Khamis, 3 Oktober 2013

Bayern laung amaran awal



PEMAIN-PEMAIN Bayern meraikan kejayaan membelasah City 3-1 pada aksi Kumpulan D kempen Liga Juara-Juara di Stadium Etihad awal pagi semalam.


MANCHESTER - Pengendali Bayern Munich, Pep Guardiola boleh mendabik dada selepas pasukan itu mudah membelasah Manchester City 3-1 pada aksi Kumpulan D kempen Liga Juara-Juara awal pagi semalam.

Kemenangan juara bertahan itu itu dianggap sebagai satu amaran awal kepada pencabar-pencabar lain bahawa merekasudah bersedia untuk mempertahankan kejuaraan tersebut musim ini.

Pada aksi di Stadium Etihad itu, Bayern lebih banyak menguasai bola dan barisan serangan kelab juara Jerman itu dilihat sangat merbahaya, sekali gus menenggelamkan kehebatan skuad The Citizens.

Selepas mendahului 3-0 melalui jaringan Franck Ribery pada minit ketujuh, Thomas Muller (56) dan Arjen Robben (59), Bayern mula memperlahankan rentak permainan dan kesempatan itu diraih sepenuhnya oleh anak-anak buah Manuel Pellegrini menyumbat gol saguhati menerusi Alvaro Negredo pada minit ke-79.

Bagaimanapun, kemenangan Bayern itu sedikit tercemar selepas Jerome Boateng dilayangkan kad merah pada minit ke-86.

Guardiola yang diberi amanah untuk mempertahankan gelaran trebel yang dimenangi di bawah kendalian bekas jurulatih, Jupp Heynckes musim lalu tidak mudah panik.

Selain itu, beliau juga sudah berjaya menerapkan corak permainan tersendiri ke dalam skuad Bayern.
"Saya sangat bertuah berada di sini, melatih pemain-pemain hebat di sini.

"Mereka menunjukkan prestasi terbaik sejak empat tahun kebelakangan ini dan berjaya menjejakkan kaki ke final Liga Juara-Juara sebanyak tiga kali," kata bekas pengendali Barcelona itu.

Guardiola berkata, mereka akan cuba bermain seperti biasa dan mahu terus mendominasi saingan Liga Jerman musim ini.

Beliau turut memuji persembahan anak-anak buahnya pada pertemuan menentang City itu terutamanya apabila melakar kemenangan di gelanggang keramat pasukan lawan.

"Bagaimanapun, saya masih belum berpuas hati dalam beberapa perkara dan kami akan perbaiki perkara tersebut.

"Secara keseluruhan, saya sangat berpuas hati dan ini bukan yang terakhir buat kami kerana perjalanan masih lagi jauh," kata Guardiola. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan