Memaparkan catatan dengan label Mohd Nazmi Faiz. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Mohd Nazmi Faiz. Papar semua catatan

Jumaat, 8 Februari 2013

Nazmi tak menyengat


PRESTASI Nazmi agak tenggelam ketika beraksi dengan PKNS pada perlawanan persahabatan menentang Johor di Pasir Gudang, Johor semalam.


PEMAIN muda kontroversi, Muhammad Nazmi Faiz Mansor kurang menyengat.
Pengalaman selama hampir enam bulan di bumi Eropah seolah-olah tidak membantu meningkatkan gaya permainannya.

Dia bagaikan hilang sentuhan ketika turun beraksi dengan skuad Selangor PKNS pada perlawanan persahabatan menentang Johor di Stadium Perbandaran Pasir Gudang semalam.

Perlawanan tersebut merupakan penampilan pertamanya sejak kembali ke tanah air, tetapi hanya dimasukkan pada separuh masa kedua sebagai pemain gantian.

Pada perlawanan tersebut, Johor meraih kemenangan 2-0 hasil jaringan pemain import, Juan Muriel Orlando.

Begitupun, Nazmi mengakui memerlukan sedikit masa untuk mendapat rentak beraksi bersama pasukan baharunya, PKNS.

Bekas pemain kelab Portugal, Biera Mar itu berkata, banyak aspek yang perlu dipertingkatkan terutama keserasiannya bersama pemain lain.

“Saya perlukan sekurang-kurangnya tiga perlawanan lagi untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan ini. 

”Beri saya sedikit masa, apabila sudah serasi, insya-Allah semua akan bertambah baik,” katanya selepas perlawanan semalam.

Nazmi sebelum ini mengejutkan banyak pihak apabila membuat keputusan mengejut pulang ke tanah air dan mengikat kontrak selama tiga tahun bersama PKNS.

Dia bagaimanapun masih tidak mahu mengulas lanjut mengenai kepulangan mengejutnya itu.
Mengulas isu peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Nazmi yang kini berusia 19 tahun menjelaskan dia masih belum bersedia menghadapi peperiksaan penting itu.

Katanya, banyak perkara yang perlu diselesaikannya terlebih dahulu dan pada ketika ini, dia tidak boleh fokus sepenuhnya terhadap pelajaran.

“SPM bukannya boleh dipandang ringan, ia perlukan persediaan yang rapi. Buat masa ini, saya belum bersedia,” katanya.

Sementara itu, dalam perlawanan persahabatan semalam, Johor yang terlebih dahulu memulakan asakan tampak tidak bermaya pada separuh masa pertama apabila gagal menyempurnakan peluang-peluang yang dihasilkan.

Namun, tidak mahu kalah di laman sendiri, asakan demi asakan terus dilakukan Johor dan percubaan mereka hampir berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-30 hasil rembatan kencang dari luar kotak penalti oleh Orlando, namun tersasar.

Gol pertama Johor bagaimanapun hadir pada minit ke-49 hasil sepakan Orlando, dan 10 minit kemudian, Orlando mengesahkan kemenangan tuan rumah apabila sekali lagi menjaringkan gol hasil hantaran lintang daripada Mohd. Rashid Aya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 4 Februari 2013

PKNS akur keputusan FAM


"BERJAYA mendapatkan pemain bintang seperti Muhammad Nazmi Faiz Mansor juga sudah cukup menggembirakan kami, seolah-olah 'bulan jatuh ke riba'.

"Jadi, kami menghormati keputusan FAM dan akan menunggu sehingga April depan."

Demikian kata pengurus pasukan Selangor PKNS, Azmi Adnan selepas rayuan mereka kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membenarkan Nazmi beraksi pada 16 Februari ini, ditolak badan induk bola sepak negara itu semalam.

Azmi memberitahu, Nazmi akan kekal menjalani latihan bersama pemain Selangor PKNS yang lain bagi mengekalkan prestasinya.

Buat masa ini katanya, pihaknya akan merujuk kepada FAM bagi menyelesaikan isu sijil perpindahan antarabangsa (ITC) Nazmi bersama S.C. Beira-Mar.

"Segala urusan termasuk ujian perubatan juga akan dilakukan oleh pihak kami sebelum pendaftaran pemain dibuka semula April depan.

"Kami tidak rugi apa-apa biarpun Nazmi hanya boleh beraksi dua bulan lagi, yang paling penting kariernya tidak terjejas," katanya.

Azmi memberitahu, Nazmi mungkin memperkuatkan Selangor PKNS dalam aksi persahabatan menentang Johor di gelanggang lawan pada Jumaat ini tetapi ia terpulang kepada percaturan jurulatih, Abdul Rahman Ibrahim.

