Memaparkan catatan dengan label AC Milan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label AC Milan. Papar semua catatan

Isnin, 7 Oktober 2013

Juventus hampiri pendahulu Serie A

Berita Harian
 
Milan: Juara bertahan, Juventus bangkit daripada ketinggalan seawal minit pertama sebelum tampil menewaskan AC Milan 3-2 di laman sendiri, awal pagi semalam untuk menghuni tangga ketiga Serie A dengan 19 mata - hanya dua mata di belakang pendahulu, AS Roma.

Namun pencabar kejuaraan, Napoli terus memberi tekanan kepada Juventus apabila kekal di tangga kedua juga dengan 19 mata selepas skuad kendalian Rafael Benitez itu mudah membelasah Livorno 4-0.
Hukuman berat


Di Stadium Juventus, tuan rumah yang ketinggalan menerusi jaringan Sulley Muntari pada minit pertama bangkit membalas tiga gol menerusi Andrea Pirlo minit ke-15, Sebastian Giovinco (69) dan Giorgio Chiellini (75) sebelum Milan mendapatkan gol kedua juga menerusi Muntari pada minit ke-90.

Pelawat beraksi 10 pemain pada minit ke-74 apabila Philippe Mexes kerana melakukan kekasaran terhadap Chiellini.

“Kekasaran seperti ini perlu dikenakan hukuman berat,” kata Chiellini.

“Sesetengah orang tidak akan belajar sesuatu. Jika kekasaran itu boleh diterima, ia adil untuk kamu bangun selepas diterjah dan kemudian berjabat tangan. Tapi kekasarannya ini bukan untuk bola sepak.”
Kekalahan itu meletakkan Milan kini di tangga ke-12 liga dengan lapan mata dan jurulatihnya, Massimiliano Allegri tidak bersetuju dengan kad merah diberikan kepada Mexes itu.
AFP

Ahad, 29 September 2013

Balotelli bakal sertai Suarez di Liverpool?


LONDON - Akhbar Britain semalam melaporkan, Arsenal dan Liverpool sedang mempertimbangkan untuk memancing bintang penyerang bermasalah, Mario Balotelli pada pasaran perpindahan pemain, Januari ini.

Laporan di Itali sudah tersebar luas bahawa Balotelli, yang mencetus kontroversi sepanjang beraksi di Manchester City dikatakan bersedia untuk dilepaskan oleh kelabnya sekarang, AC Milan dengan harga 12 juta pound (RM62.49 juta).

Sekiranya Milan meneruskan hasrat mereka, pemain antarabangsa Itali itu dikhabarkan berminat untuk berkongsi pasukan bersama seorang lagi penyerang kontroversi, Luis Suarez di Liverpool. 

Biarpun diakui antara penyerang paling berbakat pernah dimiliki Itali, namun sikap panas baran Balotelli, 23, sering menimbulkan banyak masalah kepada mana-mana kelab yang diwakili.

Tahun lalu, dia bergaduh dengan pengendali City, Roberto Mancini pada sesi latihan, situasi yang membawa kepada penjualan pemain itu. Balotelli juga sering memberi masalah kepada pasukannya apabila kerap dilayangkan kad merah kerana membantah keputusan pengadil. 

Sikap buruk pemain itu tidak berakhir sekali pun selepas dia menyertai pasukan baharu, Milan. Minggu lalu, bekas penyerang Inter Milan itu dilayangkan kad merah selepas membantah keputusan pengadil ketika pasukannya kalah 1-2 kepada Napoli. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Isnin, 26 Ogos 2013

Toni julang nama Verona


TONI (kiri) meraikan jaringan pertamanya bersama rakan sepasukannya, Michelangelo Albertazzi ketika menentang AC Milan di Stadium Bentegodi, Verona awal pagi semalam.


ROM - Penyerang veteran, Luca Toni menjaringkan dua gol dalam aksi sulungnya bersama Hellas Verona, sekali gus membantu pasukan itu mengejutkan gergasi Itali, AC Milan 2-1 awal pagi semalam.

Aksi sulung dalam saingan Serie A antara kedua-dua pasukan itu merupakan pertemuan kali pertama mereka dalam tempoh 11 tahun.

Toni, 36, menghasilkan kedua-dua gol menerusi tandukan cantik pada minit ke-29 dan 53, seterusnya membantu pasukan yang baharu sahaja dinaikkan 'pangkat' ke saingan utama Serie A itu bermula dengan langkah kanan dalam aksi sulung mereka.

Milan bermula agak meyakinkan apabila Andrea Poli meletakkan pelawat di hadapan pada minit ke-14, berpunca daripada hantaran kemas penyerang Itali, Mario Balotelli.

Bagaimanapun, Verona tidak berputus asa dan hasilnya, Toni yang juga bekas penyerang Itali dan Fiorentina menanduk cantik untuk gol penyamaan pada minit ke-30.

Ketika perlawanan separuh masa kedua baru memasuki minit kelapan, Toni sekali lagi mempamerkan kehebatan apabila menyumbat gol kedua Verona.

Kemenangan Verona semalam amat menggembirakan para penyokong mereka yang membanjiri Stadio Bentigodi selepas sekian lama pasukan itu beraksi dalam saingan liga bawahan.

Dalam pada itu, jurulatih Milan, Massimiliano Allegri ternyata tidak berpuas hati dengan prestasi anak-anak buahnya dalam perlawanan tersebut.

"Kami beraksi buruk dalam perlawanan ini dan saya akan pastikan perkara itu tidak akan berulang selepas ini.

"Kami banyak melakukan kesilapan teknikal serta taktikal dan beliau berharap Milan akan bangkit selepas ini," katanya. - Reuters

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 9 Julai 2013

Milan akui tolak tawaran bernilai lebih RM123 juta

EL SHAARAWY tidak berhasrat untuk meninggalkan Milan meskipun dia menerima tawaran yang cukup lumayan.


LONDON - Timbalan Presiden AC Milan, Adriano Galliani mendedahkan, mereka telah menolak tawaran lebih daripada 30 juta euro (RM123 juta) yang dikemukakan kepada penyerang muda, Stephen El Shaarawy.

Bagaimanapun, Galliani enggan mendedahkan pasukan yang berminat untuk menyambar khidmat El Shaarawy itu.

Pemain berusia 20 tahun itu menjadi buruan utama kelab England, Manchester City dan Chelsea selepas menjaringkan 16 gol untuk Milan musim lalu.

Biarpun persembahan El Shaarawy sedikit terjejas pada tahun kedua bersama kelab gergasi Itali itu, dia merupakan pemain muda yang sedang meningkat naik di pentas Eropah.

Milan tidak akan menjual penyerang Itali itu dan Galliani mengesahkan, pihaknya telah menolak tawaran rasmi dari sebuah pasukan yang ingin mendapatkan khidmat El Shaarawy.

"Apa yang kami tidak dedahkan kepada semua pihak adalah Milan menerima tawaran lumayan untuk El Shaarawy tetapi saya enggan mendedahkan nama kelab itu.

"Saya telah memaklumkan perkara itu kepada ejen El Shaarawy sebaik pemain itu pulang daripada Piala Konfederasi 2013.

"Sudah tentu kami tidak mahu menjual El Shaarawy kerana Milan tidak akan melepaskan aset berharga pasukan ini.

"Saya pernah bertanya kepada El Shaarawy mengenai perkara ini dan dia memberitahu, wang bukan segala-galanya.

"Lebih penting adalah dia mengakui peminat setia Milan sejak dari kecil dan El Shaarawy telah melakukan perkara itu dengan baik," ujar Gallaini. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 11 Mac 2013

Milan tidak akan main defensif jumpa Barca

MADRID - Tonggak pertahanan AC Milan, Kevin Constant memberi amaran, gergasi Serie A itu tidak akan berkampung di kawasan sendiri dan bermain secara defensif apabila menentang Barcelona dalam perlawanan peringkat kedua Liga Juara-Juara di Camp Nou, hari ini.

Biarpun turun bersama kelebihan 2-0 yang dirakam di San Siro pada peringkat pertama, namun Constant menjangkakan pasukannya tetap berusaha menambah gol, malah percaya perlawanan pasti sengit kerana Barca turut memburu jaringan. 

"Semua fokus kami ketika ini terarah kepada perlawanan menentang Barcelona. Kami sedar, pertemuan esok (hari ini) jauh berbeza dengan peringkat pertama.

"Kami bermula dengan memegang kelebihan 2-0 tetapi kami tidak akan turun hanya untuk bertahan. Kami bermain dengan mentaliti yang betul, kalau mereka (Barcelona) bermain dengan menguasai hantaran, maka kami pula akan melakukan percubaan setiap kali mendapat bola. 

"Barcelona adalah pasukan yang hebat tetapi mereka bakal berdepan cabaran yang sukar. Kami bermain baik sejak awal musim dan kami tidak perlu gentar apabila menentang kelab terbaik di dunia," ujar Constant. 

Bek kiri Guinea itu turut menambah, dia mempunyai keyakinan tinggi bahawa Milan ada semua ramuan yang diperlukan untuk melangkah ke suku akhir. 

"Saya yakin bahawa kami menunjukkan permainan bola sepak yang bagus ketika ini dan akan melepasi halangan Barcelona. Kami kena memanfaatkan kesempatan yang ada. 

"Mereka pasti akan menyerang kami daripada pelbagai sudut dan cuba mencari gol seawal yang mungkin, tetapi kami sudah bersedia secara fizikal dan mental," katanya. 

Selepas memulakan musim dengan memecah pelbagai rekod, Barcelona mengalami kemerosotan prestasi sejak dua bulan lalu. Mereka hanya melepaskan dua mata daripada 19 perlawanan awal La Liga untuk mencipta jurang besar di takhta, namun sejak akhir-akhir ini benteng mereka melepaskan banyak gol.

Pertahanan mereka dibolosi dalam semua 13 perlawanan terakhir dan rekod buruk itu hanya berjaya dihentikan pada pertemuan dengan Deportivo La Coruna, Sabtu lalu yang menyaksikan mereka menang 2-0. 

Begitupun Milan, juara Eropah tujuh kali berdepan masalah tersendiri iaitu hilang dua tonggak akibat kecederaan, penyerang, Giampaolo Pazzini yang meninggalkan padang dalam keadaan terhincut-hincut ketika bertemu Genoa, selain pertahanan, Philippe Mexes. 

Bagi pembantu jurulatih Barcelona, Jordi Roura, biarpun kalah dalam aksi pertama, namun pasukannya menerima kunjungan Milan dengan keyakinan tinggi kerana mereka tahu apa strategi yang hendak digunakan. 

"Kami sangat jelas bagaimana kami akan bermain apabila menentang Milan nanti dan bagaimana pula permainan mereka menentang kami. Jadi, kami sudah bersedia untuk melemahkan lawan,'' kata Roura. - Agensi

Ahad, 3 Februari 2013

Balotelli lega tidak diburu media



BALOTELLI mengakui yang dia tetap merindukan saingan Liga

Perdana England.


MILAN - Penyerang kontroversi, Mario Balotelli berasa lega kerana dia tidak perlu lagi mengelak daripada bertemu media England selepas berhijrah ke AC Milan kelmarin.

"Memang impian saya untuk menjadi pemain Milan. Jadi, saya sangat gembira (dengan penghijrahan ini)," katanya pada sidang media majlis menandatangani kontrak bersama kelab Itali itu.

"Begitupun, saya lebih suka untuk tidak bercakap mengenainya," tambahnya lagi.

Pemain berusia 22 tahun itu menjelaskan bahawa dia berasa sangat gembira kerana berdekatan dengan keluarga dan rakan-rakannya selepas meninggalkan Manchester City.

Terdahulu, pemain antarabangsa Itali itu sering dihimpit dengan pelbagai kontroversi selepas beberapa siri pergaduhannya dengan pengurus, Roberto Mancini dan beberapa insiden luar biasa.

"Saya kini sudah berada di Milan. Saya rasa sangat penting kerana dekat dengan keluarga dan rakan-rakan.
"Sebenarnya Manchester tidaklah terlalu jauh tetapi Milan lebih dekat," kata Balotelli yang dilaporkan telah menyebabkan kelab Itali itu mengeluarkan perbelanjaan sebanyak AS$27.39 juta (RM85.10 juta) untuk mendapatkannya.

Balotelli berkata, dia akan melihat penghijrahan tersebut dari sudut positif dan negatif.
"Perkara yang bagus apabila saya tiba di Carrington untuk berlatih. Jadi, rakan-rakan sepasukan, pengurus, mereka ini yang bagus, yang buruk pula... perkara-perkara yang lain," ujarnya.

Balotelli menganggap sidang media pertama, cuaca, makanan dan cara pemanduan kereta sebagai perkara yang negatif ketika berada di Manchester.

Begitupun, dia mengakui tetap merindukan saingan Liga Perdana England.
"Liga yang sangat hebat dan saya rasa ia yang terbaik kerana dapat bersama-sama dengan penonton yang ramai. 

"Saya juga tidak tahu sama ada saya akan kembali atau tidak pada masa hadapan," tambahnya. - Reuters

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 6 Januari 2013

Boateng beri kata dua



REAKSI Boateng (kanan) selepas diejek oleh penyokong Pro Patria di Busto Arsizio, Milan Khamis lalu.


LONDON - Pemain tengah AC Milan, Kevin-Prince Boateng menegaskan dia akan meninggalkan padang jika sekali lagi menjadi mangsa ejekan berbaur perkauman.

Boateng menjadi mangsa ejekan berbaur perkauman oleh penyokong-penyokong kelab bawahan Itali, Pro Patria ketika aksi persahabatan di Busto Arsizio, Milan Khamis lalu.

Pemain kelahiran Jerman yang beraksi bersama skuad kebangsaan Ghana itu meninggalkan padang sebelum rakan-rakan sepasukannya turut mengikut jejak langkah yang sama.

Tindakan pemain berusia 25 tahun itu mendapatkan sokongan penuh daripada pemilik Milan, Silvio Berlusconi.

"Saya tidak peduli sama ada perlawanan itu aksi persahabatan, Serie A atau Liga Juara-Juara, saya tetap akan meninggalkan padang sekiranya perkara itu kembali terjadi.

"Saya mendapat sokongan penuh daripada rakan-rakan antaranya pemain Manchester United, Rio Ferdinand serta Patrick Vieira.

"Saya amat sedih dan marah yang mana perbuatan itu seharusnya dihentikan dengan segera," ujar Boateng.

Sebelum bertindak meninggalkan padang, Boateng mendedahkan, dia telah mengadu perkara itu kepada pengadil perlawanan sebanyak tiga kali.

"Saya berkata kepada pengadil, sekiranya perkara itu terjadi sekali lagi, saya tidak akan teragak-agak meninggalkan padang.

"Kemudian, pengadil itu membalas dengan mengatakan tidak perlu risau namun kebimbangan itu masih ada dan saya mengambil keputusan untuk meninggalkan padang.

"Terdapat banyak ejekan negatif dan ia agak mengejutkan saya yang mana ia masih berlaku pada zaman ini," katanya. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my