Memaparkan catatan dengan label Joe Hart. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Joe Hart. Papar semua catatan

Sabtu, 17 Ogos 2013

Pellegrini sokong Hart


HART dikritik hebat selepas England menewaskan Scotland 3-2 pada aksi persahabatan antarabangsa, Khamis lalu.


LONDON - Pengendali Manchester City, Manuel Pellegrini memberikan sokongan padu kepada penjaga gol, Joe Hart menjelang aksi sulung Liga Perdana England menentang Newcastle United di Stadium Etihad awal pagi Selasa ini.

Pellegrini masih menaruh kepercayaan kepada Hart meskipun prestasinya di kritik hebat ketika England menewaskan Scotland 3-2 pada aksi persahabatan antarabangsa, Khamis lalu.
Hart yang bergelut dengan prestasi tidak menentu bersama City dan skuad England musim lalu, sekali lagi dikecam hebat kerana kegagalannya menghalang gol pembukaan Scotland menerusi James Morrison.

Begitupun, Pellegrini merancang untuk berbincang dengan Hart dan pemain itu perlu membuktikan musim ini bahawa dia masih layak menjadi penjaga gol No. 1 England.

"Saya masih belum bercakap dengannya lagi, mungkin esok (semalam), tetapi saya rasa Hart perlu membuktikannya setiap minggu mengapa dia masih menjadi penjaga gol No. 1 England.

"Dia seorang penjaga gol yang penting, saya menaruh keyakinan yang tinggi terhadapnya. 

"Setiap orang boleh melakukan kesilapan tetapi saya tetap mempercayainya dan yakin dia akan menunjukkannya sekali lagi tahun ini mengapa dia masih menjadi penjaga gol terbaik di England," kata Pellegrini.

Sementara itu, Pellegrini mengesahkan bahawa penyerang Sergio Aguero akan diturunkan pada aksi pembuka kempen Liga Perdana England menentang Newcastle meskipun pemain Argentina itu tidak beraksi dalam tujuh aksi jelajah pra-musim baru-baru ini.

Pemain pertahanan Matija Nastasic yang pada awalnya diramal berehat selama enam minggu kerana kecederaan buku lali, mungkin akan diturunkan pada aksi kedua menentang Cardiff City selepas menjalani latihan lebih awal daripada jangkaan.

City kini masih memburu seorang pertahanan tengah, namun Pellegrini menegaskan, dia tetap gembira untuk memulakan kempen musim ini dengan pemain sedia ada selepas membelanjakan £90 juta (RM461 juta) pada musim panas lalu.

"Saya masih berpuas hati. Saya rasa kami memiliki satu skuad yang diperlukan bagi tahun ini, bukan sahaja dalam saingan domestik, malah Liga Juara-Juara.

"Kami akan lihat (ada pemain baharu atau tidak). Kami tidak perlu melakukannya hari ini. Jadi, mungkin ia tidak akan berlaku.

"Sebab itu kami melakukannya dengan cara kami sendiri, kami rasa ia adalah jalan terbaik kami. Kami tahu pemain mana yang diperlukan," tambahnya lagi. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 25 Mac 2013

England berdepan cabaran berliku



JOE Hart mempunyai tugas berat bagi memastikan gawang England tidak dibolosi apabila berdepan Montenegro di tempat lawan Rabu ini.


SERRAVALLE, San Marino - Skuad England berdepan misi sukar meraih tiga mata ketika berdepan pendahulu Kumpulan H, Montenegro dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2014 di Podgorica awal pagi Rabu ini.

Jika menang, skuad kendalian Roy Hodgson bakal memiliki kelebihan satu mata di depan Montenegro yang kini selesa mengutip 13 mata.

Namun jika tewas, The Three Lions bakal ketinggalan lima mata, sekali gus menyukarkan peluang mereka menyambar slot automatik ke pusingan akhir Piala Dunia di Rio De Janeiro, Brazil tahun depan.
Justeru, penjaga gol utama England, Joe Hart mahu rakan-rakan sepasukannya mempamerkan aksi luar biasa ketika berdepan Montenegro kelak.

"Ia satu perlawanan yang cukup mendebarkan buat kami. Kami semakin menghampiri pusingan akhir Piala Dunia, jadi kami perlu memberikan yang terbaik," kata Hart.

Ketika kempen kelayakan Euro 2012 di Podgorica dua tahun lalu, England mensia-siakan kelebihan dua gol sebelum terikat 2-2 yang menyaksikan penyerang mereka, Wayne Rooney diperintah keluar padang.
"Ketika itu, kami mungkin dibuai perasaan selesa sehingga hanya membawa pulang satu mata.

"Ia tidak seharusnya berulang kali ini kerana kami perlu beraksi cemerlang berdepan pasukan yang bagus seperti Montenegro.

"Jika kami berjaya memenangi beberapa perlawanan lagi selepas ini, tidak mustahil kami akan layak ke Piala Dunia," kata Hart.

Pada masa sama, Hart juga enggan memandang mudah keupayaan Montenegro biarpun kurang diuji ketika mereka membelasah San Marino 8-0 kelmarin.
"Tiada bezanya buat saya. Fokus saya sentiasa kekal memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan.
"Hanya kerana saya kurang diuji ketika berdepan San Marino, ia tidak bermakna saya memandang mudah aksi berdepan Montenegro," tegasnya. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 10 Februari 2013

Mancini malu lihat pemain City



JARINGAN Southampton hasil kesilapan Joe Hart ini ternyata memalukan Mancini.


LONDON - Pengurus Manchester City, Roberto Mancini mengakui kekalahan 1-3 kepada Southampton awal pagi semalam hampir pasti meranapkan impian pasukannya untuk mempertahankan gelaran Liga Perdana England.

Mancini menyifatkan peluang untuk City merampas kedudukan pendahulu liga milik jiran mereka, Manchester United musim ini juga semakin tipis.

United bakal memiliki kelebihan 12 mata selesa mendahului taktha liga sekiranya menang dengan Everton dengan baki 12 lagi perlawanan, sekali gus menyaksikan mereka sukar dikejar oleh City.

Pengurus dari Itali itu juga mengakui prestasi tidak konsisten mereka sejak kebelakangan ini adalah disebabkan beberapa kesilapan mudah yang dilakukan pemainnya ketika bertahan. 

"Dua belas mata adalah terlalu jauh untuk dikejar ketika ini dan kami juga sejak kebelakangan ini gagal beraksi dengan baik," kata Mancini.
"Kami bermain sangat teruk, malah lebih teruk pada aksi tadi (semalam). 

"Saya kecewa dengan persembahan kami. Kami melepaskan satu gol yang tidak pernah saya saksikan dalam hidup saya.

"Kini tiada apa-apa yang boleh kami buat, selain mengucapkan tahniah kepada Southampton di atas permainan mereka. 

"Ini adalah aksi paling buruk kami dalam masa dua atau tiga tahun. Pemain bermain sangat teruk, tanpa kekuatan dan tanpa personaliti. Saya sangat kecewa dengan mereka," katanya.

Kekalahan City semalam berpunca daripada beberapa kesilapan mudah ketika bertahan, termasuk kesilapan daripada pertahanan, Gareth Barry yang menjaringkan gol sendiri.

Penjaga gol England, Joe Hart juga membuat kesilapan mudah dengan membenarkan bola menembusi celah kangkangnya, sekaligus memberi peluang Steven Davis menyentuh bola masuk ke gawangnya.
"Ia satu kesilapan yang teruk daripada Joe Hart. Ia bukan perkara yang pelik kerana dia telah melakukan beberapa kesilapan musim ini," kata Mancini.

"Situasi ini tidak bagus bagi kami. Joe seorang penjaga gol yang baik, tetapi mana-mana penjaga gol juga akan melakukan kesilapan." - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 8 Februari 2013

England mengganas


LAMPARD menjaringkan gol kemenangan England pada aksi menentang Brazil awal pagi semalam. Pada perlawanan tersebut, England menang 2-1.


LONDON – Selepas 23 tahun, England akhirnya berjaya memusnahkan Brazil. Walaupun sekadar aksi persahabatan, tetapi kemenangan 2-1 yang dilakar skuad kendalian Roy Hodgson itu membawa makna yang amat besar buat bola sepak England.

Ia satu kebangkitan yang sudah lama dinantikan oleh penyokong fanatik England yang selama ini sering dihampakan oleh bekas gergasi bola sepak dunia itu.

Bukan setakat berjaya menamatkan badi selama 23 tahun tetapi juga merupakan kali pertama England berjaya mengatasi Brazil dengan jaringan dua gol sejak tahun 1984.

Hodgson merupakan individu paling berbangga dengan kejayaan itu dan dia melontarkan pujian terhadap aksi anak-anak buahnya yang berjaya mencatatkan kemenangan pertama ke atas juara dunia lima kali itu.

Jaringan Wayne Rooney dan Frank Lampard kelmarin sudah cukup untuk menghadiahkan kejayaan cemerlang England ke atas Brazil pada aksi yang berlangsung di Stadium Wembley itu.
Hodgson berkata: “Saya sangat berpuas hati. Kami telah membuktikan bahawa kami sudah cukup bagus.

“Ia pertemuan pertama saya dengan Brazil sebagai jurulatih dan saya gembira kerana berjaya melaksanakannya dengan kemenangan.

“Kemenangan ini sesuatu yang positif bagi kami. Saya harap ia akan melonjakkan lagi keyakinan pemain. Paling penting, ia satu persembahan yang sangat memuaskan daripada seluruh pasukan.”
Pada perlawanan tersebut, penjaga gol England, Joe Hart berjaya menyelamatkan dua percubaan Ronaldinho hasil daripada sepakan penalti sebelum Rooney meletakkan The Three Lions di depan pada minit ke-27.

Penyerang Brazil, Fred kemudian menyamakan kedudukan 1-1 namun, perancang Chelsea, Lampard meledakkan gol kemenangan pada babak kedua.

Ini adalah kemenangan pertama England ke atas Brazil dalam 23 tahun dan juga kali pertama mereka menjaringkan dua gol ke atas gergasi Amerika Selatan itu sejak 1984.
“Apabila kamu mengendalikan skuad England dan bermain di Wembley, kamu pasti akan bangga dengan setiap kemenangan.

“Selain daripada aksi hambar pada awal babak kedua di mana kami banyak kehilangan bola, pasukan ini bagaimanapun berjaya menangani asakan Brazil dengan baik sekali.

“Apa yang paling saya puas hati ialah kami berjaya menunjukkan karakter sebenar meskipun dalam keadaan tertekan,” katanya.

Jurulatih Brazil, Luiz Felipe Scolari mengakui England memang layak untuk menang.
Bekas pengurus Chelsea itu berkata: “Saya tidak kecewa kerana kalah pada perlawanan ini.

“Kami beraksi menentang pasukan England yang memiliki pemain berkualiti dan berkelebihan dari segi fizikal,” ujarnya. – Agensi

-Kosmo_

Jumaat, 28 Disember 2012

City waspada ancaman Norwich


Joe Hart (kanan) meminta rakan sepasukan melupakan kekalahan 0-1 Manchester City kepada Sunderland Rabu lalu apabila berdepan Norwich City di padang lawan hari ini. - AFP 
 
NORWICH - Joe Hart memberitahu rakan sepasukannya agar melupakan tentang kekalahan perit Manchester City kepada Sunderland dan fokus untuk kembali ke landasan sebenar bagi mempertahankan kejuaraan menjelang pertemuan dengan Norwich, hari ini.

Penyandang juara Liga Perdana Inggeris itu ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu Manchester United selepas tumpas 0-1 kepada Sunderland, Rabu lalu dan akan berdepan Norwich di Carrow Road, pasukan yang digelar 'pembunuh pasukan gergasi.'

Norwich menewaskan Arsenal serta Manchester United musim ini dan mereka mungkin mampu menjadi pemusnah kepada impian City bagi mempertahankan kejuaraan.

Namun penjaga gol England, Hart menegaskan, masih ada harapan untuk memenangi kejuaraan seperti mana yang dilakukan pada musim lepas apabila mereka kembali mengukuhkan cengkaman liga, sekali gus menafikan peluang United merangkul kejuaraan pada perlawanan terakhir liga.

"Kami pernah berada pada kedudukan teratas dan selepas itu, giliran United pula, buat masa ini situasi akan kekal begitu.

"Kami merupakan pasukan juara, memang sukar dan perit tetapi kami perlu bergerak ke depan. Sukar sebenarnya untuk menjadi pasukan pendahulu dan begitu juga payah untuk kami mengejar.

"Kami pernah kembali mengejar mata dari belakang sebelum ini, kami telah membuktikan pada hujung musim lepas. Kami perlu yakin kepada diri sendiri.

"Musim ini sudah bergerak separuh jalan dan perjalanan masih lagi jauh untuk sampai ke penghujung. Kami perlu berdepan dengan perlawanan berikut dan memberikan yang terbaik seperti selalu.

"Anda akan berdepan dengan pelbagai halangan sepanjang musim tetapi anda perlu bijak menanganinya dan begitu juga dengan perlawanan yang bakal kami hadapi ini.

"Kempen masih panjang dan masih banyak perlawanan yang perlu dihadapi dan banyak juga mata yang perlu diraih," katanya. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my