Memaparkan catatan dengan label Norfarhan Muhammad. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Norfarhan Muhammad. Papar semua catatan

Selasa, 12 November 2013

‘Jiwa Norfarhan masih terpahat di TRW’

Oleh Rizar Mohd Noor dan Mohd Nor Asri Yaacob 
‘Jiwa Norfarhan masih terpahat di TRW’
Johor Bahru: Hasrat Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk mendapatkan khidmat penyerang Kelantan, Mohd Norfarhan Muhammad beraksi bersama pasukan itu pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan tidak kesampaian.

Ini berikutan pemain kelahiran Terengganu itu yang pada awalnya sudah bersetuju untuk beraksi bersama skuad Harimau Selatan, membuat pusingan U dengan memohon supaya dilepaskan.
Menurut kenyataan media Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Mohd Norfarhan tidak akan bersama skuad Harimau Selatan musim depan kerana masalah peribadi dan keluarga.


“Pemain itu secara rasmi memohon untuk tidak bersama skuad itu musim depan dan polisi PBNJ lebih menumpukan kepada pemain yang benar-benar mahu berbakti kepada skuad Harimau Selatan.

“Oleh itu, PBNJ tidak akan menyekat kemahuan pemain itu dan berharap dia berjaya dengan pasukan baru pilihannya,” kata kenyataan itu semalam.

Di Kota Bharu, selepas dilepaskan JDT, Norfarhan kemungkinan akan menyarung jersi negeri atau kelab di sebuah negeri di Pantai Timur.

Mengikut sumber, Norfarhan atau lebih dikenali sebagai ‘Ben 10’ mahu kekal bersama The Red Warriors (TRW), namun dia buntu selepas KAFA tidak ‘membela’ nasibnya.
Ubah fikiran

Katanya, pada awalnya pemain itu menerima tawaran JDT, tetapi dia mengubah fikiran dan berhasrat untuk kekal bersama TRW atas faktor kemahuan keluarga dan peminat.

Bagi menyelesaikan masalah ini, Norfarhan meminta Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menjadi orang tengah untuk berunding dengan PBNJ bagi membolehkan dia kekal di Kelantan.

“Memang diakui Norfarhan menerima tawaran lumayan daripada JDT, tapi dia mahu kekal bersama TRW. Bagaimanapun, tiada seorang pun pegawai KAFA tampil untuk menjadi orang tengah membantunya,” katanya sambil menambah Norfarhan kini berada dalam tertekan berhubung isu itu.

Isnin, 1 Julai 2013

Farhan balas kepercayaan Hodak

Oleh NOR AZIRAN YUNUS


FARHAN (kanan) membalas kepercayaan Hodak dengan menjaringkan gol kemenangan Kelantan pada final Piala FA 2013 menentang Johor DT kelmarin.


PENYERANG Kelantan, Mohd. Norfarhan Muhammad yang muncul wira skuad The Red Warriors (TWR) apabila menjaringkan gol kemenangan pasukan itu ketika menewaskan Johor Darul Takzim (Johor DT) 1-0 pada perlawanan akhir Piala FA malam kelmarin, berasa puas kerana dapat membalas kepercayaan yang diberikan oleh jurulatihnya, Bojan Hodak.

Pada final Piala FA menentang Sime Darby FC tahun lalu, Norfarhan sekadar menyaksikan rakannya beraksi daripada bangku pemain simpanan kerana Hodak lebih berminat menggunakan gandingan Norshahrul Idlan Talaha serta Mohammad Ghaddar ketika itu.

Kira-kira lima bulan selepas itu, dalam final Piala Malaysia menentang Angkatan Tentera (ATM) pula, penyerang berusia 29 tahun itu sekali lagi menjadi penonton apabila menjalani penggantungan perlawanan akibat menerima dua kad kuning.

Namum, segala kenangan pahit itu terus lenyap di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin apabila Norfarhan yang menerima umpanan sempurna daripada kapten, Mohd. Badhri Mohd. Radzi menampilkan aksi tenang untuk menyudahkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-16 sekali gus membantu Kelantan mengekalkan kejuaraan Piala FA yang dimenangi mereka tahun lalu.

"Saya sangat gembira serta berbangga kerana menjadi sebahagian dalam sejarah gemilang pasukan Kelantan dan saya anggap kejayaan ini hasil usaha keras semua pihak yang terlibat dalam membangunkan bola sepak Kelantan.

"Saya tidak kisah siapa pun yang menjaringkan gol, namun apa yang paling penting bagi saya adalah dapat bermain dalam perlawanan akhir ini.

"Bagi saya, kemenangan ini adalah hasil permainan berpasukan dan kerjasama semua pihak," kata Norfarhan ketika ditemui Kosmo! selepas perlawanan akhir Piala FA malam kelmarin.

Kejayaan Kelantan itu membolehkan mereka mengekalkan kejuaraan Piala FA yang dimenangi tahun lalu manakala bagi pasukan Johor DT, kegagalan itu telah menangguhkan hasrat mereka untuk mencatat kejuaraan buat pertama kali dalam kejohanan kalah mati itu.

Ketua pasukan Kelantan, Mohd. Badhri pula telah dipilih sebagai Pemain Terbaik perlawanan akhir Piala FA tersebut selepas berjaya mengemudi dengan baik jentera tengah pasukan Kelantan serta berjaya menenggelamkan arkitek Johor DT, Mohammad Safiq Rahim.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Sabtu, 29 Jun 2013

Kelantan juara lagi

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI dan NOR AZIRAN YUNUS



KELANTAN membuktikan status sebagai pasukan gergasi selepas menundukkan Johor Darul Takzim (Johor DT) 1-0 pada final Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.
Penyerang The Red Warriors, Mohd. Norfarhan Muhammad muncul wira pasukannya apabila meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-16.

Kemenangan itu turut menyaksikan skuad kendalian Bojan Hodak berjaya mempertahankan kejuaraan Piala FA selepas menjulang trofi berprestij negara itu dengan menewaskan Sime Darby 1-0 tahun lalu.

Beraksi di separuh masa pertama, Kelantan jelas menguasai permainan dengan mendominasi bahagian tengah.

Gandingan kapten The Red Warriors, Mohd. Badhri Mohd. Radzi bersama Mohd. Shakir Shaari memberikan impak kepada jentera serang yang kerap kali berjaya menembusi benteng pertahanan Harimau Selatan.

Hasilnya, Bahdri yang juga dikenali sebagai Piya, bijak melorongkan bola kepada Norfarhan dan penyerang Kelantan itu mudah menolak masuk dengan menewaskan penjaga gol Johor DT, Muhammad Al-Hafiz Hamzah pada minit ke-16.

Tersentak dengan jaringan pertama perlawanan itu, jurulatih Harimau Selatan, Fandi Ahmad melakukan tiga pertukaran pemain iaitu membawa masuk Leonel Nunez, K. Thanaraj dan Ahmad Ezrie Shafie dan mengeluarkan Safee Sali, Andrea Francisco dan Safiq Rahim.

Begitupun, percaturan pengendali kelahiran Singapura itu masih gagal membuahkan hasil sekali gus menyaksikan keputusan 1-0 kekal sehingga tamat aksi babak pertama perlawanan.

Bersambung di separuh masa kedua, Harimau Selatan kembali mengasak benteng pertahanan The Red Warriors, namun Obinna Nwaneri dan Nik Shahrul Azim yang mengetuai benteng pertahanan Kelantan, mempamerkan aksi cemerlang dengan menggagalkan setiap percubaan merbahaya pasukan dari selatan tanah air itu.

Gandingan pertahanan Kelantan itu berjaya menggagalkan setiap asakan jentera serangan Harimau Selatan yang diketuai Norshahrul Idlan Talaha.

Penyerang import Johor DT, Nunez hampir berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma namun percubaan itu masih gagal untuk menewaskan penjaga gol The Red Warriors, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-78.

Berselang seminit kemudian, Nurul Azwan Roya berjaya melepasi benteng pertahanan lawan tetapi hantaran lintang itu berjaya dihidu Khairul Fahmi yang mudah menangkap bola itu bagi menyelamatkan keadaan.

Harimau Selatan yang terdesak untuk memburu jaringan penyamaan, akhirnya terpaksa akur selepas gagal menembusi benteng pertahanan The Red Warriors sekali gus menyaksikan Kelantan memenangi perlawanan tersebut dengan keputusan 1-0.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Semangat Farhan berkobar-kobar


FARHAN tidak rela berputih mata.


MUSIM lalu, beliau antara pemain yang menyumbang jumlah gol yang agak banyak untuk pasukan Kelantan pada saingan Piala FA namun, nasibnya tidak begitu baik apabila hanya sekadar menjadi penonton tatkala rakan sepasukannya meraikan kemenangan menewaskan Sime Darby untuk merangkul kejuaraan Piala FA.

Semuanya gara-gara memungut kad kuning kedua ketika aksi separuh akhir ketika menentang Selangor dan ia menyebabkan Norfarhan Muhammad terpaksa akur dengan peraturan yang ditetapkan menyebabkan dia digantung satu perlawanan sekali gus terlepas aksi final.

Musim ini, beliau antara watak penting dalam kesebelasan utama Kelantan yang berjaya membawa pasukan tersebut sekali lagi menjejakkan kaki ke pentas perlawanan akhir namun, skripnya berbeza apabila beliau tidak berdepan sebarang masalah untuk disenaraikan.

Beraksi pada perlawanan akhir ditambah pula lawan yang bakal ditentang antara pasukan terbaik dalam negara, nyata auranya cukup berbeza dan cukup untuk membuatkan beliau dan rakan-rakan sepasukan kini bersaing hebat untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama.

Menurutnya, ketua jurulatih, Bojan Hodak sudah pasti akan menurunkan pasukan terkuat bagi memastikan kemenangan musim lalu dapat diulangi sekali lagi selain beliau juga mahu melengkapkan detik penting sepanjang kariernya sebagai pemain bola sepak profesional untuk beraksi di pentas sebesar itu.

"Final kali ini cukup bermakna untuk saya sekiranya disenaraikan untuk beraksi, musim lalu saya terlepas peluang kerana digantung. Pada aksi final 2009, saya menjaringkan gol biarpun kita tewas kepada Selangor menerusi sepakan penalti dan kali ini, saya berhasrat untuk sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring pada perlawanan akhir.

"Pertembungan Kelantan dengan Johor DT merupakan detik yang sentiasa ditunggu peminat, kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan seimbang dan pertembungan ini akan membuktikan siapa lebih baik," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Katanya, beliau dan rakan-rakan kini sudah bersedia dan dua kemenangan Liga Super menentang Pahang dan Terengganu baru-baru ini melonjakkan lagi momentum pasukan dan berjanji untuk memberikan yang terbaik untuk seluruh peminat The Red Warriors.

Jelasnya, persediaan mental cukup penting untuk berdepan puluhan ribu penyokong sendiri dan lawan kerana secara fizikal tidak begitu banyak yang membezakan namun, pasukan yang memiliki kekuatan mental, mampu bertahan untuk memenangi perlawanan.

"Saya fikir semua pemain menyedari perkara tersebut. Bukan mudah beraksi pada tahap setinggi itu terutama apabila puluhan ribu penonton membanjiri stadium untuk melihat kita beraksi dan ia sudah tentu memerlukan kekuatan mental.

"Di sini, kita mempunyai sedikit kelebihan berbanding Johor DT biarpun mereka mempunyai ramai pemain bintang, pemain-pemain yang kita ada sebahagian besarnya pernah beraksi empat atau lima kali di pentas perlawanan akhir, ia mungkin membantu kita untuk lebih tenang," ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 29 Mac 2013

Kelantan calar ego ATM


MARLON (tengah) meledakkan dua gol ketika ATM tewas 2-3 kepada Kelantan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan malam tadi.


JUARA bertahan Liga Super, Kelantan mengutip tiga mata penuh selepas menundukkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-2 dalam satu aksi penuh dramatik di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan malam tadi.

Skuad kendalian Bojan Hodak membuka tirai jaringan menerusi Indra Putra Mahayuddin dan Keita Mandjou masing-masing pada minit ke-28 dan 31.

Begitupun, peledak berbisa skuad The Gladiators, Marlon Alex James menyamakan kedudukan selepas menjaringkan dua gol pada minit ke-53 dan 67.

Penyerang gantian The Red Warriors, Norfarhan Muhammad muncul sebagai wira apabila bijak memperdayakan penjaga gol ATM, Farizal Harun untuk menjaringkan gol kemenangan pasukan pelawat pada masa kecederaan.

Kekalahan ATM itu memberi ruang kepada Selangor yang seri 1-1 dengan Felda United di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya petang semalam untuk mengambil alih status selaku pendahulu Liga Super.

Jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim tetap berpuas hati dengan persembahan barisan pemain Gergasi Merah yang sekadar berkongsi satu mata dengan Felda.

Selangor terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Adib Aizuddin Ab Latif dilayangkan kad merah pada minit ke-63 selepas mengasari pemain tengah Felda, Amar Rohidan.

Ketiadaan penyerang import, Francis Forkey Doe yang beraksi bersama skuad kebangsaan Liberia memberikan kesan kepada jentera serangan Gergasi Merah.

Pada aksi tersebut, penyerang import Felda, Carlos Junior menjaringkan gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-24 sebelum Amri Yahyah menyamakan kedudukan berselang tiga minit kemudian.

"Forkey mengalami masalah teknikal dan dia akan pulang bersama Selangor pada esok pagi (hari ini). Apa yang pasti, saya kecewa ketiadaan Forkey kerana ia jelas memberikan kesan kepada pasukan kami.

"Bagaimanapun, saya tetap berpuas hati dengan persembahan pemain dan saya berharap kami dapat memperbaiki persembahan kami pada perlawanan akan datang," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan petang semalam.

Dalam perkembangan lain, jurulatih Felda, K. Devan mengakui kecewa selepas menyaksikan skuad kendaliannya gagal meraih tiga mata meskipun menguasai sebahagian besar perlawanan.

Jelasnya, Felda yang bakal mengambil tiga pemain tempatan antaranya Azmi Muslim dan K. Rajan pada perpindahan pemain April ini, mengalami masalah pada jentera serangan.

"Kami sepatutnya memenangi perlawanan ini. Pada pendapat saya, persembahan kami dilihat lebih baik berbanding Selangor dan peluang (untuk menjaringkan gol) lebih banyak tetapi penyerang kami gagal memanfaatkan kelebihan tersebut.

"Saya memasukkan (penyerang import) Mohamed Ghaddar pada separuh masa kedua kerana dia masih bergelut dengan masalah kecederaan namun saya terpaksa akur dengan keputusan ini.

"Saya berharap kami akan dapat menamatkan kemarau kemenangan di laman sendiri pada aksi akan datang," ujar Devan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/

Jumaat, 18 Januari 2013

Norfarhan mahu buktikan



NORFARHAN kembali dipanggil menyertai sesi latihan skuad bola sepak negara.


SELEPAS enam tahun tersisih daripada menyarung jersi skuad bola sepak kebangsaan, pemain sayap Kelantan, Mohd. Norfarhan Mohammad kembali dipanggil untuk menjalani sesi latihan skuad negara bagi menghadapi aksi persahabatan antarabangsa dan kempen kelayakan Piala Asia 2015.

Aksi Norfarhan membantu pasukannya menjulang kejuaraan trebel musim lalu mendapat perhatian pengendali skuad kebangsaan Datuk K. Rajagobal untuk menjalani latihan bersama Harimau Malaya.
Pemain kelahiran Kuala Terengganu itu menyertai mengiringi tiga tonggak The Red Warriors iaitu Shakir Shaari, Khairul Fahmi Che Mat dan bintang muda, Nik Mohd. Shahrul Azim Ab. Halim.

Norfarhan ketika ditemui pemberita menyifatkan pemilihan tersebut bakal melonjakkan lagi perjalanan kariernya selaku pemain bola sepak.

Menurutnya, dia berazam untuk menggunakan peluang tersebut sebaik mungkin bagi membuktikan dia layak menyarung jersi pasukan kebangsaan.

“Saya gembira dengan berita ini. Ia merupakan sesuatu yang baik untuk saya dan perjalanan karier bola sepak saya,” katanya.

Norfarhan antara muka lama yang berjaya mendapat kepercayaan Rajagobal untuk menjalani latihan bersama skuad kebangsaan selain tonggak Terengganu, Ashaari Shamsuddin.

Mengulas mengenai pertemuan dengan Felda United esok (hari ini), pemain yang terkenal dengan gelaran Ben10 dalam kalangan peminat The Red Warriors mahu rakan-rakan sepasukan memberikan aksi terbaik pada perlawanan itu kelak.

“Tiga mata perlu diraih dalam perlawanan ini. Felda United bukanlah calang-calang pasukan, mereka mempunyai pemain hebat seperti Mohammad Ghaddar di jentera serangan.

“Begitu juga dengan pertahanan yang dikemudi oleh tonggak berpengalaman seperti Khairulnisham Shahbuddin, jadi kita tidak boleh ambil mudah perlawanan ini,” ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 13 Januari 2013

Kelantan belum temui rentak



PENYERANG Kelantan, Nor Farhan (kanan) masih belum tampil dengan aksi sebenarnya.


JUARA trebel musim lalu, Kelantan memulakan misi mempertahankan kejuaraan dengan langkah yang agak sumbang apabila tewas dua kali dan hanya menang sekali dalam tiga perlawanan sejak memulakan kempen menerusi perlawanan Piala Sumbangsih 5 Januari lalu.

Bergaya membuka tirai Liga Super musim 2013 dengan mengatasi PKNS di laman sendiri Rabu lalu, The Red Warriors terpaksa menanggung kekalahan pertama apabila diaibkan oleh T-Team pada pertemuan petang kelmarin di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Bagaimanapun ketua jurulatih Kelantan, Bojan Hodak tidak mempamerkan riak kebimbangan malah, percaya aksi anak-anak buahnya akan berada pada tahap sebenar sedikit masa lagi selain menyifatkan aksi terumbang-ambing yang dipamerkan ketika ini hanya bersifat sementara.

Menurutnya, beliau mengakui bahawa aksi menentang T-Team adalah di bawah keupayaan sebenar selain keadaan padang dan cuaca juga dilihat mempengaruhi persembahan kebanyakan pemainnya sehingga terpaksa akur dengan tahap 'kesegaran' anak-anak didik Peter James Butler.

“Aksi kita kurang baik kerana beraksi di atas padang yang tidak begitu baik. Itu memberi tekanan terutama pemain seperti Keita (Mandjou), Obinna (Nwaneri) Daudsu (Jamaluddin) dan Norfarhan (Mohamad) yang kurang selesa beraksi di atas padang sebegitu menyebabkan pergerakan mereka agak berat dan tersekat.

“Sebelum ini, kita juga beraksi di atas padang yang basah dan becak ketika menentang PKNS di Kota Bharu, menyebabkan pemain juga mempamerkan aksi perlahan dan keletihan. Kita memerlukan sedikit masa untuk memulihkan keadaan itu dan saya tidak fikir ia merunsingkan,” katanya ketika ditemui semalam.

Tambahnya, perlawanan tersebut seimbang malah, Kelantan mempunyai beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol namun, digagalkan dengan penyudah yang tumpul berbeza dengan T-Team yang tidak mempunyai banyak ruang tetapi, berjaya memanfaatkan satu peluang yang mereka peroleh.

Dalam pada itu, Hodak memberitahu, faktor keletihan kerana mengharungi jadual perlawanan yang padat juga menyebabkan anak-anak buahnya gagal mempamerkan aksi yang berkualiti selepas beraksi dalam tiga perlawanan untuk tempoh lapan hari.

“Ia merupakan perlawanan yang cukup sengit dan secara jelas anda terpaksa beraksi dalam tempoh setiap tiga hari dan sudah tentunya anda tidak akan melihat kualiti dalam bola sepak. Pada separuh masa pertama, cuacanya sangat panas, namun, ia sedikit selesa pada separuh masa kedua.

“Mungkin semua orang menjangkakan kita akan menang pada perlawanan tersebut, saya juga merasakan demikian tetapi kadangkala bola sepak boleh jadi begini dan boleh jadi begitu. Adakala anda boleh menang tetapi tempoh hari nasib kita tidak begitu baik,” ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Sabtu, 22 Disember 2012

Panggil balik pemain bintang

KUALA LUMPUR - Bukan mahu mendedahkan pekung sendiri, namun memang jelas Harimau Malaya buat masa ini kekurangan pemain tengah yang kreatif dan berwibawa untuk mampu bertindak sebagai perancang dalam pasukan.

Hakikat itu ditimbulkan oleh bekas pemain bola sepak negara yang juga penganalisis bola sepak tempatan, Hasnizam Uzir berkata, hanya beberapa pemain di negara ini mampu mengisi peranan tersebut seperti Mohd. Norfarhan Muhammad dan Mohd. Nazmi Faiz.

Menurutnya, jika mahu melakukan sebarang rombakan menjelang kelayakan Piala Asia 2015, kedua-dua pemain ini perlu diberikan peluang kerana mereka mampu menjana kekuatan di bahagian tengah.
“Pada pandangan saya, Norfarhan wajar dipanggil oleh jurulatih Datuk K. Rajagobal kerana dia mempunyai kelebihan tersendiri yang tidak ada kepada pemain lain.

“Dia seorang pemain yang kreatif semasa melakukan gerakan dan ada visi apabila melakukan umpanan kepada rakan sepasukan, jadi dia ada kualiti selaku perancang yang jarang ada kepada pemain lain.
“Saya rasa jika dia digandingkan di bahagian tengah bersama Shakir Shaari pasti persembahan Harimau Malaya lebih menarik untuk disaksikan.

“Nazmi Faiz juga perlu dipanggil dalam skuad bagi menghadapi kelayakan Piala Asia 2015 walaupun masih muda tetapi dia ada karisma tersendiri," katanya yang dihubungi, semalam.

Selain itu, Hasnizam mencadangkan Ashaari Samsudin yang merupakan sebahagian anggota skuad Piala Suzuki AFF 2012 juga perlu disenaraikan kembali kerana dia jelas lebih berkualiti berbanding seorang lagi pemain sayap kiri, S. Kunanlan.“Ashaari bukan sahaja mempunyai skil menggelecek yang bagus namun hantaran bola silangnya dari sebelah kiri cukup menarik untuk disaksikan malahan sering sampai kepada rakan sepasukan yang menunggu di depan pintu gol.

“Jika kita diperhatikan kepada Kunanlan, dia memang ada aset kepantasan apabila melakukan larian, namun bila diperhatikan pada setiap perlawanan, tidak banyak hantaran silang berkualiti dapat dilakukan ke dalam kotak penalti," katanya.

Tambah Hasnizam, jentera serangan negara sebenarnya tidak mempunyai sebarang masalah dan masih yakin dengan kemampuan Norshahrul Idlan Talaha dan Safee Sali.
“Mereka berdua masih dua penyerang terbaik yang kita ada buat masa ini cuma semasa Piala Suzuki AFF, kegagalan bahagian tengah menjadi punca mengapa kita tidak mampu beraksi dengan baik.
“Safee bukan seorang penyerang yang mampu turun ke bawah selalu kerana tugasnya selaku penyudah lebih efisien jika dibiarkan selalu dalam kotak penalti sementara Norshahrul bertindak sebagai penyerang sokongan," katanya.

Sementara itu, seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Reduan Abdullah, berpendapat beberapa orang lama seperti Indra Putra Mahayuddin, Mohd. Badri Radzi dan Hairuddin Omar perlu dipanggil semula memperkuatkan Harimau Malaya.

“Pemain-pemain ini mampu memberikan banyak pilihan kepada jurulatih sama ada di bahagian serangan atau tengah jika diketengahkan dalam pasukan .
“Jika kita lihat pemain-pemain yang dipilih Rajagobal baru-baru ini, apabila berlaku kecederaan pemain utama seperti Shakir Shaari, barisan simpanan yang ada dilihat tidak begitu menyerlah.
“Safiq Rahim juga didapati tidak begitu menyerlah dan kehadirannya dalam pasukan juga perlu dinilai kembali," katanya.
Skuad kendalian Rajagobal bakal membuka tirai kelayakan Piala Asia 2015 Kumpulan D dengan menentang Qatar di Doha pada 6 Februari depan sebelum beraksi di laman sendiri bertemu Yemen, 22 Mac.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my