Farizal tukar angin ke Selangor  
Mohd Farizal Marlias
 
Ipoh: Perak kehilangan khidmat penjaga gol kebangsaan, Mohd Farizal Marlias serta 11 pemain lain yang memilih haluan berbeza selepas tamat kontrak serta mendapat tawaran lumayan dari pasukan lain untuk menghadapi kempen bola sepak Liga Malaysia (Liga-M), musim depan.

Farizal, 27, yang menyertai Perak dari Negeri Sembilan untuk musim 2013 dikaitkan dengan pemergian ke pasukan gergasi Merah Kuning, Selangor.

Mengiringi Farizal ke Selangor ialah Abd Hadi Yahya, bekas pemenang kasut emas musim 2011 ketika bersama Terengganu yang memohon pelepasan untuk menyertai pasukan negeri asalnya itu walaupun masih mempunyai baki kontrak setahun bersama Perak.


Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata turut meninggalkan Perak ialah kapten, Shahrulnizam Mustapa, S Chanturu, Mohd Shahrom Kalam, V Thirumurugan, M Sivakumar, Mohd Failee Ghazali, Mohd Rafiuddin Roddin , Mohd Azlan Ismail serta awang import, Rafael Souza Silva Novais.

Rangel turut disisih

“Kita juga tidak menyambung khidmat Paolo Rangel kerana ingin mencari tenaga awang import lebih bersesuaian,” katanya semalam.

Sementara itu penjaga gol kedua, Khairul Amri Jamaluddin juga sedang dalam proses memohon pelepasan kerana ingin pulang ke Pulau Pinang.
“Ada setengah pemain memang tamat kontrak manakala ada yang memohon pelepasan kerana ingin menyertai pasukan lain walaupun masih ada ikatan dengan Perak.

“Mereka sudah mengadakan perbincangan dengan jurulatih (Abu Bakar Fadzim). PAFA berpendapat lebih baik lepaskan mereka kerana sudah tidak mempunyai perasaan untuk menyarung jersi negeri ini.

“Bakar juga sudah kenal pasti pemain yang mahu membawa cabaran pasukan bimbingannya nanti iaitu seramai lebih kurang 10 pemain yang akan digembleng tenaga dengan 10 bekas anak buahnya dari skuad Piala Presiden,” katanya.