Memaparkan catatan dengan label Perlis. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Perlis. Papar semua catatan

Selasa, 11 Jun 2013

'Tak perlu gantung-gantung'



SHAHIDAN (kanan) berbual dengan Anuar selepas majlis taklimat kepada ahli Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur semalam.


BEKAS Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim mencabar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memecatnya daripada PFA jika FAM berhasrat mengambil tindakan terhadapnya kerana terus mengkritik badan induk itu. 

"Tak perlu gantung-gantung, pecat saja saya tetapi dengan syarat jangan bagi PFA kacau saya lagi (minta saya bayar gaji pemain Perlis).

"Saya tidak mahu ada kaitan apa-apa lagi dalam persatuan itu," kata Shahidan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri kepada pemberita selepas majlis taklimat kepada ahli Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur semalam.

Beliau diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad yang menyerahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk menilai sama ada Shahidan wajar dibicara- kan lagi setelah terus menerus mengkritik badan induk kebangsaan itu biarpun digantung selama 30 bulan.

Sambil mempertahankan tindakannya, Shahidan turut melahirkan rasa terkilan apabila FAM hanya mengenakan hukuman ke atasnya sedangkan masih ramai pemimpin yang mengkritik badan induk itu.

"(Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan) Tan Sri Annuar Musa keluarkan kenyataan tiap-tiap hari mengenai FAM, mereka tidak kata apa-apa. 

"(Jurulatih Harimau Malaya) Datuk K. Rajagobal pun tak kena gantung. Kalau saya, suka hati mahu hukum, ingat saya tiada kepentingan, senang-senang mahu denda," jelas Shahidan.
Sabtu lalu, bekas Menteri Besar Perlis itu mengeluarkan kenyataan berhubung kemarahannya terhadap FAM yang telah menggantungnya tetapi tiada pegawai badan induk tersebut yang bertanya khabar PFA.

Shahidan juga meluahkan keluhan kerana terpaksa mengeluarkan duit sakunya untuk membayar gaji pemain Perlis ketika menjadi presiden skuad Singa Utara dan meminta FAM membantu PFA yang kini dilanda masalah kewangan.

Selain digantung 30 bulan, Shahidan turut didenda RM39,000 dan hilang status sebagai Presiden PFA, anggota Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM dan anggota Jawatankuasa Kewangan FAM sehingga September 2015.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 10 Jun 2013

FAM kaji kritikan Shahidan


Azzuddin Ahmad
KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad menyerahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib persatuan untuk menilai sama ada Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim wajar dibicarakan lagi selepas masih mengkritik badan induk kebangsaan itu biarpun dalam tempoh penggantungan selama 30 bulan.

Azzuddin mengandaikan mana-mana ahli jawatankuasa itu terutamanya Pengerusinya, Datuk Taufek Razak mungkin sudah membaca kenyataan bekas Menteri Besar Perlis itu dalam Mingguan Malaysia, semalam, berhubung kemarahannya terhadap FAM yang sudah 'membuangnya', menggantungnya tetapi tiada pegawainya yang bertanya khabar PFA.

"Biarlah jawatankuasa berkenaan yang menilai kenyataan yang diumumkan (dalam laporan Mingguan Malaysia). 

"Sekretariat FAM hanya akan berhubung dengan jawatankuasa itu sekiranya diperlukan mereka. Saya (juga) sarankan anda hubungi Datuk Taufek (untuk penjelasan)," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Shahidan kelmarin turut menyatakan kesediaannya melepaskan jawatan Presiden PFA kepada Menteri Besar Perlis, Azlan Man selain sempat berpesan kepada FAM: "Saya nak minta FAM tolonglah PFA. Kalau dahulu tak boleh kena tegur, sekarang saya nak tegur. Perlis (PFA) kena teruk dan miskin tidak bergaji, bantulah."

Mengulas keluhan Presiden PFA itu yang terpaksa mengeluarkan duit sakunya untuk membayar gaji pasukan, kata Azzuddin: "Bola sepak kita sudah memasuki era profesional. 

"FAM percaya mana-mana persatuan bola sepak negeri dan kelab, sudah ditadbir dengan kebijaksanaan pucuk pimpinan masing-masing."

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Isnin, 13 Mei 2013

Kedah menang 'derby' utara


KUALA LUMPUR - Jaringan pemain import, Alen Guc pada minit ke-49 memberikan keceriaan buat Kedah apabila mengalahkan Perlis 1-0 dalam pertembungan 'derby' utara Liga Perdana di Stadium Darul Aman, semalam.

Perlis, yang sebelum ini mencatat kemenangan 2-0 ke atas Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Cheras, gagal meneruskan rentak kemenangan sebaliknya Kedah terus beraksi cemerlang apabila Jumaat lalu mereka turut meraih tiga mata dengan membenam Sabah 3-2 di gelanggang yang sama.

Bagaimanapun perlawanan semalam dicemari insiden layangan kad merah kepada kedua-dua pasukan. Kedah kehilangan Khairul Helmi Johari pada minit ke-52, lapan minit kemudian giliran Perlis pula beraksi dengan 10 pemain selepas Muhd Nasri Ahmad Thauhid diperintah keluar padang.

Sementara itu, di Stadium Likas, tuan rumah berjaya membenam pasukan pelawat UiTM FC 3-1 dan mereka berada di depan seawal minit pertama melalaui jaringan Fazilidin Khalid. Sebelum rehat Shahrudin Yakup dan pemain import, Abdulfatah Safi menambah jaringan buat Sabah pada minit ke-25 dan 45.

UiTM FC cuba bangkit pada separuh masa kedua namun mereka hanya memperoleh gol saguhati melalui jaringan Afiff Ashraf pada minit ke-77.

Di Stadium Pasir Gudang, Johor hanya mampu mencatat keputusan seri 1-1 ketika berdepan Pos Malaysia. Johor mendahului perlawanan seawal minit pertama melalui pemain import, Juan Muriel Orlando. Pasukan pelawat berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-66 menerusi jaringan Ahmad Saufi Ibrahim.

Di Stadium UiTM Shah Alam, Kuala Lumpur menamatkan kemarau kemenangan selepas membenam cabaran SPA Putrajaya, 3-1. Kuala Lumpur memecah kebuntuan gol pada minit ke-11 melalui jaringan pemain import, Kale Sone sebelum Munir Amran menambah gol kedua pada minit ke-89, manakala gol terakhir disumbangkan S. Sivaraj pada masa kecederaan.

SPA Purtrajaya memperoleh gol sagu hati melalui Amri Fazal Mat Noor pada minit ke-54

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Jumaat, 25 Januari 2013

Kebangkitan Selangor



PENYERANG ATM, Hairuddin Omar (dua dari kanan) melepaskan tandukan ke gawang Selangor pada aksi Piala FA malam tadi. Pada perlawanan tersebut, Selangor menang 3-2 menerusi sepakan penalti.


JUARA lima kali, Selangor kembali bangkit menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi penentuan sepakan penalti 3-2 dalam saingan pusingan pertama Piala FA 2013 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Terdahulu, kedua-dua pasukan terikat 2-2 sebaik perlawanan diheret ke masa tambahan.
ATM terlebih dahulu selesa mendahului 2-0 menerusi Marlon Alex James dan Mohd. Affize Faisal Mamat pada minit ketujuh dan 25 sebelum Selangor yang enggan mengaku kalah akhirnya kembali bangkit menyamakan kedudukan menerusi dua jaringan Mohd. Afiq Azmi pada minit ke-53 dan 57.

Ketika penentuan sepakan penalti, penjaga gol Gergasi Merah, Norazlan Razali akhirnya muncul wira tuan rumah selepas berjaya mengagalkan sepakan K. Reuben, Mohd. Affieze Faisal Mamat dan Bruno Martelotto.

Ketiga-tiga jaringan penalti Selangor berjaya disempurnakan oleh kapten, Asraruddin Putra Omar, Mahalli Jasuli dan S. Veenod sementara dua sepakan penalti ATM dijaringkan oleh Marlon dan A. Varanthan.
Perlawanan itu juga dicemari insiden tidak diingini di tengah padang ekoran pemain kedua-dua pasukan dilihat bertelagah sesama sendiri sebaik perlawanan tamat.
Dengan keputusan itu, Selangor bakal berdepan Sabah pada pusingan kedua yang dijadualkan berlangsung 26 Februari depan.

Begitupun, nasib empat lagi pasukan iaitu Selangor PKNS, Lions XII, UiTM FC dan juara edisi 2010, Negeri Sembilan hanya diketahui hari ini selepas perlawanan mereka terpaksa ditangguhkan akibat hujan lebat petang semalam.

Di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), PKNS berjaya mendahului Lions XII dengan keputusan 1-0 sementara Sang Rusa juga selesa mendahului UiTM FC dengan kelebihan 2-0 di Stadium UiTM Shah Alam.

Aksi keempat-empat pasukan itu terpaksa bermula semula dengan kedudukan 0-0 di venue yang sama petang ini.

Di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bahru, tuan rumah, Johor Darul Takzim (Johor DT) hanya mampu mengatasi Perak dengan kemenangan tipis 1-0.
Gol tunggal perlawanan hasil tandukan Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak pada minit ke-59 sudah cukup untuk menjadi pemisah kedua-dua pasukan dalam aksi yang cukup mendebarkan itu.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Abd. Latiff Suhaimi muncul wira pasukan T-Team apabila menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan sekali gus menumpaskan Perlis 3-2.

The Titans terlebih dahulu mendahului 2-0 hasil jaringan Fazuan Abdullah minit ke-31 dan jaringan sendiri pemain pertahanan Perlis, Mohd. Hanif Mohd. Noor (32) sebelum Singa Utara kembali bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan Hadi Syami Hamzah dan Mohd. Nurfirdaus Roswanan pada minit ke-37 dan 50.

Di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Pahang turut meneruskan kemaraan sebaik menumpaskan Johor dengan kemenangan tipis 3-2.

Gol-gol Tok Gajah dicetak oleh Mohamed Borji dan Mohd. Fauzi Roslan (dua gol) sementara Juan Muriel Orlando menjaringkan kedua-dua gol Johor.

Di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah memulakan kempen Piala FA 2013 dengan cukup bergaya apabila membenam pasukan berstatus kelab, Felda United dengan kemenangan 2-1.
Dalam perlawanan itu, gol-gol Sabah dihasilkan menerusi Koh Traore dan Juprey Amopor pada minit ke-14 dan 71 sementara gol sagu hati Felda United pula dicetak Mohammed Ghaddar menerusi sepakan penalti (63).

Sarawak pula menewaskan Melaka 3-0 di Stadium Negeri, Kuching sementara Kedah juga melakar keputusan sama mengatasi NS Betaria 3-0 di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Pos Malaysia turut melakar kejutan apabila membelasah Kuala Lumpur 5-0 sementara PBAPP FC turut menang besar 5-1 ke atas kelab Kemboja, Preach Khan Reach FC di Stadium Bandaraya Pulau Pinang.

Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, KL SPA tewas 1-3 kepada Terengganu sementara Shahzan Muda tewas 0-2 kepada Tentera Darat di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga terpaksa akur terkandas seawal pusingan pertama kali ini apabila tumpas 1-2 kepada Pulau Pinang di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my