Memaparkan catatan dengan label Amy Search. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Amy Search. Papar semua catatan

Jumaat, 26 Julai 2013

Memasak satu terapi




HARI itu, tidak terlihat sesuatu yang glamor pada diri Amy Search. Sebaliknya, beliau menyambut kedatangan kami ke kediamannya pada Ramadan ke-10 dengan hanya berseluar panjang dan kemeja-T berwarna kelabu. 

Penampilannya jauh meninggalkan imej glamor atau rockstar yang sering dibawa dalam setiap persembahannya. Ironi, ia sangat bertepatan dengan tujuan pada hari itu. 

Amy pada hari itu, perlu masuk ke dapur, menunjukkan kepakarannya dalam bidang masakan - satu kebolehannya yang cukup terkenal dalam kalangan ahli keluarga atau kenalan rapatnya.

Malah, dengan berlapang dada beliau menerima kehadiran kami yang mahu merakam momen dan menikmati air tangan seorang rockstar sepertinya. Sempat juga, sehari sebelum sesi fotografi berlangsung, Amy pening kepala memikirkan menu yang mahu dihidangkan.

Nak makan apa? Nak saya masak apa? Begitu antara persoalan yang diajukan beberapa kali sebelum keputusan dibuat - memasak hidangan ringkas yang menjadi menu seharian mereka sekeluarga. Tak perlu memasak nasi beriyani atau masakan yang luar biasa hanya untuk menunjukkan kepakarannya memasak.

Lantas, tauhu sumendang, ikan kurau masin, sambal kerang, kari ikan bawal dan ulam-ulaman menjadi juadah berbuka puasa yang ringkas tetapi satu nikmat buat kami semua.
Diusik masakannya setaraf peserta Masterchef, Amy hanya ketawa mengekeh. Beliau lantas berbicara tentang kebolehannya memasak.

"Saya mula memasak sewaktu usia belasan tahun. Waktu itu, arwah ayah bekerja sebelah petang, jadi kalau saya tak memasak, saya akan lapar. Jadi saya pun cuba memasak nasi goreng dan sebagainya, barangkali dari situ, saya kira skil masakan saya terasah," ujarnya.

Cerita anak kelahiran Johor Bahru itu lagi, tamat persekolahan, apabila beliau mula hidup merantau ke ibu kota, memasak sendiri sudah menjadi rutin hariannya.

Sebagai anak rantau yang tidak punya banyak wang untuk selalu makan di kedai, alternatif terbaik adalah memasak sendiri.

REBUT dapur. Amy dan Nourish sering bekerjasama memasak hidangan berbuka puasa.


"Masa baru sampai di Kuala Lumpur, saya memang tak bawa banyak wang. Kalau ada pun, cukup-cukup untuk turun naik bas pergi cari kerja dan selalunya kami berkongsi makan ramai-ramai, sama macam senario orang bujang yang lain.

"Jadi alternatif mahu makan sedap kenalah pandai memasak dan saya gunakan skil memasak yang saya ada pada waktu itu untuk memasak bagi rumah bujang kami," katanya.
Mampu masak lauk-pauk kampung

Sambil tersenyum, Amy memberitahu, hidangan pertama yang dipersembahkan kepada teman-teman serumah ialah mee hun goreng.

Katanya: "Saya ingat lagi, saya pergi ke telefon awam dan telefon mak saya di kampung minta resipi macam mana nak masak mee hun goreng."

Dan kini, bukan hanya mee hun goreng yang mampu dimasak pelantun lagu Fantasia Bulan Madu ini, sebaliknya, beliau hampir mampu memasak segala lauk-pauk kampung.

Malah bagi rakan-rakan rapat atau ahli keluarganya, mereka sudah mempunyai masakan khusus yang digemari hasil air tangan penyanyi ini.

Ditanya lauk yang mendapat permintaan paling tinggi, Amy memberitahu ia mengikut selera masing-masing. Namun, katanya hidangan ringkas seperti sambal sardin sehingga asam pedas daging, sup tulang dan ayam masak hijau selalu menjadi pilihan tetamu yang ingin bertandang ke kediamannya.
Amy kemudian meluahkan persepsinya terhadap tanggapan segelintir khalayak terhadap lelaki, terutama suami yang masuk ke dapur untuk memasak sebagai tidak maskulin atau bersifat tidak seperti ketua rumah tangga.

Bagi Amy, beliau tidak pernah terfikir bahawa apabila beliau masuk ke dapur dan memasak, ia mampu menjatuhkan statusnya sebagai ketua keluarga. 

Sebaliknya, jelas Amy, memasak merupakan satu terapi buat dirinya. Terkadang, beliau sendiri berebut dapur dengan isterinya, Nourish untuk memasak.

Ujar Amy juga, sebagai seorang lelaki, ilmu memasak itu perlu dan bagi lelaki yang handal memasak, itu bonus kerana tidak semua lelaki yang mampu memasak dengan baik.

"Untuk saya, memasak itu merupakan satu terapi diri. Saya suka ke dapur memasak untuk keluarga atau tetamu saya. Dan bila saya mula memasak, saya jadi cerewet kerana saya mahukan ia bermutu dan kelak memberi kepuasan kepada mereka yang menikmati air tangan saya," katanya.

HIDANGAN ringkas menjadi pilihan Amy sekeluarga. Dari kiri: Qaqa At Tameemi, Amy, Sania Samara, Alexender Zulkarnain dan isterinya, Nourish.


Elak pembaziran
Ditanya tentang menu berbuka puasa yang sering menjadi pilihan keluarganya, ulas Amy, mereka sekeluarga jarang membeli lauk pauk di luar.