"Saya harap peminat dan penyokong Nazmi dapat hadir beramai-ramai memberikan sokongan kepada Selangor PKNS selepas ini.

"Dia pemain muda yang berbakat dan mempunyai masa depan yang cerah. Saya percaya kehadirannya dapat membantu kami merealisasikan sasaran menempatkan diri dalam kelompok lima pasukan terbaik dalam saingan Liga Super musim ini," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Sabtu, 22 Disember 2012

Panggil balik pemain bintang

KUALA LUMPUR - Bukan mahu mendedahkan pekung sendiri, namun memang jelas Harimau Malaya buat masa ini kekurangan pemain tengah yang kreatif dan berwibawa untuk mampu bertindak sebagai perancang dalam pasukan.

Hakikat itu ditimbulkan oleh bekas pemain bola sepak negara yang juga penganalisis bola sepak tempatan, Hasnizam Uzir berkata, hanya beberapa pemain di negara ini mampu mengisi peranan tersebut seperti Mohd. Norfarhan Muhammad dan Mohd. Nazmi Faiz.

Menurutnya, jika mahu melakukan sebarang rombakan menjelang kelayakan Piala Asia 2015, kedua-dua pemain ini perlu diberikan peluang kerana mereka mampu menjana kekuatan di bahagian tengah.
“Pada pandangan saya, Norfarhan wajar dipanggil oleh jurulatih Datuk K. Rajagobal kerana dia mempunyai kelebihan tersendiri yang tidak ada kepada pemain lain.

“Dia seorang pemain yang kreatif semasa melakukan gerakan dan ada visi apabila melakukan umpanan kepada rakan sepasukan, jadi dia ada kualiti selaku perancang yang jarang ada kepada pemain lain.
“Saya rasa jika dia digandingkan di bahagian tengah bersama Shakir Shaari pasti persembahan Harimau Malaya lebih menarik untuk disaksikan.

“Nazmi Faiz juga perlu dipanggil dalam skuad bagi menghadapi kelayakan Piala Asia 2015 walaupun masih muda tetapi dia ada karisma tersendiri," katanya yang dihubungi, semalam.

Selain itu, Hasnizam mencadangkan Ashaari Samsudin yang merupakan sebahagian anggota skuad Piala Suzuki AFF 2012 juga perlu disenaraikan kembali kerana dia jelas lebih berkualiti berbanding seorang lagi pemain sayap kiri, S. Kunanlan.“Ashaari bukan sahaja mempunyai skil menggelecek yang bagus namun hantaran bola silangnya dari sebelah kiri cukup menarik untuk disaksikan malahan sering sampai kepada rakan sepasukan yang menunggu di depan pintu gol.

“Jika kita diperhatikan kepada Kunanlan, dia memang ada aset kepantasan apabila melakukan larian, namun bila diperhatikan pada setiap perlawanan, tidak banyak hantaran silang berkualiti dapat dilakukan ke dalam kotak penalti," katanya.

Tambah Hasnizam, jentera serangan negara sebenarnya tidak mempunyai sebarang masalah dan masih yakin dengan kemampuan Norshahrul Idlan Talaha dan Safee Sali.
“Mereka berdua masih dua penyerang terbaik yang kita ada buat masa ini cuma semasa Piala Suzuki AFF, kegagalan bahagian tengah menjadi punca mengapa kita tidak mampu beraksi dengan baik.
“Safee bukan seorang penyerang yang mampu turun ke bawah selalu kerana tugasnya selaku penyudah lebih efisien jika dibiarkan selalu dalam kotak penalti sementara Norshahrul bertindak sebagai penyerang sokongan," katanya.

Sementara itu, seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Reduan Abdullah, berpendapat beberapa orang lama seperti Indra Putra Mahayuddin, Mohd. Badri Radzi dan Hairuddin Omar perlu dipanggil semula memperkuatkan Harimau Malaya.

“Pemain-pemain ini mampu memberikan banyak pilihan kepada jurulatih sama ada di bahagian serangan atau tengah jika diketengahkan dalam pasukan .
“Jika kita lihat pemain-pemain yang dipilih Rajagobal baru-baru ini, apabila berlaku kecederaan pemain utama seperti Shakir Shaari, barisan simpanan yang ada dilihat tidak begitu menyerlah.
“Safiq Rahim juga didapati tidak begitu menyerlah dan kehadirannya dalam pasukan juga perlu dinilai kembali," katanya.
Skuad kendalian Rajagobal bakal membuka tirai kelayakan Piala Asia 2015 Kumpulan D dengan menentang Qatar di Doha pada 6 Februari depan sebelum beraksi di laman sendiri bertemu Yemen, 22 Mac.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my