LONDON - Dua jaringan Mesut Ozil membantu Arsenal membenam Norwich
4-1 di Emirates semalam, sekali gus mengukuhkan cengkamannya sebagai
pendahulu Liga Perdana Inggeris.
Ketika The Gunners terus menikmati musim yang menggembirakan,
Liverpool dan Manchester United meraih keputusan mengecewakan apabila
sekadar seri dalam perlawanan masing-masing.
Liverpool gagal memanfaatkan kelebihan berdepan 10 pemain Newcastle
apabila seri 2-2 di St James Park, pada ketika United diikat 1-1 oleh
Southampton di Old Trafford.
Chelsea sebaliknya melonjak ke tangga kedua liga dengan membelasah kelab bermasalah, Cardiff City 4-1 di Stamford Bridge.
Arsenal, yang kini melebarkan rekod tanpa kalah dalam 12 perlawanan
membuka jaringan menerusi Jack Wilshere pada minit ke-18, sebelum Ozil
menambah gol di minit ke-58 dan 88. Satu lagi gol Gunners disempurnakan
oleh Aaron Ramsey pada minit ke-83.
Di Newcastle, Liverpool dipaksa bangkit daripada ketinggalan dua kali
untuk membawa pulang mata berharga dan memastikan misi memburu empat
kedudukan teratas liga masih di landasan terbaik.
Tuan rumah terpaksa mengharungi saingan dengan 10 pemain selepas
Mapou Yanga-Mbiwa dilayangkan kad merah pada minit ke-40 kerana
menjatuhkan Luis Suarez.
Newcastle terdahulu di depan menerusi rembatan kencang Yohan Cabaye pada minit ke-23.
Bagaimanapun Liverpool menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti
pada minit ke-42 apabila tindakan Yanga-Mbiwa mengkasari Suarez membawa
padah.
Steven Gerrard tenang mengambil sepakan untuk menyamakan kedudukan 1-1.
Biarpun beraksi dengan kekurangan pemain, Newcastle tetap berjaya
menambah gol melalui sepakan kaki kiri pemain gantian, Paul Dummett pada
minit ke-57.
Liverpool, yang membelasah The Magpies 6-0 pada pertemuan musim
lalu, bangkit sekali lagi hasil gerakan Suarez yang berjaya ditanduk
oleh Daniel Sturridge pada minit ke-72. - REUTERS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan