PENGENDALI Angkatan Tentera Malaysia (ATM), B. Sathianathan memuji
kebangkitan dramatik anak-anak buahnya dalam aksi suku akhir kedua Piala
Malaysia 2013 bagi menyingkirkan Lions XII dengan kemenangan 4-2 secara
agregat di Stadium Majlis Perbandaran Selayang kelmarin.
Sebelum turun, skuad The Gladiators ketinggalan dengan agregat 0-1
selepas tewas dalam aksi pertama minggu lalu bagaimana pun itu tidak
menghalang mereka mempamerkan aksi garang untuk membenam Lions XII 4-1
pada aksi timbal-balik tersebut.
Menurut Sathianathan, para pemainnya bermain mengikut arahan serta
beliau tidak menafikan kualiti yang ada dalam penjaring hatrik pada
perlawanan tersebut, Marlon Alex James yang menjadi nadi utama
kebangkitan mereka pada aksi kedua itu.
“Seperti saya pernah katakan sebelum ini, jika para pemain mengikut
perancangan serta sentiasa menyerang tidak mustahil kami mampu mencatat
kejayaan seumpama ini.
“Saya memuji persembahan semua pemain terutama benteng pertahanan
yang berfungsi dengan baik dan bagi Marlon sememangnya saya akui dia
merupakan seorang pemain yang sangat berkualiti.
“Saya tahu memang dia (Marlon) akan jaringkan gol pada malam ini (kelmarin).
“Tetapi saya sedikit kecewa dengan layangan kad merah kepada
Amiridzwan Taj Tajuddin kerana bagi saya dia perlu mengawal emosi dalam
perlawanan getir seperti ini namun saya akan memikirkan pengganti yang
sesuai untuk tempatnya pada separuh akhir nanti,” kata Sathianathan.
Dalam pada itu, Sathianathan berkata, beliau juga sangat berpuas hati
kerana dapat menyingkirkan pasukan kuat seperti Lions XII pada
peringkat suku akhir ini dan pada musim lalu, ATM menyingkirkan skuad
yang sama pada peringkat separuh akhir.
“Saya sangat berpuas hati kerana dapat menyingkirkan pasukan hebat
seperti Lions XII pada peringkat ini. Saya rasa bukan saya seorang yang
gembira, malah semua orang gembira apabila pasukan ini tersingkir kerana
mereka sebuah pasukan yang sangat sukar untuk dijinakkan.
“Saya masih tidak memikirkan aksi separuh akhir dan saya tidak kisah
lawan mana yang akan kami temui. Biarlah kami meraikan dahulu kejayaan
manis malam ini (kelmarin) dahulu,” kata Sathianathan lagi.
Sementara itu, jurulatih Lions XII, V. Sundramoorthy berkata, beliau
sangat kecewa kerana perjalanan skuad Lions XII terkandas pada suku
akhir musim ini.
Katanya, beliau memuji persembahan bertenanga ATM dalam aksi kedua
itu dan mereka ternyata lebih bersedia untuk aksi kedua itu selepas
tewas tipis 0-1 pada aksi pertama minggu lalu.
“Saya sangat kecewa dengan kekalahan ini, dan ATM sememangnya berhak
menang kerana mereka beraksi sangat sempurna pada aksi kedua malam ini
(kelmarin).
“Pasukan saya tidak bernasib baik, kami seperti hilang punca dan
kesempatan itu telah digunakan sepenuhnya oleh ATM untuk mengasak ke
kubu kami,” kata Sundramoorthy.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan