Memaparkan catatan dengan label David Beckham. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label David Beckham. Papar semua catatan

Isnin, 3 Jun 2013

Dunia Baharu David Beckham




AKSI tangkas dan lincah jejaka berusia 38 tahun ini di atas padang telah sampai ke titik penamat apabila dia mengumumkan persaraannya daripada dunia bola sepak yang telah menjadi sandaran rezeki, juga popularitinya sejak 20 tahun lalu.

Apakah langkah seterusnya yang bakal disusuri oleh David Beckham? Umum mengetahui kelibat anak watan Leytonstone, London, England itu sering kelihatan dalam lembaran-lembaran fesyen dan menghadiri pertunjukan fesyen pereka ternama. Malah, dia juga menjenamakan dirinya sebagai satu produk yang boleh melariskan perniagaan.

Mungkinkah kita bakal melihat Beckham menguasai dunia glamor fesyen seperti dilakukan oleh sang isteri, Victoria Beckham yang sudah memateri nama sebagai antara pereka busana terkenal dunia?
Andaian itu turut dipersetujui oleh mantan pengurus kelab bola sepak Manchester United (MU), Alex Ferguson yang percaya bekas anak didiknya itu bakal menceburi aliran fesyen sebagai satu kerjaya baharu kepada Beckham.

“Keupayaan Beckham dalam meluaskan pengaruh dan mengukuhkan nama ke seluruh dunia merupakan sesuatu yang menakjubkan.

“Apabila dia berpindah ke Amerika untuk bermain bersama kelab LA Galaxy pada tahun 2007, tiada siapa menyangka dia mampu membina karier di sana.

“Situasi sama juga berlaku ketika dia bermain di negara-negara Eropah. Semua orang menerima Beckham, malah dia terus mendapat perhatian media antarabangsa,” kata Ferguson kepada media antarabangsa baru-baru ini.

Tambah Ferguson, dari sudut kesukanan, Bec- kham merupakan seorang atlet yang mempunyai tahap stamina tinggi. Dalam usia menghampiri 40-an, dia sentiasa menjadi pilihan untuk terus berada di padang bermain dalam perlawanan bola sepak.

Beckham menyertai MU ketika berusia 11 tahun dan telah bersama dengan kelab gergasi dunia itu selama 11 tahun di bawah kendalian Ferguson. Ketika bermain untuk MU, dia menjulang kejuaraan Liga Perdana England dan Liga Juara-Juara sebanyak enam kali.

“Dia masih muda lagi. Saya membayangkan fesyen akan menjadi pilihan Beckham selepas persaraannya,” kata Furgeson yang juga telah bersara pada bulan Mei lepas.

VICTORIA menjadi individu yang bertanggungjawab mengubah penampilan Beckham sehingga menjadi ikon lelaki metroseksual.


Pesona diri yang tampan dan berketrampilan menarik menjadikan Beckham sebagai duta pelbagai produk dan rumah fesyen. Dia telah menghiasi beberapa kempen antarabangsa termasuklah Emporio Armani, Breitling, Adidas, Police, Gillette, Samsung dan Pepsi.

Pakar penjenamaan meramalkan jumlah kekayaan Beckham bakal meningkat berlipat kali ganda selepas persaraannya kerana mempunyai masa untuk fokus kepada peluang komersial.

“Beckham adalah ikon gaya hidup. Dia tidak memakai baju sukan dalam kempen iklan, malah hanya menyarungkan persalinan kasualnya sendiri,” ujar Pengarah Komunikasi Korporat Vodafone, Michael Caldwell.

Rupa paras dan lagak persis seorang model melayakkan Beckham mendapat tajaan dan jemputan daripada pereka fesyen antarabangsa.
Kontrak H&M

Syarikat pakaian kasual dari Sweden, H&M bakal menyambung kontrak bersama ikon metroseksual itu untuk musim luruh akan datang. Dia yang pernah mengeluarkan dua koleksi pakaian dalam istimewa untuk lelaki akan terus menyumbangkan idea terbaharu kepada jenama tersebut. 

“Beckham adalah seorang ahli sukan dan mempunyai cita rasa fesyen yang baik. Pihak kami tidak sabar untuk berkolaborasi sekali lagi untuk koleksi musim luruh akan datang,” ujar jurucakap H&M kepada media baru-baru in.

Wakil agensi pengurusan Beckham, Simon Fuller’s XIX Entertainment tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai persaraan legenda bola sepak itu. Bagaimanapun, mereka mengesahkan yang Beckham akan meneruskan kontrak bersama beberapa jenama seperti Sky, Sainsbury’s, Adidas dan juga H&M. 

Penggunaan selebriti sebagai jurucakap atau duta sudah menjadi tradisi dan ikutan seluruh dunia. Ia memberi pulangan lumayan kepada mereka kerana setiap kontrak yang ditandatangani bernilai jutaan ringgit untuk satu tempoh masa. 

Namun begitu, ia juga memberi risiko, terutamanya kes-kes penyalahgunaan nama selebriti dalam produk atau syarikat yang tidak bertanggungjawab. Beckham juga tidak terkecuali apabila imej dan namanya telah digunakan tanpa kebenaran untuk satu iklan penerbangan tambang murah, EasyJet.

Isu terpencil itu tidak menggugat kekayaan Beckham, malah menurut majalah kewangan, Forbes, dia merupakan atlet kelapan mendapat bayaran tertinggi iaitu sebanyak RM142.39 juta pada tahun 2012 yang merangkumi gaji dan bayaran sebagai jurucakap.
Kembara baharu

BECKHAM bersama tiga orang anaknya (dari kiri) Brooklyn, Cruz dan Romeo James,


Mengulas mengenai persaraan suaminya, Victoria menggambarkan Beckham sebagai seorang ahli sukan dan idola yang memberi inspirasi kepada jutaan peminat seluruh dunia.

“Saya dan anak-anak sangat berbangga dengan Beckham. Ia merupakan perjalanan hidup yang menakjubkan apabila menyaksikan sendiri dia bermain sepanjang karier bola sepaknya. Kami bersama-sama berkongsi kegembiraan ketika pasukan Beckham menjadi juara, dari MU sehingga ke Paris Saint-Germain.

“Ia bukan keputusan yang mudah untuk dilakukan tetapi kami teruja untuk meneruskan langkah bersama,” ujarnya dalam kenyataan kepada media.

Beckham pula berkata, tiada apa-apa yang dapat menggantikan kecintaannya kepada dunia bola sepak. Seperti Victoria, dia mula menyukai kembara baharu dalam hidupnya dan tidak sabar untuk menjelajah kerjaya yang bakal diteroka kelak.

“Saya sangat bertuah kerana diberi peluang yang banyak sepanjang karier bola sepak dan sekarang tiba masanya untuk menyumbang sesuatu kepada mereka yang memerlukan,” kata Bec- kham yang turut aktif dalam badan kebajikan.

Dia telah menyertai beberapa persatuan dan badan kebajikan yang membuatkannya sibuk setiap masa. Salah sebuah organisasi yang diketuai oleh Beckham ialah Malaria No More UK Leadership Council, Help for Heroes dan Victoria and David Beckham Charitable Trust.

Ahad, 19 Mei 2013

Tangisan Beckham


David Beckham dijulang rakan-rakan sepasukan selepas membuat penampilan terakhir bersama Paris St Germain di Stadium Parc des Princes, Paris, semalam. - AFP 
 
PARIS - David Beckham memeluk rakan-rakan sepasukan dengan air mata bergenang ketika meninggalkan padang dalam perlawanan terakhirnya bersama Paris Saint Germain (PSG) di tempat sendiri, semalam. 

Ikon bola sepak England itu kelihatan cukup beremosi apabila dikerumuni rakan-rakan sepasukan sebaik sahaja jurulatih, Carlo Ancelotti mengarahkannya keluar padang pada minit ke-81 sewaktu PSG menumpaskan Brest 3-1. Ini adalah perlawanan terakhir Beckham sebelum bersara daripada bola sepak. 

Penjaga gol, Salvatore Sirigu berlari keluar untuk mengucapkan tahniah kepada bekas kapten England itu, sementara pemain sayap Brazil, Lucas melakukan tunduk hormat.

Penyokong, termasuk bekas Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy berdiri sebagai tanda penghormatan buat Beckham, yang melambai tangan sebelum digantikan dengan Ezequiel Lavezzi.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua orang di Paris.
"Kepada rakan-rakan sepasukan saya, kakitangan dan juga para penyokong. 

"Sesuatu yang amat istimewa dapat mengakhiri karier saya di sini. Tiada yang lebih istimewa melainkan di sini," kata Beckham kepada penyokong selepas perlawanan tamat.
Dengan PSG yang telah pun merangkul gelaran Liga Perancis, Beckham Khamis lalu mengumumkan bahawa dia akan bersara sebaik musim ini berakhir.

Pemain itu masih belum menyatakan sama ada dia berhasrat untuk bermain dalam perlawanan terakhir PSG yang akan berlangsung di tempat lawan, menentang Lorient pada 26 Mei ini.

"Saya cuma berasakan sekarang adalah masa yang tepat. Saya sudah mencapai segala-galanya dalam karier. Saya mahu meninggalkan sukan bola sepak sebagai juara.

"Saya menamatkan karier saya bersama sebuah pasukan yang melayan saya seolah-olah saya telah berada di sini selama 10 tahun," kata pemain berusia 38 tahun itu lagi. 

Sementara itu Ancelotti mengakui, Beckham mungkin tidak akan beraksi dalam perlawanan terakhir PSG menentang Lorient nanti.
"Dia akan menyertai rakan-rakan sepasukan ke sana tetapi dia mungkin tidak bermain," katanya. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Khamis, 4 April 2013

Beckham mungkin kekal di PSG


BECKHAM sedang mempertimbangkan untuk kekal setahun lagi dengan kelab PSG.


PARIS - David Beckham tidak menolak kemungkinan kekal bersama Paris Saint-Germain (PSG) untuk semusim lagi setelah mengadakan perbincangan bersama pemilik kelab itu semalam.

Bekas kapten England itu memberikan impak positif terhadap corak permainan PSG semasa mengikat Barcelona 2-2 dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara di Stadium Parc des Princes kelmarin.

Justeru, Beckham, 37, yang menyertai PSG dengan kontrak jangka pendek Disember lalu membayangkan akan kekal bersama kelab itu musim depan.

"Kita tengok dahulu macam mana. Saya telah mengadakan perbincangan bersama pemilik kelab dan jurulatih.

"Saya tahu mereka gembira dengan kehadiran saya di sini dan pada masa sama, saya juga gembira beraksi bersama mereka," katanya.

Namun pada masa sama, Beckham mengakui faktor usia bakal mengekang hasratnya untuk kekal beraksi bersama PSG musim depan.

"Saya bukannya semakin muda, jadi ada baiknya saya menikmati musim ini sebaik mungkin sebelum membuat keputusan sama ada kekal di sini atau pun bersara," jelas Beckham.

Pada masa sama, Beckham mengakui teruja apabila cepat menyesuaikan diri dengan corak permainan yang diterapkan jurulatih PSG, Carlo Ancelotti.

Ketiadaan Blaise Matuidi yang menjalani penggantungan perlawanan juga dilihat membuka peluang buat Beckham beraksi dalam kesebelasan utama menjelang aksi suku akhir kedua berdepan The Catalan di Nou Camp, minggu depan.

"Saya cuba memberikan impak yang positif setiap kali beraksi bersama PSG.
"Biarpun tidak lagi semuda dahulu, ia bukan bermakna saya perlu diberikan layanan istimewa kerana saya tetap menjalani latihan seperti mana rakan sepasukan yang lain," tegasnya. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Sabtu, 26 Januari 2013

Zaha tidak sabar sarung jersi United




MANCHESTER - Pemain muda Crystal Palace, Wilfried Zaha (gambar) melahirkan rasa gembira selepas berjaya mengikat kontrak bersama kelab gergasi England, Manchester United bernilai £15 juta (RM72 juta) kelmarin.

Pemain berusia 20 tahun yang lahir di Ivory Coast itu berasa lega selepas spekulasi mengaitkannya dengan beberapa kelab utama Eropah berakhir.

Kini, dia akan terus bersama Crystal Palace sehingga penghujung musim ini sebagai pemain pinjaman.
Selepas menandatangani kontrak bersama United, Zaha melahir perasaan itu melalui akaun Twitternya.
"Saya sangat teruja, melalui hari yang memenatkan tetapi akhirnya saya gembira apabila menamatkan segala spekulasi ini," katanya.

Pengurus United, Alex Ferguson mula memantau perkembangan Zaha selepas melihat aksi lincah pemain itu dalam satu perlawanan Liga Kejuaraan antara Palace dan Peterborough, November lalu.

Selepas perlawanan itu, Ferguson terus menghubungi ayahnya dan menyatakan minat untuk mengambil pemain sayap itu bersama skuad The Red Devils.

Akademi Crystal Palace tidak 'sunyi' untuk melahirkan bakat-bakat hebat seperti Wayne Routledge, Nathaniel Clyne, Victor Moses dan Ben Watson namun Zaha merupakan antara pemain paling menonjol.
Namun, Ferguson mahu dia terus membantu Palace mencapai keputusan terbaik dalam baki saingan Liga Kejuaraan musim ini sebelum dia dapat merasai detik manis berkongsi bilik persalinan dengan Robin van Persie dan Wayne Rooney musim hadapan.

"Saya sungguh gembira dapat menyertai United, sekali gus mengakhiri spekulasi selama ini. Saya berterima kasih kepada Palace yang membenarkan saya berhijrah.

"Saya bersama Palace sejak 10 tahun lalu. Saya tidak akan lupakan jasa mereka dan saya bertekad membantu mereka kembali ke Liga Perdana England," kata Zaha.

Untuk rekod, David Beckham hanya membuat penampilan sulung bersama United pada usia 20 tahun dan sebelum itu dia turut dipinjamkan ke beberapa pasukan lain sebelum membuat penampilan dalam skuad utama The Red Devils.

Dalam pada itu, peminat-peminat Palace pasti merindui aksi Zaha meskipun pemilik Palace merestui pemergiannya ke kelab yang lebih besar demi masa depan karier bola sepaknya.

Zaha juga menarik perhatian Arsenal namun mereka membatalkan hasrat mendapatkan pemain sayap yang bermain ketika England tewas 2-4 kepada Sweden dalam satu perlawanan persahabatan hujung tahun lalu. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my