Malah, beliau sendiri kurang gemar berbuka di restoran atau hotel, kecuali atas jemputan.
Jelasnya, sebagai seorang yang tidak makan banyak sewaktu berbuka, beliau beranggapan berbuka di hotel merupakan satu pembaziran.

"Saya jenis tidak makan banyak. Waktu berbuka, cukup buat saya hanya ada kurma atau kuih tradisional seperti badak berendam, kuih puteri mandi atau buah melaka.

"Justeru, saya kira adalah satu pembaziran jika saya berbuka di luar. Saya memang senang berbuka di rumah dengan keluarga dan memasak sendiri menu berbuka. Biar ringkas, tetapi kena dengan selera kami," ujarnya yang tidak menafikan berkunjung ke bazar Ramadan untuk mencari kuih atau makanan tertentu.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 3 Jun 2013

Legenda rock gegarkan Putrajaya



RAMLI SARIP


SUASANA gamat melanda Putrajaya pada malam Sabtu lalu apabila lebih daripada 10 artis legenda rock tanah air bergabung di dalam satu konsert berprestij iaitu Clash of the Legends.

Konsert yang menghimpunkan lebih daripada 2,000 penonton itu menyaksikan bagaimana otai rock memberikan persembahan mantap mereka khususnya buat golongan belia yang hadir pada Karnival Belia 2013 tersebut.

Gabungan besar-besaran berkenaan amat memberi impak kepada peminat muzik rock memandangkan ada dalam kalangan artis sudah lama tidak tampil membuat persembahan.

Lebih istimewa apabila konsert itu diadakan secara terbuka dan tidak memerlukan bayaran, sekali gus membuatkan ramai penonton tidak mahu melepaskan peluang keemasan tersebut untuk bersama-sama berhibur dengan artis kegemaran mereka.

Antara barisan artis yang memberikan persembahan hebat mereka pada malam itu ialah Awie, Amy Search, Mus (May), Nash, Hattan, Man Kidal, Shah (Ekamatra), Ramli Sarip, Datuk M. Nasir, Yantzen (Rusty Blade) dan kumpulan Bumiputra Rockers (BPR).

Pembukaan konsert yang diacarakan oleh penyampai radio Sinar FM, Linda Onn itu dimulakan dengan persembahan daripada Joey BPR dengan membawakan lagu-lagu hitnya iaitu Dajal, Aku Hanya Serangga dan Dari Sinar Mata.

Walaupun suasana agak sesak tetapi ia tidak mematahkan semangat penonton untuk berdiri lebih dua jam sambil menyanyikan lagu-lagu dendangan kumpulan rock yang sudah lebih 20 tahun bertapak di dalam dunia seni.

Suasana bertambah gamat apabila Yantzen muncul dengan membawakan lagu Ikrar Perwira, Tiada Lagi Aku dan Meniti Suratan.
Menurut Yantzen, bukan mudah mahu menghimpunkan artis rock seramai itu, terutamanya di dalam satu-satu majlis kerana selain daripada mempunyai komitmen lain, banyak lagi kekangan yang perlu dihadapi untuk berkumpul.

"Saya berasa gembira apabila dapat berhimpun bersama rakan lain untuk sama-sama meraikan Hari Belia yang disambut meriah pada setiap tahun ini. Jika kita lihat, pada masa kini, pemuda sibuk dengan muzik K-Pop, lagu-lagu hip-hop dan sebagainya tetapi hari ini Clash of the Legends telah membuka mata kami yang pendengar sebenarnya masih mahukan muzik rock.

NASH


"Apabila kita berkumpul secara beramai-ramai, kita bukan saja dapat tahu penerimaan belia terhadap muzik seperti ini tetapi kita juga dapat mengeratkan lagi hubungan di antara penyanyi dan peminat.

"Kami sebagai pemuzik juga ingin tahu bagaimana selera anak muda pada masa kini. Daripada apa yang saya lihat, muzik rock tidak pernah berkubur walaupun sudah lama muncul dalam dunia seni tanah air," jelasnya ketika ditemui pada konsert Clash of the Legends yang diadakan di pentas utama karnival berhampiran dengan Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya.

Walaupun jam ketika itu sudah menunjukkan hampir 12 tengah malam tetapi pengunjung masih tetap tidak berganjak daripada menyaksikan konsert berkenaan.

Kemunculan Mus (May) menyerikan lagi malam berkenaan apabila beliau mendendangkan lagu Sinar, Dari Kacamata dan Cintamu Mekar Di Hati Ini.

Kelihatan penonton teruja apabila turut bersama-sama menyanyikan lagu sambil melayan dengan melakuan tarian trademark iaitu head- banging.

Imbau zaman kegemilangan
Himpunan penyanyi rock secara besar-besaran itu turut mengimbau kembali zaman kegemilangan mereka semasa mula-mula bertapak di pentas hiburan.

Yantzen menambah, himpunan di antara otai-otai yang lebih dulu makan garam itu dapat membuatkan mereka berjumpa untuk saling bertukar-tukar pengalaman, pendapat dan idea.

"Seronok rasanya apabila konsert ini dapat mengimbau kembali zaman di mana pada masa itu ramai peminat memakai seluar ketat, baju rock dan rambut panjang. Terasa seperti zaman muda-muda pula.
"Diharapkan akan ada lagi konsert seperti ini pada masa akan datang," ujarnya.

Konsert tersebut berakhir sekitar pukul 12.30 malam dengan menyaksikan persembahan bunga api sebagai penutup tirai.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/