Memaparkan catatan dengan label Mexico. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Mexico. Papar semua catatan

Ahad, 23 Jun 2013

Mexico menang, tapi tiada makna


BELO HORIZONTE, Brazil - Bintang penyerang Manchester United, Javier Hernandez menjaringkan dua gol tetapi terlepas sepakan penalti lewat minit ketika membantu Mexico menumpaskan Jepun 2-1 dalam saingan Piala Konfederasi di sini, semalam.

Kekalahan tersebut meninggalkan juara Asia menutup kempen di Brazil tanpa sebarang kemenangan dan mata. 

Hernandez, sebaliknya menjaringkan gol ketiganya pada Piala Konfederasi untuk menghadiahkan kemenangan pertama buat Mexico.

Kemenangan itu bagaimanapun tidak memberi makna kerana Brazil dan Itali sudahpun mengesahkan tiket separuh akhir daripada Kumpulan A. 

Hernandez, yang sebelum ini menjaringkan gol tunggal Mexico ketika tewas 1-2 kepada Itali, membuka jaringan Mexico pada minit ke-54. 

Dia melakukan larian yang sempurna untuk menyambut hantaran silang Andres Guardado sebelum menanduk bola melepasi jangkauan penjaga gol Jepun, Eiji Kawashima.

Hanya 12 minit kemudian, bintang United itu melebarkan kedudukan 2-0. 

Kali ini, Giovani Dos Santos mengambil sepakan sudut yang kemudian ditendang oleh Hiram Mier kepada Hernandez, yang menanduk bola dari jarak dekat. 

Biarpun ketinggalan dua gol, Jepun belum berputus asa. Yasuyuki Konno hampir merapatkan kedudukan tetapi rembatan cantiknya ditepis oleh penjaga gol lawan, Guillermo Ochoa.

Jepun, yang sudah layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2014 bagaimanapun berjaya merapatkan kedudukan empat minit sebelum tamat permainan menerusi penyerang Stuttgart, Shinji Okazaki yang mudah menolak bola ke gawang. 

Hernandez berpeluang melebarkan kedudukan 3-1 pada masa kecederaan tetapi dia dijatuhkan dalam kotak penalti. 

Kawashima bagaimanapun beraksi baik apabila menepis sepakan penalti yang diambil penyerang United itu, Hernandez melakukan percubaan kedua menerusi bola yang melantun tetapi tendangannya kali ini melepasi palang gol. 

Kemenangan ini memboleh Mexico, yang sebelum ini kalah 0-2 kepada tuan rumah, Brazil sekadar menghuni tangga ketiga. 

Jepun pula menamatkan kempen dengan tiga kekalahan selepas tunduk 0-3 kepada Brazil dan 3-4 kepada Itali. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Khamis, 20 Jun 2013

Neymar inspirasi Brazil


NEYMAR (kiri) menampilkan satu persembahan yang memukau ketika membantu Brazil menewaskan Mexico 2-0 awal pagi semalam.



FORTALEZA, Brazil - Penyerang Brazil, Neymar menampilkan satu persembahan yang memukau ketika membantu skuad Samba menewaskan Mexico 2-0 pada aksi kedua Kumpulan A kempen Piala Konfederasi 2013 awal pagi semalam.

Pada aksi di Stadium Castelao itu, Neymar meletakkan Brazil di depan seawal minit kesembilan menerusi satu rembatan voli kaki kirinya.

Pemain baharu Barcelona itu turut memainkan peranan penting untuk membantu Brazil merekodkan kemenangan kedua pada kejohanan ini.

Neymar berjaya melepasi dua pemain pertahanan Mexico sebelum melorongkan bola kepada pemain gantian, Jo yang mudah menolak bola tersebut ke gawang lawan.

"Saya gembira kerana dapat bermain dengan baik (ketika menentang Mexico).
"Namun, perkara paling penting bagi saya adalah kami bermain sebagai sebuah pasukan dan mempamerkan satu persembahan yang menarik.

"Kami semakin meningkat dalam setiap perlawanan. Kemenangan ini akan memberikan kami lebih banyak keyakinan buat kami sebelum menghadapi perlawanan seterusnya (menentang Itali)," kata Neymar.

Kekalahan itu turut menyaksikan Mexico yang berjaya menewaskan Brazil dua kali sepanjang tiga perlawanan sebelum ini, tersingkir awal daripada Piala Konfederasi tahun ini.

Antara kejayaan bermakna Mexico ke atas Brazil adalah ketika menewaskan skuad Samba yang diketuai Neymar dan Oscar pada final Sukan Olimpik 2012 di London.

"Saya tahu, beberapa pemain masih belum dapat melupakan kekalahan kepada Mexico pada aksi final Sukan Olimpik 2012.

"Namun, apa yang paling penting, kami berjaya merakamkan kemenangan ini (awal pagi semalam)," kata jurulatih Brazil, Luiz Felipe Scolari. - AP

Selasa, 18 Jun 2013

Brazil ketepi dendam jumpa Mexico

NEYMAR (tengah) menjalani sesi latihan skuad Brazil di Brasilia semalam sebagai persediaan menentang Mexico pada Piala Konfederasi awal pagi esok. - AGENSI 
 
FORTALEZA - Pertahanan kiri Brazil Marcelo berkata, mereka tidak terfikir untuk membalas dendam ke atas Mexico apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi kedua Piala Konfederasi, awal pagi esok.

Pertembungan terakhir kedua-dua pasukan berkesudahan dengan Mexico mengejutkan juara dunia lima kali itu dengan kemenangan 2-1 pada final Sukan Olimpik London, tahun lalu.

Kekalahan itu cukup menyakitkan Brazil yang belum pernah memenangi pingat emas Sukan Olimpik, tetapi Marcelo mengakui mereka kini dapat menerima hakikat terhadap kekalahan tersebut.
"Kekalahan kepada Mexico tidak memberikan kesan kepada saya, kami tidak melihat perlawanan ini sebagai peluang untuk membalas dendam.

"Sudah tentu saya masih ingat kekalahan pada final Sukan Olimpik dan ia cukup menyedihkan buat pemain serta seluruh Brazil, memang menyukarkan untuk mengatakan kami gagal menembusi kekebalan pertahanan Mexico.

"Kami sedar Mexico mempunyai ramai pemain hebat namun kami adalah Brazil, kami juga mempunyai ramai pemain bintang dan sudah tentu perlawanan itu nanti akan sukar apabila menemukan kedua-dua pasukan, " katanya.

Dia merupakan antara tiga pemain yang melebihi umur 23 tahun dalam skuad Olimpik Brazil tahun lalu.

Brazil memulakan Piala Konfederasi dengan kemenangan bergaya 3-0 ke atas wakil Asia, Jepun melalui jaringan menarik Neymar di Brasilia.
Jika menang ke atas Mexico dalam perlawanan di Estadio Castelao, ia sudah menjamin tempat buat Brazil ke separuh akhir.

Namun Marcelo enggan menyatakan mengenai prospek 'final impian' bertemu juara Piala Dunia, Sepanyol.

"Anda boleh bercakap bahawa Sepanyol bakal menanti kami pada perlawanan akhir, tetapi kejohanan ini baru sahaja bermula.

"Jika kami bertemu mereka pada perlawanan akhir, sudah tentu ia amat baik kerana ia pasti akan menjadi satu perlawanan yang hebat, namun jangan lupa kami masih perlu berdepan Mexico dan Itali.

"Setiap pasukan mempunyai peluang, termasuk Tahiti, kami tidak berhak untuk memilih siapa lawan kami dalam pusingan seterusnya, " katanya. 

Selain kemenangan pada Sukan Olimpik, Mexico juga berjaya menumpaskan Brazil pada aksi persahabatan terakhir di Texas tahun lalu. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Isnin, 17 Jun 2013

Balotelli cetus kontroversi



BALOTELLI (tengah) menanggalkan jersinya selepas meledakkan gol kemenangan 2-1 Itali ke atas Mexico pada aksi Kumpulan A kempen Piala Konfederasi 2013 di Stadium Maracana awal pagi semalam.



RIO DE JANEIRO - Pengendali Itali, Cesare Prandelli menyelar tindakan Mario Balotelli ketika menewaskan Mexico 2-1 pada aksi Kumpulan A kempen Piala Konfederasi 2013 awal pagi semalam.
Pada aksi di Stadium Maracana tersebut, penyerang AC Milan berusia 22 tahun itu membuka jersinya bagi meraikan kejayaan menjaringkan gol kemenangan Itali pada minit ke-78.

Insiden itu menyebabkan Balotelli dilayangkan kad kuning oleh pengadil.
"Balotelli tidak sepatutnya bertindak seperti itu (membuka jersi) setiap kali dia menjaringkan gol.
"Dilayangkan kad kuning pada pertandingan seperti ini gara-gara kesalahan tersebut memang satu tindakan yang bodoh," kata Prandelli.

Itali terlebih dahulu mendahului menerusi jaringan Andrea Pirlo pada minit ke-27 sebelum Javier Hernandez mengikat kedudukan pada minit ke-34.

Namun, Prandelli mengakui lega kerana kemenangan itu dianggap sebagai penyuntik moral menjelang aksi kedua kumpulan berdepan Jepun.

"Ia satu perlawanan yang cukup sengit tetapi kami berjaya mendominasi saingan.
"Mexico menghukum kesilapan kami dengan melancarkan serangan balas," katanya.
Prandelli turut menuntut anak-anak buahnya supaya berwaspada dengan ancaman Jepun yang tewas 0-3 kepada tuan rumah, Brazil kelmarin.

"Jurulatih Jepun (Alberto Zaccheroni) cukup memahami corak permainan kami.
"Jadi, kami perlu kekal berwaspada jika mahu membawa pulang tiga mata, sekali gus menjamin slot ke separuh akhir sebelum berdepan Brazil pada aksi terakhir kumpulan," katanya.

Dalam pada itu, jurulatih Mexico, Jose Manuel de la Torre menganggap kemenangan Itali lebih banyak bergantung kepada keupayaan individu pemain.

"Atas kertas, kemampuan kedua-dua pasukan tidak banyak bezanya. Itali memiliki pemain yang mempunyai skil individu yang tinggi.

"Ada kelemahan yang perlu diperbaiki sebelum berdepan Brazil," katanya. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my