MADRID - Pemain sayap bernilai £86 juta (RM433 juta), Gareth Bale
disahkan mengalami kecederaan tulang belakang, demikian dedah kelabnya,
Real Madrid semalam.
Namun Real menafikan bahawa Bale terpaksa menjalani pembedahan gara-gara kecederaan itu.
Tahap kecergasan Bale mula mengundang tanda tanya apabila hanya
tampil sebagai pemain gantian The Galacticos dalam beberapa perlawanan
Liga Sepanyol musim ini.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan Bale mengalami kecederaan
discal hernia sehingga menyebabkan dia gagal diturunkan sepenuh masa
oleh pengendali Real, Carlo Ancelotti musim ini, namun ia disangkal
pihak pengurusan Real.
"Bale tidak mengalami discal hernia sehingga memerlukan pembedahan,
sebaliknya dia hanya mengalami kecederaan kecil pada disk spinal tulang
belakang yang tidak akan menjejaskan peluangnya beraksi," kata Real
dalam satu kenyataan semalam.
Ejen Bale, Jonathan Barnett juga membidas laporan media berkenaan dan menyifatkannya sesuatu yang tidak masuk akal.
"Bale pemain termahal dalam sejarah bola sepak. Jika ada sebarang
masalah, sudah tentu Real menghentikan usaha mendapatkan khidmatnya
sebelum ini," katanya.
Pemain sayap kelahiran Wales itu dijangka cergas sepenuhnya menjelang
dua perlawanan getir berdepan Juventus dalam aksi Liga Juara-Juara pada
23 Oktober depan sebelum berdepan Barcelona dalam aksi liga domestik
tiga hari kemudian. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan