Memaparkan catatan dengan label Ong Kim Swee. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ong Kim Swee. Papar semua catatan

Isnin, 9 Disember 2013

'Elak lakukan kesilapan'



KIM SWEE (tiga dari kiri) merancang strategi bagi menghadapi Brunei hari ini ketika sesi latihan Harimau Muda di Stadium Zayar Thiri, Nay Pyi Taw petang semalam.


NAY PYI TAW, Myanmar - Skuad bola sepak Brunei bukan lawan sebenar Harimau Muda.
Bagaimanapun, anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee tidak boleh memandang rendah kemampuan Brunei apabila kedua-dua pasukan bertemu pada aksi sulung Kumpulan B di Stadium Zeyer Thiri petang ini.

Memenangi perlawanan pertama sangat penting buat Harimau Muda yang tampil dengan misi mempertahankan pingat emas pada Sukan SEA 2013.

Kemenangan akan menyuntik moral pemain-pemain negara, manakala kekalahan bakal menyukarkan laluan mereka untuk memburu pingat emas hatrik pada edisi ke-27 temasya dwitahunan itu.

Harimau Muda perlu menjadikan aksi menentang Brunei sebagai medan untuk menguji kemampuan sebenar kerana selepas itu mereka perlu berdepan lawan yang lebih sukar iaitu Vietnam, Singapura dan Laos pada aksi peringkat kumpulan.

Skuad negara perlu mengikut jejak langkah Vietnam yang berjaya membelasah Brunei 7-0 pada aksi pembukaan Kumpulan B kelmarin.

Meskipun Singapura dan Laos sekadar seri 1-1 dalam satu lagi perlawanan peringkat kumpulan, keputusan itu tidak boleh dijadikan ukuran sebenar kemampuan kedua-dua pasukan tersebut.

Harimau Muda juga perlu mencatat kemenangan besar ke atas Brunei bagi memberikan 'amaran awal' kepada Myanmar dan Thailand yang memulakan kempen kali ini dengan langkah kanan.

Tuan rumah, Myanmar menewaskan Kemboja 3-0, manakala Thailand menang 3-1 ke atas Timor Leste pada aksi pembukaan Kumpulan B di Stadium Thuwunna, Yangon pada Sabtu lalu.

Bagaimanapun, Kim Swee tidak mahu anak-anak buahnya terlalu memandang rendah keupayaan Brunei dan terlampau yakin bahawa mereka mampu merekodkan kemenangan besar seperti mana yang dilakukan Vietnam.

"Tidak semestinya kami perlu menjaringkan gol yang banyak tetapi kalau kami boleh, kami akan melakukannya. Pada masa yang sama, kami tidak boleh memandang rendah keupayaan mereka.

"Kalau kami turun padang dengan sasaran untuk menjaringkan gol yang banyak, saya takut pemain-pemain akan hilang fokus dan tercari-cari gol yang diperlukan.

"Apa yang penting, kami perlu hormati pasukan lawan dan bukan takut kepada mereka. Kami perlu bermain mengikut strategi sendiri," kata Kim Swee selepas mengendalikan sesi latihan pasukan di Stadium Zayyar Thiri petang semalam.

Bagaimanapun, Harimau Muda perlu belajar daripada kesilapan yang dilakukan dalam dua edisi lalu.
Pada aksi di Laos empat tahun lalu, anak-anak buah Datuk K. Rajagobal menamatkan saingan Kumpulan A di kedudukan kedua di belakang Vietnam.

Harimau Muda menewaskan pasukan tuan rumah 3-1 pada aksi separuh akhir sebelum memerlukan jaringan sendiri pemain Vietnam untuk melakar kemenangan 1-0.

Selain muncul juara dan memenangi gelaran kelima, kejayaan itu turut menamatkan penantian selama 20 tahun Malaysia untuk memenangi pingat emas pada Sukan SEA.

Dua tahun kemudian, Harimau Muda yang dibimbing Kim Swee menamatkan saingan dalam Kumpulan A di depan pasukan tuan rumah, Indonesia.

Malaysia menewaskan Myanmar 1-0 pada aksi separuh akhir sebelum mengecewakan Indonesia 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sepanjang tempoh permainan sebenar.

Bagaimanapun, Harimau Muda memiliki kelebihan pada edisi kali ini.

Selain mempunyai pengalaman menjadi juara sebanyak dua kali berturut-turut, skuad negara juga bakal diperkuatkan dengan tujuh pemain yang membantu Malaysia memenangi pingat emas di Jakarta dua tahun lalu.

Khidmat penyerang Selangor, A. Thamil Arasu dan enam pemain lain iaitu Mohd. Izham Tarmizi Roslan (penjaga gol), Izzaq Faris (penyerang), Muhammad Nazmi Faiz Mansor (tengah), Mohd. Fadhli Mohd. Shas (pertahanan), Mohd. Zubir Mohd. Azmi (pertahanan) dan Mohd. Irfan Fazail (tengah) ditagih merealisasikan misi memburu 'ibu emas' Sukan SEA 2013, sekali gus melakar kemenangan hatrik.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 3 Disember 2013

Kim Swee tidak mahu ada 'penumpang' dalam pasukan

 
Berita Harian
 
Kuala Lumpur: "Saya tidak mahu ada penumpang dalam pasukan ini," kata Ketua Jurulatih Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee dalam membuat pemilihan barisan terbaik dalam misi mempertahankan pingat emas Sukan SEA buat kali ketiga berturut-turut di Myanmar 2013.

Pengendali dari Melaka itu juga mengingatkan pemain yang pernah beraksi di Jakarta dua tahun lalu supaya tidak mengambil mudah betapa tempat mereka sudah terjamin.
Malah, beliau menegaskan aksi menentang kelab Divisyen Tiga Jepun, FC Ryukyu, esok menjadi medan terakhir untuk setiap pemain membuktikan kemampuan sebenar.


“Ini satu perlawanan yang begitu baik buat kami. Peluang buat mereka membuktikan sesuatu untuk terpilih ke Myanmar nanti.

Latihan lebih awal

“Semuanya terpulang kepada keinginan pemain itu sendiri. Kalau mereka tidak ambil peluang ini, mereka akan kena tinggal. Walaupun dua tahun lalu mereka ada dalam pasukan, itu bukan jaminan untuk sekali lagi terpilih,” katanya ketika dihubungi semalam.

Selain FC Ryukyu, Harimau Muda juga mengadakan perlawanan pemanas badan menjelang temasya itu dengan menentang Johor Darul Ta'zim II (JDT 11) yang berkesudahan seri 0-0, minggu lalu.
Sementara itu, Kim Swee mengambil inisiatif menjalani latihan lebih awal di bawah cuaca panas bagi membiasakan pemain dengan keadaan di Myanmar yang menyaksikan Malaysia dijadualkan beraksi pada sebelah petang.

“Kami cuba menjalani latihan pada sebelah petang lebih awal sebagai persediaan menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di Myanmar nanti.

“Namun hari ini (semalam) cuaca tidak mengizinkan berikutan hujan. Tetapi itu tidak mematahkan semangat seluruh pasukan untuk cuba melakukan yang terbaik,” katanya.

Ahad, 13 Oktober 2013

Kim Swee terpaksa tukar semula jadual

Kelana Jaya: Tempoh 10 hari terakhir sebelum sepak mula aksi pertama Sukan SEA 2013 di Myanmar, 1 Disember ini dianggap Datuk Ong Kim Swee sebagai detik paling penting dalam misi skuad Harimau Muda mempertahankan pingat emas temasya dwitahunan itu.

Ini kata jurulatih skuad Harimau Muda itu, hanya dalam tempoh itu beliau dapat mengumpulkan semua pemain utamanya kerana beberapa pemain B-23 yang turut beraksi bersama skuad kebangsaan hanya akan dilepaskan selepas pertemuan kelima Kumpulan D Kelayakan Piala Asia 2015 bertemu Qatar di Stadium Shah Alam, 19 November ini.
Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini
 

Ahad, 6 Oktober 2013

Kuasa empat gergasi!


Oleh Syed Riduan Ahmad 
Kuasa empat gergasi! Ong Kim Swee
 
Kuala Lumpur: Ramalan pengendali Harimau Muda A, Ong Kim Swee pada saingan suku akhir Piala Malaysia terbukti tepat apabila Kelantan dan Tentera berjaya mengatasi defisit untuk mara ke separuh akhir bersama-sama Pahang dan Sarawak.

Namun untuk aksi separuh akhir, Kim Swee berpendapat ia saingan yang berbeza dan keempat-empat pasukan memiliki peluang sama rata serta kekuatan hampir seimbang.
Bekalan tipis tak cukup


“Aksi pertama separuh akhir bakal menentukan hala tuju pasukan ke final,” kata Kim Swee. “Ia membawa impak besar kepada peluang setiap pasukan dan bekalan kemenangan tipis tidak mencukupi untuk memastikan tiket ke final.

Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini

Selasa, 10 September 2013

HARIMAU LAPAR LAGI!

 
HARIMAU LAPAR LAGI! 
 Ong Kim Swee (dua dari kiri) memantau anak didik pada sesi latihan terakhir sebelum bertemu Thailand malam ini.
 
Kuantan: Tiket ke final Pestabola Merdeka sudah dalam genggaman, tetapi Harimau Muda A tidak akan memperlahankan rentak permainan sebaliknya meneruskan momentum kemenangan pada perlawanan ketiga menentang Thailand di Stadium Darul Makmur, malam ini.

Kejohanan ini adalah sebagai persiapan untuk Sukan SEA dan perlawanan dengan Thailand ini cukup penting bagi memastikan semua pemain dapat diuji, kata ketua jurulatih, Ong Kim Swee pada sidang media, semalam.
Selepas dua perlawanan, saya hanya dapat menilai setengah daripada 25 pemain yang dibawa ke sini, jadi pertemuan dengan Thailand akan memberi peluang kepada pemain yang belum beraksi.


Pamer prestasi sama

Namun, saya tidak mahu rentak permainan yang ditetapkan keseb elasan utama sebelum ini menurun sebaliknya mengharapkan siapa pun yang diturunkan nanti mempamerkan prestasi sama atau lebih baik.

Kim Swee berkata, pemain yang tidak diturunkan sebelum ini bukan bererti mereka belum cukup bagus, tetapi dia mahu melihat keserasian di antara pemain kelab dan Harimau Muda A yang pertama kali bergandingan.

Pada perlawanan pertama menentang Singapura, saya hanya membariskan empat pemain Harimau Muda A, dan kebanyakan pemain yang masih belum beraksi adalah pemain Harimau Muda A yang sudah lama berlatih bersama.
Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini

Jumaat, 6 September 2013

Skuad Pestabola ditakrif mantap

Oleh Syed Riduan Ahmad 
Kuantan: Kesebelasan utama skuad bawah 23 negara yang bakal memulakan saingan Pestabola Merdeka bertemu Singapura esok akan diumumkan pagi ini oleh pengendalinya, Ong Kim Swee.

"Saya belum memutuskan sepenuhnya siapa yang akan diturunkan, begitu juga dengan skuad 22 pemain yang akan disenaraikan pada perlawanan bertemu Singapura nanti.
"Kita terpaksa mengetepikan tiga pemain pada setiap perlawanan dan ini akan ditentukan berdasarkan beberapa faktor seperti kecederaan, kecergasan atau taktikal permainan.


25 dibawa ke Kuantan

"Kita mempunyai beberapa pilihan di bahagian tengah dan depan, hanya di benteng pertahanan saja pilihan agak terhad. Namun, keutamaan saya adalah pemain yang boleh beraksi di beberapa posisi," katanya selepas sesi latihan di Akademi Bola Sepak Negara di Gambang, Pahang semalam.

Daripada senarai 25 pemain yang dibawa ke Kuantan, hanya seorang pemain - Nazirul Naim Che Hashim yang masih mengalami kecederaan manakala Nazmi Faiz Mansor sudah mula menjalani latihan penuh bersama pasukan semalam.

"Buat masa ini tiada masalah kecederaan serius di dalam pasukan, Junior (Eldstal) tidak berlatih penuh kerana kakinya melecet.
Temu Singapura esok

"Berbeza dengan kejohanan-kejohanan sebelum ini di mana kita terpaksa beraksi tanpa beberapa tonggak utama. Kali ini saya boleh katakan pilihan lebih luas walaupun kita kehilangan pemain berpengalaman seperti Izzaq (Faris Ramlan), Fandi (Othman), Hazwan (Bakri), Kecik (Wan Zaharulnizam Zakaria), Amer (Saidin) dan Gary (Steven Robbat).

"Memandangkan kita akan bermain selang sehari, saya perlu membentuk dua pasukan yang seimbang untuk memastikan kita mempunyai skuad yang benar-benar cergas pada setiap perlawanan," kata Kim Swee yang mengakui barisan pemainnya kali ini lebih lengkap.

Skuad negara akan bertemu Singapura B-23 di Stadium Darul Makmur pada jam 5.30 petang esok manakala pasukan pilihan Thailand bertemu Myanmar B-23 di gelanggang sama pada jam 8.45 malam.

Ahad, 1 September 2013

Cabaran positif Harimau Muda


BUKAN 'kacau daun', sebaliknya cabaran positif buat kesemua pemain Harimau Muda.

Itu cabaran yang wajar disahut majoriti pemain skuad muda negara rentetan kehadiran beberapa 'wajah baharu' yang dipanggil pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee menjelang Pestabola Merdeka 2013 yang bakal membuka tirainya di Kuantan, Pahang pada 7 September ini.

Biarpun ada yang beranggapan slot pemain sedia ada ke temasya Sukan SEA barangkali sedikit terjejas dengan kehadiran beberapa pemain berkenaan, Kim Swee memiliki jawapan beliau yang tersendiri berhubung perkara itu.

"Seringkali saya katakan sejak awal tahun ini, tiada slot automatik buat mana-mana pemain untuk beraksi dalam skuad temasya Sukan SEA.

"Prestasi semasa yang konsisten kekal menjadi keutamaan saya memilih senarai pemain ke Myanmar.
"Seandainya mahu beraksi pada temasya Sukan SEA, pemain perlu mengekalkan prestasi semasa yang konsisten terutamanya pada Pestabola Merdeka kerana jika tidak, jangan terkejut sekiranya ada pemain asal yang pernah beraksi di Indonesia juga diketepikan ke Myanmar kali ini," kata Kim Swee kepada Kosmo! semalam.

Kim Swee bersama senarai awal 25 pemain telah berlepas ke Kuantan semalam dan bakal menjalani latihan di sana sebelum senarai akhir 22 pemain dijangka diketahui sehari dua sebelum saingan Pestabola Merdeka bermula.

Kali ini, Kim Swee menyenaraikan kembali bekas anak didiknya yang juga pemain tengah Selangor PKNS, Muhammad Nazmi Faiz Mansor selain turut memanggil beberapa pemain muda yang menampilkan persembahan terpuji bersama skuad negeri masing-masing sepanjang kempen Liga Malaysia musim ini seperti pemain Perak, Mohammad Nasir Basharuddin, S. Sivanesan (Negeri Sembilan), Nik Mohd. Shahrul Azim (Kelantan) dan Putera Nadher Amarhan Maderner atau Junior Eldstal (Sarawak).

Kim Swee turut menyenaraikan tiga tonggak berpengalaman iaitu pertahanan Terengganu, Mohd. Zubir Mohd. Azmi, pemain sayap Angkatan Tentera Malaysia, K. Reuben serta pemain sayap yang berkelana di Jepun dan bermain bersama kelab FC Ryukyu, Wan Zack Haikal Wan Nor.

"Bukan sahaja Nazmi dan Wan Zack, malah kesemua pemain perlu mempamerkan prestasi yang konsisten dalam kempen Pestabola Merdeka.

"Jadi, mana-mana pemain yang tidak terpilih (ke Pestabola Merdeka) tidak sewajarnya berasa terpinggir sebaliknya menyahut cabaran itu dengan positif supaya kembali tersenarai ke Myanmar," jelas Kim Swee.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 26 Ogos 2013

Harimau Muda mahu asah taring



SKUAD Harimau Muda bergambar kenangan pada majlis pelancaran Pesta Bola Merdeka 2013 di Kuantan, Pahang Jumaat lalu.


SEJAUH mana kemampuan barisan pemainnya kekal cergas beraksi dalam tempoh 90 minit bakal menjadi agenda utama pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee menjelang sepak mula Pesta Bola Merdeka 2013 di Kuantan pada 7 September depan.

Sekadar turun dalam satu aksi persahabatan berdepan Pahang di Stadium Darul Makmur pada 3 September, tiada lagi yang dituntut Kim Swee melainkan beberapa siri 'pemanas badan' sebelum Harimau Muda memulakan kempen Pesta Bola Merdeka 2013 menentang skuad Bawah 23 tahun (B-23) Singapura empat hari kemudian.

Menurut beliau, tempoh kurang dua minggu yang dimiliki beliau akan dimanfaatkan sepenuhnya dalam mengenal pasti beberapa aksi kompetitif sebelum Pesta Bola Merdeka 2013 bermula.
"Saya hanya dapat menilai kecergasan pemain dalam perlawanan penuh selama 90 minit, bukan sekadar latihan biasa.

"Jadi saya harap dapat mengenal pasti beberapa aksi persahabatan sebagai ujian buat pemain selewat-lewatnya minggu depan," kata Kim Swee kepada Kosmo! baru-baru ini.

Kim Swee berkata, beliau berdepan kesukaran menguji pemain ekoran aksi persahabatan berdepan skuad kebangsaan Bangladesh yang sepatutnya berlangsung 22 Ogos lalu terpaksa dibatalkan atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

"Hanya aksi menentang Pahang yang bakal menjadi ujian terakhir Harimau Muda sebelum memulakan aksi Pesta Bola Merdeka, jadi saya harap kami dapat mengadakan beberapa ujian persahabatan sebelum itu," katanya.

Daripada 25 pemain Harimau Muda yang dipanggil berkumpul di Kuantan pada 1 September depan, Kim Swee juga tidak menolak kemungkinan sekurang-kurangnya tiga nama akan 'tercicir' daripada beraksi pada Pesta Bola Merdeka nanti.

"Senarai akhir 22 pemain hanya akan diumumkan sehari dua sebelum Pesta Bola Merdeka," kata Kim Swee.

Selepas berdepan B-23 Singapura, skuad kendalian Kim Swee bakal melayan cabaran skuad B-23 Myanmar pada 9 September sebelum berdepan B-23 Thailand dua hari kemudian.

Aksi penentuan tempat ketiga/ keempat dan final pula dijadualkan berlangsung di Stadium Darul Makmur pada 14 September.

Kali terakhir Malaysia muncul juara Pesta Bola Merdeka ialah pada edisi 2007 apabila mengecewakan Myanmar 3-1 di pentas fina

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 23 Ogos 2013

Jangan takut lepas pemain

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA

KUANTAN - Pengendali Harimau Muda A, Ong Kim Swe menyeru mana-mana pasukan negeri dan kelab yang sudah memiliki atau ingin menyunting pemain bawah 23 tahun negara agar tidak takut melepaskan pemain mereka yang dipanggil menyarung jersi skuad kebangsaan. 

"Saya harap kelab dan pasukan bola sepak negeri tidak bimbang tentang pemain-pemain ini apabila kita panggil untuk bermain di Pestabola Merdeka 2013 mahupun Sukan SEA 2013 di Myanmar, Disember depan.

"Biarkan mereka fokus sebab kita bermain untuk negara. Saya harap semua pasukan memahami ini dan saya percaya jika kita bekerjasama, kita akan mencapai kejayaan terbaik untuk pasukan bola sepak negara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran Pestabola Merdeka edisi ke-41 yang disempurnakan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di sini semalam.

Mengenai kejohanan Pestabola Merdeka yang akan bermula dari 7-14 September depan, Kim Swee berkata, beliau akan memastikan pasukan negara mencapai kejuaraan pada edisi kali ini.

"Setiap kejohanan yang kita sertai sudah pasti kita akan cuba menjadi juara dan di sini saya boleh katakan yang kita akan cuba sedaya-upaya untuk menjadi juara selepas pada edisi lalu kita sekadar muncul naib juara," katanya.

Ditanya mengenai kemasukan tujuh pemain bagi memperkuatkan skuad bawah 23 tahun negara bagi menghadapi saingan Pestabola Merdeka, Kim Swee nyata gembira dengan situasi positif tersebut.

Tujuh pemain berkenaan ialah Mohd. Fadhli Shas dari Harimau Muda A, Wan Zack Haikal Wan Noor (Ryukyu FC), K. Reuben (Angkatan Tentera Malaysia), Mohamad Nazmi Faiz Mansor (PKNS) dan Mohd. Zubir Azmi (Terengganu), Nik Shahrul Azim Abd. Halim (Kelantan) dan Junior Eldstal (Sarawak).

Bekas pemain kebangsaan itu mengharapkan kesemua pemain terbabit berada di tahap kecergasan terbaik bagi membantu Malaysia merangkul kejuaraan. 

Katanya lagi, Singapura, Thailand dan Myanmar adalah tiga pasukan hebat yang mampu memberi cabaran serius kepada Malaysia pada kejohanan kali ini. 

"Mereka menjadikan Pestabola Merdeka sebagai platform untuk menghadapi Sukan SEA," katanya.
Ini adalah kali pertama kejohanan berprestij ini diadakan di luar Kuala Lumpur iaitu di Kuantan dan Temerloh. Kali terakhir kita menganjurkannya adalah pada 2008.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Sabtu, 17 Ogos 2013

Sultan Ahmad cabar Kim Swee, Raja menangi baki kejohanan

Kuala Lumpur: Sultan Ahmad Shah melontarkan cabaran kepada pengendali Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal dan jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee menjelang dua kejohanan penting hujung tahun ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu mahu anak buah Rajagobal memenangi semua baki perlawanan dalam Kumpulan D kempen Kelayakan Piala Asia 2015 yang akan bermula Oktober ini, sekali gus mara ke pusingan akhir di Australia.

“Apa jua yang berlaku sekalipun, skuad negara perlu menang dalam dua baki perlawanan (menentang Bahrain dan Qatar) selepas ini sekali gus mara ke pusingan akhir,” kata Sultan Ahmad Shah ketika berucap menyempurnakan Kongres Tahunan FAM ke-49 di Hotel Royal Chulan, di sini semalam.


Selepas dua perlawanan, skuad negara ketika ini menghuni tangga ketiga carta Kumpulan D dengan mengumpul tiga mata, hasil kemenangan 2-1 ke atas Yaman dan tewas 0-2 di tangan Qatar.

Anak buah Rajagobal akan meneruskan kempen kali ini dengan melayan kunjungan Bahrain di Stadium Shah Alam 19 Oktober ini sebelum berkunjung ke Stadium Nasional Bahrain untuk aksi kedua pada 15 November.

Malaysia berdepan aksi kedua menentang Qatar di Stadium Shah Alam pada 19 November sebelum menutup tirai kempen berdepan Yemen pada 5 Mac.

Sementara itu, bagi Kim Swee, beliau tidak mempunyai pilihan selain mempertahankan pingat emas Sukan SEA buat kali ketiga berturut-turut apabila edisi 201 temasya dwitahunan itu berlangsung di Myanmar Disember ini seperti sasaran ditetapkan Sultan Ahmad Shah.
Malaysia berjaya memenangi emas ketika edisi 2009 di Laos ketika skuad negara dikendalikan Rajagobal sebelum Kim Swee mempertahankan kejuaraan dua tahun kemudian di Indonesia.

Khamis, 15 Ogos 2013

'Tidak timbul soal berkecil hati'



AKSI Nik Shahrul (kanan) ketika skuad Harimau Malaya menentang Barcelona pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam minggu lalu.


PENGENDALI Harimau Muda, Ong Kim Swee kekal bersikap gentlemen. Kehilangan dua tonggak pertahanan, Nik Shahrul Azim Abdul Halim dan Junior Edstal menjelang Pestabola Merdeka 2013 di Kuantan, Pahang Darul Makmur bulan depan tidak sedikitpun membuatkan pengendali berusia 43 tahun itu berkecil hati.

Sebaliknya, Kim Swee nekad membantu Harimau Muda memberikan yang terbaik pada kejohanan itu sebagai sebahagian daripada persiapan memburu pingat emas hatrik pada temasya Sukan SEA di Myanmar penghujung tahun ini.

Menurut Kim Swee, beliau telah mengenal pasti beberapa pemain bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Nik Shahrul dan Junior.

"Tidak timbul soal kecil hati dan sebagainya, isu seperti ini sewajarnya tidak lagi perlu disensasikan.
"Sebenarnya, saya sudah memiliki dua atau tiga pemain pengganti bagi menggantikan mereka (Nik Shahrul dan Junior).

"Memanglah saya akan memiliki lebih banyak alternatif pemain jika memiliki Nik Shahrul dan Junior tetapi saya percaya masih ramai pemain lain sehebat mereka, sekali gus memberikan yang terbaik untuk sekurang-kurangnya mara ke final Pestabola Merdeka," kata Kim Swee kepada Kosmo! semalam.

Semalam, Kosmo! melaporkan tindakan pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal yang menyenaraikan Nik Shahrul dan Junior sebagai persiapan berdepan China dalam satu aksi persahabatan pada 10 September depan.

Tindakan Rajagobal itu jelas mengundang polemik dalam kalangan pemerhati bola sepak tempatan yang menyifatkan Nik Shahrul dan Junior sepatutnya menyertai Harimau Muda mengharungi Pestabola Merdeka.

Ini kerana Harimau Muda dilihat agak tempang di bahagian benteng pertahanan ekoran kecederaan yang dialami Shahrul Saad dan Mohd. Amir Saiden semasa 'berguru' di Eropah tempoh hari.

Namun, Harimau Muda tetap menerima perkhabaran gembira apabila kembali diperkuatkan dengan beberapa muka lama seperti Muhamad Fadhli Shas, Wan Zack Haikal Wan Noor, Mohd. Zubir Azmi dan perancang muda, Nazmi Faiz Mansor bagi mengharungi Pestabola Merdeka kelak.

Skuad Harimau Muda bakal membuka tirai Pestabola Merdeka berdepan skuad bawah 23 Tahun (B-23) Singapura di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 7 September depan sebelum melayan cabaran B-23 Myanmar (9 September) dan B-23 Thailand dua hari kemudian.

Aksi penentuan tempat ketiga/ keempat dan final pula dijadualkan berlangsung di stadium yang sama pada 14 September.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 6 Ogos 2013

‘Jangan nilai sekarang’


SKUAD Harimau Muda tiba di KLIA petang semalam selepas ‘berguru’ lima bulan di benua Eropah.


SEJAUH mana keberkesanan Harimau Muda ‘berguru’ di Eropah hanya boleh dinilai pada temasya Sukan SEA di Myanmar penghujung tahun ini.

Pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee (gambar kecil) berkata, sebarang spekulasi negatif yang mendakwa anak-anak buahnya sekadar ‘makan angin’ ekoran beberapa keputusan kurang memberangsangkan semasa aksi persahabatan di Eropah wajar dihentikan segera.

Sebaliknya, Kim Swee mencabar ‘kejantanan’ setiap pemainnya berjuang bermati-matian dalam usaha melakar kejayaan hatrik ‘ibu emas’ pada temasya Sukan SEA kelak.

“Sebagai jurulatih, sudah tentu saya berazam mahu memburu emas hatrik pada temasya Sukan SEA.
“Soal sama ada latihan kami di Eropah sia-sia ataupun tidak... tunggu Sukan SEA.

“Jika kami gagal melangkah ke separuh akhir Sukan SEA nanti, barulah boleh kata sia-sia,” katanya kepada pemberita sebaik skuad Harimau Muda tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang petang semalam.

Skuad Harimau Muda yang menimba ilmu di Eropah sejak 16 Mac lalu melakar tiga kemenangan, empat seri dan selebihnya tewas sepanjang 17 aksi persahabatan di sana.

Anak-anak buah Kim Swee juga ‘menutup buku’ dengan kekalahan 1-5 kepada kelab liga utama Slovakia, FC Vion pada 31 Julai lalu.

Mengulas lanjut, Kim Swee juga membayangkan bakal memanggil beberapa pemain baharu seperti Nik Shahrul Azim Halim, Zubir Azmi, K. Reuben dan Putera Nadher Amarhan Maderner atau Junior Edstal bagi menghadapi Pestabola Merdeka yang akan membuka tirainya di Kuantan, Pahang pada 5 September depan.

Menurut beliau, beberapa pemain utama seperti Izzaq Faris Ramlan, Fandi Othman, Amir Saidin dan Nurridzuan Abu Hassan mengalami kecederaan ketika di Eropah dan belum pasti belum dapat beraksi pada kejohanan berkenaan.

“Saya akan menilai semula pemain... mungkin empat atau lima pemain baharu akan dipanggil. Cuma, pemain yang dipanggil perlulah memiliki prestasi semasa yang bagus,” katanya.

Pada masa sama, Kim Swee juga menafikan spekulasi yang mengaitkan beliau sebagai pengganti Datuk K. Rajagobal sebaik kontrak pengendali Harimau Malaya itu tamat pada 31 Disember depan.
“Fokus saya ketika ini hanya mahu memburu emas hatrik temasya Sukan SEA, jadi cukup-cukuplah dan hentikan spekulasi seperti ini,” tegasnya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 4 Ogos 2013

'Hentikan spekulasi'

Oleh Syed Riduan Ahmad 
'Hentikan spekulasi'
Kuala Lumpur: Ong Kim Swee bersuara tegas betapa dia tidak mahu namanya dikaitkan dengan jawatan panas selaku ketua jurulatih kebangsaan sambil menjelaskan masih ada misi penting yang belum diselesaikan bersama skuad Harimau Muda.

Cukup-cukuplah spekulasi, saya mahu tumpu kepada misi mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Myanmar kerana itu adalah KPI (Petunjuk Prestasi Utama) saya, kata Kim Swee merujuk kepada laporan BH Sukan semalam yang melaporkan namanya ada dicadangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan dan Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menggantikan Datuk K Rajagobal.
Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini

Selasa, 16 Julai 2013

Universiade Kazan: Bola sepak tangga kelapan

 
Kazan: Skuad bola sepak menutup tirai penyertaan kali ini dengan berada di tangga ke-8 daripada 15 pasukan selepas tewas kepada Kanada 1-3, semalam.

Skuad bimbingan Ong Kim Swee tampak mengawal perlawanan dengan jaringan awal pada minit ke-27 menerusi D Saarvindran namun gagal mengekalkan corak perlawanan apa lagi dengan keputusan pengadil tampak kurang memihak kepada pasukan negara.
Perkara itu jelas menaikkan kemarahan Kim Swee yang juga pengendali Harimau Muda A apa lagi beberapa keputusan dibuat Valdimir Kazmenko tampak boleh dipertikaikan.


“Kalau lihat kembali, separuh masa pertama pasukan bermain dengan cukup baik tapi tindakan pegawai perlawanan boleh dipertikaikan. Ini jelas boleh dilihat ketika (K) Reuben dipersalahkan dalam kotak penalti yang mana saya lihat dia tidak menggunakan tangannya,” kata Kim Swee.

Dia menambah: “Tindakan seperti ini menyebabkan pemain hilang fokus. Pertahanan kita mengambil masa terlalu lama untuk mengeluarkan bola hingga lawan mengambil kesempatan. Jentera serangan juga perlu diperbaiki dengan penyudah tampak tumpul walaupun banyak mencipta peluang,” katanya. 
 
Berita Harian

Ahad, 14 Julai 2013

Jepun tetap geruni Malaysia

 
Jepun tetap geruni Malaysia Wan Zaharulnizam (kanan) dapat perhatian ketua jurulatih Jepun dan ketiadaannya kerana digantung melegakan skuad Samurai Biru.
Meskipun catat kemenangan besar 4-0 ke atas Harimau Muda

Kazan: Meskipun mencatat kemenangan besar 4-0 ke atas Malaysia kelmarin, namun sebenarnya terselit rasa gentar pasukan Jepun terhadap pasukan bola sepak negara terutama terhadap dua pemain, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan Syahrul Azwari Ibrahim.
Perkara itu dijelaskan ketua jurulatihnya, Yoshimura Masafumi selepas perlawanan namun lega kerana kedua-dua pemain itu tidak diturunkan akibat digantung perlawanan.


Wan Zaharulnizam digantung perlawanan kerana menerima kad merah ketika bertemu Great Britain manakala Syahrul Azwari ketika bertemu Itali.

Tempat kelima

"Nombor lapan (Wan Zaharulnizam) dan nombor 11 (Syahrul) tidak bermain... sedikit kecewa kerana mereka tidak bermain dan bagi saya jika kedua-duanya beraksi dalam perlawanan hari ini (kelmarin) sudah pasti saingan lebih sengit.

"Nombor tujuh (Mohd Irfan Fazail) juga bermain dengan sangat baik," katanya.
Malaysia dijadual bertemu Ireland yang tewas kepada Perancis menerusi penentuan penalti 3-4 selepas terikat seri 1-1 hari ini untuk penentuan tempat ke-5 hingga ke-8.

Ketua jurulatih Malaysia, Ong Kim Swee berkata, sikap menghormati lawan memakan diri pemainnya sehingga pintu gawang mudah dibolosi dua gol awal.

"Dua gol pada enam minit pertama menjadikan kami lebih tertekan, pemain seperti terlalu menghormati lawan sehinggakan dibolosi dua gol mudah yang berpunca dari kesilapan dan hilang fokus di bahagian tengah," katanya.

Berita Harian

Ahad, 16 Jun 2013

Kim Swee puji semangat Wan Zack



Kim Swee menegaskan, mentaliti pemain berusia 22 tahun itu wajar menjadi ikutan generasi pemain muda dalam usaha melebarkan nama negara di persada antarabangsa.

Pengendali kelahiran Melaka itu turut mendedahkan, skuad negara bakal memiliki potensi besar sekiranya lebih ramai pemain muda memiliki mentaliti dan semangat seperti Wan Zack.
Kim Swee berkata, keberanian Wan Zack boleh menjadi pencetus kepada pemain-pemain muda negara dalam usaha mengembangkan kebolehan mereka di serata dunia.

“Satu langkah sangat bijak dan saya percaya, dia kini sudah cukup matang untuk memikirkan mana yang baik demi masa depannya.

“Biarpun melalui kesukaran di Jepun, ia tidak sesekali mematahkan semangat Wan Zack dan sikap ini harus dicontohi.

“Wan Zack tidak cepat terpengaruh dengan mana-mana tawaran dan saya percaya, dia akan menjadi model terbaik untuk generasi pemain muda akan datang.

“Sudah tiba masanya pemain-pemain kita merantau ke luar negara untuk mencari ilmu dan pengalaman demi manfaat skuad negara.

“Apa yang pasti, Wan Zack akan memberikan kami satu dimensi baharu dengan berkongsi ilmu serta pengalaman sebaik kembali bersama dengan skuad negara,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di Slovakia semalam.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, Kim Swee memberikan amaran bahawa beliau tidak akan sesekali mengetengahkan bakat-bakat pemain muda sekiranya Wan Zack mengambil keputusan untuk beraksi di Liga M pada musim depan.

Ini kerana Kim Swee menggangap ia merupakan peluang terbaik buat Wan Zack untuk mencipta nama dan mengembangkan bakatnya di pentas antarabangsa.

Selain itu, beliau mengakui tidak sanggup menyaksikan insiden ‘kedua’ selepas Muhammad Nazmi Faiz Mansor yang sebelum ini menjadi harapan Kim Swee bertindak meninggalkan S.C Beira-Mar dengan memilih Selangor PKNS biarpun masih memiliki baki kontrak tiga tahun dengan kelab Portugal itu.

Dalam perkembangan lain, Kim Swee turut mengulas kebarangkalian Wan Zack akan kekal lebih lama dengan kelab Jepun tersebut.
Sebelum ini, kebanyakan pemain-pemain negara ‘disindir’ selepas beraksi di luar negara.

Ini kerana ada sesetengah pemain yang berjaya tamat kontrak masih tidak ditawarkan sebarang perjanjian lanjutan manakala bagi pemain yang tidak berjaya bertahan lama berdasarkan perjanjian asalnya, memberikan alasan gagal menyesuaikan diri dengan cuaca, pemakanan dan sebagainya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Rabu, 12 Jun 2013

Kim Swee luah rasa tidak puas hati


KIM SWEE ternyata kecewa apabila beberapa pasukan tempatan melamar pemain muda negara dengan cara yang tidak profesional.


PEMAIN muda negara nampaknya masih belum ada keberanian untuk bergelar sebagai pemain profesional di negara orang.

Memori hitam yang ‘dilakar’ pemain muda berbakat, Muhammad Nazmi Faiz Mansor yang meninggalkan kelab Divisyen Satu Portugal, S.C Beira Mar secara mengejut pada bulan Februari lalu, masih belum dapat dilupakan pengendali skuad Harimau Muda, Ong Kim Swee.

Lebih mengejutkan, Kim Swee tidak dimaklumkan langsung mengenai tindakan Nazmi Faiz meninggalkan bumi Portugal itu untuk kembali ke tanah air bagi menyertai PKNS Selangor dalam saingan liga tempatan. 

Kim Swee mengakui kecewa dengan tindakan Nazmi Faiz selepas bersusah payah mendidik mereka dengan harapan, bakat mereka dapat diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi lagi.
Namun, impian tersebut hanya tinggal mimpi.

Kini, Kim Swee berdepan situasi yang sama apabila pemain sayap lincah kelab Divisyen Tiga Jepun, FC Ryukyu, Wan Zack Haikal Wan Nor dilaporkan bakal meninggalkan negara matahari terbit itu.
Kim Swee berkata, kelab Divisyen Tiga Jepun itu telah mengesahkan terdapat percubaan daripada beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga M) yang berhasrat untuk menebus kontrak Wan Zack sekali gus membawa pemain kelahiran Pahang itu kembali ke tanah air.

Usaha ‘di belakang tabir’ pasukan-pasukan terbabit dilihat bakal merencatkan usaha Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang sebelum ini bertungkus lumus untuk memberi pendedahan kepada barisan pemain muda negara di luar negara.

Justeru, Kim Swee melontarkan amaran bahawa beliau tidak akan membenarkan pemian muda negara menimba pengalaman di luar negara sekiranya budaya ini berterusan.

“Jika Wan Zack mengambil keputusan untuk meninggalkan FC Ryukyu, jangan haraplah kita akan menghantar pemain muda untuk beraksi di luar negara selepas ini.

“Saya mahu tanya, negara mana di dunia ini yang persatuan bola sepak (FA) mereka berjaya melahirkan pemain-pemain muda yng berbakat? 

“Adakah Lionel Messi dilahirkan oleh FA Argentina?
“FA England juga tidak bertanggungjawab melahirkan pemain hebat seperti Wayne Rooney? Mereka (pemain) ini dilahirkan oleh kelab masing-masing menerusi program pembangunan kelab yang mereka wakili sejak usia muda.

“Budaya tersebut tidak berlaku di negara kita. Pasukan negeri jarang melahirkan pemian muda berbakat. FAM yang bersusah payah melahirkan pemain muda, dan selepas itu, ada pihak pula yang cuba ‘tikam belakang’,” kata Kim Swee ketika dihubungi Kosmo! di Slovakia semalam.

Kosmo! kelmarin melaporkan Wan Zack, 22, yang mula mempamerkan sengatnya pada aksi pertamanya April lalu, kini berhasrat meninggalkan FC Ryukyu kerana dikatakan mengalami masalah komunikasi dengan pegawai perubatan kelab.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 4 Jun 2013

Harimau Muda diuji


LIMA lagi aksi persahabatan bakal menanti Harimau Muda di bumi Eropah sebagai persiapan menjelang temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2013 di Kazan, Rusia dari 6 hingga 17 Julai depan.

Pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee berkata, kelima-lima perlawanan itu diadakan bertujuan untuk memperbaiki kelemahan dan mempertajamkan taktikal skuad muda negara.
"Selain itu, ia juga bagi mengenal pasti senarai terakhir skuad negara sebelum ke Rusia.

"Pada masa sama, senarai pemain yang akan dipanggil dari Malaysia untuk menyertai Harimau Muda di Slovakia sebelum ke Rusia juga akan dikeluarkan pada pertengahan bulan ini," kata Kim Swee menerusi Twitter peribadinya semalam.

Kim Swee memberitahu, kelima-lima aksi persahabatan itu merupakan medan terbaik beliau menyediakan skuad yang mantap sebelum membuka tirai temasya Universiade berdepan Itali pada 5 Julai depan.

Hari ini, anak-anak buah Kim Swee bakal diuji skuad Duslo Sala sebelum berdepan Ruzemberok (15 Jun) dan Banska Bystrica (18 Jun) di Slovakia.

"Selain itu, kami juga bakal berdepan dua lagi aksi persahabatan di Vienna, Austria pada 22 dan 26 Jun ini," katanya.

Untuk rekod, skuad muda negara hanya melakar satu kemenangan, dua seri dan selebihnya tewas sepanjang 10 aksi persahabatan di sana setakat ini.

Mereka hanya mengatasi kelab Republik Czech, Slavia Praha 2-1 sebelum ditewaskan Sparta Praha 0-1 di Prague baru-baru ini.

Selain tumpas 0-3 dan 0-4 kepada dua kelab Hungary, Kaposvari FC dan FGSZ Siofok, mereka juga tewas sebanyak dua kali dalam dua pertemuan menentang kelab Slovakia, MSK Zilina (1-4 dan 2-3) serta dibelasah 1-7 oleh skuad bawah 21 tahun (B-21) Georgia.

Anak-anak buah Kim Swee turut tumpas 0-2 kepada kelab Divisyen Satu Slovakia, Nitra FC
Taring skuad Harimau Muda juga tampak tumpul apabila sekadar melakar keputusan seri 1-1 dengan skuad B-19 Slovakia serta terikat tanpa jaringan ketika berdepan B-19 Norway pada aksi persahabatan sebelum ini.

Siri ujian persahabatan itu merupakan medan pemanas badan skuad muda negara sepanjang 'berguru' selama lima bulan di Eropah sebagai persiapan awal mempertahankan pingat emas pada temasya Sukan SEA 2013 di Myanmar, Disember depan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 19 Mei 2013

Harimau Muda 'berwajah baharu'



KIM SWEE (kiri) membayangkan akan memanggil beberapa pemain baharu untuk menyertai latihan skuad Harimau Muda.


BEBERAPA lagi pemain berpotensi dijangka mengikut jejak langkah penyerang muda Sarawak, Junior Eldstal ‘berguru’ bersama Harimau Muda di Slovakia pada masa terdekat.

Pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee berkata pihaknya telah mengenal pasti beberapa pemain daripada pasukan Liga Super dan Liga Premier untuk menjalani latihan bersama skuad muda negara selepas ini.

“Beberapa lagi pemain akan dipanggil mengikuti latihan sebagai persiapan menghadapi temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2013 di Kazan, Rusia Julai depan,” kata Kim Swee menerusi Twitter peribadinya kelmarin.

Bagaimanapun, Kim Swee tidak mendedahkan nama beberapa pemain berkenaan.

Semalam, Kosmo! melaporkan kenyataan jurulatih Sarawak, Robert Alberts yang mengesahkan Junior, 21, yang juga pemain kacukan Malaysia-Sweden akan menjalani latihan bersama Harimau Muda di Slovakia bermula Julai depan.

Untuk rekod, Harimau Muda masih gagal memburu kemenangan sulung sepanjang berguru di Eropah kali ini.

Siri ujian persahabatan itu merupakan medan pemanas badan skuad muda negara sepanjang berguru selama lima bulan di Eropah sebagai persiapan awal mempertahankan pingat emas pada temasya Sukan SEA 2013 di Myanmar penghujung tahun ini.

Selain tumpas 0-3 dan 0-4 kepada dua kelab Hungary, Kaposvari FC dan FGSZ Siofok, mereka juga tewas sebanyak dua kali dalam dua pertemuan dengan kelab Slovakia, MSK Zilina (1-4 dan 2-3) serta dibelasah 1-7 oleh skuad Bawah 21 tahun (B-21) Georgia.

Terbaharu, skuad muda negara juga tumpas 0-2 kepada kelab Divisyen Satu Slovakia, Nitra FC baru-baru ini.

Selain itu, taring Harimau Muda juga tampak tumpul apabila sekadar melakar keputusan seri 1-1 dengan skuad B-19 Slovakia serta terikat tanpa jaringan ketika berdepan skuad B-19 Norway sebelum ini.

Selain dijadualkan mengharungi Pestabola Merdeka, Ogos depan, Harimau Muda juga membawa cabaran negara dalam temasya Universiade 2013 di Kazan dari 6 hingga 17 Julai depan dan hanya kembali ke tanah air sebelum Aidilfitri.

Ketika ini, anak-anak buah Kim Swee hanya menjalani latihan intensif selama dua minggu di Slovakia sebelum bertolak ke Republik Czech bagi mengharungi beberapa lagi aksi persahabatan di sana.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 3 Mei 2013

Jadikan iktibar - Kim Swee



PEMAIN skuad Harimau Muda (jersi kuning hitam) masih belum menampakkan impak pada beberapa aksi persahabatan di Slovakia.


BARANGKALI kegagalan Harimau Muda memburu kemenangan sulung sepanjang ‘berguru’ di Eropah kali ini sedikit sebanyak mula menerbitkan perasaan resah sebahagian besar peminat bola sepak tempatan.

Ternyata, lima kekalahan dan dua keputusan seri yang dicetak skuad kendalian Ong Kim Swee sepanjang aksi persahabatan di sana setakat ini, sememangnya bukan satu statistik cukup membanggakan.

Suka atau tidak, keputusan itu seolah- olah memberikan tamparan hebat buat skuad muda negara dalam usaha mempertahankan emas bola sepak temasya Sukan SEA di Myanmar, Disember depan.

Enggan menekan butang panik, Kim Swee sebaliknya mahu anak-anak buahnya menjadikan situasi tersebut sebagai satu iktibar dan pengajaran paling berguna buat mereka semua.

“Kekalahan demi kekalahan akan dijadi- kan iktibar buat para pemain Harimau Muda agar sentiasa memperbaiki dan mempelajari sesuatu daripada pengalaman yang telah dilalui.

“Intensiti perlawanan yang cukup tinggi dengan pihak lawan yang cukup matang banyak memberikan kesukaran kepada kami dalam setiap perlawanan yang diharungi setakat ini,” kata Kim Swee menerusi Twitter peribadinya semalam.

Untuk rekod, skuad muda negara tumpas 0-3 kepada kelab Hungary, Kaposvari FC dalam aksi persahabatan terakhir mereka di Budapest baru-baru ini.

Mereka juga tewas sebanyak dua kali dalam dua pertemuan dengan kelab Slovakia, MSK Zilina (1-4 dan 2-3) serta dibelasah 1-7 oleh skuad bawah 21 tahun (B-21) Georgia selain terpaksa akur dengan kehebatan kelab divisyen satu Hungary, FGSZ Siofok apabila tumpas 0-4 di Budapest minggu lalu.

Selain itu, taring Harimau Muda juga tampak tumpul apabila sekadar melakar keputusan seri 1-1 dengan skuad B-19 Slovakia serta terikat tanpa jaringan ketika berdepan skuad B-19 Norway sebelum ini.

Kim Swee memberitahu, beliau kini memberikan tumpuan bagi menganalisis semua kelemahan dalam segenap aspek bagi menghadapi aksi persahabatan seterusnya selepas ini.

“Skuad Harimau Muda kini kembali menjalani latihan di Slovakia dan bakal berdepan Nitra FC (7 Mei).

“Selepas itu, kami hanya akan memberi fokus pada sesi latihan selama dua minggu sebelum bertolak ke Republik Czech (bagi mengharungi beberapa aksi persahabatan di sana),” katanya.

Siri ujian persahabatan itu merupakan medan pemanas badan skuad muda negara sepanjang berguru selama lima bulan di Slovakia sebagai persiapan awal mempertahankan pingat emas pada temasya Sukan SEA 2013 di Myanmar penghujung tahun ini.

Selain dijadualkan mengharungi Pestabola Merdeka (Ogos), Harimau Muda juga membawa cabaran negara dalam temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2013 di Kazan, Rusia dari 6 hingga 17 Julai depan dan hanya kembali ke tanah air sebelum Aidilfitri.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my