JOHOR BAHRU - Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan
meletakkan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor
(PBNJ) sekiranya beliau gagal membimbing skuad Harimau Selatan menjulang
sebarang piala musim depan.
Itu janji dibuat Tunku Ismail kepada peminat bola sepak negeri ini seperti disiarkan di laman sosial Facebook Johor Fan Club, sekali gus menunjukkan betapa seriusnya beliau mahu mengembalikan kegemilangan bola sepak negeri ini.
Kenyataan Tunku Mahkota Johor hadir sejurus selepas pasukan Johor
Darul Takzim (Johor DT) kalah besar 1-6 kepada Kelantan di Kota Bahru,
kelmarin dan menyebabkan skuad bimbingan Azmi Mohamed itu tersingkir
daripada saingan Piala Malaysia.
Namun, Tunku Mahkota Johor itu melihat kekalahan tersebut sebagai
suatu yang positif dan yakin kegagalan tidak akan berterusan sambil
mengibaratkan keputusan kelmarin seperti cuaca buruk, ia tidak kekal
lama.
"Hari ini pasukan kita tidak bernasib baik, tetapi ia tidak bermakna Johor gagal.
"Kita merupakan kuasa baharu yang sedang bangkit, kekalahan hari ini
adalah kemenangan hari esok. Saya bersama anda semua berkongsi keperitan
sama," katanya.
Tunku Ismail juga berpendapat tidak salah untuk seseorang itu
mempunyai cita-cita yang tinggi tetetapi pada masa sama perlu sanggup
menempuh kegagalan kerana hanya dengan semangat serta kesungguhan, apa
sahaja mampu dicapai.
"Segala apa yang dicapai musim ini hanyalah permulaan. Kita kalah
dalam perlawanan ini tetapi semangat untuk membina empayar bola sepak
yang hebat tidak pernah luntur. Kejayaan tidak datang dengan sekelip
mata, ia memerlukan masa.
"Masa tersebut akan bermula pada 22 November ini," katanya tanpa penjelasan lanjut berhubung tarikh berkenaan.
Beliau turut memberitahu keinginannya yang mahukan impian masa hadapan lebih baik daripada sejarah lalu.
"Hidup mati Johor," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan