Memaparkan catatan dengan label Brazil. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Brazil. Papar semua catatan

Ahad, 8 September 2013

Brazil belasah Australia


NEYMAR (kiri) antara penyumbang gol buat Brazil ketika membelasah Australia 6-0 dalam satu aksi persahabatan antarabangsa di Brasilia kelmarin.


BRASILIA - Neymar menjaringkan satu gol dan menjadi penggerak kepada dua lagi jaringan ketika Brazil membelasah Australia 6-0 pada aksi persahabatan di Stadium Nacional awal pagi semalam.

Penyerang Manchester City, Jo meledakkan dua gol lagi pada babak pertama sebelum Ramires, Pato dan Luiz Gustavo melengkapkan jaringan besar Brazil itu ke atas Australia sejak final Piala Konfederasi 1997.

Australia pula dilihat gagal memberi masalah kepada Brazil yang mendominasi permainan dan menghukum kealpaan pertahanan skuad Socceroos itu tanpa belas kasihan.

Sebelum perlawanan, perancang Brazil, Oscar tidak diturunkan ekoran kecederaan buku lali ketika latihan manakala sebelum rehat, pertahanan kiri Real Madrid, Marcelo pula terpaksa dikeluarkan kerana masalah hamstring.

Pesta gol bermula seawal minit kelapan apabila Jo menyambut baik hantaran Neymar.

Jo kemudian menggandakan kelebihan Brazil dengan gol pada minit ke-31 dengan memperdayakan kapten dan pertahanan Australia, Lucas Neil.

Neymar pula menjaringkan gol ketiga pada minit ke-35 selepas menggelecek tiga pemain Australia.
Ia merupakan gol ke-25 pemain Barcelona itu dalam 41 penampilan bersama Brazil.

Pada babak kedua, Ramires menanduk masuk bola hantaran Maxwell pada minit ke-58 sebelum Pato menambah gol kelima pada minit ke-71 hasil gerakan Neymar.

Brazil kemudian menutup pesta mereka dengan gol terakhir pada minit ke-81 menerusi percubaan menarik Luiz Gustavo. - AP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 16 Ogos 2013

Rekod tanpa kalah Brazil lebur di Basel


Neymar (kanan) menghalang peminat yang memasuki padang ketika perlawanan persahabatan antara Brazil dan Switzerland di Basel, semalam. - AFP
 
BASEL, Switzerland - Rekod tanpa kalah Brazil dalam 11 perlawanan berakhir apabila jaringan sendiri Dani Alves memberikan Switzerland kemenangan 1-0 dalam perlawanan persahabatan semalam.

Pertahanan kanan Brazil, Alves tidak berada dalam tekanan ketika dia tertanduk bola ke gawang sendiri pada minit ke-48 hasil hantaran silang penyerang Switzerland, Haris Seferovic yang gagal ditepis penjaga gol Brazil, Jefferson.

Bintang muda Brazil, Neymar melalui perlawanan yang mengecewakan apabila kerap kali diasak sebelum dilayangkan kad kuning pada minit ke-23 kerana mengkasari pertahanan lawan, Stephan Lichtsteiner. 

"Kami berhak di atas kemenangan ini. Kami membuktikan bahawa jika kami mempunyai ruang, kami mampu menjadi pasukan yang terbaik. Memastikan gawang kami tidak dibolosi ketika menentang pasukan seperti Brazil, ia amat istimewa," kata Lichtsteiner.

Sepakan lintang dari penjuru kiri pada minit ke-38 adalah percubaan terbaik yang berjaya dihasilkan oleh Brazil, namun tandukan Paulinho melepasi palang gawang Switzerland.

Brazil menang enam perlawanan mereka pada Piala Konfederasi pada Jun lalu.

Kali terakhir skuad Luiz Felipe Scolari kalah ialah 1-2 kepada England pada Februari lalu di England. Rekod tanpa kalah mereka berakhir di Switzerland setelah Brazil memulakan aksi tanpa kalah apabila seri 2-2 dengan Itali pada Mac lalu.

Switzerland pula melebarkan rekod tanpa kalah kepada 10 perlawanan sejak Mac 2012.
Kedua-dua pasukan mungkin bertemu lagi pada Piala Dunia akan datang.

Switzerland belum kalah dalam kempen Kelayakan dan mendahului kumpulan dengan kelebihan empat mata ketika baki empat perlawanan. - AGENSI

Isnin, 1 Julai 2013

Brazil juara Piala Konfederasi buat kali ketiga


BRASILIA 1 Julai - Brazil mengekalkan kejuaraan Piala Konfederasi buat kali ketiga berturut-turut selepas menewaskan juara dunia dan Eropah, Sepanyol 3-0 pada perlawanan akhir semalam.

Gol-gol Brazil hadir menerusi Fred pada minit kedua dan ke-47 serta Neymar pada minit ke-44.
Sementara itu pemain Sepanyol, Fernando Torres dipilih penerima kasut emas manakala Fred perak dan Neymar memenangi kasut gangsa. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Sabtu, 29 Jun 2013

Sepanyol mara ke final impian

NAVAS (kiri) diraikan rakan sepasukan selepas menyempurnakan sepakan penalti terakhir untuk memberikan kemenangan kepada Sepanyol mengatasi Itali kelmarin.


FORTALEZA, Brazil - Pengendali Sepanyol, Vicente del Bosque enggan menjadikan faktor keletihan sebagai alasan menjelang pertemuan berdepan Brazil dalam final Piala Konfederasi 2013 di Stadium Maracana, Isnin ini.

Sepanyol berjaya menempah pentas final apabila mengecewakan Itali menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada masa sebenar perlawanan awal pagi semalam.

Situasi itu jelas memberikan kelebihan buat Brazil yang memiliki rehat lebih sehari selepas mengatasi Uruguay 2-1 dalam satu lagi separuh akhir kelmarin.

"Saya enggan mencari sebarang alasan. Ia satu perlawanan yang berbeza.

"Biarpun hanya memiliki 72 jam sebelum sepak mula, kami tetap mengimpikan persembahan terbaik," kata Del Bosque.

Del Bosque yang membantu La Roja mendakap trofi Piala Dunia 2010 dan Euro 2012 juga memuji barisan pemainnya yang berjaya mengecewakan Itali.

"Persembahan pemain cukup menakjubkan dan mereka membuktikan bahawa mereka layak menyarung jersi Sepanyol.

"Jadi, kita tunggu dan lihat sama ada kami mampu mengulanginya di pentas final," katanya.
Dalam pada itu, kapten Sepanyol, Iker Casillas mengakui Itali benar-benar memberikan tentangan habis-habisan semalam.

"Itali merupakan pasukan yang cukup tersusun dan mampu menyerang sebagai satu pasukan. Saya percaya Brazil tidak mampu beraksi seperti itu.

"Namun, perlawanan akhir kali ini sememangnya dinantikan semua pihak, terasa seolah-olah beraksi di pentas Piala Dunia," kata Casillas. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 24 Jun 2013

Paulinho timbang tawaran Spurs


Paulinho hanya akan membuat keputusan menyertai Tottenham atau Inter Milan selepas berakhir Piala Konfederasi. - AFP 
 
SALVADOR, Brazil - Corinthians mendapat tawaran daripada Tottenham Hotspur yang berminat mendapatkan pemain tengah Brazil, Paulinho walaupun pemain itu hanya akan membuat keputusan mengenai masa depannya selepas berakhir Piala Konfederasi.

"Kami menerima tawaran rasmi daripada Tottenham dan pada masa yang sama juga kami menerima tawaran Inter Milan. Saya akan duduk berbincang dengan keluarga saya sebelum membuat keputusan.

"Ini akan dibuat selepas berakhir Piala Konfederasi," kata Paulinho kepada para pemberita selepas Brazil menewaskan Itali 4-2 dalam saingan Kumpulan A Piala Konfederasi.

Laporan media menyebut Tottenham telah bersetuju menawarkan RM83.9 juta (17 juta pound) kepada kelab Brazil itu untuk membawa pemain tengah terbabit ke London. - Reuters

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Ahad, 23 Jun 2013

Brazil pamer belang



AKSI cemerlang Neymar mendapat pujian jurulatih Brazil yang menganggapnya seorang pemain genius ketika menewaskan Itali.


SALVADOR DE BAHIA, Brazil - Aksi cemerlang Brazil pada babak kedua berjaya membantu tuan rumah Kejohanan Piala Konfederasi itu mencatat kemenangan 4-2 ke atas Itali dalam saingan Kumpulan A di Salvador, awal pagi semalam.

Kejayaan itu juga menyaksikan skuad kendalian Luiz Felipe Scolari itu muncul juara kumpulan, sekali gus mengelak daripada bertemu Sepanyol di separuh akhir.

Mereka setakat ini mengekalkan rekod bersih dengan tiga kemenangan dan berkemungkinan berjumpa Uruguay di Belo Horizonte awal pagi Khamis ini.

Scolari menjelaskan bahawa Brazil kini sudah mula menunjukkan potensi sebenarnya meskipun menegaskan bahawa keutamaan mereka adalah memenangi Piala Dunia tahun depan berbanding trofi keempat berturut-turut dalam kempen ini.

"Kami telah berjaya menewaskan pasukan Itali yang kuat dan saya rasa ia membuktikan bahawa kami kini di landasan yang betul.

"Bagaimanapun, masih ada beberapa perkara yang harus kami perbaiki dan kami tidak boleh terlalu terbawa-bawa dengan kejayaan ini," jelas Scolari yang pernah membawa Brazil menjuarai Piala Dunia 2002.

Dalam aksi semalam, Brazil mendahului pada masa kecederaan babak pertama menerusi Dante sebelum Emanuele Giaccherini menyamakan kedudukan pada minit ke-51.
Penyerang sensasi Barcelona, Neymar bagaimanapun kembali meletakkan skuad Samba itu di depan menerusi gol kedua pada minit ke-55 sebelum Fred menjadikan kedudukan 3-1 hasil jaringan minit ke-67.

Itali yang kehilangan khidmat perancang, Andrea Pirlo ekoran kecederaan kembali merapatkan jurang 3-2 menerusi pertahanan Giorgio Chiellini pada minit ke-71 namun Fred sekali lagi tampil menjadi pemusnah kepada The Azurri dengan jaringan pada minit ke-89.
Scolari turut memuji aksi cemerlang Neymar dengan menyifatkan pemain berusia 21 tahun itu seorang yang genius.

"Dia adalah wira kepada rakyat Brazil dan setiap orang yang meminati bola sepak.
"Pergerakannya sangat bagus hari ini dan seorang pemain yang bijak sepertinya mampu membawa perbezaan di atas padang," jelasnya lagi.

Neymar turut diumumkan pemain terbaik perlawanan selepas berjaya meledakkan gol ketiga dalam tiga perlawanan buat Brazil. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Khamis, 20 Jun 2013

Neymar inspirasi Brazil


NEYMAR (kiri) menampilkan satu persembahan yang memukau ketika membantu Brazil menewaskan Mexico 2-0 awal pagi semalam.



FORTALEZA, Brazil - Penyerang Brazil, Neymar menampilkan satu persembahan yang memukau ketika membantu skuad Samba menewaskan Mexico 2-0 pada aksi kedua Kumpulan A kempen Piala Konfederasi 2013 awal pagi semalam.

Pada aksi di Stadium Castelao itu, Neymar meletakkan Brazil di depan seawal minit kesembilan menerusi satu rembatan voli kaki kirinya.

Pemain baharu Barcelona itu turut memainkan peranan penting untuk membantu Brazil merekodkan kemenangan kedua pada kejohanan ini.

Neymar berjaya melepasi dua pemain pertahanan Mexico sebelum melorongkan bola kepada pemain gantian, Jo yang mudah menolak bola tersebut ke gawang lawan.

"Saya gembira kerana dapat bermain dengan baik (ketika menentang Mexico).
"Namun, perkara paling penting bagi saya adalah kami bermain sebagai sebuah pasukan dan mempamerkan satu persembahan yang menarik.

"Kami semakin meningkat dalam setiap perlawanan. Kemenangan ini akan memberikan kami lebih banyak keyakinan buat kami sebelum menghadapi perlawanan seterusnya (menentang Itali)," kata Neymar.

Kekalahan itu turut menyaksikan Mexico yang berjaya menewaskan Brazil dua kali sepanjang tiga perlawanan sebelum ini, tersingkir awal daripada Piala Konfederasi tahun ini.

Antara kejayaan bermakna Mexico ke atas Brazil adalah ketika menewaskan skuad Samba yang diketuai Neymar dan Oscar pada final Sukan Olimpik 2012 di London.

"Saya tahu, beberapa pemain masih belum dapat melupakan kekalahan kepada Mexico pada aksi final Sukan Olimpik 2012.

"Namun, apa yang paling penting, kami berjaya merakamkan kemenangan ini (awal pagi semalam)," kata jurulatih Brazil, Luiz Felipe Scolari. - AP

Rabu, 12 Jun 2013

Argentina hampir pasti ke Brazil


BUENOS AIRES - Argentina semakin hampir untuk melangkah ke pusingan akhir Piala Dunia 2014 di Brazil selepas mencatat keputusan seri 1-1 dengan Ecuador pada aksi kelayakan kelmarin.
"Kami beraksi di kawasan altitud tinggi dan itu bukan sesuatu yang mudah," kata jurulatih Argentina, Alejandro Sabella.

Pada perlawanan tersebut, penyerang Manchester City, Sergio Aguero meletakkan Argentina di depan pada minit kedua hasil satu sepakan penalti selepas penjaga gol Ecuador, Alexander Dominguez menjatuhkan Rodrigo Palacio dalam kotak penalti.

Selepas itu, Alejandro Castillo berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-16.
Bintang Barcelona, Lionel Messi yang baharu pulih daripada kecederaan hamstring, dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-60 untuk menggantikan Aguero.

Namun, rakan sepasukan Messi di Bercelona, Javier Mascherano diarah keluar padang pada penghujung perlawanan selepas bertindak menendang pegawai stadium.

"Kami memang mahukan kemenangan, tetapi keputusan seri itu sudah memadai," kata Aguero.
Sementara itu, Colombia menewaskan Peru 2-0 hasil jaringan penyerang sensasi, Radamel Falcao pada minit ke-12 menerusi satu sepakan penalti dan Teofilo Gutierrez (ke-46).

Argentina muncul pendahulu Zon Amerika Selatan selepas mengumpul 26 mata sepanjang 13 perlawanan manakala Colombia kedua (23 mata) dan Ecuador (21 mata).

Chile pula di tangga keempat selepas mengumpul 21 mata.
Bagaimanapun, Uruguay yang kurang satu perlawanan. bergelut untuk melayakkan diri ke Brazil selepas berkongsi 16 mata dengan Venezuela, diikuti Peru (14 mata) .

Sementara itu, Bolivia (10 mata) dan Paraguay (8 mata) mengharapkan keajaiban untuk layak ke kejohanan paling berprestij di dunia itu. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 11 Jun 2013

Brazil di landasan tepat



SCOLARI (kanan) yakin Brazil mampu menjulang trofi Piala Konfederasi 2013 buat kali ketiga berturut-turut.


GOIANIA, Brazil - Pengurus Brazil, Luiz Felipe Scolari yakin pasukan itu berada di landasan yang tepat untuk menjulang trofi Piala Konfederasi 2013 buat kali ketiga berturut-turut.

Scolari menyuarakan keyakinan itu selepas skuad Samba berjaya menewaskan Perancis 3-0 pada aksi persahabatan antarabangsa di Arena Grenio kelmarin.

Meskipun tidak menampilkan aksi yang menarik, Brazil mempamerkan peningkatan berbanding pada perlawanan terdahulu, sekali gus dianggap sebagai persiapan terbaik untuk menghadapi kempen Piala Konfederasi 2013.

"Kami memerlukan kemenangan ini. Ia memberikan kami lebih keyakinan dan ia tepat pada masanya," kata Scolari.

Brazil bakal membuka tirai pada kempen Piala Konfederasi 2013 berdepan Jepun di Brasilia, Ahad ini.

Selain Jepun, turut diundi dalam kumpulan yang sama ialah Mexico dan Itali.
Untuk rekod, Brazil menjuarai pertandingan ini di Arab Saudi (1997) sebelum muncul juara dua kali berturut-turut pada edisi 2005 (Jerman) dan 2009 (Afrika Selatan).

"Kemenangan ini merupakan satu langkah terbaik buat kami untuk menghadapi Piala Konfederasi 2013.

"Ia menunjukkan bahawa kami mempunyai sebuah pasukan yang kompetitif untuk mencabar gelaran juara," katanya.

Bagaimanapun, Brazil dilihat gagal memberikan aksi sebenar sejak Scolari kembali menjadi jurulatih pada Disember tahun lalu.

Mereka hanya menewaskan Bolivia manakala sekadar seri dengan Itali, Rusia dan Chile.
Selain itu, skuad Samba juga tewas 1-2 kepada England di London sebelum seri 2-2 dengan skuad yang sama di Stadium Maracana minggu lalu.

Pada masa sama, kemenangan ke atas Perancis kelmarin turut menamatkan kemarau kemenangan Brazil ke atas pasukan itu sejak 21 tahun lalu. - AP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Sabtu, 8 Jun 2013

Fernandinho bintang terbaharu City

MANCHESTER, England - Manchester City melakukan pembelian besar pertama pada perpindahan musim ini dengan menandatangani pemain kebangsaan Brazil, Fernandinho daripada Shakhtar Donetsk dalam usaha mendapatkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Nilai perpindahan tersebut tidak dinyatakan secara jelas, namun media Britain melaporkan City mengeluarkan belanja sekitar 35 juta pounds (RM169 juta) dengan kontrak lima tahun.

"Ini adalah perubahan, cabaran dan peluang yang saya nantikan begitu lama. 

"Bermain dalam Liga Perdana Inggeris bersama City umpama mimpi," kata Fernandinho.

City juga dijangka menandatangani pemain sayap Sepanyol, Jesus Navas daripada Sevilla dalam usaha kelab Liga Perdana Inggeris itu memperkukuhkan skuadnya bagi merampas gelaran daripada Manchester United musim depan.

Fernandinho mempunyai kelebihan taktikal melibatkan gerakan dan kecergasannya malah pemain itu cemerlang dalam saingan Liga Juara-Juara bersama Shakhtar dalam beberapa musim lalu.

Bersama City nanti Fernandinho perlu bersaing dengan beberapa pemain tengah seperti Yaya Toure, Gareth Barry dan Javi Garcia bagi meraih tempat dan kepercayaan calon pengurus baharu, Manuel Pellegrini.

Ketika ini pengurus warga Chile itu dalam fasa terakhir perbincangan berhubung perpindahannya daripada Malaga bagi menggantikan Roberto Mancini.

Mancini sebelum ini mengkritik City pada musim lalu dengan menyatakan punca utama kelab itu gagal meraih kejuaraan disebabkan mereka tidak menandatangani pemain hebat selepas muncul juara liga pada 2012.

Pemerolehan Fernandinho oleh City membolehkan kelab itu melakukan kombinasi pilihan pemain dengan lebih baik melibatkan Toure di bahagian tengah. 

"Cita-cita saya adalah untuk memenangi gelaran bersama kelab ini.
"Kelab ini antara yang terkuat dan mempunyai penyokong yang hebat.
"Dapat bermain dengan kelab ini membuatkan saya sungguh gembira dan mereka amat profesional," kata Fernandinho. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my