Jumaat, 26 Julai 2013

Kelantan buru pemain baharu



BOJAN HODAK (depan) serius mengendalikan sesi latihan skuad Kelantan menjelang aksi Piala Malaysia 2013.


JUARA bertahan Piala FA 2013, Kelantan mengesahkan bakal mengikat tiga pemain kebangsaan kelahiran negeri itu bagi memperkuatkan pasukan menghadapi saingan musim hadapan, lapor YATIMIN ABDULLAH.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berkata, ketiga-tiga pemain tersebut menunjukkan minat untuk kembali menyarung jersi Kelantan musim hadapan.

Beliau berkata, ketiga-tiga pemain tersebut dalam proses rundingan bagi membolehkan mereka beraksi bersama skuad The Red Warriors musim depan.

Menurutnya, perpindahan mereka akan bermula musim depan selepas kontrak tamat pada akhir Oktober ini.

"Kini, mereka dalam proses menyelesaikan urusan bersama pasukan masing-masing dan kami mengalu-alukan kedatangan mereka menyertai pasukan Kelantan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis berbuka puasa skuad The Red Warriors bersama 800 warga tentera 8 Briged di Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas kelmarin.

Antara nama yang dikaitkan dengan perpindahan tersebut ialah pemain kelahiran Tumpat, Mohd. Nazrin Mohd. Nawi yang sebelum ini mendapat tawaran lumayan dari pasukan selatan tanah air.

Ditanya mengenai status pemilihan Nazrin, Annuar berkata, meskipun ditawarkan gaji yang lumayan oleh pasukan lain, namun bagi pemain ada ketikanya mereka lebih berminat menyertai pasukan baru yang dapat memberi kepuasan bekerja.

"Perpindahan pemain adalah perkara biasa, dan mereka (pemain) sendiri mempunyai sasaran untuk memasuki mana-mana pasukan tanpa hanya melihat pada gaji yang ditawarkan,'' ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Annuar memberitahu, KAFA mahu 'meremajakan' semula pasukan bola sepak Kelantan dengan mengambil pemain yang lebih muda sekitar usia 25 tahun.

Katanya, ianya bagi memastikan prestasi dan stamina pemain dapat dipertingkatkan bagi membantu Kelantan memenangi semula kejuaraan-kejuaraan sebelum ini.

"Tahun ini, kami hanya berjaya mengekalkan satu daripada tiga piala yang dimenangi musim lalu, iaitu Piala FA.

"Jadi kami mahu pemain-pemain muda ini dapat membantu menaikkan kembali prestasi pasukan," tegasnya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan