Jumaat, 3 Mei 2013

Bale lengkap koleksi trofi pemain terbaik


LONDON - Pemain tengah Tottenham Hotspur, Gareth Bale dipilih sebagai pemain terbaik oleh Persatuan Penulis-Penulis Bola Sepak England (FWA) semalam.

Pemain antarabangsa Wales berusia 23 tahun itu mendahului undian yang dilakukan oleh para wartawan, sekali gus menewaskan penyerang Manchester United, Robin van Persie manakala penyerang Chelsea, Juan Mata di tempat ketiga.

Van Persie dari Belanda memenangi anugerah itu tahun lalu ketika bersama Arsenal.

Bale menjadi pemain pertama Spurs untuk memenangi anugerah individu tertua di dunia itu sejak David Ginola pada 1999.

Selain itu, dia turut menjadi pemain antarabangsa pertama Wales yang merangkul anugerah itu sejak penjaga gol Everton, Neville Southall pada 1985.

"Saya sangat bertuah untuk bermain bersama sebuah pasukan yang menakjubkan dan saya banyak terhutang budi kepada rakan-rakan sepasukan selain pengurus yang menaruh kepercayaan kepada saya," kata bale.

Sementara itu, pengerusi FWA, Andy Dunn berkata: "Dalam undian untuk satu pertandingan, keputusan bertukar beberapa kali. Persembahan Bale yang menakjubkan telah menarik perhatian.

"Dia adalah seorang pemain yang sedang meningkat naik, sekali gus dalam proses menyamai bintang dunia seperti Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo. Saya berharap dia akan kekal dalam saingan Liga Perdana England untuk tempoh beberapa musim lagi."

Bale meledakkan 24 gol dalam semua pertandingan untuk Spurs dan liga gol bersama Wales. 

Kebanyakan daripada gol yang diperoleh dilakukannya dari luar kotak penalti.

Persembahan mantap Bale membantu Tottenham mara ke peringkat suku akhir Liga Europa dan bersaing sengit dalam kelompok empat pasukan teratas Liga Perdana England, sekali gus berpeluang untuk mara ke kempen Liga Juara-Juara musim depan.

Dia akan menerima trofi berprestij FWA itu dalam satu majlis makan malam di London malam ini.

Anugerah ini melengkapkan tahun cemerlang Bale yang turut dinobatkan sebagai pemenang Pemain Terbaik dan Pemain Muda Terbaik oleh Persatuan Pemain-Pemain Profesional (PFA) England Ahad lalu.

Dia turut memenangi Anugerah Pemain Terbaik pada 2011.
Anugerah Pemain Terbaik adalah yang tertua dalam bola sepak dunia dan kali pertama dimenangi oleh Stanley Matthews pada 1948. - Reuters

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan