Memaparkan catatan dengan label England. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label England. Papar semua catatan

Isnin, 11 November 2013

Remy muncul wira Newcastle

Berita harian
Remy muncul wira Newcastle  
Pemain Newcastle bergelut dengan Soldado (tengah), malam tadi.
 
London: Tottenham Hotspur terlepas peluang untuk berkongsi pada kedudukan mata yang sama dengan pasukan di tangga kedua carta Liga Perdana Inggeris (EPL) Liverpool, apabila pasukan daripada London itu tewas 1-0 kepada Newcastle di White Hart Lane, malam tadi.

Penjaga gol Newcastle, Tim Krul beraksi cemerlang menyelamatkan banyak cubaan bahaya oleh pasukan tuan rumah.
Krul cemerlang


Loic Remy menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-13 apabila mudah memperdaya penjaga gol Spurs, Brad Friedel sebelum tenang menghasilkan penyudahan.

Magpies, yang sebelum ini menewaskan Chelsea, membawa pulang tiga mata perlu berterima kasih kepada Krul yang banyak menangkis percubaan bahaya lawan.

Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini

Ahad, 20 Oktober 2013

Townsend diikat lagi empat tahun

 
Berita Harian

Townsend diikat lagi empat tahun
London: Andros Townsend, pemain kebangsaan England yang paling mendapat tumpuan ketika ini sudah menandatangani kontrak baru selama empat tahun bersama Tottenham Hotspur, umum kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, kelmarin.

Townsend, 22, membuat penampilan pertama bersama England, Jumaat minggu lalu dengan kemenangan 4-1 ke atas Montenegro sebelum sekali lagi menampilkan persembahan terbaik ketika kemenangan 2-0 ke atas Poland di Wembley yang mengesahkan tiket Piala Dunia Brazil buat skuad bimbingan Roy Hodgson.
“Kami amat gembira untuk mengumumkan Andros Townsend sudah menandatangani kontrak baru selama empat tahun bersama kelab itu,” kata kenyataan itu.

Setakat ini, Townsend meledak tiga gol dalam 18 penampilan bersama Spurs dan mempamerkan aksi menarik ketika dipinjamkan ke QPR musim lalu – meyakinkan kelab dari London itu untuk kembali menggunakan khidmatnya selepas Aaron Lennon berdepan kecederaan.

Begitupun, selepas perlawanan menentang Poland, laporan media mengatakan Hodgson mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman kepada Townsend namun disangkal pemain itu yang dianggap sebagai pujian. - AFP

Khamis, 17 Oktober 2013

Januzaj pilih beraksi untuk Three Lions

Berita Harian
Januzaj pilih   beraksi untuk Three Lions
London: Penyerang Manchester United, Adnan Januzaj (gambar) memilih England sebagai pasukan yang akan diwakili di pentas antarabangsa jika Persatuan Bola Sepak (FA) England boleh mengatasi 'peraturan pemastautin lima tahun' untuk melayakkannya beraksi bersama Three Lions.

Tonggak sayap United itu dilahirkan di Brussels dengan ibu bapanya berketurunan Albania dan Kosovo - sudah menolak untuk beraksi bersama Belgium selepas FA England mendedahkan pemain berusia 18 tahun itu layak mewakili empat negara namun Januzaj lebih menjurus kepada England.
Tetapi pengurus England, Roy Hodgson dan pengerusi FA, Greg Dyke menjelaskan mereka mahu melihat kemungkinan Januzaj beraksi bersama negara itu dan ia boleh dimulakan dengan permohonan pasport British dan cuba mencabar peraturan pemastautin yang diguna pakai sekarang.


Perbuatan memalukan

Sementara itu bapa Januzaj, Abedin mengecam jurulatih Belgium, Marc Wilmots selepas cuba meyakinkan pemain itu beraksi bersama mereka.

“Ia adalah mustahil untuk berunding dengan saya. Dia mahu bermain? OK, tunjukkan kepada saya. Jika anda beraksi di pentas tertinggi di Manchester, buktikan kemahiran kamu dan jika saya rasa perlu, saya akan panggil!”

Januzaj bagaimanapun dalam reaksinya balasnya berkata: “Ini perbuatan memalukan. Kami tidak menerima sebarang panggilan telefon atau surat daripada FA Belgium. Mereka yang buat pemilihan dan bukannya kami.” - Agensi

Ahad, 13 Oktober 2013

‘Elak cerita 2007 berulang’

Berita Harian
London: Frank Lampard yakin England mampu mengekalkan tahap kesabaran ketika menentang Poland dalam perlawanan terakhir kelayakan di Wembley awal pagi Rabu ini sekali gus memastikan tiket Piala Dunia tahun depan menjadi milik mereka.

Three Lions mendahului carta Kumpulan H selepas menang ke atas Montenegro 4-1 di laman sendiri, kelmarin.
Namun, untuk menjamin tempat di pusingan akhir di Brazil 2014, mereka harus menewaskan Poland terlebih dulu dengan mengambil kira seteru dalam kumpulan itu Ukraine dijangka mudah menewaskan lawan terakhir mereka San Marino.


Poland sebenarnya sudah tidak berpeluang untuk mara tetapi Lampard tidak mahu cerita November 2007 berulang apabila Croatia yang juga tidak mempunyai peluang lagi mara ke pusingan akhir Euro 2008 mengejutkan mereka 3-2 di Wembley.

‘Rumah’ bola sepak

Keputusan itu menyaksikan peluang England untuk mara ke pusingan akhir Euro 2008 musnah disusuli peletakan jawatan pengurus Steve McClaren.

“Saya tidak akan memikirkan perlawanan itu terlalu banyak,” kata Lampard yang menjaringkan gol ketika menentang Croatia. “Anda akan mengingati malam buruk itu sebanyak mungkin daripada perkara yang bagus.”
Pada Jun lalu, England terikat 2-2 dengan Brazil dalam satu perlawanan persahabatan di Stadium Maracana dan Lampard yang akan berusia 36 tahun, tahun depan berkata, dia tidak sabar untuk kembali beraksi di sana.

“Brazil adalah salah satu ‘rumah’ untuk bola sepak,” kata Lampard. “Kami percaya betapa kami juga adalah salah satu ‘rumah’ untuk bola sepak, tetapi anda perlu mengagumi sejarah mereka (menjuarai Piala Dunia lima kali) dan semangat mereka di sana.

“Kami bermain di sana pada musim panas lalu dan anda boleh merasai magis di seluruh kawasan itu. Jika anda bermain untuk negara anda sudah pasti anda mahu menyertai Piala Dunia di sana dan itulah jawapan kenapa perlawanan nanti (bertemu Poland) adalah satu perlawanan yang penting.”
AFP

Selasa, 8 Oktober 2013

Gerrard bidas kritikan


GERRARD (kanan) berang selepas ramai pihak mempersoalkan komitmen pemain-pemain England di pentas antarabangsa.


LONDON - Pemain tengah Liverpool, Steven Gerrard menyelar kritikan yang mempersoalkan komitmen pemain-pemain England di pentas antarabangsa.

Gerrard berkata, setiap individu dalam skuad The Three Lions sangat terdesak untuk melakar kejayaan.

Kapten England itu turut mendesak para peminat agar terus memberikan sokongan kepada skuad kendalian Roy Hodgson pada aksi Kumpulan H kelayakan Piala Dunia 2014 di Stadium Wembley menentang Montenegro, awal pagi Sabtu ini dan Poland empat hari kemudian.

Meskipun prestasi England di pentas antarabangsa tidak menentu, Gerrard menegaskan bahawa keghairahan untuk menjulang nama negaranya tidak pernah pudar dalam diri setiap pemain skuad The Three Lions itu.

"Semua cerita ini adalah karut.

"Perasaan sedih dan sakit hati selepas kami tidak layak ke Euro 2008 tidak akan padam sampai bila-bila.

"Saya harap anda dapat menutup mulut pengkritik yang mendakwa kami tidak peduli tentang kekecewaan mereka.

"Percayalah, kami ambil peduli. Tidak ada sesiapa yang ambil peduli selain daripada pemain dalam skuad ini. Kami sedar keghairahan para penyokong dan media tetapi ia juga berlaku dalam bilik persalinan.

"Kalau kami tidak peduli, kami tidak akan berada di sini. Saya tidak akan menjadi sebahagian daripada skuad ini. Tiada siapa memaksa kami bermain dengan England.

"Kami bermain kerana kami mahukannya. Kami terlalu ingin mencatat kejayaan bersama skuad ini," katanya. - Agensi

Isnin, 7 Oktober 2013

Kecederaan Cole buat England tambah bimbang

Berita Harian
 
Norwich: Ashley Cole menambah kebimbangan dalam skuad England menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2014 bertemu Montenegro, Jumaat ini selepas pengurus Chelsea, Jose Mourinho mendedahkan pemain bek kiri itu perlu melakukan ujian imbasan terhadap kecederaan tulang rusuk dialaminya.

Pemain England itu terpaksa dikeluarkan ketika Chelsea menewaskan Norwich 3-1, malam kelmarin pada perlawanan yang menyaksikan dua pemain gantian, Eden Hazard dan Wllian menjaringkan gol buat skuad kendalian Mourinho itu.
Enggan beri jaminan


Mourinho berharap Cole masih mampu untuk menyertai kem latihan England kendalian Roy Hodgson bagi perlawanan di Stadium Wembley itu nanti serta disusuli pertemuan dengan Poland di venue sama empat hari kemudian, namun enggan memberi sebarang jaminan.

“Dia (Cole) sebenarnya mengalami masalah kecil di bahagian rusuknya itu sudah lama. Dia berasakan kesakitan pada rusuknya tetapi saya bukan mengeluarkannya kerana masalah itu.

“Saya keluarkan dia untuk pilihan tetapi saya sedar situasi sebelumnya sukar untuk keadaannya itu. Ia menjadi kebimbangan saya kerana saya mahu England tampil dengan baik dan pemain saya beraksi untuk skuad kebangs

Rabu, 11 September 2013

LINEKER 'HENTAM' ENGLAND

Beriata Harian
 
Kiev: Pengurus, Roy Hodgson mempertahankan pasukannya selepas dikritik hebat bekas kapten, Gary Lineker ketika England mempamerkan aksi suram apabila sekadar seri 0-0 menentang Ukraine dalam aksi Kelayakan Piala Dunia, semalam.

Keputusan itu masih meletakkan England di puncak Kumpulan H dengan berbaki dua perlawanan tetapi aksi di Stadium Olympic Kiev itu jelas membosankan walaupun mempamerkan penguasaan permainan tetapi dilihat ketandusan idea.
Bekas penyerang, Lineker, 52, yang kini bertugas sebagai penyampai televisyen melontarkan kritikan menerusi laman sosial Twitter: ‘Hantaran dilakukan seolah-olah pemain tidak pernah kenal satu sama lain,” Dia turut berjenaka “Terlalu banyak aksi satu kali sentuhan bola. England dapat bola. Ukraine pegang bola, England dapat bola,”


Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini

Ahad, 8 September 2013

Ukraine perlekeh England



KEKUATAN Ukraine ialah kerjasama sepasukan pemainnya berbanding England yang hanya gah dengan nama besar sahaja.


LONDON - Kapten Ukraine, Anatoliy Tymoshchuk percaya skuad England yang berdepan krisis di jentera serangan tidak akan berjaya menewaskan mereka dalam aksi Kelayakan Piala Dunia di Kiev, awal pagi Rabu ini.

Tymoshchuk berkata, pasukannya masih tetap percaya dengan peluang mereka layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2014 di Brazil meskipun mereka hanya satu mata di belakang pendahulu Kumpulan H, England menjelang pertemuan penting tersebut.

Malah, perancang Zenit St. Petersburg itu menyifatkan kegagalan yang dialami skuad The Three Lions suatu ketika dahulu akan kembali menghantui mereka kali ini.

"Kami tidak mempunyai nama-nama besar seperti yang dimiliki oleh England tetapi kami mempunyai pemain yang tetap sebagus mereka," jelas Tymoshchuk.

"Hakikatnya, pemain-pemain bintang England seperti Wayne Rooney, Frank Lampard, Ashley Cole dan Steven Gerrard telah memenangi banyak kejayaan dan trofi bersama kelab masing-masing, tetapi mereka masih tetap gagal melakukannya buat negara mereka.

"England mungkin memiliki pemain hebat yang dikenali semua peminat bola sepak di sekitar Eropah, tetapi pasukan Ukraine adalah lebih bagus daripada mereka.

"Skuad kami lebih seimbang berbanding mereka dan apabila kamu lihat kami bermain, kami beraksi sebagai sebuah pasukan yang lebih baik daripada England.

"Sebab itu wujud kepercayaan dalam pemain skuad ini bahawa kami masih mampu layak ke Brazil," katanya lagi. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Sabtu, 7 September 2013

England tambah parah

Berita Harian
 
London: Roy Hodgson mengakui berdepan dilema selepas pengurus England itu dilanda krisis di jentera serangan susulan kemenangan 4-0 menewaskan Moldova dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia, awal pagi semalam.

Kemenangan itu meletakkan Three Lions mendahului kelayakan Eropah saingan Kumpulan H dengan perbezaan gol di atas Montenegro selepas mengatasi skuad kendalian Ion Caras di Wembley, tetapi kejayaan itu terpaksa dibayar dengan mahal.
Ini kerana Hodgson akan hilang khidmat penyerang Manchester United, Danny Welbeck yang meledak dua gol ketika berkunjung ke Ukraine - lawan yang hanya ketinggalan satu mata - dalam pertembungan Selasa ini, selepas mengutip kad kuning kedua dalam perlawanan awal pagi semalam.


Berang dengan pengadil

Dengan Wayne Rooney dan Andy Carroll tidak dapat turut serta kerana cedera dan Daniel Sturridge bakal terlepas aksi berikutan masalah paha, sekali gus Hodgson hanya memiliki Ricky Lambert dan Jermain Defoe yang masih cergas untuk menjana jentera serangan.

Lambert sekurang-kurangnya beraksi baik apabila mencetak gol buat kali kedua pada penampilan keduanya dalam perlawanan antarabangsa menerusi tandukan pada babak pertama, tetapi Hodgson jelas berang dengan pengadil yang melayangkan kad kuning kepada Welbeck pada babak pertama.

Pemain berumur 22 tahun itu dilayangkan kad kuning kerana melakukan cubaan gol selepas wisel dibunyikan akibat ofsaid dan Hodgson menyifatkan pengadil Slovakia, Ivan Kruzliak melayangkan kad dengan pantas.
“Saya tidak rasa ramai, atau di kalangan pengadil, yang mengatakan ia adalah kad kuning yang jelas,” kata Hodgson.
AFP

Jumaat, 6 September 2013

‘EPL rosak England'

Berita Harian
London: Ketika England bersiap menerima kunjungan Moldova dalam kelayakan Piala Dunia, esok, pengerusi FA yang baru, Greg Dyke melahirkan rasa bimbang skuad kebangsaan itu ‘akan pupus’ dan semakin lemah kerana terlalu ramai pemain asing membanjiri kancah Liga Perdana Inggeris (EPL).

Bagi Dyke, isu itu perlu ditangani segera melalui perubahan radikal kerana dia mensasarkan skuad The Three Lions itu bakal menjuarai Piala Dunia pada 2022 dan layak ke separuh akhir Piala Eropah pada 2020.
“Bola sepak Inggeris perlukan skuad England yang kuat,” katanya. “Tiada guna memenangi Liga Juara-Juara dengan pasukan yang besar tetapi didominasi pemain asing. Mereka tidak boleh memberi sumbangan kepada skuad kebangsaan,”


Mengakui dia bukan berniat untuk ‘berperang’ dengan EPL, Dyke menjelaskan, persoalan utama perlu diberi perhatian ialah mahu melihat ramai pemain Inggeris berada dalam kesebelasan utama kelab.

Ramai pemain utama cedera Sementara itu, Roy Hodgson mengakui persiapannya kini terganggu akibat ramai pemain cedera termasuk Wayne Rooney, Phil Jones dan Glen Johnson manakala nasib Daniel Sturridge masih samar akibat kecederaan paha.

Ketika ini, England berada di tempat kedua Kumpulan H di belakang Montenegro dengan perbezaan dua mata tetapi memiliki kelebihan kerana masih kurang satu perlawanan berbanding lawan itu.

Pada aksi terakhir kelayakan Mac lalu, skuad Roy Hodgson mencatat keputusan seri 1-1 dengan Montenegro dan pasti mahu mengekalkan pencapaian tanpa bolos seperti ketika perlawanan menentang San Marino dan Moldova.
Lambert, Welbeck kuatkan serangan

“Kami dibolosi pada penghujung permainan ketika menentang Montenegro dan ia menjadi jaringan berharga buat lawan.

Jika ini tidak berlaku ia akan memberi kedudukan lebih baik dalam pungutan mata.

“Rasanya saya tidak perlu memberikan amaran kepada pemain atau mereka boleh berasa puas hati kerana saya masih belum lihat sebarang tanda mengenai perlawanan ini,” katanya yang mungkin memilih Lambert dan Danny Welbeck di barisan serangan.

Manakala pemain muda Everton, Ross Barkley dan pemain sayap Tottenham Hospurs, Andros Townsend masih berharap dapat membuat penampilan antarabangsa pertamanya selepas dipanggil menyertai pasukan buat kali pertama. - Agensi

Rabu, 4 September 2013

England hormati Moldova



HODGSON (tengah) mengendalikan sesi latihan skuad The Three Lions menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Moldova di Kompleks Latihan George's Park, England kelmarin.


LONDON - Jurulatih England, Roy Hodgson menegaskan, skuad The Three Lions tidak memandang rendah kemampuan Moldova pada aksi Kumpulan H kelayakan Piala Dunia 2014 Zon Eropah di Stadium Wembley, Sabtu ini.

Hodgson melaungkan amaran itu selepas England membelasah Moldova 5-0 di Chisinau pada aksi pembukaan kempen kelayakan bagi Zon Eropah, 12 bulan lalu.

Berdasarkan rekod itu, Moldova pasti bertuah jika mereka berjaya mencuri satu mata di Stadium Wembley sebelum mengutip mata penuh apabila berhadapan dengan pasukan lemah, San Marino.

Moldova juga perlu mengutip tiga mata penuh pada aksi menentang Ukraine dan Poland selain perlu mengelak daripada mengalami kekalahan kepada England.

"Moldova tewas kepada Montenegro hasil jaringan pada minit-minit terakhir. Jika tidak, sudah pastinya laluan mereka akan menjadi lebih mudah.

"Saya tidak rasa bahawa saya perlu memberi amaran kepada para pemain. Saya juga tidak terfikir bahawa saya tidak berpuas hati dengan corak permainan kami setakat ini.

"Jika saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena dalam pasukan, saya akan mengambil tindakan segera untuk menanganinya," jelas Hodgson.

Dalam pada itu, dua tonggak Manchester United, Wayne Rooney dan Phil Jones serta pemain pertahanan Liverpool, Glen Johnson telah menarik diri daripada aksi tersebut kerana kecederaan.
Hodgson bertindak untuk memanggil pemain pertahanan Cardiff City, Steven Caulker.

Penyerang Liverpool, Daniel Sturridge dan pemain tengah Arsenal, Jack Wilshere dilaporkan tidak turut serta pada sesi latihan pasukan itu kelmarin.

Sturridge mengalami kekejangan otot paha baru-baru ini, manakala Wilshere dikeluarkan pada separuh masa pertama ketika Arsenal menewaskan Tottenham Hotspur pada aksi Liga Perdana England, Ahad lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua pemain itu tetap akan disenaraikan dalam skuad The Three Lions pada aksi menentang Moldova dan Ukraine di Kiev pada 10 September ini. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 18 Ogos 2013

Chelsea tawar RM204 juta


LONDON - Pengurus Chelsea, Jose Mourinho bersedia membuat bidaan terakhir bernilai £40 juta (RM204.7 juta) bagi membawa masuk penyerang Manchester United, Wayne Rooney ke Stamford Bridge dalam tempoh 48 jam.

Mourinho bertekad mahukan Rooney menyarung jersi No. 9 skuad The Blues manakala pemilik Chelsea, Roman Abramovich turut bersedia memberikan kontrak selama empat tahun serta gaji melebihi £300,000 (RM1.53 juta) seminggu buat pemain berusia 27 tahun itu.

Namun, jika pengurus Manchester United, David Moyes tetap dengan keputusannya untuk mengekalkan Rooney di Old Trafford, Mourinho akan menggunakan wang itu bagi memancing bintang Borussia Dortmund, Robert Lewandowski.

Pada masa sama, Mourinho tetap berharap Moyes serta pemilik The Red Devils akan tertarik dengan tawaran yang dikemukakan Chelsea itu serta menarik balik kenyataan mereka sebelum ini yang menegaskan bahawa Rooney bukan untuk dijual.

"Saya telah bekerja keras semasa latihan serta berusaha menjadikan diri saya cergas semula.
"Saya juga harus berterima kasih kepada jurulatih England kerana menyenaraikan saya dalam aksi persa- habatan menentang Scotland baru-baru ini.

"Kami perlu layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2014 di Brazil," kata Rooney.

Dalam pada itu, The Blues melihat 'mesin pencetak gol' Dortmund dari Poland, Lewandowski menjadi prospek terbaik seandainya mereka gagal mendapatkan khidmat Rooney.

Kontrak Lewandowski bersama Dortmund hanya tinggal semusim dan dia dikatakan bakal menyertai Bayern Munich musim depan.

Bagaimanapun, seandainya Chelsea menawarkan RM204.7 juta kepada Dortmund, kelab Jerman itu pasti akan menjual Lewandowski kepada Chelsea.

Ini kerana Dortmund tidak mahu Lewandowski menyertai seteru utama mereka dalam Liga Jerman. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Khamis, 15 Ogos 2013

Lambert wira England


LAMBERT (tengah) menjaringkan gol kemenangan England ketika menewaskan Scotland 3-2 pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Wembley awal pagi semalam.


LONDON - Penyerang Southampton, Rickie Lambert menjaringkan gol kemenangan England ketika menewaskan Scotland 3-2 pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Wembley awal pagi semalam.

Lambert, 31, yang membuat penampilan sulung dengan skuad The Three Lions meledak gol kemenangan itu pada minit ke-70 pada pertemuan klasik antara dua musuh tradisi itu.

Pertembungan itu adalah yang pertama antara kedua-dua pasukan sepanjang tempoh 14 tahun.

Sebelum itu, pemain sayap Arsenal, Theo Walcott dan penyerang Manchester United, Danny Welbeck masing-masing meledakkan satu gol buat England yang ketinggalan sebanyak dua kali.

Pemain tengah West Bromwich Albion, James Morrison terlebih dahulu membuka jaringan buat Scotland pada minit ke-11.

Selepas itu, Wallcott berjaya mengikat kedudukan pada minit ke-29 sebelum Kenny Miller meletakkan pasukan pelawat di hadapan pada minit ke-49.

Empat minit selepas itu, penyerang skuad The Red Devils, Wellbeck sekali lagi menyamakan kedudukan 2-2 sebelum Lambert muncul wira England apabila menjaringkan gol menerusi rembatan dari jarak jauh.

"Saya seperti bermimpi dan ia memberikan satu kenangan paling manis dalam hidup saya.
"Jaringan itu sangat bermakna buat diri saya dan pasukan," kata Lambert.

Sementara itu, seorang lagi penyerang United, Wayne Rooney yang dilaporkan kurang cergas sebelum ini hanya bermain selama 66 minit sebelum digantikan Lambert. - AP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Rooney tunjuk petanda positif



ROONEY (kanan) beraksi ketika England menewaskan Scotland 3-2 pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Wembley awal pagi semalam.


LONDON - Pengendali Manchester United, David Moyes teruja selepas penyerang kontroversi, Wayne Rooney diturunkan ketika England menewaskan Scotland 3-2 pada aksi persahabatan antarabangsa awal pagi semalam.

Moyes berkata, penampilan Rooney di Stadium Wembley itu dianggap sebagai sesuatu yang positif buat skuad The Red Devils.

Bagaimanapun, Moyes masih merahsiakan tarikh sebenar Rooney akan disenaraikan dalam skuad utamanya.

Rooney yang berhasrat untuk meninggalkan Old Trafford bagi berhijrah ke Chelsea, beraksi selama 45 minit ketika United menghadapi aksi persahabatan tertutup menentang Real Betis awal bulan ini kerana mengalami kecederaan hamstring dan bahu.

Meskipun dia tidak diturunkan ketika United menewaskan Wigan Athletic 2-0 pada Piala Piala Komuniti, jurulatih England, Roy Hodgson mendedahkan penyerang itu sebenarnya telah cergas beberapa hari sebelum perlawanan persahabatan menentang Scotland.

Rooney beraksi selama 67 minit di Stadium Wembley awal pagi semalam sebelum digantikan penyerang Southampton, Rickie Lambert.

Begitupun, Moyes enggan memberikan jaminan untuk menurunkan Rooney pada aksi pembukaan tirai Liga Perdana England menentang Swansea City awal pagi esok.

"Saya rasa, perkara paling penting ialah dia kembali beraksi di atas padang. Jadi, ia satu petanda yang baik buat kami.

"Saya harap, perlawanan ini (awal pagi semalam) dapat membantunya menjadi lebih bersedia apabila dia sudah cergas dan boleh diturunkan nanti," kata Moyes.

Moyes masih berkeras untuk tidak menjual Rooney setelah United menolak dua tawaran yang dikemukakan Chelsea ke atas bekas penyerang Everton itu.

"Semua orang mahu melihat Rooney bermain dengan baik. Dia telah berlatih dengan baik sejak awal jelajah pra-musim lalu," kata Moyes. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 13 Ogos 2013

Hodgson mahu padam isu Rooney


Roy Hodgson (tengah) memberi arahan kepada pemain pada sesi latihan skuad England di padang latihan St. George's Park berhampiran Burton Upon Trent, kelmarin. England akan menentang Scotland dalam aksi persahabatan hari ini. - REUTERS 
 
LONDON - Pengurus England, Roy Hodgson mahu melenyapkan berita mengenai perpindahan Wayne Rooney daripada akhbar dengan mengalahkan seteru lama, Scotland dalam perlawanan persahabatan di Stadium Wembley, hari ini.

Praperlawanan kedua-dua pasukan didominasi spekulasi mengenai perpindahan pemain Manchester United itu, yang mana pengurusnya David Moyes hilang sabar ketika ditanya wartawan mengenai masa depan Rooney selepas memenangi Perisai Komuniti Ahad lalu.

Selepas dua bidaan Chelsea ditolak, Rooney tidak beraksi dalam mana-mana perlawanan pramusim United kerana kecederaan hamstring dan bahu namun Hodgson berkata, pemain itu cergas untuk berdepan Scotland.

Dengan kekurangan perlawanan, kemungkinan pemain berusia 27 tahun itu tidak akan diturunkan sepenuh masa dan Hodgson juga perlu memikirkan lain-lain pemain utama.

Frank Lampard, Jack Wilshere dan ketua pasukan, Steven Gerrard kembali beraksi setelah pulih daripada kecederaan dan menjelang saingan Liga Perdana Inggeris Sabtu ini, mengelak kecederaan menjadi pertimbangan utama mereka.

Wilshere hanya beraksi sekali untuk England sejak 2011 iaitu ketika England kalah 1-2 kepada Brazil pada Februari lalu dan Hodgson gembira kerana pemain Arsenal itu dapat kembali beraksi.

"Saya amat gembira Wilshere dapat beraksi semula kerana dia amat berbakat.

Peranannya ketika menentang Brazil, di mana dia muncul pemain terbaik perlawanan, masih dikenang," kata Hodgosn.

Hodgson hanya memiliki seorang pemain yang tiada cap antarabangsa iaitu pemain berusia 31 tahun yang mewakili Southampton, Rickie Lambert.

Penyerang itu mengharapkan penampilan antarabangsa pertama dan Hodgson juga mungkin mahu memberi peluang kepada pemain United berusia 20 tahun, Wilfried Zaha, yang membuat kemunculan sulung antarabangsa ketika menentang Sweden tahun lalu.

Hanya Ashley Young menarik diri daripada skuad kerana kecederaan menjelang aksi pemanas badan untuk perlawanan Kelayakan Piala Dunia menentang Moldova dan Ukraine. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Jumaat, 9 Ogos 2013

Rooney dalam bahaya


LONDON, England - Tempat Wayne Rooney dalam kesebelasan utama England akan terjejas jika dia gagal beraksi secara tetap bersama Manchester United.

Masa depan Rooney kini sebagai penyerang utama The Red Devils terjejas sebaik kehadiran bintang Belanda, Robin van Persie musim lalu.

Dia cuba dipikat Chelsea musim ini, namun kedua-dua tawaran yang telah dibuat The Blues sebelum ini telah ditolak United.

"Mana-mana jurulatih hanya memilih pemain terbaik dan beraksi secara kerap dalam kesebelasan utama.

"Sudah tentu ia sesuatu yang membimbangkan apabila mana-mana pemain utama gagal beraksi dalam skuad utama kelab masing-masing," kata pengendali England, Roy Hodgson.
Biarpun diketepikan United dalam aksi pramusim gara-gara kecederaan, Rooney masih berada dalam perancangan Hodgson menjelang aksi persahabatan berdepan Scotland di Stadium Wembley minggu depan.

Hodgson berkata, beliau menuntut aksi sebenar daripada Rooney menjelang aksi persahabatan itu nanti.

"Saya tidak boleh menyisihkan mana-mana pemain sebegitu sahaja.

"Rooney seorang pemain yang berdisiplin dan memberikan 100 peratus komitmen setiap kali beraksi bersama England.

"Saya harap dia dapat mengabaikan mana-mana masalah peribadi dan kekal komited bersama England," kata Hodgson.

Pada masa sama, Hodgson juga menasihatkan kesemua pemainnya kekal fokus dengan tugas antarabangsa biarpun pintu jendela perpindahan pemain semakin hampir ditutup.

"Semua pemain harus mengekalkan konsentrasi masing-masing setiap kali menyarung jersi England.
"Bukan semata-mata menjelang aksi berdepan Scotland tetapi apa yang menanti kami selepas itu iaitu Piala Dunia 2014," katanya. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 4 Ogos 2013

United semakin diulit resah


LONDON – Manchester United bakal mengalihkan tumpuan mereka untuk memburu perancang Bayern Munich, Bastian Schweinsteiger sekiranya tawaran ketiga mereka memburu khidmat Cesc Fabregas sekali lagi ditolak Barcelona.

Ketika ini, United bersedia mendapatkan khidmat Schweinsteiger sebagai pelan kedua sekiranya mereka gagal mendapatkan ‘lampu hijau’ dari Barcelona untuk melepaskan Fabregas.

Ketika ini, United bersedia membuat tawaran terakhir sebanyak £35 juta (RM174 juta) bersama tambahan £5 juta (RM24.8 juta) bagi mendapatkan Fabregas.

Perancang Everton, Marouane Fellaini juga berpotensi diburu pengendali United, David Moyes namun mereka keberatan menebus klausa pelepasan kontrak pemain kelahiran Belgium itu yang bernilai £23.5 juta (RM116.8 juta).

Impian mereka memburu Luka Modric juga menemui jalan buntu ekoran perancang itu enggan dilepaskan Real Madrid.

Biarpun telah berusia 29 tahun, harga Schweinsteiger dijangka mencecah £25 juta (RM124.3 juta) kerana turut menarik perhatian Arsenal dan Chelsea.

Dia dikatakan tidak lagi berada dalam perancangan pengendali Bayern, Pep Guardiola musim ini.
Kehadiran Thiago Alacantara dan Mario Gotze di Allianz Arena musim ini juga menjejaskan peluang Schweinsteiger beraksi dalam kesebelasan utama The Bavarians. – Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Liverpool gandakan harga Suarez



SUAREZ (kanan) tetap diturunkan Liverpool sebagai pemain gantian dalam satu perlawanan persahabatan kelmarin walaupun mahu meninggalkan kelab itu.


LONDON - Luiz Suarez hanya akan dijual dengan harga yang tinggi.
Itu amaran Brendan Rodgers terhadap Arsenal yang bersungguh-sungguh memburu penyerang kontroversi itu musim ini.

Pengendali The Reds itu berkata, jumlah £100 juta (RM497.3 juta) yang sanggup dikeluarkan Real Madrid bagi mendapatkan Gareth Bale wajar dijadikan rujukan buat Arsenal jika mereka berhasrat melamar Suarez.

Ini kerana menurut beliau, Suarez juga sehebat Bale dan tidak akan dijual dengan harga yang lebih murah.

"Setiap pemain terhebat di dunia memiliki nilai mereka tersendiri.

"Bagi saya, nilai Suarez menyamai nilai Bale kerana kedua-duanya pemain yang hebat dalam saingan Liga Perdana England musim lalu.

"Jika mahu mendapatkan Suarez, harganya mesti berpatutan," kata Rodgers.

Sebelum ini, kedua-dua tawaran pengendali Arsenal, Arsene Wenger bagi mendapatkan Suarez telah ditolak Liverpool.

Usaha Wenger menebus klausa pelepasan kontrak Suarez bernilai £41 juta (RM203.9 juta) juga ditolak.

Bagaimanapun, Rodgers mengakui sukar menghalang pemergian Suarez sekiranya penyerang itu sendiri mahu meninggalkan Anfield.

"Sudah tentu saya hanya mahukan pemain yang benar-benar komited bersama kami.
"Saya telah memberitahu Suarez sebelum ini bahawa dia memerlukan masa memahami perasaan kelab dan peminat.

"Liverpool merupakan antara kelab terbaik di dunia, jadi dia tidak perlu tergesa-gesa meninggalkan kami," kata Rodgers.

Pada masa sama, Rodgers juga menegaskan ketibaan penyerang baharu dari Atletico Madrid, Diego Costa bukan bermakna mereka sudah bersedia melepaskan Suarez. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 2 Ogos 2013

Spurs bayar RM129.1j


LONDON - Tottenham Hotspur mencapai persetujuan dengan Valencia berhubung isu perpindahan Roberto Soldado.

Kelab Liga Perdana England itu akan membayar sebanyak 30 juta euro (RM129.1 juta) bagi menebus klausa pelepasan penyerang antarabangsa Sepanyol berusia 28 tahun itu.

"Valencia telah mencapai persetujuan dengan Tottenham selain menunggu ujian perubatan untuk perpindahan Soldado," menurut satu kenyataan dalam laman web kelab Liga Sepanyol itu kelmarin.
Menurut kenyataan itu lagi, harga tersebut merupakan rekod tertinggi perpindahan pemain bagi Spurs.

Sebelum ini, Spurs membuat rekod perpindahan kelab ketika membeli David Bentley dari Blackburn Rovers pada 2008.

Presiden Valencia, Amadeo Salvo sebelum ini tidak menolak kemungkinan Soldado bakal dijual kepada Spurs sekiranya klausa pelepasan pemain itu ditebus.

"Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada Soldado dan menghargai sumbangannya bersama Valencia," menurut kenyataan itu.

Soldado mencetak 30 gol sepanjang 46 penampilan bersama Valencia musim lalu, manakala meledakkan enam gol sepanjang 11 aksi bersama skuad antarabangsa Sepanyol.

Perpindahan itu turut memperkuatkan spekulasi perpindahan seorang lagi tonggak Spurs, Gareth Bale yang ketika ini dikaitkan dengan Real Madrid. - Reuters

Rabu, 31 Julai 2013

Nani mahu kekal di Old Trafford


 
Manchester: Nani memberi isyarat dia mahu kekal di Old Trafford bersama Manchester United walaupun Monaco berminat mendapatkan khidmatnya.

Pemain sayap Portugal berusia 26 itu masuk tahun terakhir dalam kontraknya bersama juara Inggeris berkenaan dan Monaco bersedia menawarkan sejumlah 8.5 juta (RM42.5 juta) berserta kontrak tiga tahun.

Moyes kenal kami

Bagaimanapun Nani seperti berat untuk meninggalkan Old Trafford dan mula menyuarakan hasratnya untuk kekal dengan mengatakan yang dia berminat untuk bermain di bawah pengendali baru, David Moyes.

“Memang ada perubahan tetapi kami berharap pengurus baru tampil dengan lebih banyak idea segar dan akan membantu kami menang lagi,” kata Nani berkenaan Moyes yang menggantikan Alex Ferguson.

“Pemain perlu membuktikan kemampuan mereka kerana kini pengurus berbeza. Dia tahu selok-belok Liga Perdana Inggeris dan dia kenal sebahagian besar daripada kami.” - Agensi 
 
Berita Harian