DISABOTAJ dan dicetak rompak sebelum hari tayangan, filem KL Gangster
2 masih meraih sokongan khalayak apabila mencatat jualan tiket sebanyak
RM600,000 pada hari pertama ditayangkan Khamis lalu. Jumlah itu tidak
termasuk kutipan tiket sebanyak RM700,000 yang dicatatkan sepanjang tiga
malam tayangan sneak preview pada 27 hingga 29 September lepas.
Jumlah kutipan tiket hari pertama untuk tayangan serentak KL Gangster
2 di enam buah pawagam di Singapura pula akan diperoleh
selewat-lewatnya esok.
"Alhamdulillah. Jumlah itu bagaimanapun jangan dibandingkan dengan
kutipan hari pertama KL Gangster dahulu. Dahulu kita boleh dapat RM1.5
juta pada hari pertama tayangan. Tetapi, melihat kepada respons dan
sokongan yang diterima, kami semua rasa terubat juga. Setidak-tidaknya
ia tidaklah menambah rasa kecewa.
"Kalau filem itu bajetnya RM2 juta, saya sudah boleh rasa gembira
tapi bajet KL Gangster 2 ialah RM4.5 juta, sekurang-kurang filem itu
kena dapat RM7.5 juta untuk pulang modal. Jumlah itu termasuklah kutipan
pawagam dan jualan ke stesen televisyen," kata produser filem
berkenaan, Datuk Yusof Haslam ketika dihubungi Sensasi Bintang kelmarin.
Ketika pengarah KL Gangster 2, Syamsul Yusof masih berkurung meratap
kecewa kerana filemnya menjadi mangsa jenayah siber dan cetak rompak,
ada berita gembira yang mahu dikongsikan bapanya itu. Sebanyak 5,000
tiket akan disumbangkan bagi memeriahkan sambutan KL Gangster 2 di
pawagam.
Pada Selasa nanti, sebanyak 10 buah rumah produksi milik bumiputera
akan berkumpul di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) bagi
menunjukkan sokongan terhadap KL Gangster 2. Rumah-rumah produksi
berkenaan termasuklah Suhan Movies, Bright Network, KRU Studios, Rumah
Karya Cipta, Nusan Bakti, Vision Works, Kuasatek Pictures, ACE Motion,
Cinematic dan World Evolusion Brain.
"Kira-kira pukul 3 petang Selasa nanti, kesemua rumah produksi itu
akan berkumpul di Finas bagi menunjukkan sokongan mereka terhadap KL
Gangster 2. Setiap rumah produksi akan membeli sebanyak 500 tiket filem
itu dan akan diagihkan kepada rakan niaga serta pihak-pihak tertentu
mengikut budi bicara masing-masing.
"Saya tak menagih simpati mereka tetapi sangat menghargai dan
berbesar hati terhadap kesanggupan mereka sebagai sahabat dalam
industri. Penyatuan yang ditunjukkan semua pihak itu merupakan satu
agenda yang tidak pernah berlaku selama ini. Ia menunjukkan bahawa
pemain industri perfileman tetap bersatu untuk menangani masalah secara
bersama. Semua pihak juga telah bersetuju untuk terus mendesak agar
pihak berkuasa mengambil tindakan serius terhadap isu berbangkit dalam
industri filem mahupun muzik," jelas Yusof terharu kerana masih ada
pihak yang sanggup bersama-sama dengannya berjuang untuk filem KL
Gangster 2.
Dalam pada itu, Yusof turut ditanya mengenai situasi Syamsul yang
masih menjauhkan diri daripada sebarang promosi filem berkenaan.
"Sebagai bapa, saya termasuklah ibunya tidak pernah putus berdoa agar
Syamsul segera pulih dan dapat kembali bekerja. Syamsul seorang yang
sangat bersungguh-sungguh tetapi jiwanya sensitif. Kalau saya berada di
tempatnya mungkin saya juga akan berdepan situasi yang sama.
"Cuma saya nasihatkan dia supaya jangan putus asa. Soal kutipan,
berjaya atau tidak, kita kena terima dengan rezeki Allah kerana ini juga
satu daripada ujian Allah," tegas Yusof lagi yang akan terus berusaha
mencari petualang yang bertanggungjawab ke atas pembocoran dan cetak
rompak KL Gangster 2.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan