Memaparkan catatan dengan label Hans Isaac. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hans Isaac. Papar semua catatan

Isnin, 5 Ogos 2013

Jual filem, bukan cerita sensasi




BERKESEMPATAN menonton filem Lemak Kampung Santan terbitan Tall Order Production Sdn. Bhd. kira-kira dua minggu lalu, ternyata gandingan mantap antara pelakon Hans Isaac dan Noor Neelofa Mohd. Noor cukup menyerlah.

Ironinya, mereka baru kali pertama berlakon bersama-sama.

Bagaimanapun, sepanjang proses penerbitan filem berkenaan yang mengambil masa sehingga hampir dua tahun sebelum akhirnya ditayangkan di pawagam pada hari raya pertama yang dijangkakan 8 Ogos ini, Hans dan Neelofa tidak terlepas apabila dikaitkan mempunyai hubungan istimewa.

Hans selaku pengarah filem tersebut menegaskan bahawa dia seboleh-bolehnya tidak mahu lagi kisah dirinya yang dikatakan bercinta dengan Neelofa terus dijadikan bahan sensasi ramai.

"Secara jujurnya, saya tidak mahu cerita mengenai kami lebih menjadi tumpuan berbanding filem ini.
"Lagipun beberapa bulan lalu saya sudah membuat satu sidang akhbar khas untuk menjelaskan perkara yang sebenar.

"Tambahan pula, tidak lama lagi filem ini akan ditayangkan di pawagam dan saya tidak ingin penonton memberi tanggapan yang saya sengaja menjaja kisah cinta semata-mata mahu melariskan filem ini," ujarnya pada sesi fotografi bersama Kosmo! baru-baru ini.

Menurut Hans yang juga bertindak sebagai penerbit Lemak Kampung Santan dihasilkan dengan begitu teliti sehingga mengambil masa yang lama.

Ia turut membabitkan rombakan skrip yang dilakukan sebanyak 15 kali semata-mata untuk menghasilkan sebuah filem berkualiti dan memenuhi cita rasa penonton.

Ujarnya, dia turut meletakkan harapan yang cukup tinggi untuk melihat kejayaan filem terbaharunya itu serta dapat memberi kepuasan kepada penonton dengan kelainan jalan cerita yang ditampilkan.
"Sebagai seorang penerbit sudah tentu saya ingin jual filem yang dihasilkan dan berharap supaya mendapat pula ngan yang setimpal. 

"Tidak dinafikan saya memang meletakkan harapan yang cukup tinggi untuk filem ini.

"Namun begitu, saya tidak mahu cerita sensasi yang membabitkan diri saya dan Neelofa dijadikan sebagai pelaris untuk orang ramai ke pawagam.

"Sebaliknya, saya yakin filem ini mempunyai kualiti tersendiri yang dapat menarik orang ramai untuk menonton filem ini," jelasnya.

Mengenai pemilihan Neelofa untuk memegang watak heroin, secara jujurnya Hans memberitahu, sewaktu kali pertama bertemu setelah diperkenalkan oleh Aziz M. Osman, dia melihat pelakon tersebut mempunyai karisma dan tarikan yang tersendiri.
HANS dan Neelofa sepakat enggan ambil kisah tentang gosip yang mendakwa mereka sedang menjalinkan hubungan cinta.


Bagaimanapun, Hans menegaskan bahawa sebelum diambil berlakon dalam filem tersebut, Neelofa perlu menjalani sesi uji bakat terlebih dahulu. 

Ia membabitkan penilaian oleh lapan orang rakannya yang sudah berpengalaman dalam bidang lakonan.

"Sepanjang menjalani penggambaran filem ini Neelofa telah memberi komitmen seratus peratus.
"Saya sangat berpuas hati dengan lakonan yang ditampilkannya. Dia berjaya membawakan watak Tiqa dengan baik.

"Secara jujurnya saya sangat senang bekerjasama dengannya kerana saya melihat dia bukanlah jenis wanita yang hipokrit. 

"Kalau ada perkara yang tidak memuaskan hati, dia akan berterus terang dan ia memudahkan lagi semua pihak untuk bekerja dan menghabiskan penggambaran tanpa timbul sebarang masalah yang besar," ujarnya.

Menurut Hans lagi, dia tidak menolak kemungkinan untuk kembali bekerjasama dengan Neelofa pada masa akan datang, namun berharap agar mereka tidak terus dikaitkan mempunyai hubungan cinta lagi.

Promosi

Biarpun Lemak Kampung Santan ditayangkan ketika umat Islam menyambut Aidilfitri, Hans menegaskan, ia bukanlah jaminan buat filemnya itu mampu mencecah kutipan yang tinggi.

Tambahan pula katanya, filemnya itu terpaksa bersaing dengan sebuah lagi filem Melayu yang tidak kurang hebatnya iaitu Adnan Sempit 3 yang turut ditayangkan pada hari yang sama.

"Buat masa ini, saya terpaksa menggiatkan lagi aktiviti promosi filem, malah telah memperuntukkan sebanyak RM750,000 sebagai kos membeli iklan di media cetak dan elektronik.

"Selain itu, para pelakon yang terlibat dalam filem ini juga akan terbabit dengan rangka promosi menerusi siri jelajah di seluruh negara yang akan diaturkan dan akan bermula sama ada empat atau lima hari selepas sambutan Aidilfitri," ujarnya.

Lemak Kampung Santan mengisahkan tentang seorang pemuda bandar, Ridzuan (Hans) yang jatuh cinta dengan seorang gadis kampung penjual nasi lemak bernama Tiqa (Neelofa) dalam satu pertemuan yang berlaku tanpa diduga di Kampung Santan.

Bagaimanapun, Tiqa tidak mengetahui bahawa Ridzuan merupakan ketua projek yang akan membina sebuah resort bertaraf antarabangsa di Kampung Santan dan memaksa semua penduduk kampung untuk berpindah.
NEELOFA kini berada di Pasir Mas, Kelantan sempena sambutan Aidilfitri kali ini.


Selain Hans dan Neelofa, filem tersebut turut dibintangi beberapa pelakon popular lain seperti Harun Salim Bachik, Awie, Nadia Mustafa, Khir Rahman dan Natasha Hudson.

Mengaku bercinta
Sementara itu, Neelofa yang turut hadir bersama Hans pada sesi fotografi tersebut meminta supaya tiada lagi pihak yang terus mengaitkan kisah cinta mereka berdua.

Membuat pengakuan berani apabila mengesahkan dia memang bercinta dengan Hans, namun pelakon tersebut mendedahkan kisah cinta mereka sekadar menjadi realiti dalam Lemak Kampung Santan sahaja.

"Selama ini orang melihat kami seperti pasangan bercinta tetapi hakikatnya kami sekadar teman rapat. 

"Seboleh-bolehnya biarlah tiada lagi cerita yang terus mengatakan kami ini menjalinkan hubungan istimewa.

"Kalau ada mana-mana pihak yang ingin melihat kami bercinta, mereka boleh menyaksikannya dalam Lemak Kampung Santan yang akan memulakan tayangan di pawagam pada hari raya pertama nanti," ujarnya.

Menceritakan tentang pembabitannya dalam filem berkenaan pula, Neelofa menjelaskan, semasa proses pembacaan skrip kali pertama, dia sudah tertarik dengan watak Tiqa, seorang gadis kampung.
Ujarnya, dia begitu pasti para penonton akan melihat perbezaan dan peningkatannya dalam aksi lakonan yang ditampilkan apabila menonton filem terbaharu lakonannya itu.

"Sebagai seorang gadis yang dilahirkan dan pernah dibesarkan di kampung, saya tidak mengalami sebarang kesukaran membawakan watak yang diberikan.

"Malah, Hans selaku pengarah banyak membantu saya untuk menghayati watak yang diberikan," ujar pelakon kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu.

Rumah terbuka
Bercerita mengenai persediaan untuk menyambut bulan Syawal pula, Neelofa menyatakan, persiapan dibuat secara ringkas sahaja serta tiga pasang baju kurung yang sudah siap dibeli.

Ujarnya, memandangkan jadual seninya yang cukup padat sepanjang bulan puasa ini, dia akan mula bercuti dua hari sebelum sambutan Aidilfitri yang diraikan pada 8 Ogos itu.

"Pada tahun ini, saya cuma akan bercuti selama lima hari sahaja. Dua hari saya dan keluarga akan menyambutnya di Alor Setar, Kedah dan selepas itu kami akan pulang ke Pasir Mas, Kelantan pula. 

"Lagipun saya tidak boleh bercuti terlalu lama memandangkan filem lakonan saya akan ditayangkan pada hari raya pertama. Jadi, saya perlu pulang semula ke Kuala Lumpur untuk terbabit dengan aktiviti promosi," jelasnya.

Menurut Neelofa, dia juga sudah merancang untuk mengadakan rumah terbuka di kediamannya di Kuala Lumpur khusus buat rakan- rakan dan peminat tetapi masih belum mendapatkan tarikh yang sesuai.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 16 April 2013

Hans, Neelofa kunci mulut




SEJAK pelakon muda, Neelofa menjadi pilihan utama Hans Isaac untuk filem arahannya iaitu Lemak Kampung Santan, gosip cinta antara mereka mula bertiup kencang.

Gosip itu semakin panas apabila mereka menjalani penggambaran filem tersebut pada Oktober, 2011. Baik Hans mahupun Neelofa, masing-masing tidak memberi sebarang pengesahan yang sahih tentang status hubungan mereka.

Kenyataan yang sering diberikan mereka: "Kami berkawan rapat dan selesa antara satu sama lain."
Dalam satu temu bual sebelum ini, Hans pernah mengakui berkenalan rapat dengan keluarga Neelofa.
Bagaimanapun, pada sidang media filem Lemak Kampung Santan baru-baru ini, Hans enggan berkongsi kisah peribadi dirinya dengan media.

"Saya tidak mahu gosip cinta dan cerita tentang hubungan kami menjadi cerita yang lebih besar daripada filem saya. Sebab itu saya mengadakan sidang media sekarang meskipun filem saya akan ditayangkan lambat lagi," katanya.

Sungguhpun begitu, Hans mengakui dia tertarik kepada Neelofa saat pertama kali bertemu dengannya pada sesi uji bakat yang dijalankan.

"Sejujurnya saya langsung tidak mengenali siapa Neelofa sebelum bekerja dengannya. Sebelum memilih Neelofa saya telah mempunyai pilihan pelakon wanita yang lain, jauh lebih senior daripadanya.
"Namun, waktu itu Aziz M. Osman mencadangkan kepada saya supaya mengambil Neelofa. Selepas bertemu dengannya buat pertama kali kami terus serasi. 

"Benarlah kata Aziz, Neelofa seorang pemikir, bukannya pelakon yang cantik dan kejar glamor semata-mata," tuturnya.

Tambahnya, pada sesi uji bakat, Neelofa telah mengejutkan dirinya kerana berjaya melontarkan skrip seperti pelakon senior meskipun ketika itu dia masih terlalu baru dalam dunia lakonan.
"Saya tertanya-tanya juga, pandai atau tidak dia berlakon? Selepas melihat sendiri bakatnya saya cukup yakin dan terus mengambilnya untuk watak Tiga.
"Sejak berkerja sama, kami berdua mula rapat. Apa yang saya suka tentangnya, dia boleh buat saya ketawa," ujarnya.
GOSIP cinta Hans, Neelofa bukan gimik untuk pancing penonton.


Ditebak mengapa sebelum ini Hans lebih terbuka berkongsi kisah cintanya, jawab Hans, dia telah belajar daripada kesilapan lalu.

"Sebelum ini memang saya bersikap terbuka dengan siapa saya bercinta tetapi dengan sikap terbuka itu saya telah mendapat banyak masalah.

"Saya penat untuk menjawab soalan yang sama berulang kali. Rasanya cukuplah saya dikenali dengan gosip cinta kerana apa yang saya inginkan andai saya tiada lagi di dunia ini ialah pencapaian saya dalam industri seni," balasnya.

Kata Hans, filem yang tidak cukup bagus sahaja akan menggunakan gosip cinta sebagai gimik untuk melariskan filem mereka.

"Selalunya penerbit yang menggunakan gosip cinta sebagai gimik untuk lariskan filem kerana mereka tidak yakin dengan filem sendiri.

"Jujurnya, zaman 80-an banyak produksi filem menggunakan cara tersebut untuk melariskan filem. Hollywood juga tidak terkecuali. 

"Sekarang sudah tahun 2013, tidak mungkin saya akan menggunakan cara yang sama untuk memancing penonton ke pawagam," ujarnya.

Jika sudah berkata begitu, sudah pasti Hans sangat yakin dengan kualiti Lemak Kampung Santan yang dihasilkan dengan kos mencecah RM1.7 juta itu.

"Ya, memang saya cukup yakin filem saya berkualiti. Saya mempunyai barisan pelakon yang terbaik dan saya sendiri memastikan setiap babak di pawagam berbaloi untuk ditonton," jelasnya.

Permaisuri
Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd. Noor mengakui, gosip cinta yang bertebaran tidak dirancang. Bukan itu sahaja, gosip cinta itu tidak mengganggu konsentrasinya ketika berlakon bersama Hans.
"Ketika gosip itu hangat diperkatakan, kami sedang berada pada akhir penggambaran. Terus-terang, saya langsung tidak terganggu dengan gosip itu.

"Saya tidak akan sesekali mencampurkan urusan kerja dengan urusan peribadi. Saya juga kunci mulut tentang kisah peribadi, apa yang saya boleh katakan kami berkawan baik, itu sahaja," balas pelakon berusia 24 tahun itu.

Sambung pelakon kelahiran Kelantan itu, sepanjang penggambaran Lemak Kampung Santan selama 45 hari, dia diberi layanan bak permaisuri oleh Hans.

"Memang cukup berbeza ketika berada di set penggambaran Hans. Semuanya cukup lengkap. Makanan, tempat rehat dan karavan yang lengkap dengan penghawa dingin. Rasa seperti permaisuri (ketawa).
"Kemudahan itu bukan untuk saya seorang sahaja, tetapi untuk semua pelakon yang terlibat, jadi jangan salah faham," tuturnya berseloroh.

Tambahnya, terlibat dalam filem tersebut pada tahun pertama menceburi bidang seni telah mengangkat dirinya ke tahap yang lebih tinggi kerana dikelilingi oleh pelakon-pelakon yang berkaliber selain skrip filem yang cukup menarik.

"Apabila berlakon dalam filem ini saya dapat rasa diri saya berada setingkat lebih tinggi kerana pelakon sekeliling saya semuanya hebat-hebat.

"Mereka tidak lokek memberikan ilmu untuk saya menjadi pelakon yang lebih baik. Ini antara filem yang saya tidak sabar untuk penonton beri respons kerana saya buat sehabis baik," katanya tentang filem keempat lakonannya itu.
NEELOFA dan Hans memilih untuk tidak membicarakan soal peribadi secara lantang.


Hero
Menerusi filem terbitan Tall Order Production Sdn. Bhd. tersebut, Hans membawakan watak utama sebagai Ridzuan. Pada masa yang sama Hans juga memegang tanggungjawab sebagai penulis skrip serta pengarah.
Walaupun ia turut dibintangi oleh barisan pelakon gred A seperti Harun Salim Bachik, Awie, Natasha Hudson dan Khir Rahman, namun Hans seperti tidak mahu memberi peluang kepada pelakon lain untuk memegang watak utama.

Saat diajukan persoalan tersebut kepadanya, Hans menjawab: "Selepas berfikir panjang, saya tidak melihat ada pelakon yang mampu menggalas watak tersebut.
"Ini kerana watak Ridzuan itu sangat urban seperti diri saya sendiri. Tidak ada pelakon lain yang sesuai untuk watak itu selain diri saya sendiri."

Bercakap mengenai pemilihan pelakon pula, Hans mengatakan dia memilih pelakon yang bersesuai dengan watak, bukannya popular semata-mata.

"Setiap watak yang saya pilih cukup sesuai dengan pelakon. Saya cukup bertuah kerana mendapat pelakon-pelakon yang berjuang untuk industri filem.

"Mereka memberikan yang terbaik. Tidak sukar untuk mengarahkan mereka semua kerana mereka tahu apa yang perlu dilakukan di hadapan kamera," balasnya tentang filem yang diklasifikasikan sebagai PG13 (boleh ditonton oleh kanak-kanak yang berumur 13 tahun ke bawah tetapi dengan pengawasan ibu bapa) oleh Lembaga Penapisan Filem.

Filem Lemak Kampung Santan yang bakal ditayangkan pada Jun ini bergenre komedi, drama dan misteri mengisahkan seorang pemuda bandar Ridzuan (Hans Isaac) yang jatuh cinta dengan gadis kampung bernama Tiga (Neelofa).

Ridzuan menyembunyikan identitinya, seorang pereka binaan dan dalam proses membina sebuah resort di Kampung Santan. Projek itu memaksa semua penduduk berpindah.
Bagaimanapun, terdapat misteri di Kampung Santan yang disembunyikan Tiga dan semua penduduk kampung tersebut.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Khamis, 24 Januari 2013

Hans Isaac rahsiakan calon isteri


TIDAK berubah. Hans mengakui dia masih merupakan teman rapat Neelofa.


MELIHAT kepada perkembangan kerjaya sepanjang 20 tahun selaku pengarah, pelakon dan penerbit, sudah pelbagai kejayaan yang pernah diraih oleh Hans Isaac.

Bagaimanapun, dengan usianya yang bakal mencecah 42 tahun, sudah ramai peminatnya yang ingin mengetahui bilakah Hans bakal menamatkan zaman bujangnya setelah beberapa kali gagal dalam percintaan.
Sementelah buat masa ini, dia sering dikaitkan mempunyai hubungan istimewa dengan pelakon dan pengacara, Neelofa sehinggakan pernah digosip bercuti bersama-sama di luar negara pada tahun lalu.

Hans yang ditemui pada majlis pelancaran filem Lawak Ke Der 2 di Hotel Premiera, Kuala Lumpur baru-baru ini mendedahkan, dia mahu mendirikan rumah tangga pada pertengahan tahun hadapan.

Kini, yang menjadi persoalannya adakah penerima Anugerah Pengarah Harapan Terbaik dan Lakon Layar Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-21 itu bakal mendirikan rumah tangga dengan pelakon yang sering digosipkan dengannya itu?

Kosmo!: Bagaimanakah hubungan Hans dengan Neelofa sekarang? Dengarnya kini kalian berdua sudah tidak rapat lagi seperti dahulu?

HANS ISAAC: Apa yang boleh saya katakan hubungan kami masih tetap seperti biasa sebagai teman rapat. Namun, saya tidak dapat hendak menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai sejauh mana hubungan kami.
Apakah komen Hans apabila terus diajukan pertanyaan mengenai hubungan rapat dengan Neelofa?
Sejujurnya, saya memang dah bosan apabila asyik diajukan mengenai perkara ini dan lebih selesa untuk berdiam diri daripada terus memberi sebarang kenyataan.

Lagipun, filem yang menampilkan kami bergandingan bersama iaitu Lemak Kampung Santan akan ditayangkan pada 29 Mei ini. Jadi, saya tidak mahu kisah saya dan Neelofa dijadikan sebagai publisiti murahan untuk menarik minat orang ramai menonton filem ini nanti.

Pada usia yang sudah mencecah 42 tahun, adakah Hans terfikir mahu mendirikan rumah tangga?
Sebenarnya saya pernah terfikir untuk berkahwin sejak tiga tahun yang lalu, tetapi pada masa itu saya perlu memberi sepenuh perhatian kepada mendiang ibu saya, Carmina Anciano Isaac yang sedang sakit.

Kini, setelah ibu saya meninggal dunia barulah saya tergerak hati untuk melakukan suatu perubahan dalam hidup, termasuk mengenai perkahwinan. Lagipun, sasaran saya paling awal untuk mendirikan rumah tangga pada pertengahan tahun 2014.

Dengan kenyataan yang dibuat ini seolah-olah Hans sudah mempunyai calon isteri sekarang. Adakah ia benar?

Berkenaan dengan calon isteri, saya tidak mahu memberikan sebarang komen buat masa ini kerana ia terlalu peribadi untuk diceritakan. Biarlah buat masa ini, saya tidak berkata apa-apa mengenainya.
Bagaimanapun, saya akan tetap memberikan kenyataan apabila sudah tiba masa yang sesuai untuk menceritakannya. Sekarang ini, lebih baik saya mengunci mulut tanpa memberikan sebarang kenyataan kepada mana-mana pihak.

Kenapakah Hans seperti mahu berahsia pula?
Semuanya disebabkan pengalaman saya yang lepas terutamanya mengenai percintaan. Apabila hubungan saya dengan seseorang wanita itu tidak menjadi, kebanyakan pihak akan menyalahkan saya seorang. 

Lagipun, saya perlu pastikan wanita yang dipilih untuk menjadi teman hidup adalah pilihan yang tepat. Ini kerana saya inginkan hubungan yang berkekalan dan bukannya bercerai selepas beberapa tahun berkahwin.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my