negara


Chua Boon Huat
 
PETALING JAYA - Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yakin skuad hoki negara tidak terjejas dengan fokus untuk melayakkan diri ke Piala Dunia tahun depan dengan menjuarai Piala Asia, bulan ini sekalipun terasa kehilangan rakan sepasukan mendiang Chua Boon Huat, semalam.

Katanya, seluruh warga hoki negara akan sentiasa mengingati jasa mendiang yang mengumpul lebih 300 penampilan antarabangsa sejak menyarung jersi Malaysia yang meraih pingat perak Sukan Komanwel 1998, dan menyifatkannya kehilangan besar kepada sukan tanah air.

“Saya sempat bertanya kepadanya (pada majlis penyampaian insentif kecemerlangan skuad hoki negara, kelmarin) mengenai tahap kecergasan dan berat badannya dan dia menjawab dengan positif dan berkata, sudah bersedia (ke Piala Asia di Ipoh mulai 24 Ogos ini).

“Kita akan terasa kehilangannya. Jasanya tetap akan diingati semua namun saya harap tumpuan pasukan tidak terjejas dalam meneruskan perjuangan untuk layak ke pusingan akhir (Piala Dunia di The Hague, Belanda, tahun depan)," katanya di Pusat Perubatan Hospital Universiti Malaya di sini, semalam.

Boon Huat, 33, terbunuh dalam nahas jalan raya melibatkan kereta Proton Perdana yang dipandunya dengan sebuah lori di Kilometer 10.4, Lebuh Raya Damansara-Puchong dekat Stesen LRT Kelana Jaya, awal pagi semalam.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang turut mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Boon Huat, berkata, pemain itu akan sentiasa diingati sebagai tokoh teladan terbaik buat barisan pemain muda hoki apatah lagi dia merupakan satu-satunya pemain berketurunan Cina dalam skuad negara. 

“Sudah pasti sesuatu kaum itu bukanlah pengukur utama kejayaan sesebuah sukan tetapi kejayaan mendiang memasuki sebuah sukan yang dikuasai kaum tertentu apatah lagi sehingga ke peringkat antarabangsa, pastinya akan turut menjadi sumber inspirasi kepada barisan pemain baharu," katanya.

Kata ketua jurulatih negara, Paul Revington, mendiang Boon Huat merupakan pemain paling berdisiplin terutama selepas dipanggil semula menyertai skuad hoki kebangsaan di bawah kendaliannya bagi menghadapi Cabaran Juara-juara 1 di Argentina, tahun lalu.

Kata jurulatih warga Afrika Selatan ini, pemain kelahiran Melaka itu turut menunjukkan prestasi yang luar biasa biarpun selepas tiga tahun tersisih daripada skuad negara malah cukup membanggakannya setiap kali melihatnya melakukan persediaan di bilik persalinan. 

Revington berkata: “Dia tidak lokek memberikan tunjuk ajar kepada pemain yang lebih muda dalam pasukan negara. Dia seorang yang hebat dan saya percaya dia menyayangi setiap rakan sepasukannya." 

Jurulatih skuad wanita, Nasihin Nubli Ibrahim tidak menyangka mendiang yang pernah menjadi rakan sepasukannya dalam skuad negara, menunjukkan kelakuan yang agak asing kebelakangan ini dengan sering bercerita tentang kisah silamnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Jumaat, 5 Julai 2013

Punah harapan

Oleh RADIAH SAORI

BARISAN pemain Jerman meraikan kejayaan membenam Malaysia 6-0 pada perlawanan suku akhir Liga Hoki Dunia di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru semalam.


IMPIAN Malaysia untuk melayakkan diri ke Piala Dunia 2014 menerusi ‘tiket’ Liga Hoki Dunia tidak kesampaian.

Pada aksi suku akhir di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru semalam, Malaysia terpaksa akur dengan kehebatan pasukan No. 1 dunia, Jerman apabila tewas 0-6.

Dengan kekalahan itu, hasrat Malaysia untuk menduduki kelompok tiga terbaik pada kejohanan tersebut, sekali gus layak secara automatik beraksi pada Piala Dunia 2014 di The Hague, Belanda musnah.

Kini Malaysia perlu menunggu sehingga kempen Piala Asia di Ipoh Ogos depan bagi mencongak peluang terakhir memburu tiket Piala Dunia 2014.

