HANYA kemenangan menjadi fokus Angkatan Tentera Malaysia ketika
melayan kunjungan Lions XII pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di
Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam esok, lapor NOR AZIRAN YUNUS.
Justeru, kapten ATM, Hairud- din Omar berharap The Gladia- tors
bangkit bagi mengatasi defisit satu gol yang dimiliki Lions XII dalam
aksi pertama di Stadium Jalan Besar, Singapura, Sabtu lalu.
Menurut Hairuddin, mereka perlu mencari gol awal untuk menyamakan
agregat sebelum memikirkan jaringan kemenangan bagi melayakkan diri ke
separuh akhir.
"Saya dan rakan-rakan sudah bersedia untuk aksi suku akhir kedua itu
nanti dan motivasi para pemain ATM kini juga berada dalam keadaan
terbaik dan kami tidak sabar untuk beraksi dalam perlawanan tersebut.
"Apa yang saya harapkan adalah komitmen rakan-rakan sepasukan
termasuk diri saya sendiri kerana kami kini ketinggalan dengan satu gol.
"Namun, saya anggap ia merupakan satu tekanan positif. Kami perlu
turun bermain bagi menyamakan agregat seterusnya mencari gol kemenangan.
"Saya tidak rasa ia satu tekanan yang sangat berat untuk mencipta kemenangan dalam pertemuan kedua nanti.
"Tambahan pula, ATM kini memiliki kesebelasan terbaik selepas semua
pemain bebas daripada kecederaan dan kami juga akan turun beraksi di
hadapan penyokong sendiri," kata Hairuddin ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Hairuddin juga memberitahu, The Gladiators akan menukar corak permainan menyerang pada pertemuan malam esok.
Katanya, ATM terpaksa bermain secara bertahan di Stadium Jalan Besar,
Sabtu lalu kerana menyedari Lions XII memiliki kelebihan beraksi di
padang rumput tiruan itu.
"Untuk pertemuan Jumaat ini (esok), kami perlu kembali bermain dengan
corak menyerang untuk mencipta lebih banyak jaringan," jelasnya.
Lions XII membawa bekalan tipis satu gol ke Selayang hasil kemenangan
1-0 jaringan Madhu Mohana dalam pertemuan suku akhir pertama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan