Memaparkan catatan dengan label Mohd. Azraai Khor Abdullah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Mohd. Azraai Khor Abdullah. Papar semua catatan

Selasa, 22 Oktober 2013

PAFA sedia bertolak ansur bebas Azraai

Oleh Azizan Hashim 
PAFA  sedia bertolak ansur  bebas  Azraai
Ipoh: Hasrat Mohd Azraai Khor Abdullah (gambar) untuk meninggalkan Perak mungkin tercapai kerana Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) dikatakan sedia bertolak ansur untuk membebaskan jurulatih itu.

Difahamkan jurulatih itu dan Timbalan Presiden PAFA, Khairul Azwan Harun sudah mencapai persetujuan dan akan memeterai perjanjian bagi membolehkannya meninggalkan Perak.
“Bertentangan dengan kenyataan Presiden PAFA Datuk Zainol Fadzi Paharuddin kelmarin bahawa kedua-dua pihak tidak mencapai persetujuan sebenarnya mereka sudah bersetuju. Azraai dijangka menandatangani surat persetujuan dan akan bebas dari sebarang ikatan dengan PAFA esok (hari ini),” kata satu sumber semalam.


Rundingan akhir

Menurut sumber itu apa yang berlaku ialah ketika Presiden PAFA itu membuat kenyataan akhbar mengenai perkara itu, rundingan antara Azraai dengan Khairul Azwan sedang berlangsung di pejabat PAFA.

“Mungkin Zainol tidak mendapat maklumat terkini ketika itu lantaran membuat pengumuman bahawa rundingan berkenaan gagal,” katanya.

Pada sidang akhbar di pejabatnya kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air itu memaklumkan PAFA tidak melepaskan Azraai kerana rundingan terakhir itu gagal.
Beliau berkata, jurulatih itu masih menjadi pegawai PAFA kerana mempunyai kontrak sehingga 2014 dan Perak ada perancangan untuknya. Pada masa sama, Zainol mengumumkan pelantikan jurulatih skuad Piala Presiden Perak, Abu Bakar Fadzim sebagai ketua jurulatih baru skuad Liga Super Perak.

Isnin, 21 Oktober 2013

Perak sudah ada pengganti Azraai



ZAINOL FADZI (kiri) bersama Abu Bakar pada sidang akhbar khas di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh semalam.


SEHARI selepas Mohd. Azraai Khor Abdullah mengambil keputusan untuk melepaskan jawatannya, semalam Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) mengumumkan Abu Bakar Fadzim sebagai ketua jurulatih baharu skuad Perak.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Azraai tetap dengan keputusan tinggalkan Perak


AZRAAI hanya sempat membimbing Perak selama semusim biarpun kontraknya bersama PAFA masih berbaki setahun.


MOHD. Azraai Khor Abdullah tidak akan berganjak dengan keputusan beliau meninggalkan Perak.
Azraai berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) dalam masa terdekat bagi menyelesaikan seba- rang perkara berbangkit.

“Keputusan saya muktamad, jadi saya harap ia dapat diselesaikan secara baik.

“Banyak perkara yang perlu diteliti memandangkan saya masih memiliki kontrak bersama Perak.
“Tengoklah dalam sehari dua ini, saya akan jumpa mereka (pihak pengurusan PAFA) dan berbincang lanjut mengenai perkara itu,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Terdahulu, pada sidang akhbar khas di Ipoh, Presiden PAFA, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin menyangkal laporan media tempatan semalam bahawa pihaknya telah mencapai persetujuan bersama dengan Azraai untuk menamatkan kontrak pengendali berusa 61 tahun itu lebih awal.

Zainol Fadzi berkata, terdapat beberapa terma dan syarat yang masih belum diputuskan dan memerlukan perbincangan lanjut antara Azraai dan pihak pengurusan PAFA.

Azraai yang mula membimbing Perak pada awal musim ini, masih mempunyai baki kontrak selama setahun dengan PAFA.

Dalam pada itu, Azraai menafi- kan desas-desus beliau akan kembali mengendalikan Kedah musim depan.

“Ia hanya satu khabar angin, selagi belum ada ‘hitam-putih’, ada baiknya saya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Buat masa ini, saya hanya mahu berehat dan menenangkan fiki- ran,” jelas beliau.

Resume Azraai bersama Kedah tidak lagi perlu dipertikaikan hasil kejayaanya membantu skuad Kenari itu melakar gelaran trebel selama dua musim berturut-turut bermula 2006/2007.

Azraai yang pernah dilantik mengendalikan skuad Harimau Muda A pada 2010, kemudiannya berhijrah ke Negeri Sembilan setahun kemudian sebelum membantu Sang Rusa mendakap gelaran Piala Malaysia pada tahun yang sama.

Beliau menyertai skuad Seladang apabila menggantikan jurulatih sementara dari Korea Sela- tan, Jang Jung.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 20 Oktober 2013

Bukan kerana kecewa: Azraai

Azizan Hashim | bhsukan@bh.com.my 
 
Bukan kerana kecewa: Azraai
‘Ini perancangan PAFA hadapi musim 2014. Ini lumrah bola sepak’

Ipoh: Mohd Azraai Khor Abdullah yang memilih menamatkan kontrak dengan Perak semalam menegaskan keputusan itu bukan didorong rasa kecewa dengan tindakan Persatuan Bola Sepak (PAFA) yang menggantung tugasnya bersama seluruh pasukan atas dakwaan wujud unsur sabotaj dan rasuah baru-baru ini.

Sebaliknya, jurulatih yang masih memiliki setahun kontrak dengan PAFA itu menegaskan keputusan berkenaan diputuskan selepas badan induk itu memiliki perancangan baru dalam menghadapi kancah Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.
“Ini adalah perancangan PAFA untuk menghadapi musim 2014. Ia perkara lumrah dalam bola sepak. Tidak ada alasan mengenai perpisahan ini.


“Malah saya berterima kasih kepada PAFA kerana memberi peluang kepada saya mengendalikan pasukan Perak selama semusim,” katanya semalam.

Tidak tahu perbincangan

Kelmarin, BH Sukan mencetuskan persoalan mengenai status Azraai selepas jurulatih itu masih tidak kelihatan di padang walaupun PAFA sudah mengumumkan pembatalan penggantungan skuad itu minggu lalu selepas bebas daripada dakwaan unsur rasuah dan sabotaj dalam kempen Piala Malaysia.

Namun, status Azraai terjawab apabila jurulatih itu mengadakan perbincangan dengan Timbalan Presiden PAFA, Khairul Azwan Harun semalam dengan kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk menamatkan kontrak.
Presiden PAFA, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin ketika dihubungi mengakui mengenai persetujuan awal penamatan kontrak itu tetapi enggan mengulas lanjut.

“Tunggulah sehingga pertemuan terakhir diadakan esok (hari ini). Terlalu awal untuk saya ulas. Lagipun saya tidak tahu butiran lanjut yang dibincangkan antara Azraai dengan Azwan,” kata Zainol.

Khamis, 26 September 2013

'Terserah kepada SPRM'


"HANYA satu prosedur biasa."
Itu cerita ringkas pengendali Perak, Mohd. Azraai Khor Abdullah selepas selesai memberikan keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Bandar Meru Raya, Ipoh kelmarin.

Meskipun dikatakan mengambil masa sehingga lapan jam apabila hanya selesai memberikan keterangan kira-kira tengah malam, Azraai kekal tenang dan mengakui tidak tertekan dengan situasi itu.

"Ia mengambil masa yang agak lama tetapi itu perkara biasa... saya perlu menjelaskan banyak perkara terutamanya mengenai kesebelasan pemain dalam perlawanan tertentu dan sebagainya.
"Kini, segala-galanya terserah kepada SPRM," katanya kepada Kosmo! semalam.

Polemik mula tercetus dalam kalangan peminat fanatik skuad Seladang ekoran tindakan drastik Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) membekukan khidmat Azraai, pegawai dan petugas pasukan itu berkuatkuasa Isnin lalu.

Ia gara-gara pihak PAFA mengesyaki wujudnya isu rasuah dan sabotaj dalam skuad Seladang selepas tersingkir dalam kempen Piala Malaysia musim ini terutamanya apabila dibelasah Sarawak 1-6 dalam aksi terakhir Kumpulan D di Kuching pada 21 September lalu.

Mengulas lanjut, Azraai memberitahu, beberapa lagi pemain Perak juga telah diambil keterangan masing-masing oleh SPRM semalam bagi membantu siasatan.

"Saya tidak tahu bila siasatan akan selesai, cuma saya harap ia dapat diselesaikan segera," jelasnya.
Pada masa sama, Azraai juga menafikan fokus anak-anak buahnya kini terjejas teruk ekoran siasatan itu.

"Pemain tetap menjalani latihan seperti biasa," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 6 September 2013

Perak mahu lupakan isu gol kontroversi



IMBAS KEMBALI... Pemain Perak dan Lions XII bercakaran selepas pengadil tidak mengesahkan gol pemain Perak pada perlawanan di Ipoh Jun lalu.


PENGENDALI Perak, Mohd. Azraai Khor Abdullah dengan berat hati menerima keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menolak bantahan rasmi pasukan itu terhadap keputusan kontroversi pengadil, Nafeez Wahab ketika aksi menentang Lions XII dalam saingan Kumpulan D Piala Malaysia.

Meskipun terkilan dengan keputusan itu, Mohd. Azraai enggan moral anak-anak buahnya terjejas dalam mengharungi baki dua lagi perlawanan selepas ini sekali gus menyambar slot ke suku akhir Piala Malaysia.

"Yang sudah itu sudahlah, tidak perlu lagi dikenang. Sudah tentu peluang kami ke suku akhir lebih cerah jika keputusan sebaliknya berlaku ketika berdepan Lions XII tempoh hari, tetapi kami perlu menerima kenyataan ini.

"Jadi, saya menuntut barisan pemain supaya 'menjawab' setiap apa yang berlaku tempoh hari dengan memburu enam mata maksimum selepas ini," katanya kepada Kosmo! semalam.

Isnin lalu, Kosmo! melaporkan hasrat Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) untuk membuat aduan serta bantahan rasmi kepada FAM ekoran kontroversi jaringan penyerang importnya, Paulo Rangel tidak disahkan oleh Nafeez ketika menentang Lions XII pada Jun lalu.

Pada aksi di Stadium Jalan Besar, Singapura itu, Perak tewas 1-2 biarpun berpeluang mencuri satu mata jika jaringan pada minit ke-79 itu diambil kira.

Berdasarkan rakaman televisyen, bola jelas dilihat melepasi garisan gol sebelum penjaga gol Lions XII, Izwan Mahbud berjaya menguis bola keluar semula dari garisan gol.

Bagaimanapun kelmarin, Setiausaha Pafa, Abdul Aziz Yeop Jamaluddin mengesahkan bantahan rasmi mereka berhubung perkara itu telah ditolak FAM atas alasan teknikal.

Abdul Aziz dilaporkan berkata, FAM dalam kenyataan balas menjelaskan bahawa pengadil perlawanan dan pembantunya mendakwa mereka tidak dapat melihat dengan jelas kedudukan bola ketika insiden berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohd. Azraai memberitahu, skuad kendaliannya telah kembali menjalani latihan Rabu lalu menjelang persiapan melayan kunjungan Kedah di Stadium Perak, Ipoh pada 17 September depan.

"Kami perlu mengatasi Kedah bagi menjamin slot ke suku akhir. Saya tidak mahu pemain menunggu sehingga perlawanan terakhir kumpulan (berdepan Sarawak) untuk layak bagi mengelak sebarang tekanan," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 18 Ogos 2013

Yob tagih magis Azraai



SENTUHAN EMAS... Azraai memikul tanggungjawab besar untuk membawa Perak ke puncak kejayaan.


NAMA pengendali Perak, Mohd. Azraai Khor Abdullah bukannya asing dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.

‘Resume’ Azraai sepanjang bergelar jurulatih sejak 1991, sememangnya tidak pernah mengecewakan sehingga beliau dikatakan memiliki ‘sentuhan emas’.

Jika diperhatikan sebelum ini, Azraai, 61, yang gemar memakai kemeja berwarna merah jambu dalam setiap perlawanan di tepi padang merupakan satu-satunya jurulatih tempatan yang berjaya merangkul gelaran trebel selama dua musim berturut-turut.

Ketika itu, beliau membimbing Kedah pada 2006 dan 2007, selain turut dianugerahkan sebagai jurulatih terbaik negara pada 2008.

Kehebatan anak jati Alor Setar, Kedah tersebut juga tidak terhenti setakat itu apabila turut membantu Negeri Sembilan menjulang Piala Malaysia 2011 selepas mengecewakan Terengganu 2-1 di pentas final.

Tidak mustahil, magis Azraai pastinya ditagih peminat fanatik skuad Kejor Yob Kejor menjelang kempen Piala Malaysia 2013 yang bakal membuka tirainya malam esok.

Bakal melayan kunjungan juara Liga Premier, Sarawak di Stadium Perak, Ipoh dalam aksi pembuka tirai Kumpulan D, tiada lain yang diharapkan peminat kecuali memulakan kempen edisi ke-87 kali ini dengan langkah kanan.

Berdasarkan reputasi Azraai yang seakan-akan memiliki magis pada kempen piala paling berprestij itu, harapan peminat skuad Seladang pastinya dilihat tinggi menggunung selepas Perak dikecewakan dalam kempen Piala FA serta sekadar menamatkan saingan Liga Super di tempat ketujuh musim ini.

Bukan apa, penantian selama 13 tahun disifatkan terlalu lama buat peminat sang Seladang selepas kali terakhir Perak menjulang Piala Malaysia edisi 2000 apabila mengecewakan Negeri Sembilan 2-0 hasil jaringan Khalid Jamlus dan V. Saravanan di Stadium Shah Alam.

Sejak itu, impian peminat untuk kembali menyaksikan Piala Malaysia kembali semula diarak ke Ipoh dilihat sering kali tergendala apabila mereka dikecewakan di pentas final sebanyak dua kali pada 2001 dan 2007 (ditewaskan Terengganu dan Kedah).

Enggan ‘terbang’ terlalu tinggi, Azraai sebaliknya menuntut komitmen anak-anak buahnya supaya melepasi peringkat kumpulan terlebih dahulu sebelum mencongak laluan ke pentas final.

Ramuan istimewa Azraai

SELAIN bersama Sarawak yang memegang status juara Liga Premier, ranjau berliku juga dilihat menanti Perak lantaran turut diundi bersama juara Liga Super musim ini, Lions XII.

Pada masa sama, cabaran bekas ‘majikan’ Azraai, Kedah juga tidak boleh dipandang sebelah mata.

“Saya melihat undian bagi Kumpulan D ini bukanlah sesuatu yang mudah buat kami. Kami perlu menentang dua juara iaitu juara Liga Super (Lions XII) dan juara Liga Premier (Sarawak).

“Seperti sedia maklum, bukan kami sahaja tetapi semua pasukan tempatan sememangnya mengakui kesukaran dan akan menjadi ‘mangsa’ ketika beraksi di Stadium Jalan Besar ketika berdepan Lions XII.
“Selain itu, bermain di Kuching ketika berdepan Sarawak juga dijangka memberi tekanan kepada pasukan pelawat,” jelas Azraai kepada Kosmo! baru-baru ini.

Namun, ia bukan petanda Azraai sudah mengibarkan ‘bendera putih’ sebelum berjuang.

Menurut beliau, amat penting buatnya menyediakan pasukan yang mantap dan optimis skuad kendaliannya bakal tampil dengan aksi memberangsangkan ketika beraksi di gelanggang sendiri di Stadium Perak, Ipoh.

Justeru kata Azraai, anak-anak buahnya perlu berhati-hati pada aksi pertama bertemu Bujang Senang malam esok kerana beliau sedar pasukan lawan berada dalam momentum terbaik selepas menamatkan kempen Liga Premier dengan rekod tanpa kalah musim ini.

“Kami mengharapkan sedikit tuah beraksi di halaman sendiri untuk ‘menjinakkan’ Sarawak dan saya juga optimis kerana semua pemain saya berada dalam motivasi terbaik serta cergas sepenuhnya.

“Sejujurnya, barisan pemain saya tidak sabar memulakan aksi pertama kempen Piala Malaysia kali ini,” katanya.

Lebih menarik, Azraai juga dilihat memiliki ‘ramuan’ istimewa apabila menampilkan lapan pemain Piala Presiden pada kempen Piala Malaysia kali ini.

Kelapan-lapan pemain itu adalah Muhammad Syamil Khairi, Muhd. Rafiq Rafeez, Amirul Azahan Aznan, G. Mugenthiran, Mohd. Norhakim Isa dan Khairul Asyraf Sahizah.

Kehadiran pemain muda itu pastinya mencetuskan persaingan yang sihat kepada pemain utama skuad Seladang dan ia diakui kapten pasukan, Shahrulnizam Mustapha.

Bukan mudah menangi hati peminat

BEKAS pemain kebangsaan berusia 32 tahun itu berkata, ia suatu tindakan positif yang diterapkan Azraai bagi memastikan mereka bersedia memberikan cabaran dalam kempen Piala Malaysia kali ini.
“Ia suatu persaingan yang sihat... skuad utama pastinya berasa tercabar dengan kehadiran pemain skuad Presiden, sekali gus meningkatkan kualiti permainan masing-masing.

“Dengan persediaan yang rapi serta pasukan dilihat tampak bersedia tanpa sebarang kecederaan serius, saya harap kami mampu mara lebih jauh pada kempen Piala Malaysia kali ini.

“Ini peluang terakhir kami mendakap trofi pada musim ini, jadi saya menyeru rakan-rakan sepasukan memberikan yang terbaik kerana belum tentu kami akan beraksi bersama-sama lagi sebagai satu pasukan musim depan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Shahrulnizam berkata, dia juga ‘sudah masak’ dengan corak taktikal Azraai apabila pernah bersama jurulatih itu dengan skuad Kedah pada musim 2008.

Selain itu katanya, sokongan padu penyokong Kejor Yob Kejor juga ditagih bagi menyemarakkan semangat pemain memburu slot final Piala Malaysia.

“Bukan mudah untuk memenangi hati peminat sebenarnya. Tempoh 13 tahun sememangnya terlalu lama bagi menamatkan penantian peminat Perak bagi mendakap trofi Piala Malaysia.

“Namun, dalam bola sepak segala-galanya tidak mustahil. Tekanan pasti ada tetapi ia tidak akan menjejaskan tumpuan kami,” katanya yang kini bebas sepenuhnya daripada kecederaan pergelangan kaki kiri.

Pada masa sama, Shahrulnizam juga menganggap saingan Kumpulan D kali ini dianggap seimbang dan kesemua pasukan memiliki peluang sama rata ke suku akhir.

“Kemampuan Lions XII tidak lagi perlu dipertikai, cuma kekuatan sebenar Sarawak menimbulkan kebimbangan kerana mereka jelas berbeza berbanding musim lalu.

“Pasukan Kedah juga mampu melakar kejutan biarpun tidak begitu konsisten dalam saingan Liga Premier musim ini.

“Bagi saya, pasukan mana yang mampu mengekalkan corak permainan yang konsisten maka pasukan itulah yang akan melepasi peringkat kumpulan,” jelasnya.

Tidak memiliki sebarang sentimen peribadi kali ini, Shahrulnizam juga berazam memberikan yang terbaik sekiranya kembali menggalas tugas selaku kapten pada kempen kali ini.

“Terpulang kepada jurulatih... jika ia (lilitan kapten) diserahkan kepada Shahrom (Abdul Kalam) juga tiada masalah.

“Apa yang paling mustahak, saya cuba mengelak daripada mengalami kecederaan pada saat-saat akhir supaya tidak ‘berputih mata’ untuk beraksi pada kempen kali ini,” katanya.

Hadi mahu temui semula sentuhan penyudah

APA yang pasti, ketajaman jentera penyudah skuad Seladang pada kempen kali ini juga pastinya dituntut Azraai bagi mencerahkan peluang ke suku akhir.

Selain penyerang import pinjaman daripada kelab Muangthong United, Paulo Rangel yang mencetak sembilan gol musim ini, rangkaian penyerang Seladang tampak agak tumpul apabila sekadar menyumbat 23 gol dalam kempen Liga Super.

Pemenang anugerah Kasut Emas Liga Super 2011, Abdul Hadi Yahya juga sekadar meledak tiga gol bersama Perak musim ini.

“Saya mengakui prestasi saya agak jatuh dan berharap dapat mencari rentak terbaik untuk membantu Perak pada kempen Piala Malaysia kali ini.

“Jika diberikan peluang, saya mahu membantu pasukan saya dan sudah tentu kami semakin bersemangat untuk mengharungi kempen Piala Malaysia.

“Apa yang pasti, saya akan berusaha mencari rentak dan berharap dapat mengulangi sentuhan cemerlang seperti bersama bekas pasukan dulu,” katanya.

Selain Abdul Hadi dan Rangel, antara pemain prolifik yang menyarung jersi skuad Seladang termasuklah Mohd. Khairi Kiman, Yong Kuong Yong, R. Surendran dan S. Chanturu.

Ketangkasan penjaga gol Harimau Malaya, Mohd. Farizal Marlias juga ditagih Azraai bagi mengekang serangan bertali arus jentera serangan lawan sepanjang kempen Piala Malaysia kali ini.

Musim terakhir Azraai bersama Perak?

DALAM pada itu, masa depan Azraai bersama Perak mula menimbulkan persoalan ekoran beliau dikatakan akan kembali semula ke pangkuan Kedah musim depan.

Segala-galanya bermula selepas Azraai dikesan hadir menyaksikan perlawanan antara sang Kenari dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam aksi Liga Premier di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada penghujung Mei lalu.

Namun, Azraai segera menangkis spekulasi itu, sekali gus meredakan kegelisahan penyokong skuad Seladang.

“Saya sedang bercuti... saja datang hendak menyaksikan perlawanan bola sepak,” katanya kepada pemberita di Alor Setar ketika itu.

Biar apa juga spekulasi yang tercetus, trofi Piala Malaysia pastinya menjadi idaman Azraai sebagai ‘hadiah perpisahan’ jika benar ‘jodoh’ beliau bersama skuad Seladang bakal terlerai penghujung musim ini.

Penyokong Yob harap tuah Stadium Perak

KEMBALI beraksi di gelanggang ‘keramat’, Stadium Perak, Ipoh diharap mampu memberikan tuah kepada Seladang melangkah lebih jauh dalam kempen Piala Malaysia kali ini.

Selepas menghabiskan sebahagian besar aksi Liga Super musim ini di Stadium Lumut, penyokong Kejor Yob Kejor pastinya teruja apabila kembali menjadi tuan rumah kempen Piala Malaysia di Ipoh.
“Diharapkan semangat ‘baharu’ kembali beraksi di Stadium Perak akan meresap di jiwa pemain bagi memberikan yang terbaik pada kempen Piala Malaysia kali ini,” kata Presiden Kelab Peminat Bola Sepak Perak (KPBP), Abdul Jamil Othman kepada Kosmo! baru-baru ini.

Sebelum ini, skuad kendalian Azraai terpaksa beraksi di Stadium Lumut ekoran tahap kecerahan lux lampu di Stadium Perak tidak melepasi tahap piawaian Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) iaitu 1,500 lux.

Namun selepas menerima penambahbaikan baru-baru ini, tahap kecerahan lampu Stadium Perak kini mencecah 2,525 lux.

Abdul Jamil berkata, meskipun sedar ‘kemarau’ Perak dalam kempen Piala Malaysia telah melebihi sedekad, pihaknya enggan memberikan tekanan kepada pasukan kesayangan mereka.

Sebaliknya, beliau berharap skuad Seladang mampu melangkah ke suku akhir terlebih dahulu pada kempen kali ini.

“Jika muncul juara kumpulan sudah dianggap bonus tetapi kejayaan melepasi peringkat kumpulan sudah memadai.

“Atas kertas, Lions XII dilihat pencabar utama kami, namun ia tidak boleh dijadikan alasan kerana Perak pernah mengikat mereka di Stadium Lumut (seri 1-1) pada kempen Liga Super sebelum ini.

“Pada masa sama, ancaman dua pasukan daripada Liga Premier, Sarawak dan Kedah tidak boleh dipandang mudah dan boleh menjerat kami sekiranya kurang berwaspada,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Khamis, 10 Januari 2013

Kekal formasi 4-2-4



AZRAAI akan terus menggunakan formasi 4-2-4 pada aksi menentang Johor DT malam ini.


PERAK dijangka menggunakan formasi 4-2-4 bagi mengekang kemaraan skuad impian, Johor Darul Takzim (Johor DT) dalam saingan Liga Super di Johor Bahru malam ini.

Jurulatih, Mohd. Azraai Khor Abdullah membayang- kan akan menggunakan formasi tersebut dalam usaha mengekang kemaraan skuad yang dibarisi pemain bintang ternama itu.

Sebelum ini, Azraai menggunakan formasi tersebut bagi mengawal kemaraan T-Team pada aksi yang berlangsung di Lumut, Selasa lalu dan hasilnya Perak berjaya mencatat kemenangan 1-0.

Azraai menggunakan Rafel Souza, Shahrom Kalam, Khairi Kiman dan M. Sivakumar bagi mematahkan serangan T-Team yang diketuai bintang import, George Boateng.

"Perak akan mengekalkan corak permainan tersebut kerana persembahan yang dipamerkan oleh para pemain ternyata bertenaga," jelas Azraai di Ipoh semalam.

Kawalan ketat perlu dilakukan ke atas setiap pergerakan bintang Johor DT seperti Norshahrul Idlan Talaha, Safee Sali, Mohd. Shafiq Rahim dan Azwan Roya kerana mereka mampu menggegarkan gawang Perak.

Selain itu, Azraai dijangka mengekalkan bekas penjaring terbanyak Liga Super 2012, Abdul Hadi Yahaya bersama-sama Mohd. Failee Ghazali, Yong Kuong Yong dan Mohd. Nasir Basharuddin sebagai penggempur utama Perak.

Namun begitu, Perak perlu lebih berhati-hati semasa bertandang di gelanggang lawan kerana Johor DT sudah pastinya mahu mencari kemenangan pertama.

Sebelum ini, anak-anak buah Fandi Ahmad kalah mengejut kepada pendatang baharu Liga Super, Pahang 2-3 pada aksi pembuka tirai, Selasa lalu.

Skuad yang mendapat jolokan Harimau Selatan itu sudah pasti akan menurunkan barisan terkuatnya bagi mencari kemenangan pertama.

Menurut Azraai, Perak sudah bersedia untuk berdepan lawan mereka itu dan berharap kedua-dua pasukan dapat mempamerkan permainan yang berkualiti.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my