Memaparkan catatan dengan label Edison Cavani. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Edison Cavani. Papar semua catatan

Selasa, 16 Julai 2013

Cavani jejak Paris



CAVANI (tengah) meninggalkan hospital Pitie Salpetriere di Paris selepas melakukan pemeriksaan kesihatan kelmarin.


PARIS - Edinson Cavani bakal melengkapkan perpindahan ke Paris Saint-Germain (PSG) dengan yuran perpindahan mencecah 64 juta euro (RM265.8 juta).

Penyerang Napoli yang muncul penjaring terbanyak Serie A musim lalu dengan 29 gol itu tiba di kota Paris semalam sebelum menjalani pemeriksaan kesihatan.

Satu sidang akhbar rasmi bakal dibuat PSG hari ini dan Cavani dijangka menyertai kelab itu dengan kontrak selama lima tahun.

Jika benar dia menyertai PSG, Cavani bakal menyertai bekas rakan sepasukannya di Napoli, Ezequiel Lavezzi.

Perpindahan mega itu juga bakal memecah rekod yuran perpindahan Liga Perancis yang sebelum ini dipegang Radamel Falcao yang menyertai Monaco dari Atletico Madrid dengan harga 60 juta euro (RM249.2 juta).

Dalam pada itu, tonggak pertahanan PSG, Thiago Silva dikatakan bakal menyertai Barcelona.
Bagaimanapun ejen Silva, Paulo Tonieto menafikan khabar angin tersebut.

"Thiago masih pemain PSG dan menghormati kontraknya bersama kelab.

"Dia setia dengan PSG sehingga kontraknya tamat.

"Spekulasi ini bukan sesuatu yang baharu dan pernah terjadi musim lalu dan akhirnya Thiago tetap kekal di sini," kata Paulo. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 2 Julai 2013

Cavani mula rasa rimas

CAVANI (kiri) kurang menyinar di Piala Konfederasi tetapi cerita perpindahannya dari Napoli ke kelab lain lebih mencuri tumpuan media.


LONDON - Edison Cavani mengakui spekulasi yang mengaitkannya dengan beberapa kelab gergasi Eropah kini sudah mula mengganggu hidupnya.

Penyerang Napoli itu mula menjadi tumpuan pada musim perpindahan ini selepas menjadi buruan Chelsea, Manchester City dan juga Real Madrid.

Dia yang baharu saja selesai menjalani tugasan antarabangsa bersama skuad kebangsaan Uruguay dalam kempen Piala Konfederasi menjelaskan mula berasa rimas tentang spekulasi yang menyelubunginya ketika ini.

"Pada awal kempen Piala Konfederasi, saya ingat khabar angin tentang penghijrahan saya ini tidak akan memberi masalah kepada saya.

"Tetapi saya silap dan saya terpaksa akui bahawa ia sudah mula mengganggu kehidupan saya," jelas Cavani yang beraksi dengan baik sepanjang kempen di Brazil itu.

Cavani meledakkan dua gol ketika membantu Uruguay mengikat Itali 2-2 pada aksi penentuan tempat ketiga/keempat awal pagi semalam.
Namun, usahanya itu masih belum memadai apabila Uruguay tumpas dalam penentuan penalti 2-3.

"Buat masa ini saya masih belum mahu memikirkan lagi tentang apa-apa. Kami baharu saja selesai dalam kempen di Brazil ini, jadi berilah saya masa untuk memikirkan tentang masa depan saya," katanya lagi.

Sementara itu, pengurus Chelsea, Jose Mourinho yang masih berusaha mahu mendapatkan Cavani, bagaimanapun telah diberi lampu hijau dalam pemburuannya ke atas pemain sayap Sporting Lisbon, Bruma.

Bruma atau nama sebenarnya, Armindo Tue Na Bangna, 18, sebelum ini turut diburu oleh City, namun Sporting dikatakan mahu menjualnya dengan harga £8 juta (RM38.5 juta) dengan syarat pertukaran seorang pemain. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 18 Januari 2013

Arsenal minat Cavani



CAVANI


LONDON - Pengurus Arsenal, Arsene Wenger mendedahkan keinginan bagi mendapatkan bintang Napoli, Edinson Cavani menjelang aksi Liga Perdana England bertemu Chelsea di Stamford Bridge, Ahad ini.

Wenger berharap perkembangan terbaharu itu mampu membantunya untuk mengalihkan tumpuan bagi memperkuatkan skuad The Gunners minggu depan.

Pengendali kelahiran Perancis itu tetap dengan pendiriannya untuk tidak membeli pemain baharu sepanjang musim perpindahan, Januari ini.

Begitupun, beliau hanya akan mengalihkan tumpuan selepas masa depan Theo Walcott berjaya diselesaikan dan mendakwa pemain sayap England itu akan menandatangani kontrak baharu sebelum hujung minggu ini.

Sekiranya perkara itu berjaya dilakukan, beliau mempunyai masa 10 hari untuk memperkuatkan pasukan itu dan Cavani telah dikaitkan ke Stadium Emirates.

Wenger mendedahkan kekagumannya terhadap penyerang itu tetapi mengakui beliau berdepan kesukaran untuk menandatangani pemain itu.

"Cavani adalah seorang pemain yang saya suka," kata Wenger.
"Apa yang pasti, perpindahan itu memerlukan kos yang tinggi."
Cavani meledakkan 16 gol dalam kempen Serie A musim ini dan dia turut menjadi tumpuan pencabar Arsenal, Manchester City.

Sementara itu, penyerang Crystal Palace, Wilfried Zaha menjadi topik hangat dalam saingan Liga Perdana England dan sehari selepas ketua eksekutif Manchester United menyuarakan minat untuk mendapatkan pemain itu, Wenger turut melakukan perkara yang sama.

"Kami melihat kepada Zaha tetapi tidak ada tawaran dibuat," kata Wenger.
"Setiap kali kami menyebut nama pemain untuk dibeli, United dan AC Milan turut berminat. Hakikatnya, ia sangat sukar." - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my