Memaparkan catatan dengan label FAM. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label FAM. Papar semua catatan

Ahad, 13 Oktober 2013

Harimau Muda sertai Liga-A

Oleh Wan Fakhrul Bakar  Berita Harian
 
Kelana Jaya: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bercadang menghantar Harimau Muda A untuk beraksi di Liga Australia (Liga-A) musim 2014/2015 mulai Oktober tahun depan.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, bagaimanapun berkata badan induk bola sepak negara itu perlu mengkaji terlebih dahulu status penyertaan dan kewangan sebelum membuat keputusan.
“Kita ada membincangkan untuk menghantar Harimau Muda A ke Australia, selain ke Slovakia atau Brazil.


Singapura turut dipelawa

“Bagi kita memang bagus untuk pasukan kita bermain di Australia tetapi kita perlu kaji terlebih dahulu dari segi status penyertaan dan kewangan. Jika tidak kita mungkin akan menghadapi kesukaran lain,” kata Hamidin ketika ditemui di Wisma FAM, petang semalam.

Selain Malaysia, Liga-A turut mempelawa Singapura dan Indonesia untuk menghantar satu kelab masing-masing bagi menyertai 10 kelab Australia lain yang sedang beraksi dalam liga berkenaan ketika ini.

“Sehingga kini kami masih belum mendapat penjelasan terperinci daripada pihak Liga-A sama ada penyertaan kelab kita itu bakal menyaksikan kita perlu berkampung terus di Australia sepanjang musim liga atau ada perlawanan boleh dilangsungkan di Malaysia,” katanya.
Malaysia dilantik jadi hos

Sementara itu, Hamidin berkata, Malaysia dilantik sebagai hos untuk memohon kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi menganjurkan Liga Super ASEAN (ASL) yang dijangka dimulakan pada 2015.

Beliau berkata, pasukan yang menyertai liga berkenaan membabitkan satu atau dua kelab dari setiap negara anggota.

“Kita akan menubuhkan satu syarikat untuk menganjurkan ASL dengan Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai penasihatnya manakala pengerusi yang dilantik ialah Presiden Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), Zainudin Nordin,” katanya.

'Suntikan semangat baru'

Wan Fakhrul Bakar | wanfakhrul@bh.com.my 
Berita Harian
'Suntikan semangat baru'  
Aksi Hairuddin (dua dari kanan) pada perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Selayang bertemu Lions XII pada 4 Oktober lalu.
Hai-O anggap ia kemenangan moral untuk Tentera temu Kelantan

Kuala Lumpur: Kapten Tentera, Hairuddin Omar menyifatkan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meluluskan permohonan pertukaran semula gelanggang perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia bertemu Kelantan, Jumaat ini ke Stadium Selayang mampu memberikan semangat tambahan kepada dirinya serta rakan sepasukan lain.

Isu pertukaran gelanggang itu berlarutan hampir seminggu sejak FAM, Isnin lalu meluluskan permohonan awal Persatuan Bola Sepak Angkatan Tentera (PBAT) untuk menukar gelanggang ke Stadium Shah Alam tetapi tindakan itu tidak ‘direstui’ pemain Tentera diketuai Hairuddin.
“Alhamdulillah, akhirnya kami dapat beraksi semula di gelanggang sendiri kami iaitu Stadium Selayang. Saya pasti ia akan menjadi semangat tambahan buat semua pemain Tentera untuk memberikan persembahan yang lebih baik, Jumaat ini.


“Tapi sebenarnya fokus kami sepanjang isu ini berlarutan tidak terganggu kerana kami tetap bersedia untuk bermain di mana-mana stadium. Cuma harapan kami supaya ia berlangsung di Stadium Selayang,” kata Hairuddin ketika dihubungi, malam tadi.


Tiada tekanan

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Afandi Hamzah mengumumkan pertukaran semula gelanggang ke Stadium Selayang itu pada satu sidang media di Kota Bharu, petang semalam selepas pihaknya meneliti permohonan baru daripada PBAT itu, kelmarin.
Ditanya adakah penukaran semula gelanggang itu bakal memberi tekanan kepada pemain Tentera kerana mereka sendiri seakan tidak senada dengan hasrat awal PBAT untuk aksi dilangsungkan di Stadium Shah Alam, Hairuddin menganggap tiada masalah.

“Tak timbul sebarang tekanan. Malah kami tak terlalu mahu memikirkan sangat masalah ini. Tapi bagi kami, beraksi di Stadium Selayang lebih membuatkan kami bersemangat dan harap kami mampu beri yang terbaik pada perlawanan itu nanti,” jelas Hairuddin.

Apa pun Tentera perlu memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang keramat mereka itu, Jumaat ini untuk mendapatkan bekalan selesa sebelum bertandang ke Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, 25 Oktober ini bagi aksi separuh akhir kedua.

Gladiators, TRW tembung di Selayang

Cetak
Gladiators, TRW  tembung di  Selayang 
Afandi (kanan) dan Hamidin mengumumkan perlawanan Tentera dan Kelantan di Stadium Selayang, di Kota Bharu, semalam.
 
Kota Bharu: Hajat Tentera untuk bertemu Kelantan pada separuh akhir pertama Piala Malaysia, 18 Oktober ini di Stadium Selayang tercapai selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membenarkan permohonan mereka untuk menukar semula gelanggang dari Stadium Shah Alam.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Afandi Hamzah berkata keputusan itu dibuat selepas Persatuan Bola Sepak Tentera (PBAT) berjanji akan mempertingkatkan kawalan keselamatan dalam permohonan semula yang dikemukakan mereka.
“Atas dasar itu akhirnya kami mengambil keputusan menimbang rayuan itu dan bersetuju supaya perlawanan itu diadakan semula di Stadium Selayang,” katanya pada sidang media di Stadium Sultan Muhammad IV yang turut dihadiri Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin semalam.



Jaga tingkah laku

Afandi berkata, pihaknya memberi penekanan kepada Tentera sebagai tuan rumah untuk memastikan kelancaran perlawanan dan meningkatkan tahap keselamatan untuk mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.

“Saya juga menyeru supaya penyokong kedua-dua pasukan mematuhi peraturan yang ditetapkan untuk memastikan kelancaran perlawanan,” katanya.
Tukar gelanggang

PBAT sebelum ini membuat permohonan kepada FAM untuk menukar gelanggang perlawanan dari Stadium Selayang ke Stadium Shah Alam atas faktor keselamatan dan ia dipersetujui badan induk berkenaan.

Namun, pemain The Gladiators membantah tindakan PBAT itu kerana berpendapat mereka lebih selesa beraksi di Selayang selain pertukaran gelanggang itu akan memberi kelebihan kepada juara bertahan itu yang mempunyai jumlah penyokong yang ramai.

Selasa, 10 September 2013

Giliran China buat Rajagobal lemas

Berita Harian 
 
Kuala Lumpur: Harimau Malaya terus ditimpa malang apabila mencatat kekalahan keenam berturut-turut tahun ini selepas tumbang 2-0 pada aksi persahabatan antarabangsa menentang China, semalam.

Pada perlawanan di Stadium Olimpik Tianjin itu, barisan bimbingan Datuk K Rajagobal dilihat gagal bangkit selepas ketinggalan pada babak pertama menerusi jaringan kapten China, Zhi Zheng pada minit ke-42.
Kebangkitan yang diharapkan pada babak kedua juga tidak menjelma apabila China yang gah menewaskan Singapura 6-1, Jumaat lalu terus garang dengan gol kedua menerusi pemain tengah, Xuri Zhao pada minit ke-57.


Kali terakhir Malaysia mencatat kemenangan tahun ini ialah ketika menentang pasukan kelab, Sydney Olympic 3-0 di Australia.

Pertemuan persahabatan terakhir skuad negara menentang pasukan bertaraf kebangsaan ialah dengan Palestin di Stadium Shah Alam, Mac lalu apabila tumpas 2-0.

Thailand sedia patah taring Harimau

 
 

‘Kami akan kekal corak permainan dan cuba dahului tuan rumah’

Oleh Syed Riduan Ahmad smriduan@bh.com.my


Kuantan: Thailand bertekad untuk memastikan rentak kemenangan tuan rumah terhenti apabila bertemu mereka pada perlawanan ketiga Pestabola Merdeka di Stadium Darulmakmur hari ini.

Selepas melihat peningkatan prestasi Malaysia ketika membenam Myanmar 2-1 kelmarin, pengendali Thailand Kairung Threejagsang sedar banyak yang perlu diperbaikinya menjelang pertemuan penting itu nanti.

Serangan balas

“Kami akan mengekalkan corak permainan kami dan cuba mengulangi apa yang dilakukan Myanmar ketika mendahului Malaysia menerusi serangan balas,” kata Threejagsang.
“Pemain Malaysia begitu mantap di semua bahagian terutama di bahagian sayap, jadi kami perlu lebih berhati-hati dengan serangan dari bahagian itu.

“Saya sedar memang sukar untuk mengekang pemain tuan rumah, tetapi kami akan cuba memberi saingan terbaik untuk mengutip tiga mata daripada perlawanan ini.”
Thailand yang kehilangan tonggak pertahanan, Mahamasabri Awaebuesa tetap yakin mereka mampu mencuri sekurang-kurangnya satu mata lagi untuk mengesahkan tempat ke final.

“Kami mempunyai pemain lain untuk mengisi kekosongan berkenaan, ia bukan satu masalah. Selain daripada itu semua pemain dijangka cergas sepenuhnya menjelang perlawanan esok (hari ini)," katanya.

FAM turun harga tiket Pestabola

  Berita Harian
 
Kuantan: Harga tiket bagi menyaksikan kejohanan Pestabola Merdeka yang sedang berlangsung di sini akan diturunkan bermula dengan perlawanan ketiga yang berlangsung serentak di Stadium Mini Temerloh dan Stadium Darulmakmur.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata perkara berkenaan diputuskan oleh pihaknya selepas berbincang dengan penganjur kejohanan ProEvents International (M) Sdn Bhd.
Lanjut kontrak


Menurutnya, harga tiket bagi tempat duduk bebas dan grandstand di Stadium Darul Makmur diturunkan masing-masing kepada RM20 dan RM50 berbanding RM38 dan RM68 sebelum ini, manakala perlawanan antara Singapura dan Myanmar di Stadium Mini Temerloh pada RM20 dan RM25 berbanding RM28 dan RM38 sebelum ini.

“Saya berharap penurunan harga ini akan membolehkan peminat di Pahang dapat hadir bagi menyaksikan perlawanan,” kata Hamidin sambil menjelaskan harga tinggi yang ditetapkan sebelum ini tidak dapat dielakkan disebabkan kos perbelanjaan kejohanan yang tinggi.

Dalam perkembangan lain Hamidin berkata, FAM akan berbincang dengan pengendali Harimau Muda A, Ong Kim Swee berkaitan lanjutan kontrak pemain.

Jangan pancing pemain
“Kita maklumkan kepada Datuk Afandi Hamzah (Naib Presiden FAM) yang juga pengurus pasukan bawah 23 Tahun serta Kim Swee supaya memberi laporan berkenaan pemain yang ingin mereka lepaskan serta kekalkan tahun depan,” katanya.

Menurutnya perkara itu dijangka diputuskan selewat-lewatnya pada Oktober. Hamidin turut mengingatkan pasukan yang berhasrat memancing pemain Harimau Muda A supaya tidak berbuat demikian dalam tempoh terdekat bagi membolehkan misi mempertahankan emas pada Sukan SEA di Myanmar Disember ini tercapai.

“Memang sukar untuk kita bendung komunikasi antara pengurusan kelab dan pemain-pemain muda ini, tetapi nasihat saya kepada pemain, jangan terlalu ghairah mengejar gaji lumayan. Gunakan peluang bersama skuad Kim Swee ini untuk menimba pengalaman dan selepas itu barulah cari kelab yang sesuai, katanya.

Sabtu, 7 September 2013

PM yakin skuad negara juara

 
Kuantan: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak optimis skuad Harimau Muda A mampu muncul juara pada kejohanan Pestabola Merdeka yang mula berlangsung semalam.

Perdana Menteri berkata apa yang penting ialah skuad bimbingan jurulatih Ong Kim Swee itu menimba pengalaman berharga pada kejohanan itu dan mampu memenangi pingat emas pada Sukan SEA di Myanmar Disember depan.

“Saya berharap mereka bermain bersungguh-sungguh untuk negara, apa yang penting Sukan SEA di Myanmar, target untuk menjadi juara dan menang pingat emas,” katanya selepas meluangkan masa kira-kira 20 minit bersama pemain skuad Harimau Muda A sebelum perlawanan menentang pasukan Singapura, di Stadium Darul Makmur di sini, semalam.


Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini

Jumaat, 6 September 2013

Maaf Perak, bantahan ditolak

 
Ipoh: Bantahan rasmi Perak terhadap tindakan pengadil Nafeez Abdul Wahab tidak mengiktiraf jaringan hasil tandukan Paulo Rengel yang melepasi garisan gol dalam pertemuan dengan Lions XII di Stadium Jalan Besar, pada 31 Ogos lalu hanya sia-sia.

Ini kerana Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) gagal mencari penyelesaian kepada bantahan Seladang yang dibuat pada 2 September lalu.
Setiausaha Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Abdul Aziz Yeop Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan sudah menerima jawapan rasmi mengenai isu itu daripada FAM.


Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini

Rabu, 4 September 2013

FAS mahu jawapan positif FAM berhubung isu pinda tarikh


PERSATUAN Bola Sepak Sarawak (FAS) mahu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberikan maklum balas positif berhubung pindaan tarikh aksi Kumpulan D Piala Malaysia antara Sarawak dan Lions XII, lapor MULLER ASEN.

Setiausaha Agung FAS, Abdullah Julaihi berkata, respons itu perlu dilakukan segera bagi memudahkan persiapan skuad Bujang Senang selain memulihkan kemarahan serta ketidakpuasan hati peminat Ngap Sayot.

"Meskipun tarikh perlawanan diubah pada 18 September, namun kami tetap mahu aksi pada 17 September diteruskan seperti mana kesemua perlawanan lain.

"Para peminat sudah tidak mahu mendengar pelbagai alasan, sebaliknya ingin melihat kedua-dua pasukan beraksi pada tarikh yang ditetapkan sebelum ini," kata Abdullah ketika dihubungi Kosmo! di Kuching semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan Kosmo! semalam mengenai 'layanan istimewa' yang diterima Lions XII daripada FAM sehingga memberikan 'lampu hijau' kepada skuad bimbingan V.Sundramoorthy beraksi lewat sehari berbanding pasukan lain.

Difahamkan, pertukaran tarikh perlawanan itu disebabkan Lions XII beraksi pada Pestabola Merdeka di Kuantan, Pahang pada 7 hingga 14 September ini.

Mengulas lanjut, Abdullah memberitahu, FAS telah mengemukakan rayuan rasmi kepada FAM minggu lalu untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, Abdullah berkata, setakat ini, FAS belum lagi menerima sebarang maklum balas atau maklumat berhubung pindaan tarikh perlawanan tersebut.

"Tapi kita percaya, FAM akan memberikan respons positif dalam tempoh kurang seminggu lagi. Jadi buat masa ini, kita hanya menunggu jawapan daripada FAM.

"FAM perlu membuat keputusan bijak demi kepuasan hati kedua-dua pasukan. Mereka kena ingat, peminat sekarang tidak boleh menerima lagi alasan berat sebelah," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

PBNJ hanya perlu tukar nama


PERSATUAN Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) menjelaskan bahawa mereka telah menubuhkan Jawatankuasa Integriti sebelum Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mewajibkan semua ahli gabungan badan induk itu berbuat demikian. 

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh PBNJ semalam, jawatankuasa itu telah ditubuhkan pada 12 Jun 2012 semasa Mesyuarat Eksekutif Kedua Sesi 2012/2016 yang dipengerusikan Presiden PBNJ, Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim (gambar).

Bagaimanapun, menurut kenyataan itu lagi, jawatankuasa tersebut dikenali sebagai Jawatankuasa Penyiasat, Keselamatan dan Perubatan.

Hal itu juga telah dimaklumkan secara rasmi oleh Setiausaha Kehormat PBNJ, Fahmy Yahya yang turut menghadiri Mesyuarat Setiausaha Agung/Kehormat/Ahli-ahli FAM yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya kelmarin.

"Salah satu matlamat dan objektif dalam jawatankuasa ini adalah untuk menyiasat segala salah laku pemain dan pegawai dalam pasukan di bawah PBNJ, jawatankuasa ini juga dipengerusikan oleh Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff.

"Sebagai contoh dalam isu mengatur perlawanan, PBNJ bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah D7, Ibu Pejabat Kontinjen Johor sudah membuat siasatan awal sejak bermulanya Liga Malaysia 2013 berhubung isu tersebut yang membabitkan bookie dalam arena bola sepak tempatan," kata kenyataan itu.

Berikutan tindakan PBNJ itu, FAM telah menghantar satu surat bertarikh 4 April lalu yang mahukan semua ahli gabungannya menetapkan satu tarikh khusus bagi mengadakan satu kunjungan antara pihak polis dan FAM di setiap negeri bagi menangani isu bookie dalam bola sepak.

"Bagaimanapun, PBNJ menolak secara baik dalam surat rasmi bertarikh 17 Mei lalu kerana PBNJ terlebih dahulu mengambil inisiatif membanteras kegiatan tersebut pada Mac lalu," kata kenyataan itu lagi.

Bagaimanapun, selaras dengan kehendak FAM, PBNJ akan menukar nama jawatankuasa tersebut kepada Jawatankuasa Integriti dengan kadar segera.

Semalam Kosmo! melaporkan kenyataan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin yang mendedahkan PBNJ antara tiga persatuan bola sepak (FA) negeri selain Pulau Pinang dan Sarawak yang masih belum secara rasmi mewujudkan Jawatankuasa Integriti.

Hamidin dilapor berkata, ketiga-tiga persatuan tersebut diberikan tempoh seminggu bagi mewujudkan Jawatankuasa Integriti di peringkat negeri masing-masing.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Gantung dua tahun


TAUFEK menunjukkan buku peraturan selepas mempengerusikan Jawatankuasa Tatatertib FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenakan hukuman penggantungan dua tahun ke atas pemain Kelantan, Zamri Ramli yang gagal dalam ujian doping pada aksi final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, 29 Jun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abdul Razak memberitahu, Zamri didapati positif mengambil bahan terlarang iaitu dadah jenis methamphetamine.

“Pemain itu (Zamri) positif dadah jenis methamphetamine berdasarkan laporan yang dibuat oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) di India.

“Dia mengaku salah atas kesalahan mengambil bahan terlarang oleh FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) dan WADA.

“Selepas membuat pertimbangan dari aspek latar belakangnya, Jawatankuasa Tatatertib FAM menjatuhkan hukuman penggantungan dua tahun terhadap pemain itu yang mana dia tidak akan dibenarkan menyertai mana-mana aktiviti bola sepak di bawah kelolaan FAM dalam tempoh itu,” kata Taufek kepada pemberita pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Taufek memberitahu, Zamri dibenarkan mengemukakan rayuan memandangkan hukuman tersebut adalah minimum.

“Harus diingat, Zamri dan KAFA (Persatuan Bola Sepak Kelantan) masih boleh mengemukakan rayuan.

“Buat masa ini, hukuman itu ditangguhkan sementara bagi memberikan peluang dan ruang kepada Zamri dan KAFA untuk membuat rayuan.

“Zamri harus mengemukakan rayuan dalam tempoh 14 hari sebaik sahaja FAM mengeluarkan surat (pertuduhan),” tambah Taufek.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan, Zamri yang enggan mendedahkan identitinya, mengaku tidak bersalah selepas gagal dalam ujian doping tersebut.

Sebaliknya, dia mendakawa hanya mengambil supplemen tambahan tanpa merujuk pegawai perubatan KAFA.

Dalam pada itu, Taufek memaklumkan bahawa Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) didenda RM40,000 atas kesalahan gagal menyediakan kawalan keselamatan ketika Johor Darul Takzim (Johor DT) menentang Selangor di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 6 Julai lalu.

Ia gara-gara penyokong skuad Harimau Selatan itu yang didapati bersalah membakar suar dan membuang resit putih pada aksi Liga Super itu.

“Johor Johor DT mengaku salah terhadap pertuduhan tersebut. Mereka didapati gagal menyediakan anggota keselamatan yang mencukupi.

