Berlin: Segar daripada kemenangan ke atas Arsenal dalam aksi Liga Juara-Juara pertengahan minggu ini, Borussia Dortmund memasang misi membalas dendam ketika melakukan kunjungan singkat bertemu Schalke dalam pertemuan tetangga Ruhr, hari ini.

Dortmund memperoleh pujian menggunung selepas kejayaan mara ke final Liga Juara-Juara musim lalu namun peminat kelab itu jelas masih belum melupakan kekalahan kepada kelab tetangganya, Schalke dalam kedua-dua aksi Bundesliga musim lalu.
Kemenangan di Veltins Arena bukan saja membolehkan skuad bimbingan Jurgen Klopp membalas dendam ke atas Royal Blues namun mengekalkan tekanan ke atas pendahulu liga, Bayern Munich yang mempunyai kelebihan satu mata.


“Kekalahan itu sering membayangi kami musim lalu dan kami perlu menghapuskannya,” kata Klopp.

Larang pakai kuning

Buat Schalke, kehilangan Klaas-Jan Huntelaar ketika tewas 3-0 kepada Chelsea dalam Liga Juara-Juara jelas mengecewakan namun kehadiran semula Kevin-Prince Boateng sedikit memberi kelegaan.

Permusuhan kedua-dua kelab tetangga ini sentiasa menarik dan sengit yang turut dirasai pemain Jepun yang menyarung jersi Schalke, Atsuto Uchida.
“Ketika saya tiba di Jerman, saya tidak dibenarkan memakai sebarang baju berwarna kuning, malah tidak secalit pun di kasut bola. Itulah yang menggambarkan ketegangannya.” - AFP