Memaparkan catatan dengan label Andy Murray. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Andy Murray. Papar semua catatan

Selasa, 9 Julai 2013

Murray mahu jadi United sukan tenis

andy Murray (kanan) bersalam dengan Perdana Menteri Britain, David Cameron di London, semalam pada majlis meraikan kejayaannya memenangi kejohanan Wimbledon dengan mengalahkan Novak Djokovic pada final Ahad lalu. - AFP
 
LONDON - Andy Murray mahu menjadi ‘Manchester United dalam sukan tenis’ dengan bantuan Alex Ferguson.

Juara Wimbledon itu berkata: “Alex seorang yang menakjubkan. Anda boleh belajar banyak daripadanya. Dia berkata kepada saya bahawa dia membina pasukan berasaskan konsistensi dan tumpuan."

Kini Murray mahu menjadikan dirinya seperti ‘mesin trofi’ seperti mana kejayaan United sepanjang 26 tahun di bawah Fergie, sebelum bersara baru-baru ini.

Tambah Murray: “Alex mempunyai etika kerja yang menakjubkan sepanjang bersama United.
“Jika anda fokus di sepanjang perlawanan, anda akan mendapat konsistensi. Itulah yang saya cuba lakukan di sepanjang kejohanan.

“Dia melakukannya di sepanjang kariernya. Dia memenangi begitu banyak kejayaan sepanjang kariernya sebagai pengurus."

Murray berbual selama 20 minit dengan Fergie minggu lalu dan legenda Old Trafford itu menghantar ucapan tahniah kepada Murray selepas mengalahkan Novak Djokovic dalam perlawanan akhir kejohanan Wimbledon.

Murray akan mempertahankan kejuaraan Terbuka Amerika Syarikat bulan depan.
Untuk kejohanan tersebut, Murray berkata: “Saya harus menggunakan kejayaan menawan Wimbledon sebagai semangat.

“Matlamat saya ialah untuk memenangi lebih banyak kejohanan Grand Slam. Anda akan dikenang kerana kejayaan memenangi kejohanan Grand Slam." - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

'Jangan sia-siakan kejayaan saya'

LONDON - Andy Murray memberikan amaran kepada Persatuan Tenis Britain.

Murray, 26, berkata, Britain mungkin terpaksa menunggu selama 77 tahun lagi untuk menjulang trofi Wimbledon sekiranya mereka mempersia-siakan keuntungan yang diperoleh daripada kejohanan itu.
Murray muncul pemain pertama Britain sejak Fred Perry pada 1936 yang memenangi gelaran perseorangan lelaki pada kejohanan Grand Slam di gelanggang rumput itu selepas mengalahkan pemain No. 1 dunia, Novak Djokovic 6-4, 7-5, 6-4 kelmarin.

Namun, di sebalik sorakan dan ucapan tahniah yang diberikan bintang Hollywood kepada Ratu Elizabeth, Murray mengakui bahawa sukan tenis di Britain masih ketinggalan.

Pemain No. 2 dunia dari Scotland itu adalah satu-satunya pemain Britain yang berada dalam ranking 200 pemain terbaik dunia.

James Ward berada di kedudukan ke-219, Daniel Baker (255), manakala Alex Bogdanovic di ranking ke-275 dunia.

Hanya Ward yang berusia 26 tahun dan pemain remaja kelahiran Afrika Selatan, Kyle Edmund yang beraksi pada Wimbledon, namun kedua-duanya tersingkir di peringkat pertama lagi.

Meskipun Wimbledon mencatat keuntungan 56.2487 juta pound (RM268.826 juta) pada 2012, wang tersebut disalurkan kepada perkembangan sukan lain di negara itu.

"Saya harap, kami tidak perlu menanti selama ini lagi. Ini satu kejohanan tenis yang sukar untuk dimenangi. Jadi, masih ada kemungkinan kami terpaksa menantinya untuk satu tempoh yang lama.

"Saya rasa dengan jumlah wang yang dilaburkan dalam sukan di negara ini, ia tidak sepatutnya mengambil masa lebih 70 tahun untuk pemain Britain menjuarainya," kata Murray.

Murray menghabiskan kebanyakan masanya di luar Britain untuk menjalani latihan di Sepanyol ketika masih remaja.

Dia percaya, kejayaan di Wimbledon dan pengalamannya selama ini mengajarnya menjadi lebih tabah, rajin serta tidak terlalu bergantung kepada bantuan kewangan daripada Persatuan Tenis Britain.
"Saya rasa, saya seorang yang rajin. Itulah rahsianya dan mungkin itulah kisah hidup karier saya.

"Saya telah merasai banyak kekalahan tetapi saya rasa, saya semakin meningkat setiap tahun," kata Murray.
- AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 5 Julai 2013

Murray berhempas pulas


Murray mempamer kebangkitan dramatik untuk
mara ke separuh akhir Kejohanan Tenis Wimbledon kelmarin.


LONDON - Pemain No. 2 dunia, Andy Murray mempamer kebangkitan dramatik untuk menewaskan Fernando Verdasco pada aksi suku akhir Kejohanan Tenis Wimbledon kelmarin.

Murray menewaskan pemain ranking ke-54 dunia dari Sepanyol itu 4-6, 3-6, 6-1, 6-4, 7-5 dalam satu pertarungan yang mendebarkan selama hampir tiga jam setengah, sekali gus mencerahkan peluang menjadi pemain pertama Britain muncul juara sejak 1936.

Pemain pilihan kedua tersebut dijadualkan berdepan pemain Poland, Jerzy Janowicz pada separuh akhir hari ini selepas pemain pilihan ke-24 itu menumpaskan rakan senegara, Lukasz Kubot straight set 7-5, 6-4, 6-4.

"Saya berjaya mengharungi satu perlawanan yang sangat mencabar. Keputusan boleh menjadi sebaliknya. Saya dapat mencari jalan melepasinya dan itu sahaja yang diperlukan.

"Saya mula bermain dengan baik dan tidak terburu-buru apabila mendapat peluang.

"Pada penghujung permainan, suasana di sini sangat menakjubkan. Sesuatu yang hebat apabila berjaya melepasi halangan ini," kata Murray selaku juara Terbuka Amerika Syarikat dan Olimpik.

Selepas pencabar terdekat, Roger Federer, Rafael Nadal dan Jo-Wilfried Tsonga tersingkir awal daripada kejohanan Grand Slam di gelanggang rumput itu, para peminat dan media Britain meletakkan harapan yang besar kepada pemain berusia 26 tahun itu.

"Saya mengetahui betapa hebatnya pemain ini (Verdasco) meskipun ramai yang berkata dia tidaklah sehebat mana," kata Murray yang menganggap Verdasco sebagai pemain yang sangat berbahaya.

Pertarungan itu turut mendebarkan hati lebih daripada 15,000 penonton yang memenuhi gelanggang utama Kelab Seluruh England itu. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my