“Pihak FAM sememangnya memandang serius dalam soal keselamatan terutama membabitkan jumlah penonton yang ramai.

“Begitupun, mereka (PBNJ) dibenarkan membuatkan rayuan untuk hukuman tersebut,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 3 September 2013

Lions XII dilabel 'anak emas' FAM



AKSI antara Sarawak dan Lions XII dalam saingan Kumpulan D Piala Malaysia di Stadium Negeri, Petra Jaya pada 24 Ogos lalu.


JUARA Liga Super, Lions XII sekali lagi menerima 'layanan istimewa' daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Selepas mendapat 'lampu hijau' untuk menyenaraikan 10 pemain berusia lebih 23 tahun ketika kembali beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim lalu, Lions XII seakan-akan 'kebal' apabila tidak akan 'diturunkan pangkat' ke saingan Liga Premier sehingga 2015 meskipun menduduki tangga tercorot Liga Super.

Ia berdasarkan memorandum persefahaman (MoU) antara FAM dan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) sebelum ini.

Terbaharu, FAM memberi kebenaran kepada skuad kendalian V. Sundramoorthy itu untuk beraksi lewat sehari berbanding kesemua perlawanan lain ketika melayan kunjungan Sarawak di Stadium Jalan Besar, Singapura dalam aksi Kumpulan D Piala Malaysia pada 18 September depan.

Situasi itu jelas mengundang kemarahan pengendali Bujang Senang, Robert Alberts apabila beliau hanya memiliki tempoh rehat yang terhad sebelum melayan kunjungan Perak di Stadium Negeri, Petra Jaya pada aksi terakhir Kumpulan D tiga hari kemudian.

Difahamkan, pindaan tarikh perlawanan itu disebabkan Lions XII beraksi pada Pestabola Merdeka yang bakal berlangsung di Kuantan, Pahang dari 7 hingga 14 September ini.

'Layanan istimewa' yang diterima Lions XII itu jelas tidak disenangi majoriti peminat bola sepak tempatan terutama penyokong Sarawak yang mahu FAM bersikap lebih adil.

Tambahan pula, Lions XII pasti memiliki momentum selepas mengharungi Pestabola Merdeka berbanding Bujang Senang yang hanya akan kembali beraksi selepas aksi Piala Malaysia direhatkan lebih dua minggu.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Afandi Hamzah tidak dapat mengulas lanjut mengenai pindaan tarikh perlawanan yang membabitkan kedua-dua pasukan berkenaan.

"Saya masih belum menerima maklumat daripada pegawai saya berhubung perkara itu," katanya ringkas kepada Kosmo! semalam.

Isnin lalu, Kosmo! melaporkan hasrat Alberts yang telah memohon Persatuan Bola Sepak Sarawak supaya mendapatkan penjelasan daripada FAM berhubung perkara itu.

Alberts yang kecewa dengan perkara itu berkata, situasi tersebut akan memberikan kelebihan kepada Lions XII terutama apabila beraksi di depan penyokong sendiri.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin mengesahkan pindaan tarikh berkenaan.

"Pasukan Lions XII telah mengemukakan permohonan berkenaan kerana terlibat dalam Pestabola Merdeka," jelas beliau.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiga FA negeri ada masa seminggu



HAMIDIN menjawab pertanyaan pemberita pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.


PERSATUAN Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) merupakan tiga daripada ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang masih belum secara rasmi mewujudkan Jawatankuasa Integriti di peringkat negeri.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin yang memberitahu, ketiga-tiga persatuan tersebut telah diberikan tempoh seminggu bagi mewujudkan jawatankuasa tersebut.

“FAP diberi kelonggaran dalam menubuhkan jawatankuasa itu memandangkan mereka baru sahaja selesai mengadakan mesyuarat agung bagi pemilihan ahli jawatankuasa yang baharu.

“Mereka sudah mempunyai kerangka kerja mengenai penubuhan jawatankuasa ini dan telah mengenal pasti calon-calon jawatankuasa.

“Sarawak dan Johor pula mengesahkan mereka sudah membentuk Jawatankuasa Integriti secara tidak rasmi, namun mereka meminta sedikit masa kepada FAM bagi memuktamadkan penubuhan jawatankuasa itu dalam tempoh terdekat,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas FAM bersama anggota gabungan yang dihadiri hampir 20 Setiausaha Agung negeri dan kelab di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memberikan amaran kepada setiap persatuan bola sepak (FA) negeri agar mewujudkan Jawatankuasa Integriti bagi menangani kes rasuah yang dipercayai berlaku dalam saingan arena bola sepak tempatan.
“Sebenarnya kita (FAM) telah menulis surat kepada setiap FA negeri berhubung perkara yang sama pada tahun lepas. Selain tiga daripada 16 persatuan tersebut, mereka telah lama mewujudkan Jawatankuasa Integriti. 

“Dalam kes FAP, mereka dijangka mewujudkan jawatankuasa itu minggu depan.
“Dua lagi persatuan (FAS dan PBNJ), mereka akan mengambil tindakan cepat untuk menjadikan Jawatankuasa Integriti sebagai satu tugas yang rasmi.

“Mungkin status jawatan dua persatuan tersebut kita akan dapat tahu hari ini (semalam) atau esok (hari ini),” tambah Hamidin.

Hamidin berkata, sehingga kini 12 anggota gabungannya sudah membentuk Jawatankuasa Integriti masing-masing iaitu Perlis, Kedah, Kuala Lumpur, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Untuk rekod, FAM telah mewujudkan Jawatankuasa Intergriti pada 2010 dan kempen integriti diperkenalkan secara rasmi dalam aksi final Piala FA 2011 yang menemukan Kelantan dan Terengganu di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Dalam perkembangan sama, Hamidin menegaskan, Jawatankuasa Integriti di peringkat negeri harus mengemukakan laporan kepada FAM pada setiap bulan.

“Mereka harus menghantar laporan pada setiap bulan berdasarkan aduan (kes) yang diterima oleh jawatankuasa tersebut.

“Ketua jabatan FAM, Osman Bakar akan memantau Jawatankuasa Integriti peringkat negeri dan beliau akan membawa (laporan) itu ke peringkat FAM yang dipengerusikan oleh (Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM) Tan Sri Aseh Che Mat,” ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Sabtu, 31 Ogos 2013

FAM jawab tuduhan TMJ

Oleh Wan Fakhrul Bakar 
FAM jawab tuduhan TMJ PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), DYMM Tuanku Sultan Ahmad Shah (kiri) dan Datuk Hamidin Mohd Amin (kanan) pada Kongres FAM ke-49 yang diadakan di Royale Chulan Hotel pada bulan lepas. - Foto Goh Thean Howe
 
» Nafi tak serius tangani rasuah babit pengadil

Kuala Lumpur: Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menafikan pihaknya tidak serius dalam menangani isu rasuah terutama membabitkan pengadil perlawanan pada aksi Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Malah Hamidin menyatakan FAM sudah pun membalas surat bantahan dan rakaman video yang dikemukakan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) berhubung beberapa keputusan pengadil yang meragukan membabitkan aksi Johor Darul Takzim (DT).

Ikuti berita penuh dalam BH Ahad hari ini atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

Isnin, 26 Ogos 2013

'Kami tak boikot'

 
'Kami tak boikot' Pengadil, Suhaimi Mat Hassan (dua dari kiri) diserang seorang penyokong ketika mengadili aksi Sime Darby menentang Johor di Stadium MP Selayang, Sabtu lalu. - Foto Ihsan: Syahrul Azhar Rahim - Dunia Sukan
 
Kuala Lumpur: Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Astaman Abdul Aziz semalam memberi jaminan pengadil di bawah naungan badan induk itu tidak akan memboikot kempen Piala Malaysia sekalipun berdepan ancaman beberapa insiden, termasuk diserang penyokong.

Katanya, dakwaan mengatakan ada di kalangan pengadil akan memboikot daripada mengadili perlawanan Piala Malaysia yang sedang berlangsung berikutan bimbang dengan faktor keselamatan masing-masing, sama sekali tidak berasas.

Setakat ini, saya tidak ada mendengar mengenai perkara itu (memboikot kempen Piala Malaysia). Saya beri jaminan, setiap pengadil dipilih mengadili perlawanan akan melaksanakan tugas mereka dengan penuh dedikasi, katanya ketika dihubungi semalam.


Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini

Ahad, 25 Ogos 2013

Teong Kim malas layan Butler


PENGARAH Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Lim Teong Kim menegaskan, beliau tidak perlu melayan kritikan bekas jurulatih T-Team, Terengganu dan Kelantan, Peter James Butler.
Teong Kim membuat kenyataan itu selepas Butler mempertikaikan kemampuannya.

Teong Kim berkata, beliau lebih berminat untuk menjalankan tugasnya mencari pemain-pemain muda berbakat bagi diketengahkan pada peringkat antarabangsa berbanding mendengar kritikan pengendali kelahiran England itu.

Bekas penolong jurulatih skuad bawah 19 tahun (B-19) Bayern Munich itu menegaskan, beliau tidak kisah dengan pandangan Butler yang dikatakan menghinanya sebagai jurulatih pengalaman di peringkat Eropah.

"Saya akui terkejut dengan (kenyataan) Butler dan saya tidak tahu apa yang berlaku.
"Malah, saya langsung tidak mengenali Butler. Saya tidak mahu mengambil kisah terhadap pandangannya.

"Saya boleh menerima kritikan dan saya tidak memerlukan 'motivasi' daripada beliau kerana saya sendiri yang memotivasi pemain dan jurulatih.

"Seperti yang saya katakan tadi, saya tidak memerlukan 'motivasi' beliau," katanya kepada pemberita di Kelab Diraja Selangor, Bukit Kiara semalam.

Sebelum ini Kosmo! melaporkan, Butler menerusi laman sosial, Twitternya mempertikaikan keputusan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang bertindak melantik Teong Kim sebagai Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara.

Insiden itu bukan yang pertama buat Butler kerana beliau pernah mengkritik Harimau Muda A, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh dan menyelar Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Ahmad Khawari Isa di laman sosial.

Dalam perkembangan lain, Teong Kim berkata, beliau perlu banyak mengkaji sistem pembangunan yang sedia ada terutamanya melibatkan pendidikan pemain dan jurulatih.

"Saya pernah memberitahu perkara ini kepada Khairy bahawa kami perlu mengutamakan sistem yang tepat khususnya berkaitan pendidikan jurulatih dan pemain.

"Paling mustahak adalah cara kami untuk mengendalikan sistem itu. Tiada ada perbuatan yang sia-sia sekiranya kami membina infrastruktur yang memiliki harga tinggi tetapi tidak tahu cara untuk mengekalkannya," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 18 Ogos 2013

'Artikel 88 tidak patut wujud'


PRESIDEN FAM, Sultan Ahmad Shah (dua dari kiri) mempengerusikan Kongres FAM ke-49 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur kelmarin.


SEGALA yang 'terbuku' di hati bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim akhirnya diluahkan sebaik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat keputusan meminda Artikel 88 Statut FAM 2010-2014 kelmarin.

Biarpun gembira dengan keputusan FAM meminda artikel berkenaan, Shahidan mengakui bahawa artikel itu tidak sepatutnya diwujudkan.

Ini kerana menurut beliau, Artikel 88 yang hanya membenarkan Presiden dan Setiausaha Agung FAM memberikan kenyataan media berhubung badan induk itu adalah sesuatu yang tidak relevan sama sekali.

"Saya menyambut baik tindakan FAM yang akhirnya membuat keputusan meminda artikel berkenaan, namun bagi saya, artikel berkenaan sepatutnya tidak ada dari dulu lagi.

"Ini kerana jawatan Setiausaha Agung (FAM) sebenarnya dilantik dan bukannya dipilih sebulat suara menerusi mesyuarat," kata Shahidan ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Afandi Hamzah mengesahkan, garis panduan mengenai Artikel 88 akan diperhalusi dan dibentang pada Mesyuarat Eksekutif FAM bulan depan.

Menurut beliau, semua pegawai atau ahli gabungan FAM kini dibenarkan 'bersuara' selepas Kongres FAM bersetuju skop-skop tertentu dalam akta itu akan lebih diperluaskan dan persetujuan tersebut dicapai pada Kongres FAM ke-49 di Kuala Lumpur kelmarin.

Bagaimanapun, mereka tetap wajib mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan meskipun diberi kebenaran untuk membuat kenyataan kepada pihak media.

Pada 20 Februari lalu, Shahidan dikenakan penggantungan selama dua tahun setengah dan didenda RM39,000 kerana didapati bersalah melanggar Artikel 88.

Selain Shahidan, antara 'mangsa' yang pernah dihukum di bawah Artikel 88 sebelum ini termasuklah bekas Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Justeru, Shahidan menggesa FAM supaya menarik balik hukuman yang dikenakan terhadap beliau dan juga kesemua individu yang disabitkan dengan kesalahan yang termaktub dengan Artikel 88 sebelum ini.

"Bukan sahaja menarik balik hukuman, saya juga mahu denda duit syiling yang dibayar sebelum ini juga dipulangkan," tegasnya.

Pada masa sama, Shahidan juga berharap FAM bertindak lebih adil sebaik artikel berkenaan dipinda selepas ini.

"Persatuan negeri tidak pernah memusuhi FAM, sebaliknya kami berada di bawah 'payung' mereka.
"Jadi kenalah berlaku adil selepas ini... janganlah yang kata sikit kena hukuman banyak tetapi yang kata banyak pula kena hukuman sedikit," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Sabtu, 17 Ogos 2013

Sultan Ahmad cabar Kim Swee, Raja menangi baki kejohanan

Kuala Lumpur: Sultan Ahmad Shah melontarkan cabaran kepada pengendali Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal dan jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee menjelang dua kejohanan penting hujung tahun ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu mahu anak buah Rajagobal memenangi semua baki perlawanan dalam Kumpulan D kempen Kelayakan Piala Asia 2015 yang akan bermula Oktober ini, sekali gus mara ke pusingan akhir di Australia.

“Apa jua yang berlaku sekalipun, skuad negara perlu menang dalam dua baki perlawanan (menentang Bahrain dan Qatar) selepas ini sekali gus mara ke pusingan akhir,” kata Sultan Ahmad Shah ketika berucap menyempurnakan Kongres Tahunan FAM ke-49 di Hotel Royal Chulan, di sini semalam.


Selepas dua perlawanan, skuad negara ketika ini menghuni tangga ketiga carta Kumpulan D dengan mengumpul tiga mata, hasil kemenangan 2-1 ke atas Yaman dan tewas 0-2 di tangan Qatar.

Anak buah Rajagobal akan meneruskan kempen kali ini dengan melayan kunjungan Bahrain di Stadium Shah Alam 19 Oktober ini sebelum berkunjung ke Stadium Nasional Bahrain untuk aksi kedua pada 15 November.

Malaysia berdepan aksi kedua menentang Qatar di Stadium Shah Alam pada 19 November sebelum menutup tirai kempen berdepan Yemen pada 5 Mac.

Sementara itu, bagi Kim Swee, beliau tidak mempunyai pilihan selain mempertahankan pingat emas Sukan SEA buat kali ketiga berturut-turut apabila edisi 201 temasya dwitahunan itu berlangsung di Myanmar Disember ini seperti sasaran ditetapkan Sultan Ahmad Shah.
Malaysia berjaya memenangi emas ketika edisi 2009 di Laos ketika skuad negara dikendalikan Rajagobal sebelum Kim Swee mempertahankan kejuaraan dua tahun kemudian di Indonesia.

FAM pinda Artikel 88 Statut FAM


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) bersetuju untuk meminda Artikel 88 Statut FAM 2010-2014 bagi membolehkan para pegawai selain daripada Presiden dan Setiausaha Agung untuk membuat kenyataan media berhubung badan induk bola sepak negara itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Afandi Hamzah berkata, persetujuan itu dicapai pada Kongres FAM ke-49 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur semalam.
Kini, semua pegawai atau ahli gabungan FAM dibenarkan ‘bersuara’ selepas Kongres FAM bersetuju terhadap skop-skop tertentu dalam akta tersebut diperluaskan lagi.

Bagaimanapun, mereka wajib mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan meskipun diberi kebenaran untuk membuat kenyataan kepada pihak media.

Afandi berkata, garis panduan mengenai Artikel 88 akan diperhalusi dan dibentang pada Mesyuarat Eksekutif FAM bulan depan.

“Kongres telah bersetuju untuk meminda Artikel 88 yang mana Statut FAM tersebut diperluaskan sedikit.

“Kini, Artikel 88 membenarkan Presiden, Setiausaha Agung dan mana-mana pegawai FAM yang dibenarkan oleh Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk membuat kenyataan akhbar tetapi tertakluk kepada beberapa syarat yang telah ditetapkan.

“Sebagai contoh, mereka harus menggunakan saluran tertentu jika ada perkara berbangkit untuk dikritik, namun perlu berbincang dengan FAM dan bukannya pihak media.

“Selain itu, mereka turut dibenarkan membuat sebarang kenyataan akhbar berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan.

“Jawatankuasa Eksekutif FAM akan membuat garis panduan mengenai kenyataan akhbar dan garis panduan Artikel 88 ini, dan ia akan diedarkan kepada semua ahli gabungan FAM menerusi konteks kenyataan akhbar.

“Langkah ini diambil supaya tidak timbul lagi segala permasalahan khususnya yang berkaitan dengan Artikel 88,” katanya.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung FAM, Hamidin Mohd. Amin dan Naib Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal.

Antara ‘mangsa-mangsa’ yang menerima hukuman di bawah Artikel 88 adalah bekas Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa, (Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, (bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis), Datuk Seri Shahidan Kassim.

Skrip yang sama turut menimpa bekas jurulatih negara, B. Sathianathan yang digantung di bawah artikel tersebut ekoran mengkritik saingan liga tempatan pada 2009.

Dalam perkembangan sama, Afandi turut mengumumkan bahawa FAM telah meminda Artikel 68 bagi membolehkan mana-mana kes dibawa ke mahkamah.

Begitupun, FAM hanya membenarkan setiap kes yang mahu dibawa ke mahkamah perlu diadili badan induk persatuan itu sebelum dibawa ke peringkat lebih tinggi.

Afandi menegaskan, pihak-pihak tertentu akan digantung seumur hidup atau paling minimum setahun sekiranya tidak melaporkan perkara itu kepada pihak FAM. 

“Begitu juga dengan Artikel 68 yang turut dikembangkan. Jika dahulu, Artikel 68 menetapkan tiada sebarang kes boleh dibawa ke mahkamah tetapi bergantung kepada kes tanpa menyatakan apakah kesannya.

“Pindaan tadi menetapkan bahawa mana-mana kes yang dibawa ke mahkamah tanpa menggunakan saluran-saluran yang dibenarkan, tindakan boleh diambil.

“Ertinya, mana-mana pertikaian berlaku dalam bola sepak, perlu diselesaikan mengikut peraturan yang ditetapkan. Contohnya, jika berlaku pertikaian mengenai kontrak pemain dan pasukan, kes ini tidak boleh terus dibawa ke mahkamah.

“Pemain atau pasukan itu perlu menggunakan saluran yang ditetapkan seperti mengemukakan laporan kepada FAM. Kalau perkara itu berlaku tanpa merujuk FAM, pemain atau pasukan ini akan terdedah dengan tindakan susulan daripada FAM.

“Dalam proses tersebut, mana-mana pihak yang tidak mengikut saluran iaitu terus membawa perkara itu ke mahkamah, dia akan gantung seumur hidup atau setahun minimum.

“Mereka tidak mengikut kronologi dalam ruang membela diri kerana terus pergi ke mahkamah tetapi pihak-pihak itu masih boleh buat rayuan kepada kongres,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 16 Ogos 2013

‘TANDA TANYA AKSI FINAL’

 
Kuala Lumpur: Selepas dipalit isu panas padang tidak berkualiti di Stadium Nasional, Bukit Jalil bagi aksi persahabatan antarabangsa antara Barcelona dan Harimau Malaya 10 Ogos lalu, perbincangan diadakan hari ini untuk mengelak perkara sama berulang bagi aksi final Piala Malaysia, 3 November depan.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) berbincang mencari alternatif andai gelanggang untuk aksi final Piala Malaysia itu terpaksa ditutup lebih awal untuk kerja pembaikan dan menukar rumput padang.
Mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM dan PSM yang akan dipengerusikan Datuk Afandi Hamzah itu bakal mengetengahkan agenda gelanggang final Piala Malaysia sebagai topik utama untuk dibincang dan diputuskan.


Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini