Sabtu, 26 Oktober 2013

Arteta ditimpa malang



ARTETA (tengah) yang menjaringkan gol pertama Arsenal dilayangkan kad merah kerana mengasari pemain Palace, Chamakh di Selhurst Park malam tadi. Arsenal menang 2-0.


LONDON - Arsenal dipaksa berhempas- pulas untuk menewaskan Crystal Palace 2-0 pada saingan Liga Perdana England di Selhurst Park malam tadi.

Bagaimanapun, skuad The Gunners terpaksa membayar dengan harga yang tinggi atas kemenangan itu selepas terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah pemain tengah, Mikel Arteta dilayangkan kad merah pada minit ke-65.

Pemain Sepanyol itu diperintah keluar padang kerana mengasari bekas penyerang Arsenal, Marouane Chamakh.

Arteta meletakkan Arsenal di depan pada minit ke-47 hasil satu sepakan percuma sebelum penyerang Perancis, Olivier Giroud menambah gol kedua pada minit ke-87.

"Kami menunjukkan daya tahan dan kesabaran yang tinggi serta tersusun dengan baik menentang sebuah pasukan yang terdesak untuk menang.

"Secara jujurnya, saya yakin (penyingkiran Arteta) merupakan suatu keputusan yang silap kerana ia adalah satu peluang untuk menjaringkan gol. Ia sangat jauh dari pintu gol, dia bukan pemain terakhir dan meskipun dia melakukan kesilapan, bagi saya ia tidak disengajakan," kata pengurus Arsenal, Arsene Wenger.

Kemenangan itu membolehkan Arsenal mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu liga selepas mengumpul 22 mata selepas memenangi tujuh daripada sembilan perlawanan pertama musim ini.

Selain itu, penjaga gol, Wojciech Szczesny berjaya menyelamatkan dua percubaan berbahaya pasukan tuan rumah dalam masa seminit untuk menghalang gol penyamaan Palace yang ketiadaan pengurus selepas Ian Holloway meletak jawatan pada Rabu lalu.

Selepas tumpas 1-2 kepada Borussia Dortmund pada kempen Liga Juara-Juara, Rabu lepas, Wenger mempertaruhkan barisan terkuatnya.

Bagaimanapun, Wenger meletakkan Jack Wilshere di bangku simpanan kerana pemain England itu masih cedera.

Mathieu Flamini kembali mengemudi barisan tengah skuad The Gunners, namun pemain Perancis itu hanya beraksi selama tujuh minit sebelum dikeluarkan kerana cedera dan digantikan dengan pemain sayap, Serge Gnabry.

Giroud tampil menanduk masuk bola hantaran Bacary Sagna pada lewat permainan untuk memberi kelebihan selesa kepada Arsenal. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan