Memaparkan catatan dengan label Cristiano Ronaldo. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Cristiano Ronaldo. Papar semua catatan

Ahad, 8 Disember 2013

Real hilang sengat tanpa Ronaldo



RONALDO tidak dapat diturunkan pada aksi menentang Olimpic Xativa, kelmarin gara-gara menerima kad merah.


MADRID - Ketiadaan Cristiano Ronaldo dan Gareth Bale dilihat menjejaskan rentak Real Madrid apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan Olimpic Xativa dalam aksi pertama pusingan keempat Piala Raja Sepanyol awal pagi semalam.

Ronaldo tidak beraksi selepas menjalani hukuman penggantungan perlawanan gara-gara dilayangkan kad merah semasa tewas kepada Atletico Madrid pada perlawanan akhir musim lalu sementara Bale diketepikan kerana menghidap selesema.

Dengan ketiadaan kedua-dua pemain itu, pengendali The Galacticos, Carlo Ancelotti mempertaruhkan gandingan penyerang muda, Alvaro Morata dan Jese Rodriguez.

Biarpun gagal memberikan impak yang diharapkan, Ancelotti tetap berpuas hati dengan keputusan tersebut.

"Pemain tetap mempamerkan aksi yang baik, jadi saya tidak begitu bimbang dengan ketumpulan jentera penyudah.

"Namun, permukaan padang tiruan menjejaskan rentak permainan kami kerana kami tidak biasa beraksi di atas permukaan itu," kata Ancelotti.

Kedua-dua pasukan bakal berentap semula dalam aksi kedua di Santiago Bernabeu pada 19 Disember depan.

Dalam pada itu, juara bertahan, Atletico Madrid tidak berdepan masalah mengatasi Sant Andreu 4-0 dalam satu lagi aksi semalam.

Dalam perlawanan itu, dua gol jaringan Arda Turan serta satu gol masing-masing jaringan Raul Garcia dan David Villa sudah cukup untuk menjamin kemenangan selesa Atletico.

"Pemain berjaya memberikan komitmen yang cukup bagus, kami berjaya menguasai permainan dan kemenangan selesa ini benar-benar melegakan.

"Saya juga gembira dengan kemampuan pemain seperti Turan dan Garcia yang berjaya menjaringkan gol dalam perlawanan ini," kata pengendali Atletico, Diego Simeone. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 11 November 2013

Ronaldo luar biasa


MADRID - Cristiano Ronaldo meledak hatrik kali ketiga musim ini ketika membantu Real Madrid membelasah Real Sociedad 5-1 pada aksi Liga Sepanyol di Santiago Bernabeu awal pagi semalam.

Ronaldo membuka tirai jaringan pada minit ke-12 sebelum membantu penyerang Perancis, Karim Benzema menjaringkan gol kedua Real enam minit kemudian.

Bintang Portugal itu kemudian menambah gol ketiga Real menerusi sepakan penalti pada minit ke-26 sebelum Gareth Bale membuka peluang kepada Sami Khedira untuk menjadikan kedudukan 4-0 berselang sepuluh minit kemudian.

Ronaldo melengkapkan aksi cemerlangnya di depan ribuan penyokong sendiri dengan gol ketiga menerusi sepakan percuma pada minit ke-76, sekali gus menambah koleksi 24 jaringan dalam 17 perlawanan setakat ini.

Antoine Griezmann pula menjaringkan gol tunggal Soceidad pada minit ke-61.

Kemenangan itu menyaksikan Real kini ketinggalan dua mata di belakang jiran setempat, Atletico Madrid dan tiga mata mengekori pendahulu, Barcelona.

"Kami mendapat gol dengan pantas dan semuanya berjalan dengan baik. Selepas mendahului 4-0, kami beraksi lebih tenang dan perlahan pada babak kedua.

"Keseluruhannya, saya berpuas hati dengan cara permainan kami meskipun kami gagal mengekalkan rekod kemenangan sepenuhnya, namun kami masih tetap mencipta kejayaan," jelas Ronaldo.

Sementara itu, jurulatih Real, Carlo Ancelotti berkata: "Ronaldo seorang pemain luar biasa. Dia tenang menjaringkan gol dan sukar untuk mencari pemain sepertinya di dunia ini.

"Saya rasa kami bermain dengan sempurna pada babak pertama. Kami beraksi dengan kepantasan serta efisyen di depan gol. 

"Babak kedua kami memperlahankan sedikit tempo permainan, kami berdepan beberapa masalah di bahagian belakang, namun keseluruhannya, pemain pertahanan kami masih bagus," jelas Ancelotti. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Rabu, 30 Oktober 2013

Ronaldo bengang komen Blatter


MADRID - Penyerang sensasi Real Madrid, Cristiano Ronaldo ternyata berang dengan kenyataan Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Sepp Blatter yang melabelkannya sebagai seorang 'komander di tengah padang'.

Bercakap dalam satu majlis di Universiti Oxford minggu lalu, Blatter menjelaskan, beliau lebih menggemari Pemain Terbaik Dunia empat kali, Lionel Messi berbanding Ronaldo yang disifatkannya lebih mementingkan gaya rambut.

Ronaldo juga berada di belakang Messi dalam tiga daripada empat undian anugerah Ballon d'Or, meskipun bintang Portugal itu pernah memenanginya sekali ketika bersama Manchester United pada 2008.

Ronaldo dan Messi sekali lagi tersenarai dalam senarai pendek 23 calon pemain bagi anugerah tersebut bagi tahun 2013.

"Video itu jelas menunjukkan tanggapan dan tahap rasa hormat FIFA kepada kepada saya, kelab saya dan juga negara saya.

"Semuanya telah terbukti sekarang. Saya harap Blatter akan terus sihat dan panjang umur supaya dia dapat menyaksikan kejayaan pasukan dan pemain kegemarannya," jelas Ronaldo dalam laman sosial Facebook miliknya.

Kenyataan Blatter itu jelas mencetuskan kemarahan Real dan Persekutuan Bola Sepak (FA) Portugal yang menghantar surat aduan kepada FIFA atas sikap Blatter.

Begitupun, Blatter mempertahankan kenyataannya itu sambil menjelaskan, beliau percaya Ronaldo memiliki kehebatan yang sama dengan Messi sebagai seorang pemain bola sepak.

"Saya mahu jelaskan bahawa bagi saya, Cristiano adalah sama hebat dengan Messi dan kedua-duanya adalah pemain luar biasa di dunia dalam cara tersendiri.

"Bukan niat saya untuk menimbulkan kemarahan atau tidak menghormati sesiapa termasuk pemain, peminat dan kelab Real Madrid," kata Blatter. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 17 September 2013

Real Madrid benam Galatasaray 6-1

 
ISTANBUL: Cristiano Ronaldo mencipta hatrik dalam perlawanan pembukaan Real Madrid pada saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah menewaskan Galatasaray 6-1 di Ali Sami Yen, awal pagi tadi.

Skuad bimbingan Carlo Ancelotti itu nyata mendominasi perlawanan di gelanggang lawan dengan mendahului pada minit ke-33 menerusi Isco.
Karim Benzema pula meledak dengan dua gol pada minit ke-54 dan 81.


Cristiano Ronaldo yang baru memperbaharui kontrak dengan Real pula merakam hatrik pertamanya musim ini dengan jaringan pada minit ke-63, 66 dan 92.

Galatasaray sekadar memperoleh jaringan tunggal oleh Umut Bulut pada minit ke-84.

Isnin, 16 September 2013

Real dapat suntikan moral



RONALDO (kanan) dan Bale (kiri) menjadi sandaran Real pada aksi menentang Galatasaray di Telekom Arena, Turki awal pagi esok.


MADRID - Real Madrid dijangka memperoleh petunjuk pertama dalam misi memburu trofi ke-10 pada kempen Liga Juara-Juara awal pagi esok.

Bagaimanapun, kemampuan sebenar skuad The Galaticos akan diuji Galatasaray pada aksi pembuka tirai Kumpulan B di Telekom Arena, Turki itu.

Real telah membelanjakan lebih 600 juta euro (RM2.6 bilion) bagi memburu beberapa pemain terkemuka dunia sejak lima tahun lalu termasuk mendapatkan Gareth Bale dengan yuran perpindahan sebanyak 100 juta euro (RM436.8 juta) pada hari terakhir musim perpindahan pemain awal September lalu.

Selain itu, penyerang sensasi, Cristiano Ronaldo yang dibeli dengan harga 94 juta euro (RM413.4 juta) daripada Manchester United pada 2009 bersetuju untuk kekal di Stadium Santiago Bernabeu sehingga 2018 selepas menandatangani kontrak selama lima tahun kelmarin.

Pemain sayap Wales itu menjaringkan gol sulung bersama Real, manakala Ronaldo meledakkan gol yang ke-203 ketika seri 2-2 dengan Villarreal pada aksi Liga Sepanyol kelmarin.

Kali terakhir Real menjulang trofi Liga Juara-Juara adalah pada musim 2002.

Namun, skuad kendalian Carlo Ancelotti masih belum mempamerkan karakter sebenar.

Pada aksi menentang Villarreal, Ancelotti turut mengetepikan kapten, Iker Casillas apabila kekal menaruh kepercayaan kepada penjaga gol kedua, Diego Lopez.

"Saya telah membuat keputusan berhubung polisi penggiliran pemain.

"Casillas dan Lopez sudah mengetahui perkara itu, jadi tiada masalah," kata Ancelotti.
Skrip yang sama juga menimpa rakan sejawatan Ancelotti, Fatih Terim apabila anak-anak buahnya sekadar seri 1-1 dengan Antalyaspor minggu lalu.

"Kami tidak suka keciciran mata tetapi aksi berdepan Real sesuatu yang berbeza.
"Beraksi di depan penyokong sendiri pastinya memberikan kelebihan buat kami," kata Terim.

Terim dijangka kekal menaruh kepercayaan terhadap gandingan Didier Drogba dan Burak Yilmaz mengemudi jentera serangan pada aksi menentang Real. - Reuters

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 13 Ogos 2013

INFO : SENARAI PEMAIN BOLA SEPAK PALING PANTAS DI DUNIA!

  http://penpatah.blogspot.com/2013/02/info-senarai-pemain-bola-sepak-paling.html

Kelajuan dan kepantasan diukur berdasarkan ketangkasan mengejar dan merampas bola dari pihak lawan serta kelajuan mereka semasa menjaringkan goal.


5. Robin van Persie (32.1 km/jam)

Tarikh Lahir: 6 August 1983 (Usia 28)
Tempat Lahir: Rotterdam
Negara: Netherlands
Tinggi: 183 cm.
Berat Badan: 71 Kg.
Peranan: Striker
Nombor Jersi: 20
Team Nasional: Belanda
Team Club : Manchester United




4. Wayne Rooney (32.6 km/jam)



Tarikh Lahir: 24 Okt 1985 (Usia 25)
Tempat Lahir: Liverpool
Negara: England
Tinggi: 178 cm.
Berat Badan: 83 Kg.
Peranan: Striker
Nombor Jersi: 10
Team Nasional: Inggeris
Team Club : Manchester United



3. Theo Walcott (32.7 km/jam)



Tarikh Lahir: 16 Mar 1989 (Usia 22)
Tempat Lahir: Stanmore
Negara: England
Tinggi: 176 cm.
Berat Badan: 68 Kg.
Peranan: Striker
Nombor Jersi:14
Team Nasional: Inggeris U-21
Team Club : Arsenal


2. Arjen Robben (32.9 km/jam)



Tarikh Lahir: 23 Jan 1984 (Usia 27)
Tempat Lahir: Bedum
Negara: Netherlands
Tinggi: 183 cm.
Berat Badan: 75 Kg.
Peranan: Midfielder
Nombor Jersi: 10
Team Nasional: Belanda
Team Club : Bayern Munchen


1. Cristiano Ronaldo (33.6 km/jam)



Nama Lengkap: Cristiano Ronaldo Dos Santos Aveiro
Nama Panggilan: CR7
Tarikh Lahir: 5 Feb 1985 (Usia 26)
Tempat Lahir: Madeira
Negara: Portugis
Tinggi: 185 cm.
Berat Badan: 83 Kg.
Peranan: Midfielder
Nombor Jersi: 7
Team Nasional: Portugal
Team Club : Real Madrid

Ahad, 11 Ogos 2013

Real menang aksi terakhir pramusim


ST. LOUIS - Real Madrid dan Cristiano Ronaldo sekali lagi mendapat tumpuan apabila begitu dominan dalam aksi terakhir pramusim dengan mengalahkan Inter Milan 3-0 semalam.

Kaka membuka jaringan Real menerusi tandukan pada minit ke-11.

Ia merupakan kemenangan kelima Real daripada enam perlawanan pramusim.

Permainan terganggu selama beberapa minit pada babak kedua apabila beberapa penonton memasuki padang untuk bersalam dan memeluk pemain Real.

Ia bermula sebaik sahaja sepakan penjuru Real yang terkena pemain pertahanan Inter, Ricardo Alvarez dan memasuki gawang sendiri untuk menjadikan kedudukan 3-0. 

Jumlah kehadiran 54,184 orang adalah yang tertinggi untuk perlawanan bola sepak di St. Louis.
Ia mengatasi jumlah penonton 48,000 pada Mei ketika aksi persahabatan yang dimenangi Manchester City 4-3 ke atas Chelsea di Stadium Busch.

Lebih ramai penonton memasuki padang selepas perlawanan yang terpaksa dihalang pegawai keselamatan.

Inter menguji penjaga gol kedua Real, Diego Lopez beberapa kali pada babak kedua termasuk dua percubaan Alvarez dan satu percubaan Rodrigo Palacio yang melepasi palang.

Ronaldo beraksi pada babak kedua dan menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-28 apabila menyempurnakan hantaran Casemiro yang menewaskan penjaga gol Inter, Samir Handanovic. 

Tiga hari lalu, Ronaldo menjaringkan dua gol ketika Real meraih kemenangan ke atas Chelsea dalam Piala Juara Antarabangsa. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Sabtu, 10 Ogos 2013

Ronaldo nafi persenda Mourinho


GAYA Ronaldo ketika meraikan jaringannya pada pertemuan menentang Chelsea dalam aksi final Trofi Juara-Juara Antarabangsa di Miami kelmarin.


LONDON - Bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo menafikan bahawa caranya meraikan jaringan ketika membantu Real Madrid membenam Chelsea 3-1 awal pagi kelmarin ditujukan khas kepada bekas jurulatihnya, Jose Mourinho.

Ronaldo menjelaskan, tiada persengketaan antara dia dengan Mourinho meskipun pengurus The Blues itu memberi komen negatif mengenai dirinya ketika dibandingkan dengan bekas penyerang sensasi Brazil, Ronaldo.

"Saya lebih suka membuktikan kata-kata saya di tengah padang. Apa yang berlaku di luar padang sama sekali tidak menjejaskan saya atau memberi kesan negatif kepada saya," jelas Ronaldo.

"Misi saya ialah membantu Real mencapai objektif yang telah ditetapkan dan apa yang berlaku selain daripada itu, langsung tidak menyakiti hati saya."

Pada aksi final Trofi Juara-Juara Antarabangsa di Miami kelmarin, Ronaldo meledak dua gol dan gayanya ketika meraikan jaringan tersebut dilihat seperti mempersendakan Mourinho yang terkenal dengan gelaran The Special One.

Mourinho pula cuba mengelak daripada menghangatkan lagi isu itu ketika sidang akhbar selepas perlawanan dengan berkata: "Saya tidak tahu apa yang Ronaldo katakan, ia bukan masalah saya. Saya telah cuba memberi yang terbaik untuk Chelsea.

"Apa yang saya beritahu sebelum ini mengenai Ronaldo (bekas penyerang Brazil) itu adalah kerana dia adalah Ronaldo yang pertama.

"Kalau kamu (pihak media) tanya saya siapa Mueller yang lebih hebat, Thomas atau Gerd, saya akan kata Gerd.

"Bagi saya siapa yang datang dahulu dia adalah pemain pertama. 

"Ini adalah wayang yang dicetuskan oleh Real kerana kelab itu memang suka bersandiwara," tambah Mourinho lagi. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 5 Ogos 2013

Nama Ronaldo kembali dikaitkan ke Old Trafford



RONALDO dikatakan masih enggan menandatangani kontrak baharu bersama Real selagi tuntutannya tidak dipenuhi.


LONDON - Manchester United mungkin akan membuat tawaran semula terhadap Cristiano Ronaldo selepas pemain bintang Real Madrid itu masih berdiam diri tentang perbincangan berhubung masa depannya di Santiago Bernabeu.

Masa depan Ronaldo di Madrid masih lagi belum dipastikan setelah dia enggan mengesahkan laporan media Sepanyol bahawa dia telah bersetuju dengan kontrak baharu selama lima tahun dengan kelab tersebut.

Laporan itu menyatakan bahawa sebelum ini bintang Portugal tersebut telah menyambung komitmennya di Bernabeu sehingga 2018 dengan kenaikan gaji sehingga £14.8 juta (RM73.4 juta) setahun.

Ronaldo masih mempunyai baki kontrak dua tahun lagi di Madrid yang telah membayar harga rekod perpindahan dunia £80 juta (RM396.9 juta) ketika membawanya dari United pada 2009.

Begitupun, dia mula mencetuskan persoalan mengenai masa depannya apabila mendedahkan bahawa dia amat merindukan bola sepak England.

Bercakap ketika jelajah pra-musim Real di Amerika Syarikat, Ronaldo berkata: "Situasi masih lagi belum diselesaikan dan saya tidak fikir ia masa yang sesuai untuk membincangkannya.

"Mungkin kami akan dapat memberi maklumat lanjut yang lebih kukuh lagi mengenai perkara ini, tetapi satu-satunya perkara yang saya fokuskan ialah menjalani latihan dan usaha keras."

Ronaldo turut memberi komen tentang usaha Real yang mahu membeli penyerang Tottenham Hotspur, Gareth Bale dengan jumlah mengatasi harga rekod dunia yang dibayar ke atasnya.

Real dilaporkan bersedia membayar £95 juta (RM471 juta) ke atas Bale, namun Ronaldo berkata: "Saya tidak layak untuk bercakap tentang pemain baharu, tetapi saya sangat gembira dengan pemain yang ada dalam pasukan ini.

"Dalam segi harga perpindahan, kamu kena cakap dengan jurulatih (Carlo Ancelotti) dan Presiden (Florentino Perez).

"Saya ada pendapat saya sendiri, tetapi saya tidak akan mendedahkannya di hadapan media," katanya lagi.

Ronaldo kini berada di Los Angeles bersama skuad Real Madrid, telah membantu kelab itu mencatat dua kemenangan ke atas LA Galaxy dan Everton dalam Kejohanan Pra-Musim Piala Juara-Juara.
Mereka dijadualkan berdepan Chelsea pada aksi final kejohanan, awal pagi Khamis ini. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 4 Ogos 2013

Ronaldo tidak kecewakan peminat di LA

Ronaldo tidak kecewakan peminat di LA
Los Angeles: Cristiano Ronaldo (gambar) memberikan apa yang dituntut peminat daripadanya pada perlawanan bola sepak pertama di Stadium Dodger kelmarin dengan meledak satu gol dan mengumpan satu lagi ketika membantu kemenangan 2-1 Real Madrid ke atas Everton.

Lebih 40,000 penonton hadir di stadium besbol berusia 51 tahun di Los Angeles itu yang menyaksikan gol pertama bola sepak di gelanggang berkenaan dihasilkan sendiri oleh salah seorang pemain terhebat dunia, Ronaldo pada minit ke-17.
“Agak ganjil kerana kami tidak bermain di dalam stadium bola sepak, tetapi suasana dan tradisi di stadium ini cukup menakjubkan,” kata pengendali Real, Carlo Ancelotti. “Berada di stadium yang mempunyai sejarah hebat ini amat baik buat kami.”


Gol sagu hati

Ronaldo berpeluang membuka jaringan lebih awal tetapi percubaan pada minit ke-10 melepasi palang. Umpanan seterusnya dari Mesut Ozil dimanfaatkan sepenuhnya Ronaldo yang menewaskan penjaga gol Everton, Tim Howard dengan mudah sebelum melepaskan rembatan ke gawang terbuka.

Ozil menambah jaringan pada minit ke-31 selepas Ronaldo pula mengumpan bola kepadanya. Sebelum itu Everton menembusi gawang Real menerusi tandukan Sylvain Distin, tetapi dibatalkan pengadil kerana kekasaran.

Everton turut berpeluang menyamakan kedudukan pada minit ke-24, tetapi tandukan Marouane Fellaini terkena tiang. Pemain gantian, Nikica Jelavic akhirnya meledak gol tunggal Everton pada minit ke-61. - AFP 
 
Berita Harian

Jumaat, 2 Ogos 2013

Bale ganti Ronaldo?


Gareth Bale 
 
LONDON - Bekas presiden Real Madrid, Ramon Calderon percaya usaha kelab itu untuk membeli pemain Tottenham Hotspur, Gareth Bale bertujuan untuk menggantikan Cristiano Ronaldo.

Madrid membuat bidaan rekod dunia 85 juta pound (RM418 juta) untuk Bale, yang menyatakan hasrat untuk berpindah dan Calderon mendakwa penggantinya, Florentino Perez mahu membuat persediaan dengan mendapatkan Bale, bimbang jika mereka kehilangan Ronaldo.

Ronaldo sudah lama dikaitkan dengan perpindahan semula ke bekas kelabnya Manchester United dan ada laporan bahawa tuntutan gaji baharu oleh pemain itu sukar untuk dipenuhi oleh Real.

Perez pernah mengisytiharkan Ronaldo akan kekal di Bernabeu sehingga pemain itu bersara namun penyerang mereka menafikan dia telah menandatangani kontrak baharu pada awal musim panas ini.

Calderon berkata, ketibaan Bale akan melegakan penyokong jika mereka Ronaldo memilih tidak mahu kekal di Madrid.

“Saya tahu Ronaldo tidak gembira dengan sikap dan tindak tanduk presiden kelab. Dia menuntut gaji baharu 20 juta Euro (RM86 juta) setahun yang sukar diterima oleh Real.

“Saya rasa presiden kelab mahu membuat persediaan sebaik mungkin jika Cristiano tidak mahu menandatangani kontrak baharu. Itu andaian saya.

“Presiden bimbang pada suatu ketika Cristiano mungkin akan berkata ‘saya tidak mahu terus berada di kelab ini’.

“Ia pastinya berita buruk buat Madrid. Saya memang mahu melihat dia bersara di Real namun sekarang keadaannya sukar. Sama-sama kita tengok minggu depan atau bulan depan sama ada masalah ini boleh diselesaikan dan dia mungkin kekal," kata Calderon.

Bale memberitahu bos Spurs, Andre Villas Boas bahawa dia mahu menyertai Carlo Ancelotti di Real Madrid pada hari pertama dia kembali memulakan latihan selepas bidaan sensasi Real.

Pengarah Sukan Real, Zinedine Zidane berkata, Bale sepatutnya dibenarkan merealisasikan impiannya untuk berpindah ke Sepanyol sambil menambah dia mungkin boleh menjadi pemain terbaik dunia di Bernabeu.

Kata Zidane: “Jika dia melahirkan hasrat untuk menyertai Madrid, Tottenham harus memberikan kebenaran kepadanya untuk berbincang dengan kami." - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Isnin, 22 Julai 2013

Ancelotti: Tiada masalah tambat Ronaldo



 
Madrid: Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti percaya usaha untuk mengekalkan bintang sensasi kelab itu, Cristiano Ronaldo bukan satu masalah besar.

Ronaldo sehingga kini masih belum memperbaharui kontrak tiga tahunnya di Santiago Bernabue tetapi Ancelotti yakin bekas bintang Manchester United itu akan kekal menyarung jersi Real.
“Semua orang tahu dia seorang pemain hebat dan mencetuskan fenomena.


“Memperbaharui kontraknya bukan tugas saya tetapi ia tidak akan menjadi masalah. Saya fikir secara dasarnya, suasana dalam pasukan sangat baik,” kata Ancelotti sejurus tamat sesi latihan kelab itu.

Ibrahimovic, Bale hebat

Pengendali kelahiran Itali itu bagaimanapun enggan bercakap mengenai potensi Real untuk membawa masuk mana-mana pemain baru bagi mengharungi saingan musim depan.

Ditanya mengenai kemungkinan Gareth Bale dibawa masuk daripada Tottenham Hotspur atau penyerang Paris Saint-Germain, Zlatan Ibrahimovich, Ancelotti berkata: “Saya tidak boleh bercakap mengenai pemain yang bukan milik Real.
“Saya tidak mahu bercakap mengenai Bale. Semua orang tahu kehebatannya sebagai seorang pemain tetapi sebagai menghormati semua yang berada di sini, saya tidak mahu bercakap mengenainya.

“Ibrahimovic pula seorang pemain yang hebat, dia boleh beraksi di mana-mana di dunia ini tetapi hari ini dia bukan pemain Real,” kata Ancelotti. - AFP 
 
Berita Harian

Selasa, 9 Julai 2013

Rooney bakal senasib Ronaldo

Wayne Rooney
 
MANCHESTER - Rio Ferdinand memberi amaran bahawa Wayne Rooney akan kehilangan lebih banyak trofi kejuaraan jika dia meninggalkan Manchester United, seperti yang dialami Cristiano Ronaldo.

Pertahanan Red Devils itu berharap gandingan Rooney-Ronaldo dapat beraksi bersamanya di United musim ini.

Namun ketika bintang Real Madrid, Ronaldo dikaitkan dengan perpindahan semula ke Old Trafford, Rooney pula dikatakan mahu meninggalkan kelab.

Lantaran itu Ferdinand menasihatkan Rooney supaya melihat nasib yang dialami Ronaldo.
Pemain Portugal itu memenangi tiga kejuaraan Liga Perdana Inggeris, satu Liga Juara-Juara, satu Piala Dunia Kelab, Piala FA dan dua Piala Liga sepanjang enam tahun sebelum meninggalkan United pada 2009.

Selama empat tahun di Bernabeu, dia hanya memenangi satu kejuaraan La Liga, satu Piala Raja Sepanyol dan Supercopa de Espana.

Ferdinand, yang memasuki musim ke-12 bersama United berkata: “Saya tidak nampak tempat yang lebih baik buat anda selain daripada United.

“Sebagai contoh Cristiano, seorang pemain yang hebat namun adakah dia memenangi lebih banyak trofi sejak dia meninggalkan United, apakah yang dimenanginya (selepas meninggalkan United).
“Adalah menjadi impian untuk beraksi di sana (bersama United), jadi anda harus menghormatinya. Saya cuma melihat kepada kebenaran iaitu saya mahu memenangi trofi, jadi mengapa saya harus meninggalkan kelab ini."

Ferdinand membuat 432 penampilan bersama United sejak berpindah dari Leeds pada Julai 2002.
Dia tidak ragu-ragu tentangan mengapa Liga Perdana Inggeris begitu istimewa. 

“Ia adalah sejarah. Pada hari pertama saya menyertai kelab ini saya pernah berkata bahawa saya mahu meninggalkan kelab dengan rasa bangga kerana berjaya melakar nama dalam sejarah kelab ini.
“Anda hanya boleh meninggalkan kelab dengan rasa bangga jika anda berjaya. Hanya ada beberapa kelab di dunia ini yang mencapai sasaran yang ditetapkan oleh kelab dan saya rasa pemain handal mahukan itu digalaskan di bahu mereka.

“Jika anda diminta datang ke Manchester United, saya tidak melihat ia sebagai satu halangan. Saya mahu datang ke sini kerana ia adalah sejarah," katanya. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Ronaldo mahu bersara di Real - Perez

MADRID 9 Julai - Cristiano Ronaldo mahu beraksi di Real Madrid sehingga akhir kariernya, kata presiden kelab, Florentino Perez.

Penyerang antarabangsa Portugal dan bekas Pemain Terbaik Dunia itu terikat dengan gergasi Sepanyol tersebut sehingga 2015.

Namun, media membuat spekulasi bintang berusia 28 tahun itu akan meninggalkan Bernabeu.
``Pemain yang mahu bersara di Real Madrid adalah Ronaldo. Real juga mahu dia bersara di sini.

``Tiada sebarang rundingan baharu melibatkan Ronaldo kerana dia sedang bercuti. Dia mahu menjadi seperti Zinidine Zidane,'' kata Perez yang memperbaharui kontraknya selama empat penggal selaku presiden. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Ahad, 7 Julai 2013

Ronaldo 'tutup buku' ke United

RONALDO melayani pihak media yang mengerumuninya ketika menghadiri satu majlis gala di Monaco, kelmarin. Ronaldo sudah pun melupakan hasrat untuk berhijrah ke United.


LONDON - Cristiano Ronaldo cuba menamatkan spekulasi yang mengaitkan kepulangannya ke Manchester United dengan menjelaskan masa depannya kini adalah bersama kelab Real Madrid.

Bintang Portugal itu telah mengakui secara terbuka keinginannya untuk kembali semula ke United, kelab yang pernah menjualnya kepada Real dengan harga £80 juta (RM379.9 juta) pada 2009, namun cuba membawanya semula ke England pada musim panas ini.

Begitupun, Ronaldo berkata: "Manchester United adalah sebuah kelab yang telah lama berada di hati saya sekian lama. Semua orang tahu tentang keghairahan saya dengan kelab ini.

"Tetapi masa depan saya ialah bersama Real Madrid. Di Madrid, kami perlu melakukan apa yang terdaya untuk memenangi gelaran Liga Sepanyol dan Liga Juara-Juara. Saya juga berharap untuk beraksi di Piala Dunia bersama Portugal."

Real ketika ini berusaha keras untuk memastikan penyerang berusia 28 tahun itu menyambung kontrak baharu, namun United berharap hubungan istimewanya dengan bekas pengurus, Alex Ferguson yang kini menjadi pengarah kelab tersebut, mampu memujuknya kembali semula ke tempat asalnya.

Bagaimanapun, Ronaldo menjelaskan dia telah selesa menjalani kehidupannya di ibu kota Sepanyol tersebut.

"Kini kehidupan saya adalah di Sepanyol dan saya juga sangat gembira bermain di kelab ini.
"Sebahagian daripada hidup saya adalah di sini, tetapi kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Saya sangat gembira dalam saingan Liga Sepanyol sekarang," jelasnya lagi. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 16 Jun 2013

United guna pengaruh Ferguson tambat Ronaldo

MANCHESTER - Manchester United bersedia menggunakan pengaruh yang dimiliki Alex Ferguson untuk membawa semula Cristiano Ronaldo ke Old Trafford.

Terdahulu, Ronaldo dilapor kecewa dengan keputusan bekas pengurus United berusia 71 tahun itu yang bersara pada penghujung musim ini.

Ronaldo dikatakan hanya mahu kembali jika Ferguson masih mengendalikan United.
Namun, pihak pengurusan United percaya, pengaruh Ferguson sebagai pengarah skuad The Red Devils mampu merealisasikan perkara tersebut.

Biarpun Ferguson enggan campur tangan sebarang urusan pengendali baharu United, David Moyes, beliau dikatakan bersedia memujuk Ronaldo kembali ke Old Trafford.

Hubungan antara kedua-dua individu itu masih baik sejak Ronaldo meninggalkan United dengan yuran perpindahan sebanyak £80 juta (RM388.7 juta) pada musim 2009.

Dia juga merakamkan penghargaan kepada Ferguson ketika 'orang kuat' United itu mengumumkan persaraan musim lalu.

Pada masa sama, impian peminat fanatik United juga kembali membara apabila Ronaldo menegaskan belum membuat sebarang keputusan mengenai masa depannya bersama Real.

Mereka juga berharap kehadiran Gareth Bale ke Real mampu menjamin kepulangan Ronaldo ke Old Trafford. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Sabtu, 15 Jun 2013

Ronaldo atau Bale?

LONDON - Manchester United dilaporkan sudah bersedia untuk mengatasi rekod perpindahan dunia dalam misi meneruskan kegemilangan skuad The Red Devils selepas ketiadaan Alex Ferguson.

Pemilik United, Malcolm Glazers bakal menyediakan peruntukan yang besar kepada pengurus baharu, David Moyes untuk memburu khidmat penyerang Real Madrid, Cristiano Ronaldo atau bintang Tottenham Hotspur, Gareth Bale.

Ronaldo, 28, pernah memberikan bayangan untuk kembali ke pangkuan bekas pasukannya itu dan menegaskan bahawa masa depannya bersama kelab gergasi Sepanyol itu masih tidak menentu.

Bagaimanapun, sekiranya dia bersetuju untuk melanjutkan kontrak bersama Real, Moyes akan beralih arah kepada Bale dan United bersedia untuk membayar sebanyak £85 juta (RM419 juta) kepada Pemain Terbaik Liga Perdana England musim lalu itu.

"Segala laporan mengenai lanjutan kontrak saya bersama Real adalah tidak benar," kata Ronaldo yang menjadi pemain buruan utama United.

Kenyataan penyerang kelahiran Portugal itu bertentangan dengan Presiden Real, Florentino Perez yang sebelum ini mendakwa, Ronaldo akan kekal di bumi Sepanyol.

"Saya yakin Ronaldo akan bersara di Real kerana ia merupakan amalan kami (untuk pemain-pemain bintang)," kata Perez.

Ronaldo masih memiliki baki kontrak selama dua tahun, namun kenyataan itu jelas menunjukkan bahawa dia mahu meninggalkan Real.

Kini, United sudah bersedia untuk memecahkan rekod perpindahan dunia sebanyak £80 juta (RM394 juta) ketika menjual Ronaldo kepada Real pada 2009.

Sementara itu, Spurs pula terdesak untuk mengekalkan Bale, 23, tetapi mereka dijangka tidak dapat menolak tawaran lumayan tersebut.

Bintang Wales itu turut dikaitkan dengan Real dan Paris St. Germain, namun United percaya mereka boleh mendapatkan Ronaldo sekiranya Bale berhijrah ke Sepanyol. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 10 Jun 2013

Hajat United mungkin terbantut


LONDON - Manchester United bercadang untuk memperkenalkan Cristiano Ronaldo sebagai bintang baharu mereka pada 8 Ogos ini, namun hajat itu mungkin terbantut selepas pemain tersebut tidak menolak akan menyambung kontrak dengan Real Madrid. 

Juara Liga Perdana Inggeris itu sudah bersedia untuk membawa pulang bekas bintang mereka dengan bayaran 65 juta pound (RM307 juta), yang akan dicatat sebagai rekod perpindahan terbesar dalam sejarah bola sepak Britain. 

Malah, United juga sudah punya perancangan untuk menurunkan pemain sayap Portugal itu buat kali pertama dalam perlawanan menentang kelab Sepanyol, Sevilla yang merupakan perlawanan testimoni untuk pertahanan mereka, Rio Ferdinand. 

Bagaimanapun malam semalam, Ronaldo memberi tamparan kepada pihak pengurusan United apabila menegaskan dia mungkin akan mencapai persetujuan baharu dengan Real. 

“Saya tenang saja dalam hal ini. Saya tidak bimbang kerana saya tahu kami akan mencapai persetujuan untuk menandatangani perjanjian baharu," kata bekas Pemain Terbaik Dunia itu. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Sabtu, 8 Jun 2013

Ronaldo optimistik



RONALDO yakin dia akan mencapai persetujuan bersama Real berhubung pembaharuan kontraknya.


LISBON – Penyerang Real Madrid, Cristiano Ronaldo yakin dia akan mencapai persetujuan untuk memperbaharui kontraknya bersama kelab Liga Sepanyol itu.

Kapten Portugal itu menyertai Real daripada Manchester United pada 2009 dengan rekod bayaran tertinggi melebihi AS$118.98 juta (RM368.72 juta).

Begitupun, Real yang gagal memenangi gelaran utama musim lepas dikejutkan dengan spekulasi bahawa Ronaldo yang akan tamat kontrak pada Jun 2015 bakal meninggalkan kelab Sepanyol itu.
“Saya baik, tenang dan tidak risau mengenainya (kontrak). Saya tahu, kami akan mencapai perjanjian baharu nanti,” kata Ronaldo kepada pemberita.

Terdahulu, presiden kelab, Florentino Perez pernah menyifatkan Ronaldo sebagai seorang pemain yang tidak ternilai.

Perez berkata, bintang itu akan kekal dan membantu Real meraih gelaran ke-10 Liga Juara-Juara yang kali terakhir menjulang tfori itu pada 2002.

Pemain berusia 28 tahun itu membantu Portugal menewaskan Rusia 1-0, sekali gus menghidupkan peluang mereka dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2014 semalam.

Dalam pada itu, Ronaldo enggan memberi komen apabila ditanya mengenai kenyataan bekas jurulatih, Jose Mourinho yang mendakwa dia tidak boleh menerima sebarang kritikan. – Reuters

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Rabu, 5 Jun 2013

United mulakan usaha bawa Ronaldo ke Old Trafford


LONDON - Manchester United memulakan usaha untuk Cristiano Ronaldo menandatangani kontrak bersama pasukan itu pada musim panas ini.

Red Devils yakin mereka boleh mengambil kesempatan daripada prestasi tidak menentu Real Madrid untuk membawa Ronaldo kembali ke Old Trafford.

United turut bersedia untuk menawarkan 65 juta pound (RM307 juta) buat pemain berusia 28 tahun itu, yang masih dikenang sebagai wira United. 

Difahamkan Ronaldo turut berminat terhadap perpindahan tersebut dan dia juga menolak tawaran Real Madrid untuk menandatangani perjanjian baru ketika kontrak asalnya masih berbaki dua tahun.

Bagaimanapun, Real tetap tidak berputus asa untuk mengekalkan Ronaldo tetapi dalam masa yang sama mereka juga merancang untuk membawa masuk Gareth Bale dari Tottenham, pemain yang diletakkan nilai 80 juta pound (RM387 juta).

Difahamkan Ronaldo turut mahu menjual rumahnya di Madrid. Ronaldo tidak diturunkan dalam perlawanan terakhir Real musim ini selepas persaraan pengurus Jose Mourinho.

Ronaldo meninggalkan United untuk bersama Madrid dalam perpindahan bernilai 80 juta pound (RM378 juta) pada 2009.

Walaupun memenangi kejuaraan liga Sepanyol dan Piala Raja Sepanyol, Ronaldo tidak gembira di Bernabeu.

Dia dirindui oleh bekas rakan sepasukannya di United dan sering berhubung dengan Alex Ferguson.

Ronaldo juga kecewa apabila Fergie bersara namun dia tetap mahu kembali ke kelab lamanya itu.

United juga telah menghubungi wakil Ronaldo. Tajaan dengan Nike juga sedang dibincangkan.

United bakal menjadikan Ronaldo sebagai penerima gaji tertinggi seperti Wayne Rooney iaitu 250,000 pound (RM1.18 juta) seminggu.
Ketika Paris Saint-Germain mampu memberikan tawaran yang lebih tinggi, wang bukan segala-galanya bagi Ronaldo.

Jika perjanjian berjaya dimeterai, ia bakal memberikan David Moyes gandingan sempurna di Old Trafford. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my