Ahad, 6 Oktober 2013

Gunners rampas takhta liga


JACK Wilshere (kanan) melakukan rembatan yang membawa kepada gol penyamaan Arsenal ketika seri 1-1 dengan West Brom dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris, semalam. - AFP 
 
LONDON - Arsenal merampas teraju Liga Perdana Inggeris daripada Liverpool selepas seri 1-1 di West Brom, semalam. 

Satu mata penting yang dikutip di tempat lawan membolehkan The Gunners mengumpul 16 mata, berkongsi mata bersama pasukan tangga kedua, Liverpool tetapi dipisahkan dengan jumlah jaringan.
Pada perlawanan semalam, skuad bimbingan Arsene Wenger terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan tuan rumah pada minit ke-42 yang disempurnakan Claudio Yacob.

Bagaimanapun selang 21 minit kemudian, bintang tengah England, Jack Wilshere berjaya menyamakan kedudukan buat Arsenal.

Sementara itu dalam satu lagi perlawanan, Tottenham dikejutkan dengan kekalahan 0-3 kepada West Ham di tempat sendiri.

Gol West Ham dihadiahkan Winston Reid pada minit ke-66, Ricardo Vaz Te (72) serta Ravel Morrison, minit 79 untuk memastikan mereka menghuni tangga ke-13 liga.

Dalam perlawanan terdahulu, Eden Hazard dan Willian yang dibawa masuk daripada bangku simpanan menjadi wira Chelsea apabila menjaringkan gol di hujung permainan untuk membantu The Blues menundukkan Norwich City 3-1 dan melonjak ke tangga ketiga liga. 

Pada ketika Fernando Torres menjalani penggantungan, pengurus Chelsea, Jose Mourinho bertindak menurunkan Demba Ba sebagai penyerang tunggal dan mengetepikan Samuel Eto'o.

Semua tampak sempurna buat Chelsea apabila berjaya membuka jaringan seawal minit keempat di Carrow Road menerusi bintang tengah Brazil, Oscar yang melepaskan rembatan rendah kaki kanan selepas menerima hantaran cantik Ba.

Selepas babak pertama berkesudahan 1-0, Norwich berjaya memperoleh gol penyamaan pada minit ke-68 menerusi tandukan Anthony Pilkington.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Mourinho melakukan pertukaran dengan membawa masuk Hazard dan Willian. 

Hazard, yang masuk menggantikan bek kiri England, Ashley Cole mengatur serangan balas yang pantas sebelum melepaskan rembatan rendah menewaskan penjaga gol lawan pada minit ke-82 untuk pasukan pelawat mendahului 2-1.

Sedar mereka sudah kesuntukan masa, Willian tidak menunggu lama untuk menambah gol ketiga Chelsea menerusi tendangan jarak jauh kaki kiri, seminit kemudian.

Southampton pula meneruskan rentak cemerlang apabila membenam Swansea 2-0, sekali gus melonjak ke tangga keempat liga.

Kapten Saints, Adam Lallana memecah kebuntuan pada minit ke-19, sebelum Jay Rodriguez melengkapkan kemenangan 2-0 tuan rumah pada minit ke-83. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan