Memaparkan catatan dengan label Selangor. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Selangor. Papar semua catatan

Ahad, 3 November 2013

Farizal tukar angin ke Selangor

Oleh Azizan Hashim 
Berita Harian
Farizal tukar angin ke Selangor  
Mohd Farizal Marlias
 
Ipoh: Perak kehilangan khidmat penjaga gol kebangsaan, Mohd Farizal Marlias serta 11 pemain lain yang memilih haluan berbeza selepas tamat kontrak serta mendapat tawaran lumayan dari pasukan lain untuk menghadapi kempen bola sepak Liga Malaysia (Liga-M), musim depan.

Farizal, 27, yang menyertai Perak dari Negeri Sembilan untuk musim 2013 dikaitkan dengan pemergian ke pasukan gergasi Merah Kuning, Selangor.

Mengiringi Farizal ke Selangor ialah Abd Hadi Yahya, bekas pemenang kasut emas musim 2011 ketika bersama Terengganu yang memohon pelepasan untuk menyertai pasukan negeri asalnya itu walaupun masih mempunyai baki kontrak setahun bersama Perak.


Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata turut meninggalkan Perak ialah kapten, Shahrulnizam Mustapa, S Chanturu, Mohd Shahrom Kalam, V Thirumurugan, M Sivakumar, Mohd Failee Ghazali, Mohd Rafiuddin Roddin , Mohd Azlan Ismail serta awang import, Rafael Souza Silva Novais.

Rangel turut disisih

“Kita juga tidak menyambung khidmat Paolo Rangel kerana ingin mencari tenaga awang import lebih bersesuaian,” katanya semalam.

Sementara itu penjaga gol kedua, Khairul Amri Jamaluddin juga sedang dalam proses memohon pelepasan kerana ingin pulang ke Pulau Pinang.
“Ada setengah pemain memang tamat kontrak manakala ada yang memohon pelepasan kerana ingin menyertai pasukan lain walaupun masih ada ikatan dengan Perak.

“Mereka sudah mengadakan perbincangan dengan jurulatih (Abu Bakar Fadzim). PAFA berpendapat lebih baik lepaskan mereka kerana sudah tidak mempunyai perasaan untuk menyarung jersi negeri ini.

“Bakar juga sudah kenal pasti pemain yang mahu membawa cabaran pasukan bimbingannya nanti iaitu seramai lebih kurang 10 pemain yang akan digembleng tenaga dengan 10 bekas anak buahnya dari skuad Piala Presiden,” katanya.

Selasa, 17 September 2013

'Misi 33' Selangor tidak menjadi


MARLON meraikan jaringannya ketika menentang Selangor pada saingan Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam tadi.


SELANGOR terpaksa menelan hakikat betapa ‘Misi 33’ hanya tinggal mitos semata-mata.
Keputusan seri 1-1 dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam tadi menyaksikan Gergasi Merah menduduki tangga tercorot Kumpulan A apabila sekadar mengutip tiga mata.

Beraksi pada babak pertama perlawanan, Selangor mempamerkan persembahan agresif dalam usaha mengintai kemenangan sulung pada kempen Piala Malaysia musim ini.

Selangor hampir berjaya mendahului permainan apabila perancang, Shukur Jusoh melepaskan rembatan, namun percubaannya sekadar melepasi gawang gol ATM pada minit ke-12.

Gergasi Merah sekali lagi hampir berjaya memecahkan henteng pertahanan The Gladiators hasil percubaan penyerang import, Francis Forkey Doe.

Begitupun, peluang terbaik Selangor itu gagal dimanfaatkan apabila pemain veteran The Gladiators, Shukor Adan berjaya menghadang sepakan deras Forkey Doe pada minit ke-25.

Sebaliknya, ATM menghukum keghairahan Selangor yang memburu jaringan apabila penyerang berbisa, Marlon Alex James meledak gol pembukaan pada minit ke-38.

Dua minit sebaik babak kedua bermula, Forkey Doe sekali lagi memberikan ancaman kepada benteng pertahanan ATM tetapi tendangan pemain kelahiran Liberia itu sekadar melewati palang gol tuan rumah.

Usaha gigih Forkey Doe memberikan tekanan kepada ATM akhirnya berbaloi apabila dia bijak menyudahkan hantaran Fitri Shazwan pada minit ke-69.

Jurulatih Selangor, P. Maniam gagal menyembunyikan kekecewaanya apabila pasukan bimbingannya tersingkir awal dalam kempen Piala Malaysia musim ini.

“Saya kecewa kerana kami tetap gagal mencatatkan kemenangan sulung, lebih-lebih lagi kami telah tersingkir awal daripada saingan Piala Malaysia.

“Apa pun, saya tetap berpuas hati dengan persembahan pasukan saya dan ternyata tuah tidak memihak kepada Selangor pada musim ini,” ujarnya.

Di Stadium Shah Alam, Selangor PKNS muncul pasukan pertama mara ke suku akhir kempen kali ini selepas membelasah T-Team 5-0 dalam aksi Kumpulan B malam tadi.

Roman Chmelo dan Patrick Ronaldinho Wleh muncul wira The Red Ant apabila masing-masing mencetak dua gol sebelum Mohd. Nizad Ayub melengkapkan kemenangan bergaya tuan rumah apabila menjaringkan gol kelima pada minit ke-87.

Dengan keputusan itu, skuad kendalian Abdul Rahman Ibrahim kini mengutip 12 mata, tiga mata di depan pencabar terdekat, Johor Darul Takzim (Johor DT) yang turut melakar kemenangan selesa 5-2 ke atas Felda United dalam satu lagi aksi kumpulan di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh malam tadi.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 1 September 2013

Selangor masih membara


FORKEY DOE (kanan) diasak pemain Sime Darby pada aksi di Stadium Shah Alam malam kelmarin.


PENGENDALI sementara Selangor, P. Maniam belum mahu mengibarkan 'bendera putih'.

Meskipun sedar peluang Selangor 'mengetuk pintu' suku akhir Piala Malaysia cukup sukar, lantaran Gergasi Merah sekadar mengutip dua mata ketika aksi Kumpulan A hanya berbaki dua perlawanan, Maniam masih belum menyerah kalah.

Namun pada masa sama, Maniam mengakui situasi kali ini cukup berbeza berbanding ketika beliau mengambil alih 'baton' daripada K. Devan yang meletak jawatan ketika saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia pada 2011.

Ketika itu, skuad kendalian beliau tetap berjaya mara ke separuh akhir sebelum dijinakkan Terengganu dengan agregat 2-4.

Kali ini, segala-galanya dilihat serba tidak menjadi buat Selangor sehingga memaksa bekas jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim mengucapkan selamat tinggal sebaik Gergasi Merah tumpas 0-3 kepada Sime Darby minggu lalu.

Segera mengisi kekosongan yang ditinggalkan Irfan, Maniam bagaimanapun dilihat masih belum lulus ujian sulung kali ini apabila anak-anak buahnya sekadar seri 1-1 dengan Sime Darby di Stadium Shah Alam malam kelmarin.

"Situasi dan tekanan kali ini cukup berbeza berbanding 2011. Kali ini, saya terpaksa mengharap tuah kekalahan dua pasukan teratas (ATM dan Sime Darby) selain memburu enam mata maksimum selepas ini.

"Meskipun sukar, saya percaya kami mampu memberikan yang terbaik dalam dua lagi aksi selepas ini," kata Maniam kepada Kosmo! semalam.

Pada aksi kelmarin, Selangor terlebih dulu membuka tirai jaringan menerusi Francis Forkey Doe pada penghujung babak pertama sebelum penyerang berbisa Sime Darby, Karlo Primorac meledak gol penyamaan pada minit ke-79.

Justeru, Maniam menuntut anak-anak buahnya terutama beberapa pemain yang dipanggil menyertai skuad kebangsaan seperti Mohd. Amri Yahyah, Mahalli Jasuli, Asraruddin Putra Omar, K. Gurusamy dan S. Kunanlan memperoleh tonik semangat selepas ini.

"Moral pemain tidak begitu memberangsangkan ketika ini, jadi saya harap kesemua pemain terutamanya mereka yang menyarung jersi kebangsaan dapat memulihkan semula keyakinan mereka sebelum kembali membantu Selangor untuk mara ke suku akhir," katanya.

Ditanya mengenai desakan peminat Gergasi Merah yang mahukan beliau kekal menerajui Selangor musim depan dan bukan sekadar tampil sebagai 'pilihan kedua', Maniam berkata: "Itu terpulang kepada pihak pengurusan. Saya sayangkan Selangor dan berazam mahu memberikan yang terbaik."

Selangor akan berkunjung ke Stadium Majlis Perbandaran Selayang berdepan ATM pada 17 September sebelum melayan kunjungan Johor di Stadium Shah Alam empat hari kemudian.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Sabtu, 31 Ogos 2013

Selangor di hujung tanduk


FORKEY DOE (tengah) menjaringkan gol tunggal Selangor ketika seri 1-1 dengan Sime Darby di Stadium Shah Alam malam tadi.


MUNGKIN tidak keterlaluan untuk mengatakan Selangor sudah boleh menutup 'Misi 33'.

Turun dengan misi mengutip tiga mata penuh, skuad Gergasi Merah itu gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri selepas sekadar seri 1-1 dengan Sime Darby pada aksi keempat Kumpulan A kempen Piala Malaysia 2013 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Kekalahan ini menyukarkan lagi laluan Selangor ke peringkat suku akhir berdasarkan prestasi tidak konsisten yang dipamerkan buat masa ini.

Skuad kendalian sementara, P. Maniam wajib menang dua perlawanan sambil berharap salah sebuah daripada dua pasukan teratas, Sime Darby dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut tewas kedua-dua perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Namun, situasi itu mungkin agak sukar berlaku setelah kedua-dua pasukan tersebut dilihat berada dalam prestasi terbaik mereka ketika ini hasil dua kemenangan.

Pada aksi semalam, Selangor menampilkan persembahan agresif dan berjaya membuka jaringan menerusi penyerang import, Francis Forkey Doe pada masa kecederaan babak pertama.

Begitupun, Karlo Primorac meranapkan misi skuad Gergasi Merah yang terdesak memburu kemenangan pertama itu dengan meledak gol penyamaan pada minit ke-79.

Selangor kini akan turun dengan misi hidup mati apabila berkunjung ke Stadium Majlis Perbandaran Selayang menentang ATM pada 17 September depan sebelum menutup aksi Kumpulan A dengan bertemu Sime Darby di venue yang sama empat hari kemudian.

Sementara itu, perlawanan lain menyaksikan Johor Darul Takzim (DT) turut dikejutkan 1-2 kepada T-Team dalam aksi Kumpulan B di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam tadi.

Kekalahan tersebut menyaksikan mereka terperosok di tangga ketiga dengan enam mata hasil dua kemenangan sebelum ini.

Begitupun, jurulatih Harimau Selatan Azmi Mohamed optimis pasukan masih berpeluang mengintai slot ke suku akhir Piala Malaysia musim ini.

"Saya kecewa tetapi sebenarnya 14 pasukan dalam saingan ini masing-masing memiliki peluang yang cerah untuk mara ke suku akhir.

"Meskipun kami mendapat gol awal, kami gagal mengekalkan kelebihan itu dan pada babak kedua kami dihukum dengan kesilapan kami sehingga bolos dua gol.

"Keseluruhannya kami masih berjaya menguasai permainan, namun nasib tidak memihak kepada kami.

"Seperti yang saya beritahu tadi, peluang masih terbuka buat 14 pasukan ke suku akhir," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Rabu, 28 Ogos 2013

‘UNDUR DEMI MARUAH’

Oleh Wan Fakhrul Bakar 
‘UNDUR DEMI MARUAH’ Irfan Bakti Abu Salim
 
Kuala Lumpur: Konflik dalaman kem pasukan Selangor sampai ke kemuncaknya apabila pengurus merangkap ketua jurulatih skuad The Red Giants itu, Irfan Bakti Abu Salim membuat keputusan mengejut meletak jawatan, petang semalam.

Keputusan muktamad itu diambil selepas skuad itu tewas 3-0 kepada Sime Darby pada aksi ketiga Piala Malaysia di Stadium Selayang, malam kelmarin. Irfan menghantar surat peletakan jawatan itu kepada Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Abdul Mokhtar Ahmad.
“Bagi saya, kekalahan 3-0 kepada Sime Darby cukup memalukan dan sebagai jurulatih saya bertanggungjawab sepenuhnya. Jadi saya terpaksa buat keputusan berundur demi maruah bola sepak Selangor dan maruah saya sendiri.


Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini

Gergasi Merah semakin parah





SUDAH jatuh ditimpa tangga. Perumpamaan tepat untuk menggambarkan situasi genting yang dihadapi Selangor ketika ini apabila Irfan Bakti Abu Salim mengesahkan bahawa beliau telah melepaskan jawatannya sebagai jurulatih skuad Gergasi Merah.

Difahamkan, punca utama Irfan membuat keputusan mengejut itu ekoran prestasi hambar skuad kendaliannya dalam kempen Piala Malaysia setakat ini.

Kemuncak rasa kecewa Irfan sukar dibendung lagi apabila Gergasi Merah tumbang di tangan pasukan berstatus kelab, Sime Darby apabila tewas 0-3 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam kelmarin.

Lantas, Irfan percaya keputusan melepaskan jawatan itu adalah jalan terbaik bagi menyelamatkan masa depan Selangor dalam mengharungi baki kempen Piala Malaysia musim ini.

Tanpa berselindung, pengendali kelahiran Perak itu mengakui, kekalahan besar kepada Sime Darby antara faktor utama mengapa beliau melepaskan jawatannya.

“Saya akui kecewa dengan kekalahan semalam (kelmarin). Benar kekalahan sudah menjadi lumrah buat jurulatih tetapi kekalahan itu begitu ‘menakjubkan’.

“Benar saya telah menghantar surat peletakkan jawatan kepada Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Mokhtar Ahmad.

“Mereka (FAS) menerima keputusan ini dengan hati terbuka. Saya amat kecewa ketika ini tetapi semuanya masih dalam keadaan terkawal.

“Saya tidak salahkan kepada anak-anak buah saya kerana mereka telah memberikan aksi terbaik,” jelas Irfan semalam.

Irfan menambah, pembantu jurulatih Selangor, P. Maniam akan mengambil alih tugas beliau buat sementara waktu.

“Maniam akan mengambil alih tugas saya dan saya percaya beliau merupakan individu yang sesuai untuk meneruskan perjuangan Selangor dalam kempen Piala Malaysia

“Meskipun ada baki kontrak selama tiga bulan, saya sudah fikir masak-masak (untuk melepaskan jawatan),” katanya.

Irfan memulakan tugas bersama Selangor selepas mengambil alih tugas daripada K. Devan pada 2011.

Sebelum membimbing skuad Gergasi Merah, Irfan pernah mengendali beberapa pasukan tempatan, antaranya Terengganu, Perlis dan Negeri Sembilan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Liga Malaysia didakwa kembali dihantui rasuah


PENYERANG Selangor, Muhammad Afiq Azmi (kanan) dicabar pertahanan Sime Darby, Firdaus Faudzi pada aksi Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam kelmarin yang menyaksikan pasukan Selangor tewas 0-3.


IMEJ Liga Bola Sepak Malaysia (Liga M) sekali lagi menimbulkan prasangka buruk dalam kalangan pemerhati dan peminat tempatan.

Semuanya gara-gara beberapa aksi meragukan dalam kempen Piala Malaysia yang baru berlangsung tiga perlawanan peringkat kumpulan membabitkan 16 pasukan.

Antara kejutan yang berlaku setakat ini sudah pasti melibatkan prestasi hambar beberapa pasukan elit, antaranya Lions XII dan Selangor.

Selaku juara Liga Super, Lions XII sekadar mampu meraih satu mata, sekali gus menyaksikan mereka menghuni tangga tercorot Kumpulan D di belakang Perak, Sarawak dan Kedah.

Selangor yang tampil selaku juara Piala Malaysia 32 kali turut mengalami kemerosotan prestasi apabila terperosok dalam saingan Kumpulan A di belakang Sime Darby, Johor dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Berbeza pula dengan nasib dua pasukan berstatus kelab iaitu Selangor PKNS dan Sime Darby yang dilihat lebih bergaya apabila masing-masing mengungguli Kumpulan A dan Kumpulan B.

Elemen-elemen kejutan itu mula membuatkan sesetengah pihak membuat andaian bahawa arena bola sepak Malaysia kini kembali dilanda gejala rasuah sebagaimana tahun 1995.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Integriti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Aseh Che Mat memberitahu, setakat ini belum ada mana-mana pemain atau pegawai bola sepak didakwa atas kesalahan gejala rasuah.

Sebaliknya, Aseh berkata, pihaknya kini bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memantau aktiviti pemain dan pegawai pertandingan dari semasa ke semasa.
“Saya tidak dapat mengesahkan kesahihan (rasuah) tetapi saya terdengar ‘cakap-cakap belakang’ mengenai situasi bola sepak kita sekarang.

“FAM dan SPRM telah memantau perkembangan bola sepak negara dan buat masa ini, pihak kami tidak terima sebarang aduan berhubung kes rasuah,” kata Aseh ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Bagaimanapun, Aseh berkata, pihaknya mengalu-alukan mana-mana pihak supaya lebih berani tampil memberikan maklumat atau bukti kepada pihak berkuasa jika benar gejala rasuah berlaku.
“Kami sentiasa bersedia menerima maklumat daripada pihak pengadu atau sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat. Cuma saya minta pengadu itu harus bertanggungjawab dengan setiap maklumat yang diberikan.

“Ini bukan satu masalah baharu. Jangan jadi seperti baling batu tetapi sorok tangan di belakang. Perkara sebeginilah menyebabkan siasatan kami tergendala.

“Jangan risau, identiti dan keselamatan mereka kekal selamat dan itu janji saya,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin menambah, badan induk itu sentiasa memantau setiap perlawanan bagi mengelak daripada sebarang unsur rasuah.

“Sekiranya kami menerima maklumat sahih berhubung gejala rasuah, kami tidak teragak-agak mengambil tindakan mengikut peraturan sedia ada.

“Buat masa ini, kami telah bekerjasama dengan pihak SPRM bagi membendung gejala rasuah daripada kembali menular dalam liga bola sepak tempatan,” katanya.

Selasa, 27 Ogos 2013

‘APA DAH JADI’

Oleh Wan Fakhrul Bakar 
‘APA DAH JADI’ Gelagat penyokong Selangor meluahkan perasaan kecewa selepas tewas kepada Sime Darby di Stadium Selayang, malam tadi. - Foto HASRIYASYAH SABUDIN
 
Selayang: Lebih 500 penyokong Selangor yang berang dengan kekalahan skuad kesayangan mereka kepada naib juara Liga Perdana Sime Darby 3-0 di Stadium Selayang, malam tadi bertindak ‘mengepung bas’ dinaiki skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu.

Mereka yang berkumpul di hadapan pintu stadium selepas perlawanan berakhir turut menyanyikan lagu ‘Oh Selangor apa sudah jadi’ sebaik pemain The Red Giants keluar dari bilik persalinan menuju ke bas berkenaan.
Irfan Bakti yang kecewa dengan kegagalan anak buahnya yang terus gagal meraih kemenangan pertama dalam saingan Kumpulan A Piala Malaysia bagaimanapun masih optimis pemainnya mampu bangkit mencuri satu slot ke suku akhir sekali gus memastikan ‘Misi 33’ tidak berkubur awal.


Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini

Isnin, 26 Ogos 2013

ATM akhiri badi temu Selangor



PERTAHANAN Selangor, Mohd. Asraruddin Putra Omar (kiri) menghalang gerakan Hairuddin pada aksi di Stadium Shah Alam kelmarin.


BADI yang membelenggu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) setiap kali bertemu Selangor akhirnya ternoktah selepas melakar kemenangan tipis 3-2 dalam aksi Kumpulan A kempen Piala Malaysia 2013 di Stadium Shah Alam kelmarin.

Sudah tentu pengendali ATM, B. Sathianathan merupakan individu paling gembira dengan kemenangan itu, sekali gus membuka semula peluang The Gladiators mengintai slot ke suku akhir.
Menurut beliau, persembahan anak-anak buahnya wajar dipuji biarpun tampak kehilangan fokus pada penghujung perlawanan.

"Ketika penghujung perlawanan, badi kami seakan-akan berulang apabila mendapat tekanan daripada lawan.

"Namun, saya gembira dengan kemenangan ini kerana berjaya menamatkan badi selepas enam kali bertemu mereka setakat ini," kata Sathianathan selepas tamat perlawanan itu.

Kapten ATM, Hairuddin Omar cemerlang memecah kebuntuan seawal minit ke-15 sebelum penyerang tuan rumah, Amri Yahyah menyamakan kedudukan pada minit ke-30.

ATM kembali di depan empat minit sebelum babak pertama berakhir menerusi jaringan cantik Fitri Omar sebelum Christie Jayaseelan menggandakan kelebihan The Gladiators pada minit ke-47.

Pemain sayap Selangor, S. Kunanlan berjaya merapatkan kedudukan pada masa kecederaan babak kedua, namun ia sudah terlambat buat Gergasi Merah untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata.

Sementara itu, perancang ATM, Bruno Martelotto mahu menjadikan kemenangan tersebut sebagai tonik semangat ketika berdepan Johor di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor malam esok.

"Kami telah melupakan kekecewaan apabila tumpas kepada Sime Darby dalam aksi pembuka tirai kumpulan tempoh hari.

"Saya gembira apabila kami berjaya mendapatkan tiga mata penuh memandangkan ia satu perlawanan yang sukar ketika menentang Selangor," kata Martelotto.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 25 Ogos 2013

ATM dapat semula rentak sebenar


AMRI (kiri) cuba melepasi kawalan pemain ATM ketika Selangor tewas 2-3 pada aksi kedua Kumpulan A Piala Malaysia 2013 di Stadium Shah Alam malam tadi.


PEMAIN tengah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Bruno Martelotto yakin skuadnya kembali bangkit mempamerkan prestasi sebenar selepas menundukkan Selangor 3-2 dalam satu perlawanan penuh dramatik pada aksi kedua Kumpulan A Piala Malaysia 2013 di Stadium Shah Alam malam tadi.

Selepas dikejutkan dengan kekalahan 3-4 di tangan Sime Darby pada aksi pembukaan Piala Malaysia, Selasa lalu, Bruno percaya skuad The Gladiators kembali menemui rentak dengan menampilkan corak persembahan penuh bertenaga.

Perancang Argentina itu berharap kemenangan ke atas skuad Gergasi Merah akan menjadi suntikan moral terbaik bagi pemain ATM dalam usaha memburu kemenangan pada perlawanan akan datang.

"Satu perlawanan yang sukar ketika menentang Selangor. Kami bermain dengan sepenuh hati dan hasilnya, berjaya merakamkan kemenangan pertama di sini.

"Pada fikiran saya, kami mahu melupakan kekalahan kepada Sime Darby. Jadi, misi kami adalah berusaha mencipta kemenangan terhadap Selangor.

"Hasilnya, ATM berjaya mempamerkan satu persembahan begitu menarik dan paling mustahak adalah kami telah berjaya mendapatkan tiga mata penuh," katanya yang dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan pada aksi menentang Selangor.

Pada aksi tersebut, skuad The Gladiators terlebih dahulu membuka jaringan menerusi kapten, Hairuddin Omar seawal minit ke-15.

Penyerang veteran Selangor, Mohd. Amri Yahyah menyamakan kedudukan menerusi jaringan menarik dengan menewaskan penjaga gol ATM, Mohd. Farizal Harun pada minit ke-30.

Begitupun, skuad The Gladiators terus menghukum kerapuhan benteng pertahanan Selangor dengan meledak dua gol dalam tempoh empat sebaik Fitri Omar meledak gol ketiga buat skuad kendalian B. Sathianathan pada minit ke-43 dan Christie Jayaseelan pada minit ke-47.

Selangor kembali merapatkan jurang menerusi jaringan lewat dari pemain sayap, S. Kunanlan pada masa kecederaan, namun gagal mempamerkan kebangkitan pada saat-saat akhir selepas menyaksikan keputusan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

Johor menduduki tangga teratas Kumpulan A dengan kelebihan empat mata diikuti ATM (kedua) dan Sime Darby (ketiga) selepas masing-masing berkongsi tiga mata berdasarkan perbezaan jaringan, manakala Selangor di tangga tercorot selepas sekadar memungut satu mata.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 23 Ogos 2013

Selangor tidak boleh kalah


Mohd. Amri Yahyah
 
KUALA LUMPUR - Jurulatih Selangor, Irfan Bakti menegaskan, pasukannya tidak boleh kalah apabila menerima kunjungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam ini, sambil memberi amaran kepada pemain Red Giants agar tidak terlalu bergantung Francis Forkey Doe dan Mohd. Amri Yahyah untuk mencari gol. 

Irfan menjangkakan pertarungan menentang ATM pasti sukar kerana lawannya juga berada dalam keadaan terdesak untuk mengutip mata selepas kalah mengejut 3-4 kepada Sime Darby pada perlawanan pertama, Selasa lalu. 

Dalam memastikan tiga mata penuh menjadi miliki Selangor, Irfan menggesa semua pemainnya, termasuk di bahagian pertahanan untuk memainkan peranan mencipta jaringan dan menjadikan perlawanan dengan Johor (seri 0-0), Selasa lalu sebagai satu pengajaran. 

Beliau mahu anak-anak buahnya lebih fokus dan bersedia menghadapi ancaman ATM yang diibaratkan seperti harimau luka. 

‘‘Kita tidak boleh kalah dalam perlawanan ini, tambahan ATM juga berada dalam keadaan terdesak untuk bangkit selepas kalah kepada Sime Darby tempoh hari. Kita juga memerlukan kemenangan.
‘‘Semua pemain mesti berusaha mendapatkan gol buat pasukan dan jangan terlalu berharap kepada Forkey Doe dan Amri semata-mata untuk menjaringkan gol.

‘‘Pemain lain seperti K. Gurusamy dan Shukor Jusoh juga kena bertindak sama serta lebih berani membantu pasukan dalam mendapatkan jaringan, jangan hanya mengharapkan kepada penyerang sahaja, " katanya ketika dihubungi, semalam.

Selangor sekadar mengutip satu mata pada perlawanan sulung Kumpulan A apabila seri tanpa jaringan dengan skuad Liga Perdana, Johor di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

Mereka bakal berdepan tugas berat apabila melayani kunjungan ATM hari ini, kerana lawan kembali mendapat sentuhan penyerang import berbisanya, Grenadines, Marlon Alex James.

Perkara itu disedari oleh Irfan namun beliau tidak gentar, sebaliknya yakin Selangor akan menambah sengsara ATM buat kali kedua berturut-turut dengan kejayaan meraih tiga mata pertama di tempat sendiri.

‘‘Saya tahu ATM pasti akan tampil dengan karakter berbeza apabila bertemu kami nanti tetapi saya tidak terlalu bimbang kerana kami juga mempunyai azam yang sama untuk bangkit apatah lagi kami beraksi di tempat sendiri.

‘‘Kami akan tampil dengan persembahan yang lebih agresif dan tidak lagi mengulangi kesilapan seperti mana kita berdepan Johor tempoh hari.

“Dalam perlawanan itu, pemain-pemain kami terlalu mengikut rentak lawan terutama pada separuh masa pertama," ujarnya lagi. 

Berdasarkan rekod pertemuan antara kedua-dua pasukan dalam saingan di Shah Alam musim ini, Selangor unggul dengan kemenangan pada pusingan pertama Piala FA melalui sepakan penalti 3-2 selepas terikat 2-2 sehingga masa tambahan. 

Mereka juga menang 2-1 dalam saingan Liga Super, 21 Jun lalu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Sabtu, 17 Ogos 2013

Muzik 'Keras' daripada 66 Roads


MULA ditubuhkan pada tahun 2006, kumpulan ini nyata berpengaruh dalam core-scene tempatan.
Berasal dari Kajang, Selangor, 66 Roads meneruskan perjuangan dengan dianggotai oleh Gbum Bob (vokalis), As (vokalis), Kid (gitar) Acit (gitar), Ajoi (bass) dan Darin (drum) yang masing-masing meminati muzik genre ‘keras’, membuatkan mereka terus bersatu menghadapi dugaan yang datang.

Menurut Kid, walaupun muzik genre ‘keras’ yang lebih dikenali deathcore agak kurang didengari di pentas perdana seni muzik tanah air, namun pendengar muzik yang meminatinya masih ramai terutama dalam kalangan belia. 

Memilih dan membawa irama yang agak asing itu membuatkan kumpulan ini tidak menghadapi masalah untuk bersaing terutama ketika kumpulan ini mula menapak dalam industri muzik underground.

Walaupun pada mulanya mereka sukar mendapat kepercayaan daripada peminat, namun setelah hampir tujuh tahun bertapak, muzik mereka mula diminati ramai, lebih-lebih lagi bagi peminat core-scene.

Nama unik yang digunakan kumpulan ini diperoleh sejak mereka mula bermain muzik. Ilham untuk nama itu muncul ketika mereka sedang berjalan kaki di sebatang jalan di bandar Kuantan. Jalan yang dilalui itu menggunakan nombor 6/6 sebagai nama.

Dari saat itu, mereka mula mendapat idea untuk menamakan kumpulan ini dengan nama 66 Roads.
Kemunculan mereka dalam industri muzik tempatan membawa sekali ciri-ciri yang agak unik dan melalui kekuatan vokal, melodi serta persembahan mantap di pentas, ia membezakan 66 Roads dengan kumpulan muzik underground yang sedia ada.

Biarpun kemunculan mereka tidak mencetuskan fenomena baharu dalam industri muzik underground tetapi keunikan irama yang dibawa mereka itu sudah memadai untuk melonjakkan nama 66 Roads.
Sehingga kini, masih ramai peminat yang menanti-nantikan kemunculan mereka di pentas, lebih-lebih lagi pada tahun 2011. Tahun itu menyaksikan kelahiran semula 66 Roads dengan membawa konsep baru yang lebih berat. 

Dengan mempertaruhkan lirik berunsurkan peperangan, ilmu hitam, kawan makan kawan dan soal kehidupan dalam lagu seperti Fight Not To Be Remember dan banyak lagi, nyata aliran muzik yang dibawa itu melekat ke dalam jiwa peminat muzik indie tanah air yang mula menerimanya sebagai genre muzik baharu.

Dengan perubahan yang dilakukan oleh enam anak muda itu, ditambah pula dengan idea yang segar, kesemua faktor itu memberikan identiti tersendiri kepada 66 Roads dalam menghasilkan lagu-lagu yang mempunyai jalan penceritaan yang dekat dengan masyarakat tempatan, di samping menyelitkan mesej berunsurkan nasihat.

Kepada mereka yang masih tidak berpeluang mendengar genre unik yang dibawa oleh kumpulan ini, apa kata kamu dengar sendiri dengan melayari laman www.facebook.com/66Roads, www. myspace.com/66roads, www.youtube. com/user/66roadsx,www.twitter.com/
66Roads_Band, www.reverbnation.com/ 66roads dan www.purevolume.com/ 66Roads. - SYAHRIL

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Selasa, 13 Ogos 2013

Shukor laung amaran awal



SHUKOR menjangkakan Selangor akan berdepan laluan sukar dalam menjayakan 'Misi 33' pada kempen Piala Malaysia 2013.


PEMAIN tengah Selangor, Abdul Shukor Jusoh mengakui yang pasukan itu akan berdepan laluan sukar dalam menjayakan ‘Misi 33’ pada kempen Piala Malaysia 2013.

Begitupun Shukor berpendapat, misi tersebut tidak mustahil kerana skuad Gergasi Merah kini sudah tidak sabar untuk menamatkan kemarau trofi sejak 2010.

Selangor muncul sebagai pasukan pilihan selepas diundi bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Sime Darby dan Johor dalam aksi Kumpulan A.

Bekas pemain Terengganu itu berkata, dia menuntut rakan-rakan sepasukan supaya tidak ‘terpedaya’ dengan status sebagai pasukan pilihan.

Sebaliknya Shukor menegaskan, Selangor harus memberikan seratus peratus komitmen pada setiap perlawanan Piala Malaysia dalam usaha memburu gelaran juara pada peringkat kumpulan.

“‘Misi 33’ sangat sukar tetapi tidak mustahil untuk dilaksanakan.

“Kami harus memiliki keyakinan meskipun sedar jika kita tengok Selangor bukan berada dalam kumpulan mudah dalam Piala Malaysia.

“ATM merupakan naib juara Piala Malaysia musim lalu dan kami tidak boleh memandang rendah keupayaan Johor dan Sime Darby yang berjaya naik pangkat beraksi dalam Liga Super musim depan.
“Apa pun, kami sudah bersedia untuk menempuhi perlawanan ini. Seperti mana yang saya katakan sebelum ini, Selangor sudah bersedia untuk menamatkan kemarau trofi,” kata Shukor ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Tambah pemain itu, dia menganggap saingan Piala Malaysia kali ini lebih sukar jika dibandingkan dengan edisi lalu.

Jelasnya, setiap pasukan memiliki kelebihan tersendiri dan dia berharap pasukannya dapat menjayakan perancangan jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim pada setiap perlawanan akan datang.

“Setiap pasukan idamkan trofi paling keramat ini. Sudah tentu mereka akan memberi- kan tentangan yang hebat kepada pasukan lawan kerana kesemua 14 pasukan bertanding mahu muncul sebagai juara baharu.

“Kami akan melaksanakan tugas dengan baik. Yang paling mustahak adalah sentiasa mendengar arahan jurulatih,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Sabtu, 10 Ogos 2013

Misi 33 masih 'menyala'


JURULATIH Selangor, Irfan Bakti Abu Salim yakin skuad Gergasi Merah berhak untuk dinobatkan sebagai juara pada kempen Piala Malaysia 2013.

Irfan menyuarakan keyakinan itu berdasarkan tiga faktor utama.
“Kami berjaya membuktikan kualiti sebenar kami pada saingan Liga Super musim ini. Selangor menjadi pasukan yang merekodkan kekalahan paling sedikit iaitu dua kali sepanjang kempen tersebut.

“Kedua, selaku juara 32 kali pada kempen Piala Malaysia, Selangor berjaya menewaskan pasukan yang menduduki kelompok empat teratas pada saingan Liga Super musim ini termasuk juara, Lions XII.

“Selain itu, Selangor juga mahu menyahut cabaran pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), sekali gus memberikan ‘hadiah’ istimewa kepada bekas Setiausaha Agung FAS, Datuk Hamidin Mohd. Amin dan penggantinya, Rosman Mohd. Ibrahim.

“Kami mahu menamatkan kempen Liga Malaysia tahun ini dengan mendakap sekurang-kurang satu trofi iaitu Piala Malaysia 2013,” kata Irfan kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.

Irfan berkata, akan-anak buahnya berada dalam motivasi terbaik untuk mengharungi kempen Piala Malaysia 2013 yang akan membuka tirainya pada 20 Ogos depan.

“Jika tanya saya kenapa Selangor patut dinobatkan sebagai juara, itulah jawapannya.

“Kami sentiasa optimis tetapi skuad Gergasi Merah sebenarnya boleh dikatakan seperti harimau yang ‘terluka’ pada kempen edisi ke-87 Piala Malaysia kali ini.

“Sebenarnya, Selangor patut menjulang trofi Liga Super musim ini tetapi tuah tidak menyebelahi kami apabila kami mencatat keputusan seri paling banyak (10 kali) selain terkandas di aksi suku akhir pada kempen Piala FA menentang Johor Darul Takzim (Johor DT).

“Oleh sebab itu, kami tidak rela kempunan lagi dan saya optimis bahawa skuad kendaliannya saya akan berjuang habis-habisan untuk mengakhiri kempen Liga Malaysia (Liga M) dengan meraih sekurang-kurang satu trofi,” katanya.

Dalam perkembangan sama, jurulatih kelahiran Perak itu menegaskan, skuad Gergasi Merah tetap meneruskan ‘Misi 33’ yang sering menjadi matlamat utama mereka pada kempen Piala Malaysia.

“Sudah tentu, kami telah menjuarai Piala Malaysia sebanyak 32 kali dan ‘Misi 33’ itu akan diteruskan sehingga kami berjaya merangkul kejuaraan tersebut.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, Selangor semakin terdesak untuk menjulang trofi Piala Malaysia dan kami akan fokus satu demi satu perlawanan,” ujarnya.

Untuk rekod, Selangor diundi bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Sime Darby dan Johor untuk aksi Kumpulan A Piala Malaysia 2013.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 29 Julai 2013

Aksi Selangor, TRW dijangka ‘pukau’ penonton di Shah Alam

Oleh Wan Fakhrul Bakar 
Aksi Selangor, TRW  dijangka  ‘pukau’ penonton di Shah Alam Forkey Doe (kanan) menjaringkan gol Selangor ketika menewaskan TRW 2-0 di Shah Alam dalam saingan Liga Super, musim lalu. 
 
Kuala Lumpur: Pertembungan naib juara Liga Super, Selangor dan juara bertahan Piala Malaysia, Kelantan pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, Khamis ini dijangka mampu menarik minat sekitar 1,000 penyokong kedua-dua pasukan meskipun ia berlangsung di bulan Ramadan.

Dalam dua pertemuan Liga Super musim ini, Selangor berjaya menewaskan skuad The Red Warriors (TRW) 2-0 di Shah Alam menerusi jaringan Francis Forkey Doe dan Ramez Dayoub sebelum kedua-dua pasukan terikat 1-1 di Kota Bharu.
Tiket RM7


Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang baru, Rosman Mohd Ibrahim berkata, pihaknya terpaksa mengenakan bayaran tiket RM7 untuk penonton dewasa kerana perlu menampung kos anggota keselamatan.

“Kami jangka perlawanan ini mungkin akan dihadiri sehingga 1,000 penonton dari kedua-dua pasukan, jadi kami perlu memanggil anggota keselamatan dari polis dan Rela untuk memastikan keadaan di tempat duduk penonton terkawal. Ia membabitkan kos dan sebab itulah bayaran tiket RM7 dikenakan,” kata Rosman ketika dihubungi, semalam.

Rosman berkata, kaunter tiket akan dibuka mulai jam 5.30 petang pada hari perlawanan sehingga sepak mula pada jam 9.45 malam.

Kedua-dua pasukan dalam persiapan menghadapi Piala Malaysia bermula 20 Ogos ini dengan Selangor diundi dalam Kumpulan A bersama Tentera, Sime Darby dan Johor manakala Kelantan dalam Kumpulan C bersama Pahang, Terengganu dan Negeri Sembilan. 
 
Berita Harian

Sabtu, 6 Julai 2013

Selangor melayakkan diri ke Piala AFC 2014

PEMAIN-PEMAIN Selangor meraikan kejayaan mereka melayakkan diri ke saingan Piala AFC 2014 selepas seri 1-1 dengan Johor DT di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam tadi.


PENYERANG import Selangor, Francis Forkey Doe memastikan pasukan itu beraksi dalam kempen Piala AFC musim depan selepas meledak gol penyamaan ketika seri 1-1 menentang Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam tadi.

Lebih manis, pemain kelahiran Liberia itu membantu skuad Gergasi Merah menamatkan kempen Liga Super musim ini dengan mengekalkan kedudukan di tangga kedua liga, manakala Harimau Selatan berada di tangga ketiga berdasarkan perbezaan jaringan meskipun berkongsi 40 mata dengan skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu.

Pada aksi tersebut, penyerang import, Leonel Nunez terlebih dahulu meletakkan tuan rumah di depan menerusi jaringannya pada minit ke-22.

Selangor kembali bangkit dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi Forkey Doe pada minit ke-51.

Harimau Selatan yang terdesak untuk memburu gol kemenangan, akhirnya terpaksa akur selepas gagal menembusi benteng pertahanan Selangor apabila keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

DI Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya, impian Felda United untuk terus kekal beraksi dalam Liga Super tidak kesampaian meskipun berjaya mencatat kemenangan 2-1 ke atas Negeri Sembilan.
Ia gara-gara T-Team kekal berada di tangga ke-18 liga selepas berjaya mengikat Terengganu 2-2 semalam.

Felda terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pemain veteran, Rudie Ramli seawal minit ke-16.
Eddy Helmi Abdul Manan mengikat kedudukan dengan menjaringkan gol penyamaan buat pasukan pelawat pada minit ke-52.

Begitupun, Rudie sekali lagi menjadi tumpuan apabila meledak gol kemenangan Felda United pada masa kecederaan.

Felda secara rasmi kini menyertai Negeri Sembilan yang beraksi dalam saingan Liga Premier musim depan.

DI Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, kejayaan T-Team mengikat Terengganu 2-2, sekali gus mengekalkan kedudukan pasukan berstatus kelab itu beraksi di kancah Liga Super musim depan.

Penyerang import skuad The Titans, Damir Ibric membuka jaringan pada minit ke-13 namun pemain Terengganu, Nasril Izzat Jalil menyamakan kedudukan pada minit ke-38.

Mohd. Fakhrurazi Musa kembali meletakkan Skuad Penyu di depan menerusi jaringannya pada minit ke-51, namun Ahmad Syamim Yahaya memastikan T-Team terus kekal dalam kempen Liga Super dengan meledak gol penyamaan pada minit ke-60.

DI Stadium Shah Alam, empat gol daripada penyerang import Selangor PKNS, Patrick Ronaldinho Wleh belum cukup untuk menjamin kebangkitan pasukannya selepas tewas 4-5 kepada Pahang.
Skuad pelawat terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Mohd. Amirul Hadi Zainal dan R. Gopinathan pada minit ke-11 dan 20.

Ronaldinho berkerja keras untuk mengurangkan defisit jaringan dan hasilnya, penyerang Liberia itu berjaya menjaringkan gol pertama PKNS pada minit ke-34.

Namun, penyerang import Pahang, Martias Conti terus meletakkan skuad Tok Gajah dalam keadaan selesa dengan menjaringkan gol ketiga pada minit ke-44.

Bersambung di babak kedua, Fauzi Roslan menjaringkan gol keempat pada minit ke- 49 sebelum Pahang 'dihadiahkan' satu jaringan sendiri dari pemain PKNS, Alyy Imran Samarkhan (m-54).

PKNS tidak menyerah kalah apabila Ronaldinho berjaya mengurangkan defisit jaringan menerusi tiga jaringan pada minit ke-70, 78 dan masa kecederaan, namun keputusan 4-5 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan pengadil perlawanan.

DI Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan menundukkan juara Liga Super, Lions XII 2-0 menerusi jaringan kapten, Mohd. Bahdri Mohd. Radzi dan Dickson Nwakaeme pada minit kelima dan 59.

DI Stadium Perak, Ipoh, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tewas kepada Perak 0-1 hasil jaringan tunggal penyerang import Seladang, Paulo Rangel.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Khamis, 4 Julai 2013

Misi sama Selangor, Johor DT



PERTAHANAN Selangor, Adam Griffith (kanan) mengasak pemain T-Team, Damir Ibric Yuksel pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam kelmarin.


PASUKAN manakah yang lebih layak mengiringi Kelantan untuk beraksi dalam kempen Piala AFC musim depan? 

Biarpun Lions XII sudah sah ditabalkan selaku juara Liga Super musim ini, namun wakil Singapura itu tidak layak beraksi pada kempen Piala AFC disebabkan status mereka sebagai pasukan jemputan dalam Liga Malaysia (Liga M).

Sabtu lalu, Kelantan telah mengesahkan slot ke Piala AFC 2013 secara automatik selepas muncul juara Piala FA hasil kemenangan 1-0 ke atas Johor Darul Takzim (Johor DT) pada aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Kini, Selangor dan Johor DT mencongak peluang masing-masing memburu gelaran naib juara Liga Super, sekali gus melayakkan diri secara automatik ke saingan Piala AFC musim depan.

Secara kebetulan, Selangor dan Johor DT akan berentap sesama sendiri pada aksi terakhir Liga Super di Stadium di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin Sabtu ini.

Bagi pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim, beliau optimis skuad Gergasi Merah kini berada pada landasan terbaik dalam usaha untuk merebut gelaran naib juara Liga Super musim ini.

“Ia satu pertembungan menarik. Lebih-lebih lagi kedua-dua pasukan berhajat untuk memburu kedudukan naib juara Liga Super. 

“Lebih menarik, kami bertemu pada aksi penutup tirai Liga Super dan saya percaya perlawanan itu nanti pasti ditunggu-tunggu oleh penyokong setia kedua-dua pasukan.

“Memang kami hanya perlukan seri untuk muncul naib juara, seterusnya layak beraksi pada Piala AFC, namun tiada istilah seri untuk para pemain Selangor.

“Selain itu, saya hanya menuntut mereka melebarkan rekod tiga kemenangan berturut-turut,” kata Irfan ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Dalam perkembangan sama, Irfan menyifatkan Johor DT umpama harimau terluka selepas tewas kepada Kelantan pada aksi final Piala FA Sabtu lalu.

Begitupun, Irfan yakin skuad kendaliannya mampu mengulangi prestasi cemerlang ketika mereka menewaskan Johor DT 2-1 di gelanggang lawan pada saingan Piala FA April lalu.

“Saya mahu anak-anak buah saya tampil lebih yakin tetapi biarlah berwaspada. Ini kerana sikap terlalu yakin boleh mengecewakan Selangor.

“Kami menyedari, bukan satu tugas yang mudah untuk menentang Johor DT. Mereka sudah pasti mahu memburu tiga mata berharga pada aksi terakhir liga di depan penyokong sendiri.

“Namun, kami pernah mencipta kejayaan di sana (Stadium Tan Sri Hassan Yunos) dan saya yakin, Selangor mampu mengulangi persembahan positif itu nanti,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Sabtu, 22 Jun 2013

Selangor sasar naib juara liga



AMRI (depan) meledak gol pertama Selangor ketika menewaskan ATM 2-1 di Stadium Shah Alam kelmarin.


JURULATIH Selangor, Irfan Bakti Abu Salim yakin skuad kendaliannya mampu menamatkan saingan di tempat kedua pada kempen Liga Super musim ini.

Irfan menyuarakan keyakinan itu selepas Selangor menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-1 di Stadium Shah Alam kelmarin.

Pada perlawanan itu, pemain tengah, K. Gurusamy muncul wira apabila meledak gol kemenangan menerusi satu sepakan percuma pada masa kecederaan.

Irfan yang sebelum ini meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok tiga teratas liga menegaskan, perjuangan Selangor masih belum berakhir dan mendesak anak-anak buahnya supaya berkerja keras bagi menghadapi tiga baki perlawanan liga musim ini.

“Bagi saya, keputusan malam ini (kelmarin) adil dan ia telah membuka ruang kepada kami untuk memburu kelompok ketiga dan kedua Liga Super.

“Mental pemain saya malam ini (kelmarin) tidak seperti yang diharapkan, tetapi saya telah memberitahu mereka supaya mencipta sekurang-kurangnya tiga kemenangan dan satu seri dalam baki tiga perlawanan musim ini.

“Prestasi kami tidak begitu menarik. Pemain kami terlalu ghairah untuk memburu gol kemenangan (selepas menyaksikan penyerang import ATM, Marlon Alex James dibuang padang pada minit ke-34). 

“Apa pun, saya tetap berpuas hati dengan kejayaan Selangor,” katanya selepas tamat perlawanan kelmarin.

Selangor kini kekal di tangga keempat liga selepas berkongsi 33 mata dengan ATM (ketiga) tetapi dipisahkan menerusi perbezaan jaringan.

Pengendali kelahiran Perak itu turut menarik nafas lega apabila menyaksikan penyerang import, Francis Forkey Doe selesai menjalani penggantungan satu perlawanan menjelang aksi bertemu Selangor PKNS Selasa ini.

“Pemain seperti S. Kunanlan perlu berusaha memperbaiki rentak permainan. Dia memiliki kelajuan tetapi masih gagal mempamerkan prestasi yang diharapkan.

“Saya berharap kepulangan Forkey Doe akan menyelesaikan masalah jentera serangan Selangor ketika menentang PKNS nanti,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Khamis, 20 Jun 2013

Laluan berduri menanti Selangor

Irfan Bakti 
 
KUALA LUMPUR - Turun tanpa kelibat awang import, Francis Forkey Doe, Selangor dijangka berdepan laluan berduri untuk cuba mencari tiga mata ketika bertemu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan ketumpulan jentera serangan pasti menjadi kebimbangan pengendalinya, Irfan Bakti.

Apa tidaknya, lapan daripada 22 jaringan yang terhasil daripada penyerang kebangsaan Liberia ini dalam saingan Liga Super sudah cukup untuk menggambarkan Selangor pasti akan terasa ketiadaan Forkey Doe yang digantung satu perlawanan.

Situasi itu bagaimanapun masih tidak mencemaskan Irfan yang tetap yakin kemampuan para pemain terutamanya enam tonggak Harimau Malaya di samping bersedia memberikan ruang kepada Afiq Azmi berada dalam kesebelasan utama.

"Memang sudah sah Forkey Doe tidak boleh bermain pada perlawanan esok (hari ini) dan situasi ini sedikit menyukarkan kami tetapi dalam masa sama saya berasa gembira kerana tiada mana-mana pemain kebangsaan mengalami kecederaan.

"Ketiadaan Forkey Doe membuatkan saya terpaksa memilih pemain lain untuk diturunkan dan Afiq Azmi mungkin menjadi pilihan saya berbanding Ramzul (Zahini)," katanya ketika dihubungi, semalam.

Ditanya mengenai kelebihan bekas penyerang Kuala Lumpur dan Kelantan berkenaan, Irfan menjelaskan Afiq sebenarnya mempunyai potensi yang boleh diserlahkan jika kelebihan fizikalnya dijadikan sandaran.

"Afiq merupakan seorang pemain yang ada ketinggian sesuai sebagai penyerang malahan saya nampak dia ada kelebihan tersendiri sebagai penyerang.

"Bukan Ramzul tidak bagus namun dalam masa kini Afiq nampak cukup bersedia untuk diturunkan dan saya yakin dia boleh menggalas kekosongan yang ditinggalkan oleh Forkey Doe," katanya.
Sedar peluang untuk mencabar kejuaraan suram, Irfan mensasarkan tiga teratas sebagai impian paling realistik.

"Jika kami mahu berada antara tiga pasukan terbaik, kemenangan ke atas ATM adalah wajib supaya kami boleh menyamai kedudukan mata (33 mata) yang sama dengan mereka.," katanya.

Isnin, 13 Mei 2013

Aksi terakhir Kubala, Chrappan



KUBALA (kiri) bakal membuat penampilan terakhir bersama Selangor pada aksi menentang New Radiant SC esok.


PERTEMUAN berdepan kelab Maldives, New Radiant SC pada pusingan kedua Piala AFC 2013 di Stadium Nasional, Galolhu malam esok boleh diibaratkan sebagai aksi terakhir buat dua tonggak import Selangor, Michal Kubala dan Peter Chrappan.

Ini kerana, kontrak kedua- dua awang import dari Slova- kia itu yang bakal tamat pada 28 Jun depan dilaporkan tidak akan disambung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Jika mendapat kepercayaan jurulatih Gergasi Merah, Irfan Bakti Abu Salim untuk diturunkan malam esok, Kubala dan Chrappan boleh mengucapkan ‘selamat tinggal’ sebaik perlawanan tamat.

“Jika kami berjaya melangkah ke suku akhir (17 dan 24 September), besar kemungkinan kami hanya akan bergantung harap kepada seorang pemain import iaitu Francis Forkey Doe,” kata Irfan baru- baru ini.

Untuk rekod, Kubala dan Chrappan didaftarkan bagi membantu Gergasi Merah mengharungi kempen Piala AFC kali ini yang layak selepas menduduki tangga ketiga Liga Super musim lalu.

Selain Piala AFC, Chrappan juga diserap masuk bagi membantu Selangor mengharungi saingan Liga Super bagi menggantikan Ramez Dayoub yang digugurkan FAS selepas didapati bersalah oleh Persatuan Bola Sepak Lebanon (LFA) atas dakwaan mengatur keputusan perlawanan, Februari lalu.

Bagaimanapun, Chrappan akhirnya diketepikan selepas gagal mempamerkan aksi memberangsangkan, terutamanya ketika ditundukkan Johor Darul Takzim pada suku akhir Piala FA sebelum ini.
Seorang lagi tonggak import Gergasi Merah, Adam Griffiths dari Australia pula tidak layak beraksi dalam kempen Piala AFC apabila hanya menyertai Selangor ketika jendela pendaftaran pemain ditutup pada 22 April lalu. 

Pada kempen kali ini, Selangor melangkah penuh bergaya ke pusingan kedua selepas muncul naib juara Kumpulan H dengan lapan mata apabila memintas pencabar terdekat, Saigon Xuan Thanh dari Vietnam pada saat-saat akhir.

Satu lagi wakil negara, Kelantan yang muncul juara Kumpulan G dengan 13 mata pula bakal melayan kunjungan kelab Hong Kong, Kitchee FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my