Memaparkan catatan dengan label Felipe Scolari. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Felipe Scolari. Papar semua catatan

Khamis, 27 Jun 2013

Brazil ke final singkir Uruguay 2-1

Paulinho (kiri) menjaringkan gol Brazil ketika menentang Uruguay pada separuh akhir Piala Konfederasi di Belo Horizonte, Brazil, semalam. - AFP 
 
BELO HORIZONTE, Brazil - Kejayaan melangkah ke perlawanan akhir Piala Konfederasi semalam memberi isyarat kepada penyokong Brazil bahawa pasukan mereka mampu melakar kecemerlangan pada Piala Dunia di tempat sendiri tahun depan, kata jurulatih, Luis Felipe Scolari. 

Brazil, juara Piala Dunia lima kali menepati sasaran awal dengan melayakkan diri ke perlawanan akhir selepas mengalahkan Uruguay 2-1 pada separuh akhir. 

Tandukan pemain tengah, Paulinho membawa Brazil ke perlawanan akhir.
Sebelum itu Fred meletakan Brazil mendahului dua minit sebelum rehat menerusi percubaan jarak dekat.

Diego Forlan terlepas peluang meletakan Uruguay mendahului apabila gagal menyempurnakan penalti.

Edinson Cavani menyamakan kedudukan buat Uruguay menerusi jaringan tiga minit selepas rehat sebelum Paulinho melakukan tandukan yang memberikan jaringan kemenangan buat Brazil.

"Kami mencapai sasaran awal sebaik sahaja melepasi peringkat kumpulan, memasuki perlawanan akhir dan memberi semangat buat pemain untuk bersatu dengan peminat. Kejayaan kami meyakinkan penyokong bahawa kita memiliki sebuah pasukan yang bagus untuk melangkah ke final Piala Dunia.

"Ini yang saya mahu pemain-pemain kami mahu lakukan (meyakinkan peminat) dan kami hanya boleh buat begitu dengan berjaya memenangi perlawanan. Jadi, kami sudah mencapai objektif awal, sekarang objektif seterusnya adalah memenangi perlawanan akhir," kata Scolari. - REUTERS

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Ahad, 23 Jun 2013

Brazil pamer belang



AKSI cemerlang Neymar mendapat pujian jurulatih Brazil yang menganggapnya seorang pemain genius ketika menewaskan Itali.


SALVADOR DE BAHIA, Brazil - Aksi cemerlang Brazil pada babak kedua berjaya membantu tuan rumah Kejohanan Piala Konfederasi itu mencatat kemenangan 4-2 ke atas Itali dalam saingan Kumpulan A di Salvador, awal pagi semalam.

Kejayaan itu juga menyaksikan skuad kendalian Luiz Felipe Scolari itu muncul juara kumpulan, sekali gus mengelak daripada bertemu Sepanyol di separuh akhir.

Mereka setakat ini mengekalkan rekod bersih dengan tiga kemenangan dan berkemungkinan berjumpa Uruguay di Belo Horizonte awal pagi Khamis ini.

Scolari menjelaskan bahawa Brazil kini sudah mula menunjukkan potensi sebenarnya meskipun menegaskan bahawa keutamaan mereka adalah memenangi Piala Dunia tahun depan berbanding trofi keempat berturut-turut dalam kempen ini.

"Kami telah berjaya menewaskan pasukan Itali yang kuat dan saya rasa ia membuktikan bahawa kami kini di landasan yang betul.

"Bagaimanapun, masih ada beberapa perkara yang harus kami perbaiki dan kami tidak boleh terlalu terbawa-bawa dengan kejayaan ini," jelas Scolari yang pernah membawa Brazil menjuarai Piala Dunia 2002.

Dalam aksi semalam, Brazil mendahului pada masa kecederaan babak pertama menerusi Dante sebelum Emanuele Giaccherini menyamakan kedudukan pada minit ke-51.
Penyerang sensasi Barcelona, Neymar bagaimanapun kembali meletakkan skuad Samba itu di depan menerusi gol kedua pada minit ke-55 sebelum Fred menjadikan kedudukan 3-1 hasil jaringan minit ke-67.

Itali yang kehilangan khidmat perancang, Andrea Pirlo ekoran kecederaan kembali merapatkan jurang 3-2 menerusi pertahanan Giorgio Chiellini pada minit ke-71 namun Fred sekali lagi tampil menjadi pemusnah kepada The Azurri dengan jaringan pada minit ke-89.
Scolari turut memuji aksi cemerlang Neymar dengan menyifatkan pemain berusia 21 tahun itu seorang yang genius.

"Dia adalah wira kepada rakyat Brazil dan setiap orang yang meminati bola sepak.
"Pergerakannya sangat bagus hari ini dan seorang pemain yang bijak sepertinya mampu membawa perbezaan di atas padang," jelasnya lagi.

Neymar turut diumumkan pemain terbaik perlawanan selepas berjaya meledakkan gol ketiga dalam tiga perlawanan buat Brazil. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 11 Jun 2013

Brazil di landasan tepat



SCOLARI (kanan) yakin Brazil mampu menjulang trofi Piala Konfederasi 2013 buat kali ketiga berturut-turut.


GOIANIA, Brazil - Pengurus Brazil, Luiz Felipe Scolari yakin pasukan itu berada di landasan yang tepat untuk menjulang trofi Piala Konfederasi 2013 buat kali ketiga berturut-turut.

Scolari menyuarakan keyakinan itu selepas skuad Samba berjaya menewaskan Perancis 3-0 pada aksi persahabatan antarabangsa di Arena Grenio kelmarin.

Meskipun tidak menampilkan aksi yang menarik, Brazil mempamerkan peningkatan berbanding pada perlawanan terdahulu, sekali gus dianggap sebagai persiapan terbaik untuk menghadapi kempen Piala Konfederasi 2013.

"Kami memerlukan kemenangan ini. Ia memberikan kami lebih keyakinan dan ia tepat pada masanya," kata Scolari.

Brazil bakal membuka tirai pada kempen Piala Konfederasi 2013 berdepan Jepun di Brasilia, Ahad ini.

Selain Jepun, turut diundi dalam kumpulan yang sama ialah Mexico dan Itali.
Untuk rekod, Brazil menjuarai pertandingan ini di Arab Saudi (1997) sebelum muncul juara dua kali berturut-turut pada edisi 2005 (Jerman) dan 2009 (Afrika Selatan).

"Kemenangan ini merupakan satu langkah terbaik buat kami untuk menghadapi Piala Konfederasi 2013.

"Ia menunjukkan bahawa kami mempunyai sebuah pasukan yang kompetitif untuk mencabar gelaran juara," katanya.

Bagaimanapun, Brazil dilihat gagal memberikan aksi sebenar sejak Scolari kembali menjadi jurulatih pada Disember tahun lalu.

Mereka hanya menewaskan Bolivia manakala sekadar seri dengan Itali, Rusia dan Chile.
Selain itu, skuad Samba juga tewas 1-2 kepada England di London sebelum seri 2-2 dengan skuad yang sama di Stadium Maracana minggu lalu.

Pada masa sama, kemenangan ke atas Perancis kelmarin turut menamatkan kemarau kemenangan Brazil ke atas pasukan itu sejak 21 tahun lalu. - AP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 3 Jun 2013

Brazil hampir diaibkan


RIO DE JANEIRO - Juara dunia lima kali, Brazil sekadar seri 2-2 dalam satu aksi persahabatan antarabangsa dengan England di stadium yang baru dibaik pulih, Stadium Maracana di sini kelmarin.

Tuan rumah Piala Dunia 2014 itu yang mendapat semula sentuhan jurulatih, Luiz Felipe Scolari bermula garang pada separuh masa pertama perlawanan, namun kedua-dua pasukan masih gagal meraih sebarang jaringan.

Bermula separuh masa kedua, jalan cerita mula berubah selepas pasukan tuan rumah lebih dulu membuka jaringan menerusi Fred pada minit ke-57.

Alex Olade-Chamberlain yang baru beberapa minit dibawa masuk kemudiannya menyamakan kedudukan sebelum Wayne Rooney terus meletakkan England di depan.

Ketika keadaan terdesak itu, Paulinho muncul penyelamat Brazil apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-82.

Untuk rekod, Brazil turut diikat Colombia pada aksi kelayakan Piala Dunia 2008 ketika aksi terakhir sebelum Stadium Maracana ini dibaik pulih.

Kali terakhir Brazil menang dalam aksi persahabatan ialah ketika bertemu Bolivia manakala ketika bertemu England di Stadium Wembley Februari lalu, Brazil tewas.

"Kami bermain baik pada separuh masa pertama, namun agak teruk apabila memasuki babak kedua.

"Kami bermain agak terbuka serta memberi peluang kepada pasukan pelawat terlalu banyak ruang untuk bergerak, menguasai permainan seterusnya menghasilkan gol.

"Sudah tentu penyokong kami mahukan kemenangan. Mereka mahukan jaringan seterusnya kejayaan buat pasukan Brazil.

"Namun kami sedar, pasukan England bukanlah sebuah pasukan yang mudah untuk ditewaskan," jelas Scolari kepada pemberita sejurus selepas perlawanan itu.

Selain itu, menurut Scolari lagi, kecemerlangan penjaga gol England, Joe Hart yang banyak melakukan aksi menyelamat turut menjadi salah satu sebab Brazil gagal mencatat kemenangan.

Scolari bagaimanapun turut memuji bintang-bintang mudanya, Neymar, Oscar dan Hulk yang disifatkan antara tonggak penting pasukan Brazil dalam kempen Piala Dunia tahun depan. - Reuters

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my