Memaparkan catatan dengan label Peter James Butler. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Peter James Butler. Papar semua catatan

Jumaat, 23 Ogos 2013

Giliran Zolkples ‘hentam’ Butler


Butler


“SIAPA Peter (James) Butler? Setakat yang saya kenal, beliau suka mencetuskan masalah dan saya sendiri tidak tahu sejauh mana kebolehan beliau.”

Demikian tegas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong ketika mengulas mengenai kenyataan bekas jurulatih Kelantan, Terengganu dan T-Team itu yang mempertikai pelantikan Lim Teong Kim sebagai Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara baru-baru ini.

“New Director or Youth Development! Don’t know him, however give him a chance - obviously cheap option but what do you expect here #belucky.” Itu antara kata-kata Butler yang mempertikai pelantikan Teong Kim dalam laman sosial Twitter miliknya baru-baru ini,

“Segalanya sudah jelas. Pemilihan Teong Kim dilakukan menerusi proses terperinci, malah melibatkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

“Pandangan saya terhadap Butler sangat mudah. Seandainya dia seorang yang bagus, sudah pasti dia berada dalam senarai yang harus dipertimbangkan. 

“Sebaliknya nama beliau tidak pernah disebut sebagai calon layak melatih mana-mana program di bawah kendalian MSN,” kata Zolkples di Bukit Jalil semalam.

Dengan beberapa kontroversi yang dicetuskan Butler sebelum ini, Zolkples menganggap pengendali kelahiran Halifax, England itu sebagai pencetus masalah (trouble maker). 

“Tengok saja sejarah dia yang bukan saja di sini tetapi di negara luar seperti Thailand dan Indonesia yang dikhabarkan penuh dengan masalah. 

“Ada saja kontroversi yang tercetus setiap kali beliau mengendalikan pasukan atau kelab bola sepak.
“Jangan lupa juga bagaimana dia memporak-perandakan dan menghentam pengurusan Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT). 

“Tapi kalau dah syok sendiri, kita pun tak boleh buat apa,” katanya.
Zolkples turut memberi amaran jika Butler terus mengeluarkan kenyataan-kenyataan mencemarkan imej negara, jurulatih berusia 47 tahun itu akan berdepan tindakan undang-undang.

“Pihak berwajib harus lihat adakah perlu beliau terus berada di negara kita,” katanya.
Kosmo! sebelum ini pernah melaporkan kenyataan Butler menerusi laman Twitter miliknya sehingga mencetuskan kemarahan Presiden PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 22 Januari 2013

Lions XII rebah di kaki T-Team


CALEB (dua dari kanan) kurang menyerlah pada aksi menentang Lions XII di Kuala Terengganu semalam.


PENGENDALI T-Team, Peter James Butler mengotakan janjinya untuk mengejutkan Lions XII dalam saingan liga Super.

Semalam, T-Team meraih kemenangan 1-0 ke atas wakil Singapura itu pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
           
Gol kemenangan The Titans hadir menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Mohd. Badrul Hi- syam Morris pada minit ke-73.

Skuad kendalian Butler memperoleh sepakan penalti apabila salah seorang pertahanan Lions XII tertampan bola dalam petak penalti. 

Butler memberitahu, anak-anak buahnya berhak memperoleh tiga mata penuh pada perlawanan tersebut kerana mereka dilihat lebih banyak menguasai permainan.

"Sudah pasti saya berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan semua pemain pada perlawanan hari ini (semalam). Kita berhak memperoleh tiga mata penuh kerana para pemain telah menunjukkan persembahan yang lebih baik," ujarnya.

Mengulas mengenai penyerang import, Caleb Folan yang dikeluarkan pada babak kedua, Butler memberitahu, pemain itu mengalami kecederaan hamstring dalam perlawanan tersebut.

"Kalau saya mengetahui dia mengalami kecederaan, saya tidak akan menyenaraikan dalam kesebelasan utama tetapi Caleb tetap bersemangat untuk turun bagi membantu pasukan memusnahkan impian Lions XII.

"Kita pasti akan kembali lebih garang selepas ini dengan kehadiran semula George Boateng yang dilaporkan sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan," ujarnya.
Begitupun, Butler mengakui kecewa dengan persembahan Caleb sepanjang lima perlawanan dalam saingan Liga Super setakat ini meskipun dia mudah untuk menyesuaikan diri dengan rentak permainan yang diterapkan.

"Dia (Caleb) masih belum mempamerkan aksinya yang sebenar tetapi kami akan memberi dia masa untuk mengembalikan prestasi serta keyakinannya," katanya.

Sementara itu, pengendali Lions XII, V. Sundram Moorthy berkata, beliau akan menilai semula tayangan video sama ada bola terkena tangan anak buahnya pada perlawanan menentang T-Team.
"Saya merasakan keputusan seri adalah adil pada perlawanan petang ini (semalam). Saya berpuas hati dengan prestasi semua pemain walaupun beberapa tonggak utama tidak dapat beraksi pada perlawanan ini akibat kecederaan.

"Apa pun, saya akan melihat semula ulang tayang perlawanan ini, itu yang penting sekali. Saya juga tidak boleh mengubah keputusan hari ini (semalam) dan perlu meneruskan saingan Liga Super," katanya.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my