Bagaimanapun, ia bukan satu tugas mudah kerana skuad kendalian Paul Revington itu harus muncul juara Piala Asia bagi mengesahkan slot ke Belanda.

Pada aksi semalam, Jerman menguasai hampir keseluruhan permainan sementara Malaysia kelihatan lemah terutama di bahagian pertahanan.

Akibatnya, gawang Malaysia dibolosi enam gol sepanjang babak pertama. 

Christopher Zeller meledak gol pembukaan Jerman menerusi pukulan sudut penalti seawal minit kelima.

Linus Butt menghadiahkan gol kedua Jerman, juga menerusi pukulan sudut penalti pada minit kelapan sebelum Mopritz Polk menambah gol ketiga hasil jaringan padang berselang dua minit kemudian.

Jerman terus berpesta gol apabila menambah tiga lagi jaringan dalam tempoh enam minit melalui Zeller pada minit ke-12 serta dua jaringan padang oleh Moritz Furste (16) dan Thilo Stralkowski (18).

Sebaik babak kedua bermula, permainan Malaysia tampak lebih baik, namun belum mampu memperoleh gol sehingga wisel penamat dibunyikan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my
Hakcipta terpelihara

Isnin, 18 Mac 2013

Hoki negara meniti kegemilangan



SKUAD hoki negara kini mula menunjukkan peningkatan seperti yang telah dibuktikan pada PSAS 2013 yang berakhir di Ipoh kelmarin.


WALAUPUN hasrat untuk bergelar juara pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) edisi ke-22 tidak kesampaian, namun skuad hoki negara telah mempamerkan kebangkitan yang luar biasa.

Penolong ketua jurulatih negara, Arul Selvaraj berkata, secara keseluruhannya beliau sangat berpuas hati dengan prestasi yang dipersembahkan oleh semua pemain sepanjang kejohanan jemputan tertua di dunia itu.

“Walaupun sedikit kecewa kerana gagal menjulang trofi kejuaraan, namun saya gembira dan tidak menduga prestasi pemain-pemain negara kini berada pada satu tahap yang sungguh membanggakan.

“Bercakap mengenai perlawanan akhir kelmarin, saya sangat terkejut melihat perubahan karakter pemain negara yang berjaya menyaingi kepantasan pasukan No. 2 dunia serta juara tujuh kali PSAS, Australia,” katanya.

Menurut Selvaraj, sejak daripada awal kejohanan ini lagi, beliau telah menjelaskan bahawa pasukan ini masih dalam proses pembelajaran serta masih banyak perkara yang perlu diperbaiki.

Katanya, dengan melangkah sejauh ini serta melihat kepada prestasi terpuji oleh semua pemain, tidak mustahil dalam sedikit masa lagi pasukan negara mampu menggegar pasukan- pasukan elit dunia lain.

“Selepas perlawanan semalam (kelmarin), saya memberi ingatan kepada semua pemain bahawa mereka sekarang sudah berada pada satu tahap lebih tinggi berbanding sebelum kejohanan ini bermula.

“Oleh itu, mereka diingatkan agar sentiasa mengekalkan prestasi tersebut pada perlawanan peringkat antarabangsa dan juga peringkat kelab,” kata Selvaraj ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Ini merupakan percubaan keempat negara untuk muncul juara kejohanan tersebut selepas tiga kali kecundang dalam perlawanan akhir sebelum ini iaitu pada tahun 1985 dan 2009 (India) manakala pada 2007, mereka juga tewas kepada Australia.

Tempat ketiga kejohanan kali ini diraih Korea Selatan selepas menewaskan juara edisi lalu, New Zealand 2-1 manakala India di tempat kelima selepas menewaskan Pakistan 4-2.

Sementara itu, pemain negara, Mohd. Razie Abdul Rahim dipilih sebagai Pemain Terbaik kejohanan manakala Pemain Terbaik perlawanan akhir dimenangi pemain Australia, Trent Mitton.

Penyerang negara, Faizal Saari dan Rupinder Pal Singh dari India pula berkongsi anugerah Kasut Emas manakala penjaga gol negara, S. Kumar pula memenangi gelaran Penjaga Gol Terbaik.
Anugerah Fairplay diberi kepada Korea Selatan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/